Monday, April 5, 2010

Santunilah mereka semua....

Tafsir Al-Quran
Surah an-Nisaa’ ayat 36

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki”. ( Surah an-Nisa’ : 36 )


Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT menyeru manusia supaya beribadat kepada-Nya dan jangan sekali-kali syirik kapada Allah, Tuhan semesta alam. Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan Allah dengan sesuatu sama ada pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububyyiah–Nya.

Beriman kepada sifat Sifat Uluhiyyiah ialah percaya bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.

Allah SWT melarang kita mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48:

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “

Kemudian dalam ayat yang sama Allah SWT memerintahkan agar kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki.

Golongan pertama yang perlu disantuni ialah ibu bapa. Berbakti kepada mereka berdua hukumnya adalah wajib kerana ia hukum Allah. Anak yang enggan berbakti kepada dua ibu bapa dianggap anak derhaka dan perbuatan derhaka adalah dosa besar.Derhaka kepada ibu bapa termasuk salah satu daripada empat dosa besar disebut oleh Rasulullah saw yang bermaksud,

“Sebesar-besar (daripada) dosa besar adalah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

Dalam hadis yang lain,

“Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kamu, maka akan. berbakti anak-anak kamu kepada kamu (termasuk memberi kasih sayang).” (Riwayat Al Hakim).


Sayangilah ibu anda...

Di zaman Rasulullah saw ada sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan iaitu kisah Wail bin Khattab. Disebabkan terlalu cintakan isteri, Wail selalu mencaci ibunya, mempercayai segala yang dilaporkan isterinya berkaitan ibunya.

Waktu Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan sakit yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar keringat dingin membasahi seluruh badan. Mati tidak, sembuh pun tidak ada harapan.Selama berpuluh hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka lebar tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, manakala kaki dan tangannya kaku.

Sahabat menunggu kematiannya, namun tidak tiba. Mereka berasa terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka bersilih ganti mengajarkan Wail mengucap kalimah syahadah, namun semuanya buntu.Wail cuba sedaya upaya mengucap dua kalimah syahadah tetapi yang kedengaran daripada mulutnya hanya perkataan “oh, oh, oh, oh”. Keadaan semakin mengerikan.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad meminta ibu Wail dijemput menemui beliau. Nabi mahu mengetahui bagaimana keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencaci lantaran hasutan isterinya. Dia percaya dan me ngikut apa saja yang dilaporkan isterinya tanpa usul periksa. Ini menyebabkan ibunya berasa sakit hati kepadanya.

Rasulullah s.a.w memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya yang derhaka. Tetapi perempuan itu berkeras tidak mahu memenuhinya. Dia berkata, air matanya belum kering lantaran perbuatan Wail yang menyakitkan hatinya.

Melihat keadaan itu, Nabi termenung seketika. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api. Wail akan dibakar hidup-hidup.Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail akan derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar kata-kata nabi itu, ibu Wail segera berkata:

“Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku telah ampuni dia. Kesalahannya aku telah maafkan.

Menurut sahabat, sebaik saja Wail diampuni ibunya, wajahnya mula berubah. Akhirnya dia dapat mengucap sya hadah dan menghembuskan nafas terakhir.


Santuni isteri dan anak-anak anda !

Golongan yang kedua ialah kaum kerabat. Sabda Rasulullah saw,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturrahim.” ( HR. Al-Bukhari )

Para ulama membahagi kaum kerabat kepada dua iaitu kaum kerabat yang mahram dan yang bukan mahram. Kaum kerabat yang mahram ialah saudara yang haram kita bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

Manakala kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.

Di antara akhlaq kepada kaum kerabat adalah menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda, sebagaimana sabda Nabi saw :

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا

Maksudnya : “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan tidak menyayangi orang yang lebih muda.” ( HSR. Ahmad dan At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah saw lagi,

الصدقة على المسكين صدقة وهى على ذى الرحم اثنان صدقة وصلة

Maksudnya : "Bersedekah kepada orang miskin mendapat pahala sedekah sahaja, tetapi bersedekah kepada kaum keluarga mendapat dua pahala : pahala sedekah dan pahala perhubungan silaturrahim".

Sebab itu apabila Abu Talhah ingin mensedekahkan semua kebun tamarnya ke jalan Allah dan fakir miskin kerana tertarik dengan ayat Allah SWT yang berbunyi,

“ Kamu tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sesuatu dari apa yang kamu cintakan”.

Maka Nabi saw bersabda kepadanya, "Telah wajib pahalamu daripada Allah. Sekarang bahagi-bahagikan ia di antara kaum kerabatmu (jangan lupakan mereka)".

Antara kelebihan berbuat baik sesama kerabat ialah di murahkan rezeki dan di panjangkan umur. Sabda Nabi saw,

من أحب أن يبسط فى رزقه , ويسأله فى أثره , فليصل رحمه

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).” (HR Muslim)

Kemudian berbuat baik kepada anak-anak yatim dan orang miskin. Firman Allah SWT,

“ Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang, Dan terhadap orang yang minta-minta maka janganlah kamu menghardiknya”. (adh- Dhuha : 9-10)

Sabda Rasulullah saw,

أنا وكافل اليتيم كهاتين

Maksudnya : Aku dan orang yang menanggung anak yatim seperti kedua ini – sambil baginda mengisyarat dengan kedua belah jarinya (yakni begitu hampir sekali)


Kasihi anak-anak yatim...

Sabdanya lagi,

من وضع يده على رأس يتيم ترحما كانت له بكل شعرة تمر عليها يده حسنة

Maksudnya : "Barangsiapa mengusap kepala seorang anak yatim tanda belas kasihan, maka dia mendapat pahala kebajikan atas setiap helai rambut yang diusapnya itu".

Kepada mereka yang membantu orang miskin Rasulullah bersabda,

السَّاعِي عَلَى اْلأَرْمَلَة وَالْمِسْكِين كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيل اللَّه

Maksudnya : "Mereka yang membantu para balu dan orang miskin diibarat seperti orang yang berperang di jalan Allah".

Dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda,

"Org miskin masuk syurga awal 500 tahun sebelum org kaya"

Kategori miskin yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang telah ditaqdirkan hidup menjadi miskin tetapi tetap taat kepada perintah Allah SWT. Kedua, mereka yang miskin karena “semua” harta yang dianugerahkan Allah di sumbangkan dijalan Allah

Kemudian berbuat baik kepada jiran tetangga sama ada yang dekat mahu pun yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang dimiliki. Sabda Rasulullah saw,

إن فلانة تصوم النهار وتقوم الليل وتؤذى جيرانها فقال صلى الله عليه وسلم هى فى النار

Maksudnya : Bahawasanya seorang itu berpuasa di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, tetapi dia suka menyakiti jiran tetangganya. Berkata Nabi saw, Dia akan masuk neraka.

Wallahualam.

Al-Haqir wal-Faqir ilal Lah
Ust Hj Mohd Hishamuddin Mansor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.