Saturday, November 3, 2012

Janji Allah kepada Nabi

Tafsir  Al-Quran 
Surah al-Fath : 27-28

Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya bahawa kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, tanpa perasaan takut. Dan Allah mengetahui apa yang kamu tidak tahu dan di samping itu Dia akan memberikan satu kemenangan dalam masa yang terdekat kepadamu (27) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa pertunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi (28)

Huraian ayat

            Firman  Allah SWT,
                         
            “Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya …..”

            Pada tahun ke 6 hijrah Nabi SAW bermimpi mengerjakan umrah, dan mimpi baginda  dikongsi dengan para sahabat. Bila mendengar mimpi ini, para sahabat khususnya golongan muhajirin merasa rindu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di Mekah.

            Maka pada tahun yang sama bulan Zulka’dah, berangkatlah Nabi SAW bersama 1400  orang sahabat menuju ke Mekah untuk mengerjakan umrah, tanpa niat untuk berperang.  Mereka membawa 70 ekor unta untuk di jadikan korban. Setelah berjalan kira-kira 14 km, maka sampailah Nabi SAW dan rombongan di suatu tempat yang bernama Zulhulaifah. Di situ Nabi SAW memerintahkan kepada para sahabat agar memakai pakaian ihram dan berniat ihram umrah. Kemudian rombongan umrah ini meneruskan perjalanan sambil bertalbiah dalam keadaan bersemangat.

             Apabila sampai di Hudaibiyah, lebih kurang 21 km sebelum sampai ke Mekah rombongan ini telah berhenti  rehat. Melalui risikan yang baginda terima, Rasulullah SAW mendapat tahu orang-orang musyikin Mekah  dengan segala kekuatan akan menghalang kedatangan baginda  dan ahli rombongan umrah. Justeru untuk meredakan hal ini  Nabi SAW meminta Saidina Omar bin al-Khattab pergi ke Mekah  untuk memberitahu orang-orang Quraisy bahawa kedatangan baginda dan  sahabat bukan untuk berperang tetapi untuk mengerjakan umrah.

            Menerima sahaja perintah Nabi SAW ini maka Saidina Omar berkata,

            “Ya Rasulullah  aku khuatir orang-orang Quraisy akan mengambil tindakan ke atasku. Kerana di Mekah  tidak ada Bani Adi bin Kaab yang akan melindungiku.  Oleh itu aku mencadangkan lelaki yang lebih layak membawa pesanan ini ialah Othman bin Affan”.

 Mendengar kata-kata Saidina Omar, maka Rasulullah SAW kemudian menyuruh Saidina Othman menyampaikan pesanan itu. Maka berangkatlah Saidnia Othman ke Mekah bagi melaksanakan amanah Rasulullah SAW tersebut. Malangnya setelah beberapa hari Saidina Othman di Mekah, beliau tidak pulang ke Hudaibiyah sehingga timbul khabar angin yang mengatakan  beliau telah di bunuh oleh musyirikin Mekah.

Marah dengan berita ini, umat Islam telah berkumpul di bawah sebatang pokok Samrah dan bersumpah untuk menuntut bela di atas kematian Saidina Othman. Sumpah ini dikenali sebagai baiatur Ridwan. Sabda Rasulullah SAW,

“Kamu adalah sebaik-baik manusia di muka bumi. Hari ini, tidak dimasukkan ke dalam neraka seorang pun yang membuat baiah di bawah pohon ini.”

Berita Rasulullah SAW membuat baiatur Ridwan telah sampai kepada orang-orang musyrikin Mekah. Mereka sangat gerun dengan perpaduan umat Islam untuk membela kematian Saidina Othman. Akhirnya mereka membebaskan Saidina Othman di samping menghantar wakil untuk berunding dengan Rasulullah SAW. Maka berlakulah dalam sejarah Islam apa yang dinamakan perjanjian Hudaibiyah.

            Di antara isi perjanjian Hudaibiyah ialah gencatan senjata di antara kedua belah pihak selama 10 tahun.  Di samping itu umat Islam tidak dibenarkan memasuki kota Mekah pada tahun tersebut sebaliknya mereka dibenarkan datang mengerjakan umrah pada tahun berikutnya dengan syarat hendaklah keluar dari kota Mekah selepas 3 hari.

            Selain itu mana-mana pihak sama ada Madinah atau Mekah berhak membuat perjanjian diplomatik dengan mana-mana suku atau kabilah tetapi jika suku-suku atau kabilah ini berperang antara satu sama lain, mereka tidak boleh membantu sekutu-sekutu yang mengikat perjanjian dengan mereka. Jika mana-mana orang Quraisy menyerah kepada Nabi Muhammad SAW tanpa izin walinya maka hendaklah dikembalikan kepada wali mereka, sebaliknya mana-mana orang Islam yang menyerah diri kepada orang-orang Quraisy tidak perlu dikembalikan kepada Rasulullah. 

            Setelah termeterai perjanjian ini maka Rasulullah SAW mengarahkan sahabat supaya menyembelih unta dan bercukur kepala. Malangnya arahan Nabi SAW ini tidak dihiraukan oleh sahabat kerana mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu kembali semula ke Madinah tanpa masuk ke Mekah seperti yang mereka rancangkan. Para sahabat merasakan mereka tidak patut mengalah dengan kehendak musyrikin Mekah seperti yang telah termeterai dalam perjanjian ini Hudaibiyah.

            Setelah Nabi SAW melihat para sahabat tidak mematuhi arahan baginda, Rasulullah SAW marah dan terus masuk ke khemah dan menceritakan perihal kekecewaan baginda kepada isterinya yang bernama Ummu Salamah. Kata Ummu Salamah,

            “ Ya Rasulullah ! Janganlah tuan pedulikan mereka semua. Sembelihlah ternakan tuan dan panggillah orang mencukur rambut tuan. Janganlah tuan bercakap-cakap dengan sesiapa pun”.

            Selepas mendengar nasihat dari isterinya, Nabi SAW kemudian keluar dari khemah baginda seterusnya menyembelih unta ternakannya, kemudian memanggil tukang cukur untuk mencukur rambut baginda. Melihat perbuatan Nabi SAW itu, akhirnya para sahabat berubut-rebut meniru pekerjaan baginda iaitu menyembelih unta korban masing-masing serta mencukur rambut. Jumlah unta yang disembelih ialah 70 ekor. Setiap sahabat diberi satu bahagian daripada 7 bahagian daging yang disembelih itu.    

            Firman Allah SWT,
            
            “…..bahawa kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, tanpa perasaan takut….

            Pada tahun berikutnya (bulan Zulka’dah tahun 7 Hijrah), seperti yang telah termeterai dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW dan umat Islam telah menuju ke Mekah semula dan berjaya menyempurnakan umrah secara aman tanpa  gangguan. Umrah ini dikenali sebagai umrah Qadak dengan jumlah ahli seramai 2000 orang. Inilah penunaian janji Allah SWT bahawa Nabi dan umat Islam pasti akan memasuki kota Mekah dalam keadaan aman dan selesa.

            Sewaktu Nabi SAW tiba di Mekah, orang-orang musyrikin berbaris di pintu Darun-Nadwah, ingin melihat baginda dan para sahabat mengerjakan umrah. Mereka menyebarkan berita palsu yang kononnya rombongan umat Islam dalam keadaan letih, sakit dan demam. Untuk menunjukkan kekuatan umat Islam, Nabi SAW dan sahabat telah berlari-lari anak semasa tawaf pusingan pertama, kedua dan ketiga bagi menafikan berita palsu tersebut.

            Setelah 3 hari Nabi SAW di Mekah dan seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian Hudaibiyah, maka baginda serta ahli pun pulang semula ke Madinah. Di pertengahan jalan, di tempat yang bernama Sarif, Nabi SAW melangsungkan perkahwinan dengan Maimunah binti al-Harith yang merupakan perkahwinan baginda yang terakhr. Maimunah binti al-harith saudara perempuan kepada isteri Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi SAW.

            Antara yang turut hadir semasa majlis perkahwinan ini ialah Khalid bin al-Walid iaitu anak saudara kepada Maimunah binti al-Harith. Setelah selesai majlis perkahwinan itu, Khalid al-Walid telah mengisytiharkan dirinya memeluk Islam dengan katanya,

            “ Sesungguhnya telah nyata bagi setiap orang yang berakal, bahawa Muhammad itu bukanlah tukang sihir atau penyair! Kata-katanya Kalam Tuhan semesta alam. Maka, benarlah semua yang memiliki hati untuk mengikuti baginda.” 
      

            Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi SAW sudah bernikah dengan Maimunah binti al-Harith semasa baginda di Mekah lagi dalam keadaan masih berihram. Dalilnya sebuah hadis daripada Bukhari dan Muslim,

                “Sesungguhnya diriwayatkan oleh Rawad bin Abbas bahawa nabi SAW bernikah dengan Maimunah binti al-Harith sedang baginda dalam ihram”.

            Berdasarkan hadis di atas, sebahagian fuqaha membolehkan akad nikah dalam keadaan ihram haji atau umrah. Namun pendapat yang paling kuat dan rajih menurut jumhur ulama ialah haram dan tidak sah bernikah dalam keadaan ihram haji atau umrah merujuk kepada dalil hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Affan yang bermaksud,

            “Orang yang ihram (sedang mengerjakan haji atau umrah) tidak boleh mengahwinkan, tidak boleh dikahwinkan dan tidak boleh meminang”. (HR Muslim)

             Firman Allah SWT seterusnya,

            “…...Dan Allah mengetahui apa yang kamu tidak ta.....    

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan, hikmah daripada perjanjian Hudaibiyah itu tidak diketahui oleh sahabat. Walaupun nampak berat sebelah, tetapi sebenarnya ia memberi kemenangan kepada umat Islam. Ia adalah kunci pembukaan kota Mekah.

            Semasa Nabi SAW memeterai perjanjian Hudaibiyah, ada sahabat yang tidak berpuas hati dengan perjanjian ini, kerana pada zahirnya ia memberi keuntungan kepada kaum musyrikin. Di antara sahabat yang tidak berpuas hati ialah Saidina Omar bin al-Khattab r.a,

            Beliau telah menemui Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan berbincang dengan percakapan dialog seperti berikut :

            “Wahai Abu Bakar, bukankah dia Rasulullah ? Jawab Saidina Abu Bakar, Ya memang !. Tanya Saidina Omar, bukankah kita ini muslimin ? Jawab Saidina Abu Bakar  : Ya memang !. Tanya lagi Saidina Omar, Bukankah mereka itu musyrikin ? Jawab Saidina Abu Bakar, Ya memang !. Tanya Saidina Omar, Kenapakah kita mahu direndahkan oleh mereka itu dalam soal agama kita? Jawab Saidina Abu Bakar, Wahai Umar ! Duduklah di tempat kamu, aku bersaksi bahawa dia Rasulullah SAW”.

            Kemudian Saidina Umar Al-Khattab kembali menemui Rasulullah SAW dan mengulangi soalan yang sama ditujukan kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Rasulullah SAW menjawab kepadanya,

            “Sesungguhnya aku ini hamba Allah dan Rasul-Nya, aku tidak akan melanggar perintah-Nya dan Dia tidak akan menyesatkan aku !”

            Firman Allah SWT di hujung ayat 27,
  
            “…dan di samping itu Dia akan memberikan satu kemenangan dalam masa yang terdekat kepadamu ”(27)

            Dengan takdir Allah SWT, telah meletus peperangan antara Bani Bakar yang mengikat perjanjian dengan Mekah dengan Bani Khuzaah yang mengikat perjanjian dengan Madinah. Dalam peperangan ini, musyrikin Mekah telah mengambil kesempatan dengan membantu Bani Bakar dari sudut senjata, sekaligus telah melanggar isi perjanjian Hudaibiyah yang mereka tanda tangani bersama Rasulullah SAW.

            Bani Khuzaah telah mengadu hal ini kepada Rasulullah SAW. Nabi kemudiannya telah meminta musyrikin Mekah supaya membayar pampasan kepada Bani Khuzaah. Permintaan Nabi SAW ini telah ditolak oleh musyrikin Mekah, malah mereka telah melahirkan hasrat untuk berperang dengan Nabi SAW. Ekoran dari sikap musyrikin Mekah, maka Nabi SAW telah menyiapkan bala tentera  seramai 10 000 orang untuk menakluk Mekah.

            Dalam perjalanan, tentera Islam telah bermalam di 'Marun zahrán', Rasulullah mengarahkan tentera Islam supaya mendirikan khemah dan menyalakan obor api yang banyak untuk menggerunkan musyrikin Quraisy. Mereka telah menghantar Abu Sufyan untuk berunding dengan Nabi SAW. Malangnya nasi sudah menjadi bubur, pintu rundingan sudah tamat.

            Abu Sufyan yang sebelum ini banyak melakukan kezaliman ke atas umat Islam akhirnya insaf dan akur bahawa kota Mekah yang selama ini di bawah pimpinan beliau akhirnya akan jatuh juga ke tangan Nabi SAW.  Keinsafan ini membawa kepada pengislaman beliau  di depan Nabi SAW dan para sahabat serta disambut dengan perasaan gembira dan laungan takbir kemenangan.   

          Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah telah mengatur beberapa strategi. Antaranya  memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat pasukan dan masuk ke Mekah melalui empat penjuru. Rasulullah SAW memerintahkan tentera Islam supaya tidak melakukan kekerasan apatah lagi pembunuhan melainkan kalau tepaksa.

            Akhirnya pada 10 ramadhan tahun ke 8 Hijrah
bersamaan 630 M Rasulullah SAW dan tentera muslimin berjaya measuki kota Mekah tanpa tentangan. Selesai sahaja Mekah dmasuki, maka Rasulullah SAW melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan mengarahkan sahabat supaya memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda kemudian memaaf dan membebaskan penduduk Mekah yang suatun  ketika dahulu sangat kuat menentang Islam.

            Firman Allah SWT pada ayat 28,

             “Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa pertunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi”(28)

            Untuk menguatkan mimpi Rasulullah SAW itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mengutus Nabi  Muhammad SAW  untuk membawa pertunjuk dan syariat agama Islam bagi menghapuskan syariat seluruh agama-agama lain serta menjadikan agama Islam sebagai agama yang unggul, lebih unggul dari agama-agama lain yang diturunkan dari langit. Dan cukuplah Allah SWT sebagai saksi di atas kerasulan Nbi Muhammad SAW tersebut.

Wallaahualam. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.