Mubahalah






















Tafsir Al-Quran
Surah Al- Imran ayat 59-61


“Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menjadikan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya : Jadilah engkau, maka menjadilah ia. (59) Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka janganlah sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu. (60) Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta”.(61)

Huraian ayat

“ Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menjadikan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya : Jadilah engkau, maka menjadilah ia”( 59)

Ayat ini turun kerana delegasi Nasrani dari Najran telah datang untuk bertemu dengan Rasulullah saw di Madinah. Kata mereka, “Ya Muhammad, mengapa tuan mengata-ngata Tuhan kami ?” Nabi saw menjawab : Apa yang aku katakan ?”. Mereka berkata : “ Tuan mengatakan Nabi Isa itu hamba Allah !”. Nabi saw menjawab : “Benar ! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya yang diletakkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam”.

Mendengar jawapan Rasulullah saw, delegasi Kristian marah dan berkata :

“Adakah tuan pernah melihat seseorang yang dilahirkan dengan tidak mempunyai ayah ? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah satu misalan kepada kami”.

Maka turunlah ayat ini menjelaskan kepada orang-orang Nasrani bahawa kejadian Nabi Isa di sisi Allah SWT sama seperti kejadian Nabi Adam a.s yang dicipta dari kalimah Kun Fayakun.

Maksudnya ketika Allah SWT mahu mencipta Nabi Adam, Dia menyeru kepada tanah yang diambil dari bumi, “Jadilah seorang manusia”, maka terciptalah Nabi Adam a.s. Samalah seperti Nabi Isa a.a, ketika Allah SWT mahu mencipta baginda, Dia berseru kepada air yang ada di dalam rahim Maryam “Jadilah seorang manusia”, maka air tersebut menjadi manusia yang kemudian dikandung dan dilahirkan oleh Maryam.

Justeru seruan ‘kun fa yakun” adalah seruan yang melambangkan Kekuasaan Allah Yang Maha Sempurna. Mungkin ada yang bertanya, jika Tuhan boleh mencipta Nabi Adam dan Isa alaihimissalam cukup dengan kalimah Kun Fayakun, mengapa bila mencipta dunia dan seisinya, Tuhan mencipta dalam masa enam hari. Kenapa tidak hanya sekadar seruan Kun Fayakun ?

Jawapannya, memang benar Allah SWT Maha Berkuasa untuk mencipta dunia dan seisisinya cukup dengan kalimah Kun Fayakun. Tetapi Tuhan mencipta dunia dan seisinya enam hari kerana hendak mendidik manusia, untuk mencipta sesuatu kejayaan perlu kepada peringkat demi peringkat. Tidak boleh kejayaan itu datang menggolek sebegitu sahaja.

Kembali kepada kepelikkan kejadian Nabi Isa a.s, jika dilihat hari ini , banyak perkara-perkara ganjil di hadapan kita. Sebagai contoh, penyu yang hidup di laut sedangkan bertelur dan menetas di darat. Dari sudut logic, kalau penyu lahir dan menetas di darat, maka di daratlah mereka tingal bukannya di laut. Sama seperti manusia yang lahir di darat, maka di dunialah manusia tinggal.Tidak ada mansuai yang lahir di darat tapi hidup di dalam laut.

Jika kepelikkan ini boleh diterima oleh manusia, mengapa dalam masa yang sama mereka tidak boleh menerima kepelikkan kejadian Nabi Isa a.s ?

Selain dicipta melalui kalimah Kun Fayakun, persamaan lain Nabi Isa a.s dan Nabi Adam a.s ialah: Jika Nabi Adam dicipta tanpa bapa, maka Nabi Isa juga dicipta tanpa bapa, jika Nabi Adam diturunkan dari Syurga, maka Nabi Isa juga akan turun dari Syurga dan jika Nabi Adam a.s turun ke dunia tidak mempunyai saudara mara, maka Nabi Isa a.s juga akan turun ke dunia tanpa mempunyai saudara mara.

Firman Allah SWT,

“Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka janganlah sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu” (60) .

Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan, apabila kebenaran daripada Allah SWT sudah pun jelas dan terang, maka kebenaran ini hendaklah diterima tanpa ada lagi perasaan ragu-ragu. Amat malang jika kebenaran sudah pun terbentang di hadapan mata, namun masih mahu menegakkan benang yang basah lalu mencipta pelbagai alasan untuk menafikan kebenaran.

Inilah yang terjadi ke atas penganut Kristian yang berdegil untuk menerima kebenaran. Mereka tetap menyembah Nabi Isa a.s sebagai Tuhan dengan alasan kerana baginda dicipta tanpa bapa.

Sedangkan kalaulah benar Nabi Isa itu anak Tuhan kerana baginda tidak mempunyai bapa, maka sepatutnya yang paling layak untuk disembah sebagai Tuhan oleh penganut Kristian ialah Nabi Adam a.s kerana baginda dicipta tidak mempunyai bapa dan juga tidak mempunyai ibu. Namun hari ini tidak ada penganut Kristian yang menyembah Nabi Adam a.s sebagai Tuhan.

Satu perkara lagi, jika Nabi Isa a.s adalah anak Tuhan mengapa dia perlu di salib ? Sepatutnya sebagai anak Tuhan dia perlu di muliakan. Mungkin orang-orang Kristian akan menjawab, yang menyalib Nabi Isa bukanlah mereka tetapi orang-orang yahudi.

Lagi pun menurut mereka, Nabi Isa di salib adalah kerana hendak menghapuskan dosa manusia yang diwarisi dari Nabi Adam dan Hawa.

Lalu kita jawab, kalau betullah Nabi Isa a.s di salib oleh orang-orang yahudi kerana baginda hendak menghapuskan dosa-dosa manusia, maka orang-orang Kristian hari ini perlu berterima kasih kepada orang-orang Yahudi. Disebabkan jasa orang Yahudi yang menyalib Nabi Isalah dosa-dosa orang Kristian diampun oleh Tuhan.

Mengenai dakwaan orang-orang Kristian yang mengatakan Nabi Isa a.s di salib untuk menghapuskan dosa yang diwarisi dari Adam dan Hawa, soalnya patutkah Nabi Adam dan Hawa yang melakukan kesalahan maka anak cucu cicitnya pula yang menanggung dosa ?

Mana negara di dunia hari ini yang mengamalkan undang-undang jika bapa yang bersalah, maka anak yang masih dalam kandungan ibu pun turut bersalah dan perlu di hukum ?

Sedangkan dalam Islam, kesalahan Nabi Adam dan Hawa sudah pun diampunkan oleh Allah SWT sebelum mereka diturunkan kedunia lagi.

Firman Allah SWT,

“Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpa ke atas orang yang berdusta.(61)

Maksudnya setelah Nabi saw menyampaikan hujah berdalilkan Al-Quran, namun delegasi Kristian Najran tetap berdegil untuk menerima kebenaran. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 61 di atas mengajak bermubahalah, membawa kaum keluarga mereka untuk bersama-sama bersumpah laknat, memohon pertunjuk daripada Tuhan siapakah yang benar.

Menurut riwayat, semasa Nabi saw hendak bermubahalah dengan orang-orang Kristian baginda membawa Saidian Ali, Fatimah dan dua orang cucu baginda iaitu al-Hasan dan al-Husin. Baginda berpesan kepada kaum keluarganya, “Jika aku berdoa hendaklah kalian aminkan”.

Ketika Nabi saw sudah bersiap sedia untuk bermubahalah dengan orang-orang Kristian, mereka meminta supaya majlis ini ditangguhkan kerana mereka hendak merujuk kepada Paderi Besar mereka terlebih dahulu.

Nasihat daripada Paderi Besar mereka,

“Demi Allah sesungguhnya kalian mengetahui wahai kaum Nasrani, bahawa sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaum pun (yang pernah bermubahalah dengan seorang Nabi) sehingga yang kecil dan besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.”

Mendengar nasihat Paderi Besar ini, akhirnya penganut Kristian Najran menarik diri dari bermubahalah dengan Nabi Muhammad saw. Sabda Rasulullah saw kepada para sahabat,

“Sekiranya mereka meneruskan mubahalah, nescaya mereka akan bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini akan bertukar menjadi api untuk membakar mereka. Allah akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas pokok."

Mubahalah menurut orang-orang Syiah

Orang-orang Syiah berpendapat ayat mubahalah ini iaitu surah Ali Imran ayat 61 adalah bukti kemuliaan Saidina Ali kwj berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain.

Mazhab Syi‘ah merujuk kepada firman Allah: ( أبنا ءنا) Anak-anak kami…bermaksud Hasan dan Husain,) , (نساءناPerempuan-perempuan kami… bermaksud Fathimah dan أنفسنا ) ) Diri kami… bermaksud Rasulullah dan saidina Ali bin Abi Thalib.

Orang-orang Syi‘ah juga menekankan bahawa berdasarkan firman Allah, (أنفسنا), Diri kami…, ini menunjukkan diri Saidina Ali adalah sama dengan diri Rasulullah. Hal ini diperkuatkan lagi oleh sabda Rasulullah saw kepada ‘Ali dalam sebuah hadis sahih yang berasingan:

“Engkau di sisi aku seperti Harun di sisi Musa kecuali bahawasanya tidak ada Nabi sesudah aku” .

Justeru menurut orang Syiah, khalifah yang wajib selepas Rasulullah saw ialah Saidina Ali bin Abi Talib kerana Allah menyamakan (“diri” 'Ali) sebagai “diri” Muhammad saw dengan ilmunya, akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya tinggi yang dengannya Allah mengangkatnya.

Dengan itu tidak boleh sesiapa mendahulukan Saidina Ali dalam sesuatu perkara, kerana orang lain daripada Saidina Ali samalah seperti mendahulukan seseorang daripada Rasulullah saw.

Hujah mereka seterusnya ialah, di kalangan ramai para sahabat, Rasulullah saw hanya memilih Saidina Ali sahaja untuk bermubahalah dengan orang-orang Kristian Najran. Ini menunjukkan keistimewaan Saidina Ali berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain.

Selain itu ayat ini juga sangat jelas menunjukkan kemuliaan Ahlul Bait iaitu Saidina Ali, Fatimah dan cucu-cucu baginda iaitu Hasan dan Husin.

Jawapan Ahli Sunnah

Menurut Ahli Sunnah wal Jamaah, perkataan Anfusana di dalam ayat 61 surah ‘Ali Imran tidak bermaksud kesamaan diri antara Rasulullah saw dan Saidina Ali akan tetapi yang dimaksudkan anfusana dalam ayat itu ialah kesamaan dan persefahaman antara Rasulullah saw dan Saidina Ali untuk bermubahalahdengan delegasi Nasrani.

Bagaimana mungkin disamakan jasad atau diri Rasulullah dan Saidina Ali padahal Rasulullah adalah manusia yang teristimewa di kalangan manusia. Baginda adalah Nabi yang termulia di antara para Nabi dan Rasul. Sedangkan Saidina Ali bukanlah seorang Nabi atau Rasul. Dia hanyalah manusia biasa sahaja.

Hujah orang-orang Syiah yang mengatakan bahawa Saidina Ali adalah insan yang istimewa berbanding dengan sahabat-sahabat yang lain kerana hanya beliau sahaja di pilih oleh Rasulullah saw untuk bermubahalah dengan orang-orang Kristian juga tidak tepat.Sebab Saidina Abu Bakar juga seorang sahabat yang istimewa di sisi Rasulullah saw.

Buktinya dalam peristiwa hijrah, hanya beliau sahaja yang dipilih oleh Nabi saw untuk bersama baginda ke Yathrib, bukan sahabat-sahabat yang lain. Kesimpulannya setiap sahabat mempunyai keistimewaan di sisi Rasulullah saw.

Menurut Ahli Sunnah wal Jamaah, tujuan Nabi saw hanya membawa Saidina Ali, Fatimah , Hasan dan Husin dalam peristiwa mubahalah kerana baginda (saw) ingin mengisytiharkan kepada orang-orang Kristian bahawa baginda berada di atas kebenaran sehingga sampai ke tahap sanggup membawa bersama ahli keluarga baginda untuk melakukan mubahalah (sumpah laknat).

Jika Nabi saw tidak yakin berada di pihak yang benar, sudah pasti Nabi saw akan teragak-agak untuk membawa kaum keluaganya yang dicintai.

Wallahualam.

Ust Hj Hishamuddin bin Mansor.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu