Mengimbau Israk wal Mi'raj

Firman Allah SWT,

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada satu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. (Surah al-Israa’: 1)

LATAR BELAKANG

Peristiwa Israk wal Mi’raj berlaku pada bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW. Tahun itu dikenali sebagai tahun berdukacita apabila dua orang tokoh besar dalam kehidupan Rasulullah saw meninggal dunia. Bermula dengan meninggalnya bapa saudara Rasulullah saw Abu Talib ketika usianya 80 tahun, diikuti pula dengan kematian isteri Rasulullah saw Khadijah bt Khuwailid ketika usianya 65 tahun.

Kedua-dua tokoh ini sangat besar jasanya kepada Rasulullah saw. Sebagai bapa saudara, Abu Taliblah yang bersusah payah membesarkan Rasulullah saw dari kecil dan mempertahankan baginda daripada kekerasan kafir Quraisy ketika Rasulullah dilantik menjadi Rasul.

Sebagai isteri pula, Khadijah telah banyak berjasa kepada Rasulullah saw. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah saw, Khadijah seorang wanita yang kaya raya hasil daripada keuntungan perniagaan. Tetapi selepas berkahwin dengan Rasulullah saw seluruh harta kekayaannya diinfakkan kepada perjuangan Islam. Dialah isteri yang sanggup bersusah payah memenangkan hati Rasulullah apabila baginda menerima wahyu yang pertama seterusnya membawa Rasulullah saw berjumpa dengan saudaranya Warqah bin Naufal. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.

Setelah kematian dua tokoh ini, maka semakin besarlah peluang orang-orang kafir Quraisy untuk melancarkan kekerasan ke atas tubuh badan Rasulullah saw. Pernah suatu ketika Abu Lahab meletakkan najis unta ketika Rasulullah saw sedang sujud di Masjidil Haram. Ada yang menjerut leher Rasulullah dengan kain serban dan pelbagai lagi gangguan fizikal yang mereka berikan kepada Rasulullah saw.

Melihat kepada sikap kaum musyrikin yang begitu keras terhadap baginda, maka Rasulullah saw membuat plan tindakan iaitu pergi ke Taif menyampaikan dakwah sekaligus mencari perlindungan. Nabi saw sangat berharap agar orang-orang Taif menerima baginda apatah lagi ibu susu Nabi saw, Halimatus Sa’diyah ada hubungan persaudaraan dengan sebahagian orang-orang Taif.

Malangnya sampai di Taif, ketika Nabi saw menemui pembesar Taif untuk menyampaikan dakwah, baginda di ejek dan dicemuh. Kata pembesar Taif,

“Ya Muhammad kalaulah orang Mekah sendiri tidak boleh menerima engkau, bagaimana kami boleh menerima engkau”.

Jawab Nabi saw,

“ Kalau tuan tidak sudi menerima kedatanganku ke sini, tidak mengapa, aku akan balik semula ke Mekah. Tetapi janganlah tuan siarkan kedatanganku ke sini kepada penduduk-penduduk Taif dan juga kepada kaum Musyrikin Mekah ”

Malangnya permintaan Nabi saw tidak diendahkan oleh mereka. Pembesar Taif telah menghebahkan kedatangan Nabi saw ke seluruh penduduk Taif. Menyebabkan mereka beramai-ramai menghalau Nabi saw, manakala kanak-kanak pulatelah diupah untuk membaling batu kearah Rasulullah saw.

Tidak cukup dengan itu orang-orang Taif telah memberitahu orang-orang Mekah akan percubaan Nabi Muhammad menyebarkan Islam di Taif, menyebabkan orang-orang Mekah menunggu-nunggu kepulangan Nabi Muhammad untuk di bunuh.

Ketika berehaat di kaki Jaban Nur , Nabi saw terlihat Abdullah bin Uraiqit seorang yang bersimpati dengan Islam kemudian meminta bantuannya untuk berhubung dengan Akhnas bin Syuraiq, Suhail bin Amru dan Mut’im bin Adi agar mereka sudi memberi perlindungan kepada baginda untuk masuk semula ke Mekah. Malangnya hanya Mut’im bin Adi sahaja yang bersetuju untuk memberi perlindungan. Rasulullah saw sagaat berterima kasih di atas pertolongan Mut’im bin Adi dan tidak melupakan jasanya sehingga ke akhir hayat baginda

NABI SAW DI BEDAH

Pada malam kejadian Israk dan Mikraj, Nabi saw sedang berbaring-baring bersama Saidina Hamzah dan Saidina Ja'afar bin Abi Talib di Hijr Ismail (Masjidil Haram), tiba-tiba datanglah dua malaikat iaitu Jibril dan Mikail mengangkat Nabi saw ke telaga Zamzam. Di sana Nabi saw ditelentangkan dan di bedah dada baginda untuk dikeluarkan hatinya. Hati Nabi dicuci dengan air zamzam. Ada dua persoalan :

Bagaimanakah Nabi saw di bedah oleh Jibril ? Jawapannya ialah dengan cahaya, kerana malaikat itu dicipta daripada cahaya. Hari ini sudah ada pembedahan menggunakan cahaya laser. Menunjukkan logik akal boleh menerima kisah ini.

Apa rahsia disebalik pembedahan ini ? Jawapannya ialah peristiwa pembedahan ini menjelaskan kepada kita bahawa peringkat pertama untuk berjalan menuju Allah ialah pembersihan diri dari segi jasmani dan rohani). Dengan kata lain taubat.

NABI MENUNGGANGI BURAQ

Selesai Nabi Muhammad saw menjalani operasi pembedahan , baginda dipersilakan oleh malaikat Jibril a.s untuk menunggang sejenis kenderaan yang amat canggih iaitu Buraq (seekor binatang yang menjadi kenderaan alam malaikat yang mempunyai pergerakan teramat laju). Kalaulah malaikat yang dicipta daripada cahaya dengan anggaran kelajuannya ialah 300 000 km sesaat (berdasarkan ukuran pergerakan cahaya), bayangkan bagaimana pula kelajuan kenderaan malaikat yang bernama Buraq !

Buraq yang dibawa oleh Jibril itu agak liar tetapi bila Jibril mengatakan yang Nabi Muhammad akan naik di belakangnya, badannya berpeluh dan dengan rasa malu merendahkan badannya untuk ditunggang oleh Nabi. Peristiwa ini menggambarkan kepada kita betapa seekor haiwan mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap Nabi Muhammad, maka lebih-lebih lagilah manusia yang mengaku menjadi umat Nabi Muhammad saw.

Buraq terus membawa Nabi saw dengan diiringi oleh malaikat Jibril yang berada di sebelah kanan dan malaikat Mikail yang berada di sebelah kiri Rasulullah saw menuju ke Baitul Maqdis. Dalam perjalanan Rasulullah saw singgah di tiga tempat iaitu yang pertama Madinah tempat baginda akan berhijrah, kemudian singgah di Bukit Tursina tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu dan yang akhirnya baginda singgah di Baitul Laham tempat Nabi Isa a.s di lahirkan. Setiap kali Nabi saw berhenti, baginda akan menunaikan solat sunat dua rakaat, menunjukkan kepada kita betapa perlunya untuk kita mengerjakan solat sunat apabila singgah di masjid atau di tempat-tempat yang mulia.

NABI TIBA DI MASJID AL-AQSA

Selepas menyaksikan pelbagai jenis panorama, akhirnya Rasulullah saw sampai di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Semasa di sana para Nabi dan Rasul telah sedia menanti ketibaan Rasulullah saw. Jibril a.s kemudian menyuruh Nabi saw mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.

Ada beberpa persoalan :

1. Mengapa Masjid al-Aqsa ?

Allah SWT mahu menunjukkan kepada kita betapa pentingnya Masjid Al-Aqsa dalam kehidupan orang-orang Islam. Masjid ini merupakan kiblat yang pertama umat Islam, disini jugalah terpancarnya cahaya dakwah bermula dengan Nabi Yaakob, Nabi Yusuf, Nabi Daud, Nabi Zakaria, Nabi Sulaiman, Nabi Ishak sehinggalah ke pada Nabi Isa a.s. Dakwah kemudian di teruskan oleh Rasulullah saw sebagai Nabi akhir zaman di Mekah. Ini menunjukkan kedudukan penting dua kota ini.

2. Bagaimanakah Nabi saw boleh berjumpa Nabi-Nabi yang sudah wafat ?

Kita akan menemui jawapannya apabila kita merujuk surah al-Israk ayat 1,

“….untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami”.

3. Apakah rahsia disebalik Nabi saw mengimami solat bersama para Nabi terdahulu ?
Jawapannya ialah umat Islam perlu menjadi Imam (Pemimpin dan Pembimbing) kepada umat-umat yang lain bukannya umat Islam menjadi pengikut (bagai lembu dicucuk hidung) kepada umat-umat lain.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu