Kisah orang yang meninggalkan solat

Pagi ini saya sekali lagi telah dijemput oleh saudara Riduan (S/U) Surau Jiboi untuk menyampaikan kuliah Subuh. Beliau meminta saya menyambung kembali kuliah saya berkaitan tentang Israk wal Mikraj dua minggu lepas. Bagi memenuhi hajat dan permintaan orang Surau di situ, saya gagahkan juga, walaupun baru sahaja sembuh dari penyakit demam yang dialami sejak beberapa hari yang lalu.

Saya menyambung kuliah saya dengan menyentuh keberkatan Masjid Al-Aqsa dan sekelilingnya. Selain sebagai Qiblat pertama umat Islam, Masjid ini juga akan menyaksikan perperangan antara tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Isa a.s memerangi Dajjal dan kuncu-kuncunya. Dalam peperangan itu nanti Nabi Isa a.s akhirnya berjaya membunuh Dajjal sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis Rasulullah saw,

“Daripada Mujammi’ bin Jariah al-Ansari r.a berkata : aku mendengar Nabi saw bersabda : Ibnu Maryam (Nabi Isa a.s) akan membunuh Dajjal di satu tempat namanya Babul Luddi (yang terletak berhampiran dengan Baitul Maqdis) ” (Riwayat Imam At-Tirmidzi)

Manakala pengikut-pengikut Dajjal terutamannya bangsa Yahudi akan di bunuh oleh orang-orang Islam sebagaimana hadis Rasulullah saw yang berbunyi,

Tidak akan berlaku hari kiamat sehinggalah -umat Islam berperang dengan orang-orang Yahudi di satu tempat. Orang-umat Islam akan membunuh mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi disebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu-batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar membunuh orang-orang Yahudi itu, kecuali pokok 'Gharqad'. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di ataslah orang-orang Yahudi sekarang melancarkan kempen menanam pokok Gharqad di Negara haram Israil. Mereka percaya kepada hadis Rasulullah saw yang mengatakan pokok itu akan melindungi mereka.

Kuliah saya di teruskan lagi dengan mengingatkan jemaah tentang dosa orang yang meninggalkan solat. Saya menceritakan kepada sidang jemaah telah terjadi satu kisah di zaman Nabi Musa a.s, di mana pada satu hari ada seorang wanita berjalan terhuyung-hayang berjalan menuju ke rumah Nabi Musa a.s. Pakaiannya serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam kesedihan yang amat sangat.

Sampai di rumah Nabi Musa a.s , lalu diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam kepada Nabi Musa. Nabi Musa a.s terdengar salam daripadanya lalu membuka pintu dan bertanya apa hajat wanita tersebut datang bertemu dengannya.

Kata wanita ini : "Wahai, Nabi Allah tolonglah saya agar Allah SWT mengampuni dosa keji yang telah saya lakukan. "Apakah dosa yang telah kamu lakukan ? ”tanya Nabi Musa a.s . "Sungguh sukar, untuk aku jelaskan ," jawab wanita itu.

"Katakanlah. Jangan ragu-ragu, insya Allah aku akan tolong selesaikan masalah engkau”, desak Nabi Musa. Maka perempuan itu berkata dengan tersekat-sekat: " Wahai Musa, sebenarnya aku telah berzina, hasil daripada perbuatan zina itu aku pun hamil. Satelah anak itu lahir, aku bunuh anak itu dengan mencekiknya sampai mati .”

Bila mendengar sahaja kisah ini, Nabi Musa a.s marah kepada perempuan ini. Dengan nada keras Nabi Musa a.s mengherdik perempuan ini : "Perempuan durjana ! Keluar engkau dari sini agar bala Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatan mu. Pergi!" teriak Nabi Musa sambil mengalih matanya kearah lain.

Alangkah sayunya perempuan itu dengan hati bagaikan kaca jatuh ke batu, hancur luluh, melangkah keluar dari kediaman Nabi Musa. Kata hatinya, Manalah aku nak pergi, kalaulah seorang Nabi sudah menolak aku , bagaimana pula manusia lain boleh menerima aku ?

Setelah wanita itu meninggalkan kediaman Nabi Musa. Malaikat Jibril turun menemui Nabi Musa dan bertanya: "Mengapa engkau menolak seorang wanita yang mahu bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu wahai Musa, sebenarnya ada dosa yang lebih besar daripada dosa yang dilakukan oleh wanita itu ?

Nabi Musa a.s terperanjat. Lalu Nabi Musa bertanya kepada Malaikat Jibril, Wahai Jibril "Betulkah ada dosa yang lebih besar dari dosa perempuan yang hina itu.""Ada," jawab Jibril dengan tegas." Kalau ada dosa apakah itu? "tanya Nabi Musa semakin ingin tahu.

Jawab Jibril, " Tahukah kamu wahai Musa, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, tanpa menyesal. Orang itu sebenarnya lebih besar dosanya daripada melakukan zina seribu kali. Setelah mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil perempuan itu mengadapnya kembali. Nabi Musa a.s kemudian mengangkat tangan ke langit dengan khusyuk mendoakan agar Allah SWT memberi keampunan kepada perempuan itu.

Kisah kedua yang saya ceritakan kepada jemaah surau ialah mengenai pasangan suami isteri yang sudah lama tidak mendapat zuriat. Kisah ini juga berlaku di zaman Nabi Musa aa.s. Pasangan suami isteri ini telah bernazar kepada Allah SWT, sekiranya mereka mendapat zuriat mereka akan meminum air kencing aanjing.

Di takdirkan Allah SWT, hajat mereka dimakbulkan . Isteri lelaki ini pun hamil dan melahirkan anak. Apabila mendapat anak, lelaki ni pun runsing bagaimana mereka hendak membayar nazarnya.

Di zaman Nabi Musa aa.s syariatnya berbeza dengan syariat di zaman Nabi Muhammad saw. Kalau di zamana umat Nabi Muhammad, siapa bernazar untuk melakukan sesuatu yang haram , maka dia tidak perlu menunaikan nazar tersebut sebaaliknya dia perlu membayar kifarat. Namun di zaman Nabi Musa a.s barangsiapa bernazar, walaupun hendak melakukan ssuatu yang haram, maka dia perlu melaksanakan nazar tersebut. Dengan susah susah hati, mereka pun pergi bertemu dengan Nabi Musa aa.s dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa a.s menjawab bahawa lelaki tu tidak perlu meminum air kencing anjing. Apa yang mereka perlu lakukan ialah hendaklah menadah air hujan yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minumlah air itu. Air itu lebih hina daripada air kencing anjing. Dengan senang hati, pasangan suami isteri itu pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa a.s tadi.

Saya katakan kepada sidang jemaah, walaupun kisah ini ialah kisah Israiliyat, tetapi Nabi saw tidak melarang kita mendengar dan mengambil iktibar darinya selagi mana kisah-kisah tersebut tidak bertentangan dengan nas Al-Quran dan Hadis. Sabda Rasulullah saw,

بلغوا عني ولو أية . وحدثوا عن بنى اسرائل ولا حرج .
ومن كذب على متعمدا فليتبوأ من النار

Maksudnya : Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat, dan berbicaralah tentang kisah Bani Israil, tidaklah ia menjadi satu kesalahan. Dan barangsiapa yang berdusta atas diriku dengan sengaja pasti akan mendapat tempatnya dalam api neraka.

Dalam bab meninggalkan solat, banyak hadis-hadis Rasulullah saw yang mencela orang yang tidak menunaikannya.
Saya mengakhiri kuliah Subuh saya dengan memetik pandangan ulama terkini berkaitan dengan orang yang meninggalkan solat. Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam fatwanya menulis, mereka yang meninggalkan solat hilanglah hak persaudaraannya dalam Islam.

Hak persaudaraan dalam Islam di sebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a maksudnya,

Hak seorang muslim terhadap seorang muslim enam perkara. Lalu baginda di tanya : Apakah enam perkara itu ya Rasulullah ? Jawab baginda 1, Bila engkau bertemu dengannya ucapkanlah salam kepadanya, ke 2 apabila dia mengundang kamu ke kendurinya, penuhilah undangannya, ke 3 apabila dia meminta nasihat, maka berilah nasihat kepadanya, ke 4 apabila dia bersin lalu dia membaaca tahmid, doakanlah agar dia beroleh rahmat, ke 5 apabila dia sakit kunjungilh dia, dan ke 6 apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya ke kuburan.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu