Kisah lembu betina


"Tiit...tiit", handphone saya berbunyi mengikut rentak irama sebuah nasyid nyayian kumpulan In-Team (Saya tidak ingat akan judulnya). "Ini Ustaz Hishamuddin ke ?", tanya si pemanggil. "Ya", jawab saya sambil cuba mencari lot parking untuk bersarapan pagi di pekan Mantin.

Memang kebiasaannya sebelum ke tempat kerja, saya akan singgah di Pekan Mantin untuk bersarapan pagi dengan segelas teh tarik dan tiga biji kuih. "Saya Haji Miftar dari Desa Beringin", si pemanggil memperkenalkan dirinya, kemudian terus bertanya, "Ustaz free tak malam ni...?".

Sambil menarik hand break setelah mendapat lot parking yang sesuai saya terus menjawab ringkas, "Insya Allah free".

"Alhamdulillah, kalau macam tu saya ingin menjemput Ustaz untuk menyampaikan kuliah di Surau saya di Taman Desa Beringin, harap-harap Ustaz tidak keberatan", pelawa Haji Miftar dengan nada gembira.

"Insya Allah", jawab saya memberi persetujuan. Dalam hati saya, inilah pertama kali saya di undang menyampaikan kuliah pada hari Khamis malam Jumaat. Sedangkan pada kebiasaannya jemaah surau atau masjid di tempat saya akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil pada malam tersebut. Langkah Surau Taman Beringin mengadakan majlis ilmu pada hari Khamis malam Jumaat adalah satu pembaharuan !.

Balik dari sekolah sekitar jam 2.30 petang, saya mula berfikir apakah tajuk yang hendak di sampaikan kepada sidang jemaah malam ini. Saya membelek nota-nota lama yang pernah saya kuliahkan di merata-rata surau dan masjid sebelum ini, lalu saya tertarik dengan satu tajuk "Kisah Lembu Betina" berdasarkan surah al-Baaqarah ayat 67-71.

Tafsir Al-Quran
Al-Baqarah 67-71

Firman Allah SWT

"Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina . Mereka berkata : Adakah engkau hendak mempersenda-sendakan kami ? Nabi Musa menjawab : Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (melakukan sesuatu yang tidak patut.(67)

Menurut Ibnu Sirin yang meriwayatkan daripada Ubaidah katanya : Di zaman Bani Israil dahulu ada seorang lelaki tua yang mandul, sedangkan dia mempunyai harta yang banyak. Satu-satunya yang menjadi pewaris hartanya ialah anak saudaranya. Oleh kerana anak saudaranya itu mempunyai perasaan tamak dan mahukan harta itu dengan segera, lalu di bunuh bapa saudaranya itu dan mayatnya di letakkan di hadapan pintu rumah seorang lelaki.

Apabila menjelang pagi, anak saudara ini (berlakon) bersungguh-sungguh meratapi kematian bapa saudaranya dan bersungguh-sungguh menuduh lelaki itulah yang terlibat membunuh bapa saudara yang dikasihinya. Maka hampir-hampir berlaku pergaduhan dan pembunuhan disebabkan tuduh menuduh. Lalu salah seorang di kalangan Bani Israil itu mencadangkan kes ini di bawa ke hadapan Nabi Musa a.s. Maka Nabi Musa a.s pun berdoa kepada Allah SWT. Hasilnya Allah SWT memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu betina.

Perintah ini menyebabkan mereka merasa terhina seolah-oleh Nabi Musa a.s mahu mengejek-ngejek mereka yang sebelum ini pernah menyembah patung lembu. Malah ada di kalangan mereka mengatakan idea itu bodoh dan tidak masuk akal, kerana yang mereka hendak selesaikan sekarang ialah masalah pembunuhan. Apa kaitan sembelih lembu dengan kes pembunuhan ? Bodohkah kamu wahai Musa ? Jawab Nabi Musa a.s,


"Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (melakukan sesuatu yang tidak patut."

Nabi Musa a.s menegaskan, dia bukanlah orang yang bodoh tetapi dia hanya menjalankan perintah Allah. Apabila Allah SWT memerintahkan untuk sembelih seekor lembu betina, sembelih sahajalah. Adapun rahsia di sebalik itu sembelihan itu hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Oleh kerana perasaan ego dan tidak puas hati dengan jawapan Nabi Musa a.s mereka bertanya lagi mengenai sifat lembu itu berapa umurnya, apa warnanya dan adakah lembu itu sudah berpengalaman melakukan kerja-kerja membajak ? Pertanyaan mereka yang bukan-bukan ini dirakam dalam ayat-ayat yang seterusnya.

Mereka berkata pula : "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu ? Nabi Musa menjawab : Bahawasanya (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; Maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya"(68) Mereka berkata : Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkan kepada kami apakah warnanya ? Nabi Musa menjawab : Sesungguhnya Allah SWT memberitahu lembu itu ialah lembu betina bewarna kuning (bersangatan kuningnya) – menggirangkan hati orang yang melihatnya (69)Mereka berkata : Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami supaya diterangkan kepada kami lembu apakah itu ? Kerana kami ragu-ragu tentang lembu itu dan insya Allah tentu kami dapat pertunjuk (untuk mencarinya) (70)Nabi Musa berkata : Sesungguhnya Allah memberitahu bahawa lembu itu ialah lembu yang tidak pernah digunakan bekerja seperti membajak bumi dan tidak pernah digunakan mengangkut air untuk menyiram tanaman, sihat, tiada berbelang sedikit pun. Mereka berkata : Sekarang barulah jelas engkau terangkan kepada kami dengan sebenarnya. Maka mereka menyembelih lembu tersebut dan hampir sahaja mereka tidak mampu melaksanakannya. (71)

Kesimpulannya berdasarkan ayat 68 hingga 71 Allah SWT menyatakan bahawa lembu betina itu umurnya tidak tua dan tidak muda (sedang-sedang) dan warnanya mestilah warna kuning yang menarik perhatian orang yang melihatnya. Selain itu lembu itu juga mestilah lembu yang tidak pernah digunakan untuk membajak dan tidak pernah pula digunakan untuk mengangkat air. Lembu itu hendaklah lembu yang sihat tiada kecacatan tidak berbelang pada badannya. Mendengar sahaja ciri-ciri lembu itu, hampir sahaja mereka gagal mencarinya.

Sedangkan kalau mereka akur sahaja dengan perintah Allah SWT pada ayat 67 tadi maka mudah bagi mereka mencari lembu tersebut. Tetapi oleh kerana perasaan ego dan ingin merendah-rendahkan Nabi Musa, akhirnya soalan-soalan yang mereka tujukan kepada Nabi Musa itu memerangkap diri mereka sendiri.

Setelah berusah payah mencari lembu yang dimaksudkan, akhirnya mereka berjaya memperolehinya daripada seorang lelaki. Menurut satu riwayat, di zaman Bani Israil dahulu ada seorang lelaki tua yang solih, mempunyai seorang anak yang masih kecil dan seekor lembu betina yang dipelihara dalam sebuah hutan. Sebelum meninggal dunia lelaki tua ini telah berwasiat kepada isterinya supaya anak lembu itu nanti hendaklah di berikan kepada anak lelakinya itu setelah dewasa kelak.

Setelah anak lelaki ini dewasa, maka ibunya telah menyampaikan wasiat arwah ayahnya. Wahai anakku, sewaktu ayahmu masih hidup dia ada membela seekor lembu di dalam sebuah hutan. Ayahmu telah berwasiat kepadaku agar lembu itu diberikan kepadamu setelah engkau dewasa. Sekiranya engkau mahukan lembu itu, pergilah engkau di hutan tersebut serulah nama Allah yakni tuhan kepada Nabi Ibrahim, Tuhan kepada Nabi Ishak dan juga Tuhan kepada Nabi Yaakob. Insya Allah lembu itu pasti akan datang kepadamu.

Menuruti perintah ibunya, anak muda ini pergilah ke hutan dan dia pun menyeru nama Allah Tuhan Nabi Ibrahim, Tuhan Nabi Ishak dan juga Tuhan Nabi Yaakob sebagaimana yang diajar oleh ibunya. Setelah itu datanglah lembu tersebut kepadanya lalu di bawanya pulang dan ditunjukkan kepada ibunya.

Kata ibunya, "Wahai anakku, sekarang engkau juallah lembu ini dengan harga tiga dinar (mengikut harga pasaran pada waktu itu). Tetapi ingat, sekiranya ada pembeli yang hendak membeli lembu ini dengan harga selain daripada harga tersebut, janganlah engkau menjualkannya melainkan hendaklah engkau berunding dengan aku terlebih dahulu ".

Semasa di pasar, ada seorang lelaki yang tertarik dan ingin membeli lembu tersebut dengan harga yang lebih tinggi iaitu sebanyak enam dinar. Anak muda ini menolak pelawaan tersebut kerana sudah berjanji dengan ibunya, bahawa dia tidak akan menjual dengan harga selain daripada tiga dinar melainkan setelah berunding dengan ibunya terlebih dahulu.

Setelah bertemu ibunya, ibunya bersetuju agar menjual lembu itu dengan harga enam dinar. Sekali lagi ibunya berpesan jika ada harga lain selain daripada enam dinar, janganlah engkau menjualkannya melainkan hendaklah engkau berunding dengan aku terlebih dahulu. Kembalilah pemuda ini ke pasar dan bertemu semula lelaki yang sama dan bersetuju untuk menjual dengan harga enam dinar.

Namun lelaki ini membuat tawaran yang lebih tinggi pula iaitu bersetuju untuk membeli lembu tersebut dengan harga sebanyak 12 dinar, dengan syarat pemuda itu jangan berunding dengan ibunya. Permintaan lelaki ini tidak dipersetujui oleh pemuda ini. Lalu dia pulang semula ke rumah memohon persetujuan daripada ibunya. Kata ibunya, Wahai anakku, tahukah kamu siapakah lelaki yang datang hendak membeli tersebut ? Itulah dia malaikat, jika kamu kembali ke pasar nanti sampaikanlah salam ibu kepadanya, dan tanyalah lelaki itu sama ada lembu ini boleh dijual atau tidak.

Setelah pergi ke pasar buat kali ketiga dan menemui lelaki tersebut, lelaki itu berpesan kepada pemuda, Wahai pemuda, sesungguhnya di kalangan Bani Israil telah berlaku satu pembunuhan dan untuk mengetahui siapakah yang membunuhnya, maka jawapannya akan bergantung kepada lembu ini. Maka janganlah engkau jual lembu ini kecuali dengan harga emas sepenuh kulitnya. Satu hari nanti pasti Nabi Musa datang menemuimu dan membeli lembu ini. .

Maka benarlah kata lelaki tersebut, tidak lama kemudian datanglah Nabi Musa membeli lembu itu mengikut harga yang ditawarkan. Setelah itu Nabi Musa a.s menyembelih lembu tersebut dan ekornya disebat kepada jasad simati. Dengan izin Allah SWT, bangkitlah mayat tersebut seraya berkata : Sesungguhnya yang membunuh aku ialah anak saudaraku sendiri. Dia membunuh aku kerana hendak mendapatkan harta aku dengan segera. Setelah menerangkan siapa pembunuhnya maka mayat itu pun dimatikan semula oleh Allah SWT. Kaum Bani Israil kemudiannya menangkap anak saudara lelaki itu lalu dihukum qisas iaitu bunuh.

Ada beberapa pengajaran daripada ayat-ayat di atas. Pertama, ada perintah Allah SWT dalam Al-Quran kita dapat memahami rahsia dan tujuannya seperti perintah zakat yang bertujuan membantu orang-orang fakir miskin, perintah puasa untuk melatih diri kita supaya bersifat sabar dan sebagainya. Tetapi kadang-kadang ada perintah Allah SWT yang kita tidak tahu apa rahsianya seperti mengapa Allah SWT mengharamkan makan daging babi ? Mengapa setiap solat mesti baca surah al-Fatihah ? Mengapa puasa itu di wajibkan di bulan Ramadhan ? Mengapa anggota badan yang terkena najis anjing hendaklah di basuh sebanyak tujuh kali, dan satu kali mesti di basuh dengan air lumpur ? Maka perintah-perintah seperti ini tidak perlu kita persoalkan kerana rahsianya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Justeru, sebagai hamba Allah, wajib kita patuh secara total (Ta’abbudi).

Pengajaran kedua daripada ayat ini ialah Allah SWT membenci orang yang banyak bertanya yang menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi sukar atau pertanyaan yang tidak berpijak di bumi nyata atau pertanyaan yang bertujuan hendak merendah-rendahkan orang lain atau pertanyaan untuk menguji ilmu seseorang atau pertanyaan sesuatu perkara yang sudah di ketahui jawapannya, atau pertanyaan untuk mengintip hal rang alain dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw,

دعوني ما تركتكم إنما أهلك من كان قبلكم كثرة سؤالهم واختلافهم على أنبيائهم

Maksudnya : Tinggalkanlah (elakkan dari bertanyakan kepadaku) sesuatu yang telah aku tinggalkan (terangkan) kepada kamu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu disebabkan mereka banyak bertanya dan melakukan penyelewengan terhadap ajaran nabi-nabi mereka.

Walaubagaimanapun larangan ini bukanlah merangkumi semua bentuk pertanyaan. Ada pertanyaan yang perlu di tanya. Sebagai contoh, pertanyaan daripada seseorang yang jahil tentang hukum agama seperti meminta penjelasan berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, pertanyaan kerana ingin mengetahui sesuatu ilmu dari murid yang kurang faham daripada gurunya, pertanyaan orang yang sedang bermusafir mengenai arah jalan, pertanyaan pihak berkuasa dalam penyiasatan kes jenayah dan sebagainya.

Firman Allah SWT,

"Maka itu, bertanyalah kamu kepada orang-orang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui" (An-Nahl 043)

Pengajaran ketiga ialah kisah seorang yang tamak akan harta sehingga sanggup buat apa sahaja walaupun dengan cara membunuh, kemudian berlakon menjadi orang baik. Watak ini akan sentiasa berada di sekeliling kita. Yang membezakan ialah pelakon-pelakonnya.

Satu lagi pengajaran ialah kisah anak yang jujur, lurus dan taat terhadap ibunya. Watak ini juga akan sentiasa wujud di hadapan kita di sepanjang zaman. Hasilnya, di dunia lagi orang yang baik seperti ini akan dilimpahkan rezki yang luas oleh Allah SWT . Rasulullah saw, “Berbaktilah kamu kepada kedua ibu bapamu, nescaya anak-anak kamu pula akan berbakti kepada kamu”.

Wallahualam.

p/s :- Nota ini telah saya kuliahkan di Surau Taman Beringin pada hari Khamis malam Jumaat 11/6/2009. Terima kasih kepada pihak Surau yang telah menghidangkan saya kuih ketayap dan karipap pada malam tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu