Tuesday, June 23, 2009

Surah yg tidak dimulai dengan Bismillah

Tafsir Al-Quran
Surah At-Taubah Ayat 1 - 6

Pengenalan surah :

Para ulama telah membuat kajian mengapa surah Al-Taubah tidak dimulai dengan “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Antara lain kerana di dalamnya ada menyebut mengenai perang, selain ada ayat-ayat yang menunjukkan kekuatan. Oleh itu ia dikira bercanggah dengan semangat “Basmalah”, kerana “Bismillahir Rahmanir Rahim” itu bererti “Dengan nama Allah Yang Amat Pemurah lagi Amat Mengasihani”. Sedangkan berperang itu tidak ada kasihan belas, tetapi saling berusaha dengan segala kekuatan dan strategi untuk menewaskan pihak yang lain.

Surah At-Taubah menyentuh secara langsung persoalan politik yang melibatkan umat Islam yang berada di bawah pimpinan Rasulullah saw dengan orang-orang kafir musyrikin Mekah. Surah ini menjadi dalil bahawa urusan politik adalah sebahagian daripada urusan agama yang kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Catatan sejarah menunjukkan semenjak Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, baginda hanya mengerjakan Umrah sekali iaitu Umrah Qadhak iaitu pada tahun ke tujuh Hijrah. Pada tahun ke lapan Hijrah, Rasulullah saw dan umat Islam telah berjaya membuka (menakluk) Mekah. Pada tahun ke sembilan hijrah umat Islam mengerjakan ibadah Haji yang dipimpin oleh Abu Bakar. Manakala Rasulullah saw pula memimpin umat Islam mengerjakan ibadah Haji pada tahun ke sepuluh hijrah yang dikenali sebagai Haji Wada’ (Haji perpisahan). 80 hari setelah selesai mengerjakan ibadah Haji Rasulullah saw pun wafat.

Ketika ibadah Haji pada tahun kesembilan hijrah yang dipimpin oleh Abu Bakar, Rasulullah saw mendapat tahu bahawa orang-orang musyrikin juga turut hendak mengerjakan ibadah Haji, tetapi mengikut cara tradisi jahiliah. Cara ibadah Haji yang mereka hendak lakukan sangat jelek dimana mereka melakukan tawaf disekeliling Kaabah dalam keadaan berbogel, dimana kaum lelaki melakukan tawaf di siang hari, manakala di sebelah malam pula ialah giliran kaum wanita.

Apabila wahyu (surah At-Taubah) ini turun, Rasulullah saw mengutuskan Saidina Ali kwj untuk menyampaikan pengistiharan Allah SWT ini. Saidina Ali yang mendapat amanah ini terus segera menuju ke Mekah menaiki unta Rasulullah saw yang bernama ‘Adhba’. Apabila sampai di Arafah, Saidina Abu Bakar ketika itu baru sahaja selesai menyampaikan khutbahnya.

Melihat kedatangan Saidina Ali kwj, lalu Abu Bakar pun bertanya kepada Ali : Wahai Ali adakah kamu datang ini hendak mengambil alih tugasku sebagai Amir Haji atau ada sesuatu pesanan atau perintah lain dari Rasulullah saw untuk disampaikan kepada jemaah haji ? Jawab Saidina Ali kwj : Wahai abu Bakar sesungguhnya kedatanganku ke sini adalah untuk membawa perintah daripada Nabi saw agar aku mengistiharkan wahyu Allah Taala mengenai Baraah. Maka Abu Bakar kemudian mempersilakan Saidina Ali untuk menyampaikan pengistiharan tersebut. Saidina Ali pun membacakan 40 ayat dari surah Baraah. Demikianlah ayat-ayatnya,

“(Inilah pengisytiharan) pemutusan hubungan daripada Allah dan RasulNya (yang dihadapkan) kepada orang-orang musyrikin yang kamu (kaum muslimin) telah mengadakan perjanjian (dengan mereka)”.(1)

Perisytiharan yang dimaksudkan di sini ialah pemutusan hubungan perjanjian antara Rasulullah saw dan kaum muslimin dengan kaum musyrikin.
.
“ Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di muka bumi selama empat bulan dan Ketahuilah bahwa Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melemahkan Allah, dan Sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir”.(2)

Yakni kaum musyrikin diberi tempoh oleh Allah SWT selama empat bulan untuk mengosongkan tanah suci Mekah. Maksudnya selepas ini kaum musyrikin tidak boleh menjejakkan kaki apatah lagi mendiami kota Mekah. Ini disebabkan kota Mekah adalah kota suci bagi orang-orang Islam dan ibu pejabat pentadbiran umat Islam seluruh dunia. Justeru, tidak patut kota ini dihuni oleh mereka yang tidak setia dengan akidah Islam.

Dengan tempoh empat bulan (notis) yang diberikan, menunjukkan Islam merupakan agama yang bertoleransi dan menghormati hak-hak orang lain. Empat bulan adalah satu tempoh yang mencukupi untuk kaum musyrikin di Mekah menyelesaikan segala urusannya sebelum mereka meninggalkan kota tersebut.

“Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan Rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahwa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri dari orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka ketahuilah bahwa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih”.(3)

Ayat yang ketiga ini menjelaskan pengisytiharan Allah dan RasulNya, untuk berlepas diri daripada orang-orang musyrikin. Maksudnya Syurga itu tidak akan dapat dimasuki oleh orang-orang musyrikin. Selepas daripada tarikh pengistiharan ini, orang-orang musyrikin Mekah tidak boleh lagi menunaikan fardhu Haji di Mekah. Mereka juga tidak boleh sama sekali melakukan tawaf di keliling Baitullah dalam keadaan telanjang bulat.

Tetapi sekiranya mereka bertaubat (yakni memeluk Islam) dan meninggalkan ibadat jahiliah tersebut maka itu adalah lebih baik bagi mereka (maksudnya mereka tidak perlu pindah). Tetapi sekiranya mereka berpaling dan mahu menentang Islam, maka ketahuilah bahawasanya mereka tidak akan dapat melemahkan Allah malah sebaliknya pula mereka akan mendapat azab yang sangat pedih.

Dalam ayat di atas, Allah SWT menyebut mengenai Haji Akbar. Apakah yang dimaksudkan dengan Haji Akbar ? Ramai orang Islam di dunia ini menganggap bahawa Haji Akbar ialah apabila tarikh wukuf jatuh pada hari Jumaat.

Apakah Haji Akbar ?

Dr Wahbah al-Zuhaily menyebut, bahawa Haji Akbar ialah hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Manakala umrah pula disebut sebagai Haji al-Asghar. Berpegang kepada dalil yang diriwayatkan oleh Ibnu Aufaa bahawa Rasulullah saw bersabda,

يوم الأضحى هذا يوم الحج الأكبر

Maksudnya : Hari Raya Qurban adalah Haji Akbar.

Saidina Ali pernah bertanya Rasulullah saw, Apakah Haji Akbar itu ya Rasulullah ? Nabi saw menjawab,

فقال يوم النحر

Maksudnya : Ialah Hari Nahar (Qorban).

Terdapat hadis yang menunjukkan Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Bagaimanapun ada juga pendapat di kalangan ulama mengatakan Haji Akbar itu adalah adalah hari Wukuf di Arafah. Manakala Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a pula menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari wukuf di Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Pahala orang yang mengerjakan haji pada hari tersebut 70 kali ganda lebih besar daripada pahala Haji biasa. Pendapat ini juga disebut oleh Imam al-Ghazzali rhm. Bagaimanapun Imam al-Munawi menolak hadith itu dengan hujah "tiada asalnya". Wallahualam.

“ Kecuali orang-orang musyrikin yang kamu telah mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian)mu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, Maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaqwa”. (4)

Maksudnya kalau ada perjanjian lain yang waktunya masih lama, lebih dari jangka empat bulan maka janji itu boleh diteruskan sampai habis waktunya.

Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu maka Bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah ditempat pengintaian. jika mereka bertaubat dan mendirikan sholat dan menunaikan zakat, Maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (5)

Bulan-bulan haram menurut tradisi Arab sebelum kedatangan Islam ialah Zulka’dah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tetapi yang dimaksudkan dengan bulan-bulan haram dalam ayat di atas ialah empat bulan yang diberi kepada kaum musyrikin iaitu mulai 10 Zulhijjah yakni ketika turunnya ayat ini sehinggalah 10 Rabiul Akhir. Setelah selesai tarikh tersebut, sekiranya mereka masih enggan keluar dari bumi Mekah dan sekiranya dalam tempoh itu mereka mengumpulkan kekuatan untuk memerangi Islam maka Allah SWT memerintahkan Rasulullah saw dan orang-orang Islam untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka iaitu memerangi mereka yakni membunuh mereka dimana mereka berada, melainkan sekiranya mereka bertaubat (memeluk Islam).


Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.