Kasihilah makluk di bumi ....

Islam agama yang mendidik umatnya supaya bersifat pengasih dan penyayang sesama makhluk.

Jika Islam mewajibkan umatnya supaya melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam malah termasuk binatang yang tidak berakal, maka lebih-lebih lagilah kita perlu melakukan kebaikan kepada saudara seagama kita yang terdiri dari ahli keluarga, saudara mara, jiran-jiran, sahabat handai serta sesiapa sahaja walaupun mereka hanya memiliki iman setipis kulit bawang !

Moga-moga dengan kasih sayang yang kita curahkan kepada mereka, maka Allah SWT akan mencurahkan pula kasih sayang-Nya kepada kita di dunia dan juga di akhirat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda,

إرحموا من فى الأرض يرحمكم من في السماء

“Kasihilah kamu akan makhluk-makhluk di dunia nescaya makhluk-makhluk di langit akan mengasihi kamu." (HR Ahmad)

Yang dimaksudkan ''penghuni langit'' dalam hadis di atas ialah para malaikatNya. Adapun ''penghuni bumi'' pula ialah sekalian makhluk yang bernyawa termasuklah binatang.



Berdasarkan hadis ini, fahamlah kita betapa untuk mendapatkan kasih sayang para malaikat di langit maka hendaklah kita terlebih dahulu mengasihi makhluk di bumi. Jika malaikat mengasihi kita sudah semestinya Allah SWT juga turut mengasihi dan menyayangi kita.

Islam melarang umatnya bersengketa, bertengkar, bergaduh dan bermusuh-musuhan kerana ia boleh melahirkan sifat benci-membenci, kata mengata sehingga kepada pembunuhan jiwa.

Kasih Rasulullah saw dengan binatang

Rasulullah saw menunjukkan contoh yang baik dalam menyantuni haiwan. Ketika Saidatina Aishah memukul unta yang sukar dikendalikan Nabi saw menegur dengan sabdanya,

"Wahai Aishah, berlaku baik dan lembutlah, kerana sesuatu yang demikian akan menjadi indah. Begitu juga jika sebaliknya".

Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.

Ketika melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.


Binatang pun ada perasaan sayang...

Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut.

Kasih Rasulullah saw kepada umatnya

Betapa kasihnya Rasulullah saw kepada umatnya sehingga digambarkan dalam al-Quran,

“Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At Taubah: 128).

Dalam sebuah hadis baginda bersabda,

“Barang siapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak dikasihi Allah. “(Riwayat At Termizi).

Dan telah dikeluarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban dari Abu Saidul Khudri :

أن رجلا قال : يا رسول الله طوبى لمن راك وأمن بك قال : طوبى لمن راني وأمن بي ثم طوبى لمن أمن بي ولم يرني

Maksudnya : Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw. Berbahagialah siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Baginda pun menjawab : Berbahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihat aku.

Kasihnya Nabi terhadap umatnya tidak ternilai harganya, tidak terbayang betapa mendalam lautan kasihnya, tidak terkata betapa tinggi menggunung cinta sucinya.Sanggup meninggalkan tanahair untuk memastikan Islam berdaulat, sanggup menolak tawaran menjadi raja demi memastikan Islam memerintah dunia, sanggup mengenepikan harta dunia demi mencari redha Allah dalam mengajak umatnya supaya mengejar kehidupan akhirat yang menguntungkan.

Ahli syurga ialah mereka yang baik akhlaknya
















Orang-orang yang beriman perlu menjaga akhlak dan perilakunya sesama manusia sebagai syarat untuk di terima memasuki syurga Allah SWT. Ini dinyatakan oleh Rasulullah saw,

“Penyebab utama masuknya manusia ke surga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah ).

Mereka yang berakhlak mulia, akan hampir dengan Rasulullah saw semasa di akhirat kelak. Sabda baginda,

“Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku di kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai. Orang Mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai, dan tiada kebaikan pada mereka yang tidak boleh bermesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia.” (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi).

Kesimpulan

Ucapkanlah perkataan sayang kepada isteri,

“Abang sayang kepada kamu”.

Ucapkanlah perkataan sayang kepada anak-anak,

“Ayah sayang kepada kamu semua”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada rakan-rakan,

“Saya sayang kepada kamu semua ”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada kaum kerabat,

"Saya sayang kepada kamu semua"

Ucapkanlah perkataan sayang kepada jiran-jiran,

“Saya sayang kepada kamu semua”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada saudara segama kita walau di mana mereka berada,

“Saya sayang kepada kamu semua”

Insya Allah kita akan berada dalam kasih sayang Allah….

Al-Haqir wal Faqir ila Llah...

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu