“Menanti di pintu Baqi’…” : Masalah wuduk dan kedudukan isteri semasa tawaf



Episod 9 : Masaalah wuduk dan kedudukan isteri semasa tawaf

“Ustaz…, semasa tawaf boleh tak saya pegang tangan isteri  ?”, tanya Dato’ Hashim . Matanya meleret memandang Datin Hasnah.

Sayangnya pada Datin Hasnah tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. Sungguh mendalam.  Hanya kematian yang dapat memisahkan mereka berdua. Sakit pening dan susah derita yang dilalui sepanjang hidup, Datin Hasnahlah yang banyak membantu. Tanpa Datin Hasnah siapalah Dato’ Hashim.   

Sebab itu Dato’ Hashim berazam untuk menjaga Datin Hasnah sebaik yang mungkin ketika menunaikan Haji nanti.

“Boleh…, tapi kenalah berlapik”, jawab Ust Haji Abdullah.

“Kalau tersentuh juga tangan isteri….?”, Dato’ Hashim terus mengasak.

“Tidak batal…., kerana dalam keadaan musyaqqah (kepayahan)tidak batal wuduk jika   tersentuh tangan isteri atau mana-mana perempuan yang bukan mahram asalkan tidak timbul syahwat. Ini pendapat mazhab Syafie yang marjuh”, jelas Ust Haji Abdullah.

“Jadi tidak perlu saya ambil air sembahyang semula ?”, tanya Dato’ Hashim yang mahu kepastian.

“Tidak perlu”, jawab Ust Haji Abdullah sepatah.

“Kalau isteri saya terlepas dari pegangan saya …..?”, tanya Dato’ Hashim lagi. 

Dia sedar dalam suasana yang berasak-asak semasa tawaf, mungkin dia atau isterinya akan dirempuh  menyebabkan mereka terpisah.  Hal ini sangat dibimbangi oleh Dato’ Hashim.

“Begini…,” Ust Haji Abdullah menghirup air kopi yang semakin sejuk sebelum menyambung penjelasan.

“Sebaik-baiknya semasa tawaf, biarlah isteri berada di belakang kita. Jika dia berada di sebelah kanan atau kiri, risiko untuk dirempuh atau di tolak ke depan adalah besar, menyebabkan masing-masing akan teripsah.

Sebaliknya jika isteri berada di belakang, jika di tolak ke depan atau di rempuh sekali pun, isteri tidak akan ke mana, dia tetap berada di belakang kita”.

Dato Hashim mengangguk, hatinya puas mendengar jawapan yang diberikan oleh Ust Haji Abdullah.

Tidak rugi dia menjemput Ustaz yang berepngalaman ini datang ke rumahnya pada hari itu.

Bersambung…..

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu