Syaaban : Sejarah Pertukaran Qiblat

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah 144-145

Firman Allah SWT,

Maksudnya : Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah) ; dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah wajah kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka ; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (144) Dan demi sesungguhnya ! jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya ! kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), Sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim. (145)

Huraian ayat

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap ke kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah)

Ada pendapat mengatakan ayat ini turun pada tahun kedua hijrah pada bulan Syaaban. Sebab turun ayat ini sebagaimana Imam Bukhari meriwayatkan daripada Al-Barra’ katanya, ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda bersembahyang menghadap ke arah Masjidil Aqsa (Baitul Maqdis), sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi-Nabi sebelumnya. Hal ini berterusan selama 16 atau sekitar 17 bulan. Meskipun begitu Nabi saw sangat teringin untuk bersolat mengadap Kaabah. Malahan baginda pernah menggabungkan antara mengadap ke arah Kaabah dan ke arah sakhrah dengan cara baginda saw solat di selatan Kaabah sambil mengadap kearah utara menghala ke arah sakhrah.

Pendapat lain pula mengatakan semasa Nabi saw berada di Mekah baginda dan sahabat menunaikan solat mengadap ke arah Kaabah sebagaimana yang dilakukan oleh moyangnya Nabi Ibrahim a.s. Tetapi apabila baginda saw berhijrah ke Madinah, Allah SWT memerintahkan supaya umat Islam menunaikan solat mengadap ke arah Baitul Maqdis. Tujuannya ialah untuk menarik perhatian orang-orang Yahudi agar memeluk Islam. Namun di hati Nabi saw, baginda tetap mahu supaya kiblat di halakan ke arah Kaabah. Oleh itu Nabi saw sentiasa memandang ke langit berdoa kepada Allah SWT agar permohonan baginda di makbulkan. Akhirnya turunlah Jibril dari langit menyampaikan ayat di atas.

Apabila turun ayat ini, bukanlah bermakna Masjid Al-Aqsa itu tidak penting dalam Islam. Malah Rasulullah saw sendiri pernah menyebut tentang kemuliaan Masjid Al-Aqsa,

"Satu solat yang dikerjakan di masjid (Al-Aqsa) itu lebih afdhal daripada mengerjakan 500 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah."

Menjelang turunnya ayat ini Rasulullah saw telah keluar dari Madinah untuk menziarahi Ummu Bashar bin al-Barraa’ bin Ma’roor di perkampungan Bani Salimah. Selepas baginda saw menikmati jamuan makan tengahari yang disediakan oleh tuan rumah, baginda kemudian mengerjakan solat Zuhur berjemaah di Masjiid Bani Salamah. Ketika Nabi saw sedang berada di rakaat kedua, ketikaa itulah Jibril a.s telah turun membawa wahyu perintah Allah SWT supaya menukar arah Qiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram.

Jibril a.s memegang tangan Nabi saw dan memusing tubuh Rasulullah saw hampir-hampir tepat ke arah belakang iaitu ke arah Kaabah di Makkah dan perlakuan Nabi saw ini diikuti oleh sahabat-sahabat yang berada di belakang baginda. Dengan terjadinya peristiwa tersebut maka masjid Bani Salamah sangat masyhur dengan nama Masjid Qiblatain yang bererti Majid Dua Kiblat.

Firman Allah SWT seterusnya,

…dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah wajah kamu ke arahnya.

Yakni, di mana sahaja orang-orang beriman berada sama ada di utara, di barat, di timur , di selatan maka hendaklah keseluruhannya menghadapkan kiblat mereka ke arah Masjidil Haram sebagai symbol perpaduan umat Islam. Pengistiharan perubahan kiblat ini sekaligus telah memberi ketenangan kepada umat Islam apatah lagi bila berdepan dengan fitnah yang dilemparkan oleh orang-orang Yahudi yang mendakwa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah tiruan dari agama mereka.

Berdasarkan ayat ini, para ulama bersependapat bahawa mengadap kiblat adalah salah satu daripada syarat sah solat, kecuali dalam keadaan takut ketika berada di atas kenderaan. Kiblat ketika berada dalam keadaan takut ialah mengadap ke arah mana sahaja yang aman, manakala kiblat ketika berada di atas kenderaan ialah ke arah mana sahaja kenderaan itu mengadap.

Firman Allah SWT,

Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka ; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (144)

Di sini Allah SWT menyatakan, sekiranya orang-orang Yahudi itu merujuk kembali kitab yang diturunkan kepada mereka iaitu Taurat, sudah tentu mereka tidak merasa hairan apabila orang-orang Islam menukar kiblat mereka dari Palestin ke Mekah. Kerana Mekah sudah tidak asing lagi dalam kitab Taurat yang mereka sebut sebagai Paran.

“ The Lord came from Sinai and dawned from Seir and He shone from Paran ”.(Deotranomy 33: 2)

Paran adalah tempat tinggal Siti Hajar dan Ismail sebagaimana yang di sebut dalam Genesis ayat 21,

“ He was living in the Desert of Paran, his mother got a wife for him, from Egypt ”

Di penghujung ayat 144, SWT menegaskan bahawa Dia sama sekali tidak akan lupa dengan sikap degil dan engkar orang-orang Yahudi menerima kebenaran. Perbuatan mereka pasti akan menerima balasan.

Firman Allah SWT ayat 145,

Dan demi sesungguhnya ! jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,

Maksudnya sekiranya orang Yahudi dan Nasrani itu di ajak mengadap ke kiblat Masjidil Haram (yang terletaknya Kaabah) dan mereka juga sudah tahu sebab-sebab peralihan kiblat itu nescaya mereka tetap berdegil tidak mahu berkiblatkan Kaabah.

Firman Allah SWT,

..dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain

Sebagaimana kerasnya ahli-ahli kitab untuk menerima kiblat orang-orang Islam, demikianlah orang-orang Islam, janganlah cenderung walau sedikit pun untuk mengadap kiblat mereka. Seterusnya Allah SWT menyatakan bahawa orang-orang Yahudi tidak akan mengadap kiblat orang-orang Nasrani yakni mengadap terbitnya matahari, begitu juga orang-orang Nasrani tidak akan mengadap kiblat orang-orang Yahudi yakni mengadap Baitul Maqdis.

Firman Allah SWT,

Demi sesungguhnya ! kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), Sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim. (145)

Walaupun ayat ini diturunkan kepada baginda tetapi tidaklah ia ditujukan kepada baginda saw, kerana Rasulullah saw adalah maksum dan terpelihara daripada melakukan kezaliman. Cuma mesej ini ditujukan kepada umat baginda sekiranya mereka berpura-pura bersolat mengadap ke arah Masjid Al-Aqsa dengan tujuan untuk menarik hati orang-orang Yahudi kepada Islam, maka tindakan tersebut akan melayakkan mereka untuk menerima balasan azab di dunia dan di akhirat. Jelasnya, perkara kiblat adalah perkara yang sangat penting dalam Islam, sama sekali tidak boleh dikompromikan. Tegasnya, matlamat tidak menghalalkan cara.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu