Wednesday, April 7, 2010

Adab menerima dan menjadi tetamu


Rumah mertua di Tali Air 8, Sekinchan Selangor

Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 27-29


Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat”.(27)

Sebab turun ayat

Diriwayatkan daripada Adiy bin Thabit, seorang lelaki kaum Ansar : Bahawasanya seorang wanita telah bertanya kepada Rasulullah saw : “ Ya Rasulullah ! Saya sedang berada dalam rumah dalam keadaan saya tidak ingin dilihat oleh ayah mahu pun anak saya, tiba-tiba ada orang masuk ke rumah melihat saya apa yang patut saya lakukan ?”, maka turunlah ayat ini.

Huraian ayat

Rumah adalah tempat menyimpan rahsia kerumahtanggaan. Pada kebiasaan, manusia itu ada dua wajah, wajah dalam rumah dan wajah di luar rumah. Apa yang berlaku dalam rumah adalah rahsia peribadi seseorang mukmin. Pendedahan aurat antara suami isteri serta anak-anak gadis adalah lumrah di dalam rumah.

Justeru itulah dalam ayat 27, Allah SWT mengajar hamba-hambaNya yang beriman supaya memiliki adab yang mulia apabila berkunjung ke rumah orang. Hikmahnya agar memelihara maruah tuan rumah supaya tidak kelihatan segala pemandangan yang mengaibkan diri dan keluarganya.

Ayat ini menjelaskan, antara adab yang perlu dilakukan ketika mengunjungi rumah orang ialah meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu kepada penghuninya, moga-moga dengan cara itu akan menimbulkan perasaan kasih dan kemesraan sesama manusia.

Firman Allah SWT,

“Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembali (saja) lah", maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”(28)

Pada ayat 28, Allah SWT menyatakan sekiranya orang yang berkunjung itu tidak mendapat izin dari penghuni rumah, maka hendaklah ia pulang saja. Sikap demikian itu adalah lebih baik daripada berdiri di depan pintu rumah dengan niat memaksa penghuni rumah agar mengizinkannya kerana penghuni rumah kadang-kadang sedang sibuk dengan suatu pekerjaan dan dia tidak mahu diganggu oleh tetamu.

Jika rumah itu tidak ada penghuni yang berhak untuk memberi izin masuk meskipun ada kanak-kanak ataupun orang gaji, maka janganlah juga cuba masuk kerumah itu sehingga mendapat keizinan dari penghuni rumah yang sebenar. Ini kerana ada penghuni rumah yang tidak suka orang luar melihat apa yang terdapat di dalam rumahnya.

Dan juga mungkin kemasukan orang luar ke rumahnya mengakibatkan kehilangan sesuatu barang yang berharga akhirnya timbul tuhmah kepada orang yang memasuki rumah tersebut. Walaubagaimanapun jika memasuki rumah tersebut kerana kecemasan seperti memadamkan api kebakaran, menghalang berlakunya jenayah atau sebagainya tidaklah mengapa.

Firman Allah SWT seterusnya,

“ Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk di diami, yang didalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan” (29)

Pada ayat ke 29 pula Allah SWT menyatakan tiada kesalahan memasuki rumah yang tiada penghuni sekiranya sudah mendapat keizinan dari tuan rumah seperti memasuki kedai, hospital, dan lain lain. Di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui niat baik dan buruk seseorang apabila masuk ke rumah orang.

Adab menerima tetamu

Dalam sebuah hadis,

إن الضيف إذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة

Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabia masuk ke rumah seseorang mukmin maka, ia masuk bersama dengan seribu berkata dan seribu rahmat.


Kunjung mengunjung amalan mulia

Antara adab tuan rumah dalam menyambut tetamu, hendaklah tuan rumah atau ahli keluarganya keluar atau bangun dan senyum menyambut mereka di depan pintu.

Hidangkanlah kepada tetamu jamuan yang istimewa pada hari pertama dan malamnya manakala pada hari berikutnya adalah jamuan biasa. Ini bersandarkan kepada hadis Nabi saw,

من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليكرم ضيفه جائزته, قالوا : يا رسول الله, وما جائزته ؟ قال : يومه وليلته . والضيافة ثلاثة أيام . فما كان وراء ذلك فهو صدقة عليه

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan memberinya jaizahnya (memuliakan tetamu). Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah, Jaizahnya bila ? Nabi saw menjawab : (Memberi layanan) sehari semalam. Bertamu itu tiga hari, maka selebihnya adalah sedekah baginya. (HR Bukhari dan Muslim)

Makanan istimewa untuk tetamu

Makanan yang istimewa untuk tetamu pada hari pertama seelok-eloknya ialah daging sekiranya mampu. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 64 ketika menceritakan Nabi Ibrahim a.s sewaktu menyambut tetamunya,

“ Sesungguhnya telah datang utusan-utusan kami kepada nabi ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan.Lalu mereka memberi selam dengan berkata:"Salam sejahtera kepadamu (wahai ibrahim)."Nabi ibrahim menjawab:"Salam sejahtera kepada kamu".Maka tidak berapa lama selepas itu,dia menghidangkan jamuan untuk mereka,seekor anak lembu yang dipanggang".


Makanan kegemaranku.., "Sup Gear-Box"

Namun begitu jika tidak mampu janganlah sampai membebankan, apa yang terbaik maka itulah yang dihidangkan. Sabda Rasulullah saw,

لا يتكلفن أحد لضيفه ما لا يقدر عليه

Maksudnya : Janganlah seseorang itu membebankan dirinya untuk melayani tetamu dengan menyediakan apa yang dia tidak mampu. (HR Al-Baihaqi)

Dan tetamu, janganlah merungut dengan makanan yang dihidangkan, sebaliknya hendaklah redha dengan makanan yang dijamu kepadanya. Itulah rezeki yang telah dikurniakan oleh AllahSWT kepadanya.

Sekiranya tetamu menginap di rumah lebih dari tiga hari, maka menjelang hari keempat dan seterusnya tuan rumah berhak memberitahu tetamu sekiranya tidak mampu melayan. Tetapi sekiranya mahu melayan juga, maka ia adalah sunat dan dikira sebagai sedekah. Sabda Rasulullah saw,

"Sungguh, secepat-cepatnya sedekah yang diterima Allah ialah menghidangkan (oleh seseorang) akan makanan yang baik, kemudian ia suruh saudara-saudaranya untuk menikmatinya." [HR. Ibnu Abu Dunya]

Sekiranya tuan rumah tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu walau pun seteguk air, maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan. Sabda Rasulullah saw,

أيما ضيف نزل بقوم فأصبح الضيف محروما (أى من الطعام وما يحتاجه) فله أن يأخذ ( أي من مال المضيف) بقدر قراه ولا حرج عليه

“Jika seseorang tetamu singgah di sesebuah rumah namun ia tidak dilayani maka ia berhak mengambil sekadar hak jamuan untuknya dan ia tidak berdosa". (HR Ahmad)


Bersama ipar duai ketika berbuka puasa

Yang dimaksudkan dengan “sekadar hak jamuan” ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah. Justeru untuk mengelakkan perasaan malu, apabila tetamu masuk ke dapur untuk mengambil haknya, maka adalah lebih baik jika tuan rumah sendiri menyediakan juadah sekadar yang dia mampu. Jika benar-benar tidak ada, maka terangkan secara jujur bahawa tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan.

Adalah sunat hukumnya menghantar tetamu pulang sehingga ke depan pintu rumah atau ke stesen bas atau keretapai jika mereka datang menaiki kenderaan awam. Sabda Rasulullah saw,

إن من السنة أن يخرج الرجل مع ضيفه إلى باب الدار

Maksudnya : Termasuk amalan sunnah bila kamu menghantar pulang tetamu sampai ke muka pintu rumah.

Adab menjadi tetamu

Beradasarkan surah an-Nur ayat 27 tadi, hendaklah para tetamu mengucapkan salam terlebih dahulu sebelum meminta izin untuk masuk.

Setelah salam yang pertama di beri tetapi tidak mendapat respon, maka tunggu dulu sebelum memberi salam yang kedua. Ketika itu tuan rumah mungkin sedang bersiap sedia mengemaskan diri dan rumah untuk menerima tetamu.

Kemudian beri pula ucapan salam yang ketiga. Sekiranya tiada juga respon maka hendaklah pulang. Berdalilkan hadis Rasulullah saw,

إذا استأذن أحدكم ثلاثا فلم يؤذن له فلينصرف

Maksudnya : Apabila seseorang kamu minta izin sampai tiga kali, namun masih belum juga diberi izin maka hendaklah dia beredar.

Sebelum diizinkan masuk, janganlah menghalakan mata ke dalam rumah. Sabda Rasulullah saw,

لو أن امرأ أطلع عليك بغير إذن فحذفته بحصات ففقأت عينه ما كان عليك جناح

Maksudnya : Kalau ada orang yang menengok-nengok rumahmu tanpa izin lalu engkau lempar batu sehingga matanya pecah, tidaklah engkau berdosa. ( HR Bukhari dan Muslim)

Jika sudah diizinkan masuk ke rumah, janganlah tetamu duduk sehingga dipelawa oleh tuan rumah dan ditunjukkan dimana tempat duduk. Jangan sekali-kali duduk di tempat khas milik tuan rumah, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:

“Janganlah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan izinnya.” (HR Muslim)

Jika terdapat beberapa tetamu lain, hendaklah tuan rumah menyuruh mereka melapang-lapangkan tempat duduk untuk menempatkan tetamu yang baru datang. Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.” (Surah al-Majadilah, ayat 11)

Bagi tetamu yang baru datang, hendaklah dia duduk di tempat yang kosong yang ditemuinya sekalipun ia agak jauh dari tuan rumah. Janganlah menyelit-nyelit ke hadapan di antara tetamu untuk menghampiri tuan rumah atau menyelit duduk di antara dua tetamu yang sudah sedia duduk melainkan dengan meminta izin mereka berdua. Rasulullah s.a.w. menegaskan:

“Tidak halal bagi seseorang memisahkan dua orang (yang sedang duduk) kecuali dengan izin kedua-duanya.” (HR Abu Daud )

Jika tidak mendapat izin atau memang tiada tempat duduk, maka jangan menyuruh orang yang sedang duduk untuk berdiri, sebaliknya duduklah di belakang atau di mana jua yang ditemuinya. Sabda Rasulullah saw,

“Janganlah seseorang menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya lalu dia duduk di tempat itu.” (HR Bukhari)

Demikian juga, apabila tetamu yang sedia memiliki tempat duduk bangun sebentar untuk sesuatu urusan sementara, janganlah diambil tempat duduknya sebagaimana sabda Rasulullah saw,

إذا قام أحدكم من مجلسه ثم رجع إليه فهو أحق به

“Apabila salah seorang kalian bangkit dari tempat duduknya kemudian kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak ke atas tempat tersebut.”(HR Muslim)



Jagalah adab sopan ketika menikmati jamuan

Di mana jua tetamu itu duduk, amatlah penting untuk menjaga perbualan agar ia sentiasa berorientasi kepada kebaikan. Jauhilah perkataan yang buruk umpama mencerita keburukan orang, membuka rahsia, berburuk sangka, bergosip dan sebagainya kerana ia adalah perkataan yang dihasut oleh syaitan. Sabda Rasulullah saw,

“Tidaklah satu kaum itu duduk dalam satu majlis yang tidak diisi dengan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi mereka kecuali akan menjadi penyesalan ke atas diri mereka. Jika Allah berkehendak, Allah akan menyeksa mereka dan jika tidak Allah akan mengampunkan mereka.” (HR Al-Tirmizi)


Jaga pertuturan semasa berbual

Perkataan yang baik ialah “zikir”, iaitu apa sahaja subjek perbualan yang dapat mengingat serta menghubungkan seseorang kepada Allah. Juga selawat, yakni dengan membacakan hadis-hadis yang sahih. Ini kerana dalam menyampaikan hadis, semua orang akan berselawat setiap kali nama Rasulullah disebut.

Adab ketika pulang.

Apabila berziarah, janganlah meluangkan masa yang agak lama kerana ia akan memberatkan tuan rumah dan ahli keluarganya yang lain. Justeru Islam mengajar kita adab untuk segera pulang setelah dijamu oleh tetamu. Allah s.w.t. berfirman:

“Apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual..” [Surah al-Ahzab, ayat 53]

Sebelum pulang, hendaklah meminta izin dari tuan rumah, janganlah terus menghilangkan diri. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila salah seorang kamu mengunjungi saudara seagamanya dan duduk di sisinya, maka janganlah dia pulang melainkan dengan meminta izin terlebih dahulu.” (Silsilah al-Shahihah)

Sebelum kaki melangkah keluar, hendaklah memberi salam terlebih dahulu kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila salah seorang kalian mendatangi satu majlis, maka hendaklah dia mengucapkan salam (Assalamu’alaikum) dan apabila dia hendak bangun (pulang dari majlis) hendaklah dia mengucapkan salam. Tidaklah salam yang pertama lebih utama dari salam yang kedua (melainkan ia sama-sama penting).” (Shahih Sunan Abu Daud)

Seterusnya berjabat tangan. Dalilnya,

“Berjabat tangan merupakan penyempurna ucapan salam yang kamu berikan.” (Silsilah al-Dha’ifah).

Sebuah lagi hadis tentang kelebihan berjabat tangan,

Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut syariat Allah s.w.t yakni dilarang berjabat tangan sekiranya tetamu itu bukan mahram.

Wallahualam,

Ust Hj Mohd Hishamuddin bin Mansor

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.