Wednesday, October 27, 2010

Hukum melaungkan azan ketika berangkat menunaikan Haji






















Azan syiar Islam

Sudah menjadi kebiasaan bakal-bakal Haji ketika turun dari rumah, azan dikumandangkan.

Hal ini juga berlaku semasa mereka berada di kompleks Haji Kelana Jaya. Setelah mendengar taklimat perjalanan dari pegawai Tabung Haji, bakal-bakal Haji kemudian dipersilakan turun dari dewan untuk menaiki bas menuju ke KLIA.

Ketika bergerak menuju ke bas, azan akan dikumandangkan melalui pembesar suara.

Sayu hati ketika itu.

Persoalan di sini, apa hukum melaungkan azan seperti ini, adakah bidaah ?

Jawapan

Sabda Rasulullah saw,

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama kita yang bukan darinya adalah tertolak.

Maksud mengada-ngadakan di sini ialah mencipta sesuatu yang tiada kaitan dengan agama seperti yang dilakukan oleh seorang sahabat di zaman Rasulullah saw yang berdiri di tengah-tengah padang pasir yang panas terik.

Rasulullah saw bertanya para sahabat,

“Kenapa orang ini ?”. Para sahabat menjawab,

“ Dia sedang menunaikan nazar untuk berdiri selama-lamanya dalam keadaan berpuasa, tidak mahu duduk, tidak mahu berlindung dari kepanasan matahari dan tidak mahu bercakap dengan orang ramai .”

Rasulullah saw menasihatkan,

“ Suruh dia berhenti melaksanakan nazarnya, menamatkan puasanya, duduk dan bercakap dengan orang ramai”.

Ini merupakan contoh amalan yang diada-adakan tidak menepati kehendak agama. Contoh lain ialah menunaikan Haji dengan wang haram, tidak tidur kerana mahu beribadat sepanjang malam, menambah rakaat dalam solat fardhu, mempercayai tangkal azimat, menyembelih korban pada hari 14 Zulhijjah dan sebagainya maka semua amalan ini di tolak oleh Rasulullah saw kerana bercanggah dengan dasar Islam.

Adapun perkara-perkara lain seperti mengadakan tahlil, menyambut Maulidur Rasul, membaca talkin ke atas mayat, membaca Yasin malam Jumaat atau pada malam Nisfu Syaaban, takbir Raya dari rumah ke rumah, melaungkan azan sebelum berangkat menunaikan Haji dan seumpamanya adalah HARUS, tidak termasuk perkara yang ditegah oleh syarak.

Inilah pandangan majoriti ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.