Tuesday, October 5, 2010

Kematian yang dimuliakan Allah


Tafsir Al-Quran
Surah Ali-Imran ayat 169 -170


Firman Allah SWT,

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki (169). (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka memberi perangsang kepada orang-orang yang belum (mati) menyusul di belakang mereka bahawa mereka tiada merasa takut dan tiada merasa duka cita”. (170)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT berfirman kepada orang-orang yang beriman supaya tidak bersangka seperti sangkaan orang-orang munafik yang mengatakan orang-orang yang terbunuh dalam peperangan fi sabilillah itu mati begitu sahaja, mayat mereka akan hancur dimakan ulat kemudian menjadi tanah.

Sebaliknya orang yang mati syahid itu hidup di sisi Allah SWT dan diberi rezeki. Kebanyakkan ahli tafsir menjelaskan ayat ini ditujukan kepada para syuhada yang telah terbunuh dalam peperangan Uhud. Ini berdasarkan sebuah hadis soheh,

“Daripada Jabir bin Abdullah, (bahawa pada waktu dia duduk termenung bersedih hati, kerana ayahnya baru saja mencapai syahidnya dalam peperangan Uhud itu, antara tujuh puluh syuhada), Rasulullah saw datang menghampiri, lalu baginda bersabda: “Jabir! Apa yang menyebabkan engkau termenung demikian rupa?” Lalu Jabir menjawab terus-terang tentang kesedihannya dengan berkata:

“Ya Rasulullah, bapaku mati syahid dalam peperangan Uhud dengan meninggalkan keluarga serta hutang.” Maka bersabdalah Rasulullah:

“Inginkah engkau aku berikan khabar gembira tentang bagaimana ayahmu disambut oleh Allah Ta’ala?” Jabir menjawab: “Tentu aku ingin, ya Rasulullah”.

Lalu Rasulullah saw bersabda lagi: “Kalau Allah hendak berbicara dengan salah seorang hambaNya hanyalah dari balik Hijab. Tetapi ayahmu dihidupkan dan Allah bercakap dengannya berhadapan!” Lalu Allah SWT berfirman: “Wahai hambaKu, sebutlah apa yang engkau ingini, nescaya Aku beri!

Maka dia menjawab: “Permohonanku hanya satu, ya Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kedua kali, pada jalanMu!”

Lalu Allah SWT menjawab pula : “Telah tertulis, bahawa orang yang telah mati, tidak akan kembali lagi!” Maka turunlah ayat ini:

"Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka Dengan mendapat rezeki ”

Para ulama berbeza pendapat dalam menghuraikan maksud hidup dalam ayat ini. Menurut satu pandangan mengatakan yang hidup itu ialah rohnya. Pendapat lain pula mengatakan yang hidup itu ialah roh dan jasadnya sekali. Maksudnya jasad orang yang mati syahid itu tidak akan hancur di dalam kubur.

Sebagaimana satu kisah di zaman Muawiyah bin Abu Sufian menjadi khalifah Islam, beliau hendak membuat saliran air melintasi perkuburan para syuhadak.

Justeru Muawiyah meminta waris keluarga simati yang terkorban itu untuk dialihkan ke tempat lain. Apabila mereka menggali kubur tersebut, mereka dapati badan mereka masih segar. Salah seorang daripada jenazah itu jarinya terkena alat penggali kubur lalu mengeluarkan darah.

Ada yang juga pendapat mengatakan yang dimaksudkan hidup itu ialah nama mereka akan hidup dan segar dalam ingatan orang ramai. Manakala ulama salaf pula berpendapat wajib kita mempercayai bahawa orang-orang yang mati syahid itu hidup, tetapi bagaimana mereka hidup, tidak usahlah kita memikirkannya kerana ia termasuk dalam perkara Sami’yat. (Perkara ghaib yang wajib diimani).

Kemuliaan orang yang mati syahid

Dalam sebuah hadis,

لِلشَّهِيدِ عِنْدَ اللَّهِ سِتُّ خِصَالٍ يَغْفِرُ لَهُ فِي أَوَّلِ دُفْعَةٍ مِنْ دَمِهِ وَيُرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ وَيُجَارُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَيَأْمَنُ مِنْ الْفَزَعِ الْأَكْبَرِ وَيُحَلَّى حُلَّةَ الْإِيمَانِ وَيُزَوَّجُ مِنْ الْحُورِ الْعِينِ وَيُشَفَّعُ فِي سَبْعِينَ إِنْسَانًا مِنْ أَقَارِبِهِ

Maksudnya : Ibnu Majah meriwayatkan daripada al-Miqdam bin Ma’di Kariba r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang Syahid di sisi ALLAH mempunyai lima perkara: Ia diberi keampunan pada permulaan pancaran darahnya, ia melihat tempat tinggalnya dari bahagian Syurga, ia diselamatkan dari azab kubur, ia selamat dari kejutan maha besar (Qiamat), ia dipakaikan dengan pakaian iman, ia dikahwinkan dengan bidadari dan diterima pemberian Sya’faatnya pada tujuh puluh orang dari kaum kerabatnya.”

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda;

“Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:1. Diampunkan semua kesalahannya.2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.3. Dikahwinkan dengan bidadari. 4. Diamankan daripada kesusahan keedahsyatan yang besar(pada hari qiamat).5. Diselamatkan daripada seksa kubur.6. Dihiasi dengan pakaian keimanan”. [Hadith Riwayat Bukhari).

Mulianya orang yang mati syahid sehingga hukum fekah tidak membenarkan memandi dan menyembahyangkan jenazah mereka.

Firman Allah SWT seterusnya,

“(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka memberi perangsang kepada orang-orang yang belum (mati) menyusul di belakang mereka bahawa mereka tiada merasa takut dan tiada merasa duka cita”(170).

Orang-orang yang mati syahid ini sungguh gembira dengan nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas mereka dan nikmat keseronokan yang mereka alami itu menjadi perangsang kepada saudara seagama yang masih hidup untuk berjuang membela agama Allah.

Orang yang berjuang dalam peperangan fi sabilillah tidak perlu takut dan dukacita bagaimana nasib mereka di akhirat kelak, kerana kedudukan mereka sudah dijamin untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Kisah Hanzalah

Kalau kita lihat kepada sejarah Islam memang ramai para sahabat yang sangat memburu untuk mati syahid. Antaranya ialah Hanzalah bin Ar-Rabie. Ketika Rasulullah saw menyusun tentera untuk ke medan Uhud, Hanzalah baru sahaja bernikah dengan seorang gadis. Sebagai meraikan pernikahannya, Rasulullah saw mengecualikan beliau dari turut serta ke medan peperangan.

Namun ketika Hanzalah terjaga dari tidur setelah bersama dengan isterinya, dia mendapat tahu dari seorang sahabat bahawa tentera Islam sedang menghadapi tentangan yang hebat.Tanpa membuang masa Hanzalah memakai pakaian perang lalu mengambil pedang dan menuju ke medan perang tanpa sempat mandi junub.

Semasa di medan peperangan, pihak musuh telah menyerang Hanzalah dari belakang. Maka gugurlah Hanzalah sebagai orang yang syahid di medan peperangan.Setelah peperangan berakhir para sahabat memeriksa mayat Hanzalah. Wajahnya sungguh tenang. Tubuhnya basah dengan air. Para sahabat hairan lalu bertanya Rasulullah saw,

Nabi saw pun bersabda,

“Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak.

Kisah Amar bin Sabit

Amar bin Sabit asalnya seorang yang kuat menentang dakwah Rasulullah saw. Beliau mendapat tahu dari orang-orang Islam tentang kemuliaan orang yang mati syahid. Lalu beliau berjumpa Rasulullah saw yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk berangkat ke medan Uhud. Beliau mengistiharkan memeluk Islam dan meminta izin dari Rasulullah saw untuk terlibat dalam peperangan.

Dalam peperangan ini beliu gugur syahid. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda kepada para sahabat yang mafhumnya,

“Ada seorang sahabat yang akan masuk ke syurga tanpa perlu solat, puasa dan lain-lain. Dia ialah ialah Amar bin Sabit”.

Bercita-cita untuk mati syahid

Umat Islam dituntut agar mengharapkan mati syahid sebagaimana hadis dari Anas bin Malik r.a yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

من طلب الشهادة صادقا أعطيها ولو لم تصبه

Maksudnya : "Barangsiapa yang mengharapkan mati syahid dengan penuh kebenaran terhadap janji Allah, akan diberikannya sekalipun tidak menimpanya".

Dalam sebuah hadis yang lain,

“Barangsiapa yang memohon kepada Allah agar dikurniakan mati syahid dengan penuh kebenaran (terhadap janji Allah), nescaya Allah akan menyampaikan darjatnya pada tingkatan syuhada sekalipun dia hanya mati di atas katilnya”. (Sahih Bukhari & Muslim)

Kisah Khalid al-Walid

Khalid al-Walid sebelum Islam merupakan panglima bagi tentera musyrikin Mekah. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memimpin unit tentera berkudanya merempuh tentera Islam dari arah belakang dalam peperangan Uhud.

Rasulullah saw selalu berdoa agar Khalid al-Walid memeluk Islam. Alhamdulillah doa Rasulullah saw dimakbulkan dimana Khalid al-Walid memeluk Islam pada tahun 628 H selepas berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah.

Semasa Khalifah Abu Bakar memerintah,Khalid al-Walid dinaikkan pangkat sebagai panglima perang. Beliau diberi tanggungjawab mengetuai tentera Islam menentang nabi palsu Musailamah Al-Kazab. Tanggungjawab ini dilaksanakan dengan cemerlang.

Di zaman Umar bin al-Khattab sebagai khalifah, beliau telah memecat Khalid al-Walid dan digantikan dengan Abu Ubaidah al-Jarrah. Mendengar berita pemecatannya, Khalid tidak merasa kecewa malah telah menanggalkan serban yang melambangkan panglima perang dan menyerahkan kepada Abu Ubaidah.

Ketika Khalid sedang uzur,Umar datang kepadanya.

“Wahai Khalid Saifullah(pedang Allah),aku sesekali tidak pernah berdendam dengan mu,jauh sekali dari hatiku untuk menjatuhkan kedudukan mu.Aku turunkan jawatanmu semasa kamu menjadi panglima perang bukan sebab aku cemburu dengan mu wahai sahabat,tetapi engkau tidak tahu,tatkala engkau keluar berperang sebagai panglima perang, penduduk Madinah telah tersenyum gembira dan ada di antara mereka seakan-akan mengagungkan mu,jika kau pimpin pasukan perang pasti kemenangan akan berpihak kepada Islam.Aku tidak ingin mereka jadi syirik kerana mengagungkan engkau. Sebab itu aku pecat engkau dari jawatan panglima perang”.

Sebelum meninggal dunia, Khalid al-Walid pernah berkata,

“Aku membur syahid, namun tidak juga aku perolehi. Adakah ini tanda Allah SWT tidak mengampunkan dosa aku?”

Jawab seorang sahabat,

“Wahai Khalid, bagaimanakah engkau boleh syahid sedangkan Rasulullah saw sudah menggelar engkau dengan Saifullah (pedang Allah). Tidak mungkin pedang Allah boleh patah dalam peperangan”.

Ketika jenazah Khalid al-Walid dimandikan, para sahabat melihat ada 80 kesan parut di seluruh badannya akibat keperwiraannya di medan perang.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.