Sunday, June 21, 2009

Nabi Adam a.s tidak berdosa

"Kalaulah tak kerana Nabi Adam makan buah khuldi, kita semua sudah tentu tinggal dalam syurga", kata-kata yang sering saya dengar sewaktu kecil. Benarkah Nabi Adam a.s diusir dari Syurga kerana makan buah khuldi ? Mari kita cari jawapannya dalam Al-Quran. Firman Allah SWT,

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya : Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu ? Tuhan berfirman : Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang kamu tidak ketahui ". (Al-Baqarah 030)

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan Rasulullah saw, bahawa Dia hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa sama ada Nabi Adam a.s makan atau tidak buah yang dilarang oleh Allah SWT, dia tetap akan diturunkan ke dunia. Ketika Allah SWT mengistiharkan kepada malaikat, bahawa Dia hendak menjadikan manusia sebagai khalifah iaitu orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur kehidupan di bumi berdasarkan wahyu dan syariat Allah SWT, maka malaikat bertanya : Adakah patut Tuhan akan menjadikan mereka (manusia) sebagai khalifah yang mana manusia itu sifatnya suka membuat bencana dan sering menumpahkan darah? Bukankah lebih elok kalau Tuhan lantik sahaja khalifah itu di kalangan malaikat yang merupakan makhluk yang sentiasa taat, patuh dan sentiasa bertasbih memuji Allah SWT ?

Allah SWT menjawab bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang tidak diketahui oleh malaikat tentang hikmah mengapa di pilih di kalangan manusia sebagai khalifah. Ada beberapa persoalan tentang ayat ini. Pertama bagaimana sifat dan tempat pertemuan antara Allah SWT dan para malaikat itu berlaku ?

Bagi ulama yang beraliran salaf, mereka menerima ayat ini dengan sepenuh keimanan tanpa banyak soal. Persoalan bagaimana sifat dan tempat pertemuan itu berlangsung tidak perlu dijawab kerana akal fikiran manusia tidak mampu menjawab persoalan yang berkaitan dengan perkara ghaib.

Bagi ulama yang beraliran khalaf, pertemuan di antara Allah SWT dan malaikat berlaku tidaklah sama seperti pertemuan antara makhluk dengan makhluk seperti hadap menghadap atau duduk depan berdepan kerana kalau demikianlah sifatnya sudah tentulah sama kedudukan malaikat dengan Allah SWT. Sedangkan Maha Suci Allah SWT daripada bersifat sama seperti makhluk. Tentang dimana tempat pertemuan itu berlaku, ulama khalaf menjelaskan ia tidak terjadi di suatu tempat, kerana kalau ia terjadi di sesuatu tempat, maka bertempatlah Allah SWT. Sedangkan Maha Suci Allah SWT bersifat bertempat sama seperti makhlukNya.

Persoalan berikutnya, bagaimana malaikat tahu bahawa khalifah di kalangan manusia itu sifatnya suka membuat bencana dan melakukan pembunuhan ? Jawapannya ialah di penghujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui tentang apa-apa yang tidak di ketahui oleh malaikat. Tegasnya malaikat hanya tahu sifat negatif manusia sedangkan sifat manusia yang positif tidak diketahui oleh malaikat.

Pengajaran daripada ayat ini, janganlah kita bersifat hebat dengan ilmu yang ada sedangkan ilmu yang diberi oleh Allah SWT itu hanya sedikit sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Israak ayat 85,

" ..dan kamu tidak diberikan ilmu npengetahuan melainkan sedikit sahaja "(Al-Israa 085)

Ada juga kisah dongeng yang tidak bersumberkan riwayat Islam yang sahih dan tafsiran daripada golongan Syiah Imamiah tentang bagaimana malaikat tahu bahawa makhluk manusia dari keturunan Adam itu melakukan kerosakan dan pembunuhan.

Menurut kisah dari Parsi lama, katanya sebelum Nabi Adam a.s dicipta, ada makhluk Allah yang mendiami bumi iaitu Hinn dan Binn (ada yang mengatakan Thimm dan Rimm). Setelah dua makhluk ini luput, maka datanglah pula makhluk yang bernama Jinn. Tetapi sifat makhluk Jinn ini suka melakukan bencana dan bunuh membunuh. Lalu Allah SWT hantar bala tenteraNya yang terdiri daripada malaikat dan diketuai oleh Iblis, maka makhluk Jinn ini diperangi sehingga saki baki mereka melarikan diri ke hutan belantara, pulau dan laut. Selepas itu barulah Allah SWT mencipta Nabi Adam bagi mengisi kekosongan bumi ketika itu.

Manakala bagi golongan Syiah Imamiah, di petik dari kitab mereka Jami’ul Akhbar, menyatakan sebelum Allah SWt mencipta moyang kita yang bernama Adam, sebelum itu sudah pun wujud 30 Adam dan keturunannya yang pernah dicipta oleh Allah SWT dan tinggal di atas muka bumi ini. Jarak antara Adam dengan Adam yang lain ialah 1000 tahun. Setelah Adam yang ke 30 dan keturunannya mendiami bumi selama 50 ribu tahun dan melakukan kerosakan dan pembunuhan, maka barulah Allah SWT gantikan Adam yang baru dan itulah Adam yang terakhir yang juga moyang kita sekarang.

Manakal Ibnu Buwaih dalam kitabnya Kitab at-Tauhid telah menukil hadis yang diriwayat daripada Imam Ja’afar as-Sadiq (Imam bagi orang-orang Syiah) katanya : “ Mungkin kamu sangka bahawa Allah SWT tidak menjadikan basyar (manusia) selain kamu. Bahkan, demi Allah ! Sesungguhnya Allah telah menjadikan 1000 Adam dan kamulah yang terakhir dari Adam-Adam itu .”

Kesemua kisah dan riwayat di atas di tolak oleh ASWJ atas dua alasan, Pertama kerana ia tidak bersumberkan riwayat Islam yang sohih. Kedua, dari segi logic akal kalaulah malaikat tahu bahawa keturunan Adam itu sering melakukan kerosakan dan pembunuhan berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu, persoalannya mengapa malaikat tidak tahu sifat-sifat positif keturunan Adam juga berdasarkan pengalaman yang lalu.

"Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda benda dan kegunaannya , kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Dia berfirman : Terangkanlah kepada Ku nama-nama benda ini, jika kamu golongan yang benar". (Al-Baqarah 031)

Setelah Allah SWT menjadikan Adam, lalu Allah SWT mengajar nabi Adam a.s segala nama benda dan fungsinya sehingga penuhlah di dada Adam itu ilmu pengetahuan. Kemudian Allah SWT mendatangkan benda-benda itu kepada malaikat dan bertanya malaikat nama-nama benda tersebut kalau benarlah mereka makhluk yang benar, layak menduduki jawatan khalifah di muka bumi. Jawab Malaikat,
Maha Suci Engkau ya Allah, Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah 032)

Kata malaikat, mereka tidak boleh menjawab nama-nama benda itu dan mereka tidak tahu penggunaannya melainkan sekiranya Allah SWT memberitahu mereka. Allah SWT berfirman pula kepada Adam,

" Wahai Adam ! Terangkanlah benda-benda ini semua kepada mereka.Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama-nama benda itu kepada mereka, Bukankah Aku telah katakan kepada kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan "(Al-Baqarah 033)

Demikianlah Allah SWT menempelak malaikat yang pada mulanya memandang rendah terhadap Adam dan keturunannya sebagai khalfah di muka bumi. Kemudian Allah SWT memerintahkan malaikat agar sujud kepada Nabi Adam a.s.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat : “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam ”. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis ; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al-Baqarah 034)

Berdasarkan ayat ini Malaikat telah melaksanakan perintah tersebut dengan patuh melainkan Iblis yang sombong. Disebabkan kesombongannya itu maka jadilah ia dari golongan kafir.

Timbul 2 persoalan, pertama berdasarkan ayat ini, Allah SWT hanya memerintahkan malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam a.s, mengapa Iblis juga perlu sujud ? Adakah dia juga makhluk kategori malaikat ? Kedua, kalau dia bukan malaikat mengapa dia perlu sujud ?

Bagi menjawab persoalan adakah Iblis termasuk kategori malaikat, Al-Quran surah Al-Kahfi ayat 50 menjelaskan,

Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat : “Sujudlah kamu kepada Adam ”, lalu mereka sujud melainkan Iblis ; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya…

Berdasarkan ayat ini jelas bahawa Iblis bukanlah malaikat, sebaliknya berasal dari golongan Jin. Tetapi walaupun dia bukan malaikat dia wajib taat kepada perintah tersebut kerana dia makhluk yang tinggal bersama-sama dengan para malaikat. Sama seperti warga asing yang tinggal di Malaysia walaupun dia bukan warganegara Malaysia, tetapi dia hendaklah patuh kepada undang-undang Malaysia.

Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik dimana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 035)

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bagaimana Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa diberikan kebebasan oleh Allah SWT untuk tinggal dalam syurga dan menikmati segala makanan yang terdapat dalamnya. Tetapi kebebasan yang diberikan oleh Allah SWT tidak mutlak, ada perkara lain yang mereka tidak boleh buat iaitu tidak boleh mendekati sebatang pokok dengan maksud tidak boleh memakan buah dari pokok tersebut.

Apakah nama pokok tersebut ? Al Quran dan Hadis tidak ada menerangkan nama pokok tersebut. Namun begitu ada pendapat mengatakan nama pokok tersebut ialah pokok khuldi. Ini berdasarkan surah Taha ayat 120,

"Setelah itu maka Syaitan membisikkan kepadanya dengan berkata : Wahai Adam mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon (khuldi) yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan lenyap ?" (Ta-Ha 120)

Tetapi pendapat ini dipertikaikan kerana nama pokok khuldi itu adalah nama yang diberikan oleh Syaitan bukan nama yang diberikan oleh Allah SWT. Kesimpulannya, hanya Allah SWT sahajalah yang Maha Mengetahui apakah nama pokok tersebut.

Firman Allah SWT lagi,

"Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari Syurga itu dan menyebabkan mereka di keluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya ; dan Kami berfirman : Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain ;dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)" (Al-Baqarah 036)

Setelah itu datanglah Syaitan menghasut mereka sehingga mereka makan buah yang dilarang itu, lalu mereka tergelincir dari Syurga. Persoalan, bagaimana Nabi Adam boleh melakukan kesalahan sedangkan setiap Nabi itu maksum, terpelihara daripada melakukan dosa ?

Untuk menjawab persoalan ini umat Islam perlu merujuk surah Taha ayat 115.

" Dan demi sesungguhnya Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa ; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh. "

Daripada ayat ini jelas kepada kita bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam, bukanlah satu kesalahan yang disengajakan sehingga baginda dihukum berdosa. Sedangkan Allah SWT sama sekali tidak akan mengambil tindakan atau memberi balasan terhadap sesuatu kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja. Firman Allah dalam surah Al-Ahzaab ayat 5,

"Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukanny, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Namun begitu, sebagai Nabi yang mempunyai adab dan akhlak yang tinggi, Nabi Adam tetap memohon keampunan kepada Tuhan walaupun kesalahan yang dilakukan itu bukanlah satu kesalahan yang disengajakan. Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Adam a.s kepada seluruh umat manusia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.