Friday, April 30, 2010

Bermacam ragam kenduri perkahwinan....

'Perutusan Raja Sehari'...

Pada kebiasaannya cuti –cuti di hujung minggu atau cuti sekolah, ramai yang mengadakan kenduri perkahwinan atau disebut juga dalam Islam sebagai majlis walimatu urus.

Seminggu dua sebelum majlis ini berlangsung, tuan-tuan rumah akan sibuk mengedarkan kad-kad jemputan kepada saudara mara, sahabat handai dan jiran terdekat.

Bermacam corak kad jemputan diedarkan bergantung kepada status kewangan bakal pengantin. Ada yang tebal, nipis, bewarna warni, berbau wangi dan ada juga disertakan gambar pasangan pengantin dan sebagainya.

Nasihat kepada bakal pengantin...

Kepada bakal pengantin, sebelum anda menempah kad jemputan kahwin sukalah saya mengingatkan aagar kad jemputan perkahwinan yang bakal dicetak itu tidak mengandungi ayat-ayat suci al-Quran / hadis waima lafaz As-Salamualaikum warahmatullahi yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab.

Jika saya menerima kad jemputan seperti ini biasanya saya akan kumpul dan simpan dengan baik sebelum dibakar dan dihanyutkan ke laut. Bayangkan bagi mereka yang tidak faham, tentulah kad-kad jemputan yang mengandungi kalimah suci ini dibiarkan bersepah, dilangkah atau dibuang ke dalam tong sampah.

Bukankah ini juga satu bentuk penghinaan kepada kalimah-kalimah suci dalam Islam ?

Kenduri yang dilarang hadir



Kepada mereka yang menerima jemputan kenduri perkahwinan, ingat bukan semua jemputan tersebut wajib kita hadiri. Dalam Islam ada beberapa majlis walimatul urus yang dilarang kita menghadiri seperti :

Pertama, jika dalam majlis tersebut ada makanan atau minuman yang diharamkan seperti arak dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw,

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فلا يجلس على مائدة يشرب عليها الخمر

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk di suatu majlis yang di dalamnya di minum minuman khamr. ( Riwayat At-Tabrani)

Kedua, jika kenduri itu dianjurkan oleh tuan rumah yang berlatar belakangkan ahli maksiat seperi kaki judi, kaki nombor, kaki loteri, kaki zina, bapa ayam, penagih arak dan sebagainya.

Ketiga, jika di dalam majlis itu ada pergaulan bebas lelaki dan perempuan seperti bertukar-tukar pasangan, atau lelaki duduk bersebelahan dengan wanita yang bukan mahram (boyfriend dan girlfriend) dalam keadaan kaum berpakaian menjolok mata, memakai minyak wangi yang semerbak baunya dan bergurau senda tanpa adab dan sopan.

Keempat, jika majlis itu ada pengasingan antara orang kaya dan miskin. Orang-orang kaya disediakan tempat yang selesa seperti di bawah khemah yang berkipas serta hidangan lauk pauk yang lazat manakala orang miskin atau kebanyakkan duduk di bawah khemah yang sempit dan hidangkan makanan yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Sikap ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menyatakan bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT melainkan taqwa.

Dan yang paling hina sekiranya tuan rumah hanya mengundang orang kaya-kaya sahaja manakala orang miskin tidak dijemput sama sekali. Sabda Rasulullah saw,

شر الطعام , طعام الوليمة , يدعى إليها الأغنياء , ويحرم منها الفقراء

Maksudnya : Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang diundang orang-orang kaya sahaja dan ditinggalakan orang miskin.

Kelima, jika majlis itu ada upacara dan kepercayaan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti upacara menepung tawar.

Upacara ini biasanya dilakukan dengan semangkuk air yang dicampur dengan pelbagai campuran seperti air beras, limau purut yang dihiris dan disiramkan dengan susunan dedaun seperti daun setawar, sepulih dan sedingin.

Sebelum dimulakan upacara siraman, ia terlebih dulu ditabur beras kunyit dan bertih. Digunakan beras kunyit kerana hendak memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi dan juga memelihara pasangan pengantin daripada roh jahat.

Jelas majlis seperti ini adalah haram, wajib dijauhi kerana mempunyai unsure syirik dan khurafat.

Keenam, jika majlis itu mempunyai unsur-unsur hiburan yang melampau seperti menggunakan system audio yang membingitkan telinga sehingga para tetamu susah untuk berbual mesra dan bertegur sapa.

Suasana ini juga kadang-kadang berlarutan sampai ke malam sehingga menganggu jiran-jiran yang mempunyai anak kecil. Ada juga sesetengah tuan rumah menganjurkan joget lambak, pertandingan karoeke yang mana kesemua ini melalaikan dan menjadikan majlis itu tidak diberkati Allah SWT.

Selain itu, ada juga tuan-tuan rumah yang mengupah penyanyi wanita dengan pakaian yang menjolok mata seterusnya mendendangkan lagu-lagu yang tiada kena mengena dengan majlis yang diadakan.

Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya berhibur, tetapi biarlah hiburan itu terkawal dengan adab sopan. Manakala lagu-lagu itu pula mendekatkan orang ramai kepada Allah SWT seperti nasyid, qasidah dan sebagainya.

Manakala amalan berkompang dan menyanyi sambil mengarak pengantin hukumnya adalah harus sekadar mewujudkan suasana gembira.

Wallahualam.

Tuesday, April 27, 2010

Apabila manusia ditimpa musibah....

Tafsir Al-Quran
Surah Az-zumar ayat 49-51


Firman Allah SWT,

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (49)Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah). (50)Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri”. (51)

Huraian ayat

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami;”

Maksudnya, Allah SWT mahu mengingatkan tentang perangai manusia iaitu apabila mereka ditimpa sebarang musibah atau bala, barulah mereka akan mengingati Allah SWT dan berdoa kepada-Nya.

Sebagai contoh jika seseorang itu ditimpa penyakit yang tiada harapan sembuh, barulah mereka mahu bertaubat, mengerjakan solat fardhu lima waktu, mengaji al-Quran, solat berjemaah di masjid dan surau, bersedekah dan sebagainya.

Jika sebelum ini tidak kenal Allah, tidak ambil tahu dengan ayat-ayat Allah SWT, tiba-tiba salah seorang dari ahli keluarganya meninggal dunia secara mengejut, maka ketika itulah mereka akan sibuk mencari Al-Quran dan surah Yasin untuk dibacakan di hadapan mayat sedangkan sebelum ini tidak pernah memegang atau pun membaca Al-Quran.

Setiap musibah adalah ujian daripada Allah SWT...

Bagi mereka yang ditimpa kemusnahan harta kekayaan disebabkan perniagaan yang merosot, ketika itulah mereka akan tercari-cari orang Surau atau masjid untuk datang ke rumahnya bagi tujuan membaca Yasin dan doa tolak bala. Ketika ituah wajahnya baru muncul di surau atau masjid untuk menjemput Pak Imam sebagai ‘tekong’ di majlis kenduri anjurannya.

Begitulah juga apabila seseorang itu mahu melangsungkan perkahwinan, mereka akan mengikut syariat Islam sehinggakan ada yang bernikah di Masjidil Haram namun setelah selesai majlis akad nikah mereka akan kembali seperti zaman jahiliyah berpakaian pengantin yang tidak senonoh dan membuka aurat.

Firman Allah SWT seterusnya,

“ kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku".

Maksudnya, setelah Allah SWT melepaskan diri mereka dari malapetaka yang menimpa, seterusnya mendapat pula nikmat yang mencurah-curah, maka mulalah mereka kembali ke sikap asal iaitu sombong kepada Allah, sombong kepada manusia, lupa daratan dan menganggap segala nikmat dan kejayaan yang mereka perolehi itu kononnya datang dari hasil usaha mereka sendiri atau kerana kepintaran mereka mengatur strategi dan sebagainya. Sedikitpun pun mereka tidak kaitkan dengan Allah SWT.

Kepada mereka ini, Allah SWT memberi peringatan,

“(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)…”

Maksudnya, Allah SWT menyatakan bahawa segala nikmat yang mereka perolehi itu sebenarnya adalah ujian daripada-Nya untuk melihat sama ada mereka itu bersyukur kepada Allah SWT atau pun tidak. Kepada mereka yang bersyukur, mereka akan belanjakan segala kekayaan yang mereka miliki itu ke jalan Allah SWT.

Kalau merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah saw antara ujian terbesar ke atas umat Nabi Muhammad saw ialah harta kekayaan sebagaimana hadis yang mafhumnya,

“Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” – (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Disebabkan memburu harta ramai yang terlibat dengan gejala rasuah dan pecah amanah, menipu merompak, peras ugut terlibat dengan perniagaan haram dan sebagainya. Kadang-kadang kekayaan itu hanya melingkari sesama mereka sahaja dengan meminggirkan orang miskin yang tidak berharta.

Kekayaan adalah ujian...

Kepada orang miskin yang tidak berharta, janganlah bersedih kerana beban yang mereka perlu hadapi semasa di akhirat kelak agak ringan jika dibandingkan dengan orang kaya. Dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda,

"Org miskin masuk syurga awal 500 tahun sebelum org kaya"

Di hujung ayat ini Allah SWT berfirman,

“ ... akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)”.(49)

Maksudnya, ramai di kalangan manusia tidak mengetahui apakah hikmah di sebalik Allah SWT memberikan ujian yang berupa kesusahan dan kesenangan. Hakikatnya, dunia ini adalah milik Allah SWT. Jika Allah SWT kurniakan kepada kita harta kekayaan, harta kekayaan itu bukanlah kekal untuk kita miliki selama-lamanya. Ia adalah milik Allah SWT, Allah boleh ambil harta kekayaan itu bila-bila masa tanpa sebarang notis.

Justeru sebagai hamba Tuhan, jika Allah SWT mengurniakan kekayaan kepada kita maka ambillah sekadar yang diperlukan, selebihnya hendaklah digunakan untuk manusia lain yang sangat memerlukan dan juga dibelanjakan ke jalan Allah.

Jika kita lihat secara mendalam, Allah SWT menjadikan manusia ada yang miskin dan ada kaya kerana di sana ada beberapa hikmah. Sekiranya dalam dunia ini semua manusia dicipta sama iaitu miskin belaka, maka siapa pula yang akan menjadi penggerak ekonomi, encetus industri, pemacu perniagaan dan sebagainya. Sudah pasti ekonomi masyarakat di dunia ini tidak berkembang.

Tidak akan ada interaksi sesama manusia kerana manusia hanya akan sibuk mencari rezeki untuk diri dan keluarga masing-masing. Pendekata manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Begitu juga kalau semua manusia di dunia ini kaya raya, maka kekayaan itu tidak akan memberi apa-apa makna dalam kehidupan mereka. Bayangkan, siapa yang akan menanam padi, siapa yang akan menangkap ikan di laut, siapa yang akan menternak lembu, siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan, siapa yang akan membuang sampah sarap di depan rumah, siapa yang akan membuang najis di belakang rumah , siapa yang akan menjadi buruh kasar membina bangunan, siapa yang akan menjadi pekerja bekalan air dan sebagainya. Dengan itu orang kaya akan menjadi susah dengan hal-hal seperti ini.

Justeru orang kaya hendaklah bersyukur kepada Allah SWT, kerana tanpa orang-orang seperti ini mereka tidak boleh merasai nikmat keselesaan yang mereka perolehi. Justeru sebagai tanda bersyukur, mereka hendaklah melaksanakan tanggungjawab seperti membayar zakat untuk diberi kepada fakir miskin yang banyak menolong mereka selama ini.

Orang miskin apabila menerima zakat, maka akan lahir perasaan syukur kepada Alah SWT kerana ada orang yang mengingati mereka dan meringankan bebanan yang mereka tanggung. Di sinilah nanti akan lahir sifat mahabbah antara golongan kaya dan golongan miskin.

Firman Allah SWT pada ayat 50,

“Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah)”. [50]

Maksudnya, Allah SWT menyatakan kepada Rasulullah, jangan ambil peduli dengan orang-orang kafir Quraisy yang mengejek-ejek orang-orang Islam yang majoritinya dari golongan hamba dan fakir miskin kerana sudah ada orang-orang yang terdahulu seperti Qarun yang pernah memiliki harta kekayaan, namun mereka menyalahgunakan harta kekayaan itu untuk menderhakai Allah SWT.

Qarun adalah pembesar kerajaaan yang berada dalam kabinet Firaun. Dia menggunakan kedudukannya sebagai pegawai inggi kerajaan untuk memperolehi harta secara zalim. Diriwayatkan bahawa anak kunci harta kekayaan Qarun itu terpaksa ditarik oleh 40 ekor unta, malah ada yang meriwayatkan ia ditarik oleh 60 ekor keldai. Malang nasib Qarun apabila dia mati dengan cara Allah SWT membenamkan diri, rumah dan hartanya ke dalam bumi.

Firaun.., manusia yang tidak tahu bersyukur !

Bila mereka mati, segala harta kekayaan yang mereka miliki tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika boleh menyelamatkan nyawa, sudah pasti ramai jutawan di dunia ini yang akan berumur panjang sehingga beratus-ratus malah mungkin beribu tahun lamanya. Namun sebaliknya ramai tokoh-tokoh jutawan dunia akhirnya rebah menyembam bumi apabila ajal menemui mereka.

Firman Allah SWT pada ayat 51,

“Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; ..”


Maksudnya, disebabkan segala nikmat kekayaan yang mereka miliki sebelum ini digunakan untuk menderhakai Allah maka Allah SWT timpakan keburukkan ke atas mereka. Ambil pengajaran dari kisah Bal’am bin Barro’. Beliau seorang "ulama" besar kaum Bani Isra’il yang hidup di zaman Nabi Musa a.s .

Sebagai ulama besar, beliau memiliki ilmu yang sangat luas di samping mempunyai pengikut dan anak murid yang sangat ramai. Kesolehannya membuatkan seluruh do’anya didengar dan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Disebabkan beliau sangat ‘populer’, beliau telah diminta oleh Nabi Musa a.s untuk mengadap Raja Madyan dan berdakwah kepadanya. Namun apabila bertemu dengan Raja Madyan, Bal’am telah dipujuk supaya bersama pihak raja untuk menentang Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Sebagai imbuhan Raja akan mengurniakan harta yang banyak dan kedudukan yang tinggi kepadanya.

Tawaran daripada raja ini membuatkan hati Bal’am terpesona. Lalu dituruti permintaan Raja supaya mendoakan kehancuran kepada Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Balasannya Allah SWT merentap lidah Bal’am bin Barro’ dan matilah dia dalam keadaan lidahnya terjelir seperti lidah anjing. Kisah Bal’am ini ada dinyatakan dalam surah al-A’raf ayat 174-176.

Kemudian Allah SWT ulang semula pada ayat yang sama,

" ….dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk dari perbuatan- perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri ”. (51)


Maksudnya, orang-orang yang zalim di kalangan musyrik mereka pasti tidak dapat melepaskan diri dari azab seksaan Allah akibat dari perbuatan buruk dan kejahatan yang mereka lakukan.

Wallahualam

Friday, April 16, 2010

Keadaan orang yang mati husnul / su'ul khotimah


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Nabi saw bersabda :
من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه ومن كره لقاء الله كره الله لقاءه

Maksudnya : Barangsiapa suka berjumpa dengan Allah, Allah pun suka berjumpa dengannya. Dan barangsiapa benci berjumpa dengan Allah, Allah pun benci berjumpa dengannya.

Saidatina Aisyah r.anha bila mendengar sabda Nabi saw sedemikian, lalu beliau pun berkata,

أما الموت فكلنا نكرهه , فقال رسول الله (ص) : ليس ذلك ولكن المؤمن إذا حضره الموت , بشر برضوان الله وكرامته فليس شئ أحب اليه مما أمامه فأحب لقاء الله وأحب الله لقاءه وأن الكافر إذا حضره الموت , بشر بعذاب الله وعقوبته فليس شئ أكره إليه مما أمامه فكره لقاء الله وكره الله لقاءه


Maksudnya ; “ (Ya Rasulullah) Ada pun mati itu kita semua memang membencinya. Maka sabda Nabi saw : Bukan begitu (wahai Aisyah), tetapi orang mukmin apabila maut mendatanginya, dia digembirakan dengan redha Allah serta kemurahan-Nya sehingga tidak ada sesuatu yang lebih disukainya daripada apa yang ada di hadapannya. Maka sukalah dirinya menemui Allah dan Allah pun suka bertemu dengannya. Sementara orang kafir, apabila maut mendatanginya, dia dihadapkan dengan seksaan Allah dan diazab-Nya sehingga tidak ada sesuatu yang lebih dibencinya daripada apa yang ada di hadapannya. Maka bencilah dirinya menemui Allah dan Allah pun benci bertemu dengannya".

Dalam hadis ini Nabi saw menjelaskan bahawa orang yang mati beriman akan digembirakan oleh Allah SWT. Telah berkata Ibnu Mas’ud r.anhu,

Apabila datang Malaikat Maut untuk mengambil nyawa orang yang mukmin dia berkata : "Assalamu ‘alaika ya Waliullah, sesungguhnya Allah SWT berkirim salam kepadamu”.

Kemudian malaikat maut akan membacakan ayat al-Quran surah an-Nahl ayat 32,

Maksudnya : (Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: "Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan".

Telah meriwayatkan Ibnu Majah dengan sabnad yang sahih sebuah hadis, apabila roh orang yang soleh diambil oleh malaikat maut maka berkatalah para malaikat yang (mengiringinya) :

أخرجى أيتها النفس المطمئنة التى كانت فى الجسد الطيب أخرجى حميدة وأبشرى بروح وريحان ورب راض غير غضبان , فلا يزال يقال لها ذلك حتى تنتهى إلى السماء فتفتح لها أبواب السموات إلى أن تقف بين يدى الله عز وجل


Maksudnya : "Keluarlah wahai jiwa yang tenang yang ada dalam tubuh yang baik, keluarlah di dalam keadaan terpuji serta bergembiralah dengan kesenangan dan raihan (yang bakal kamu perolehi), dan Tuhan kamu telah redha kepadamu dan tiadalah (Dia) murka kepadamu”. Maka ucapan ini sentiasalah diulang oleh (para malaikat) sehinggalah sampai ke langit. Lalu dibuka baginya tujuh pintu petala langit sehingga sampai dia di hadapan Allah SW Yang Maha Perkasa Lagi Maha Besar”.



Manakala bagi orang yang mati dalam keadaan suk ul khotimah, seksaan pertama yang bakal mereka perolehi ialah ketika sakaratul maut ialah akan di pukul muka dan belakang mereka seperti yang digambarkan dalam surah an-Nisak ayat 93,

Maksudnya : “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya".

Mereka akan ditengking dengan suara yang keras “keluarkanlah nyawa kamu sendiri” , jika mahu mengurangkan kepedihan".

Kata malakul maut lagi, “Hari ini kamu kamu menerima balsan yang berupa kehinaan disebabkan kengkaran kamu kepada ayat-ayat Allah dan tidak mahu percaya kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw .”

Dalam satu riwayat yang lain, Malaikat maut akan berkata kepada mereka :

“ Keluarlah engkau wahai jiwa yang kotor, yang beradadalam tubuh yang jahat, keluarlah dengan keadaanmu yang keji, dan bergembiralah dengan hamim (keadaan yang sangat panas) dan Ghassaq (keadaan yang sangat sejuk) yang busuk tiada tandingannya ”

Maka akan sentiasa diulang-ulang perkataan ini sehinggalah nyawanya keluar. Kemudian rohnya di bawa ke langit. Ketika pintu langit di buka, malaikat yang menjaga pintu langit akan bertanya :

"Siapakah orang ini ? Lalu dijawab oleh malaikat yang memvawa roh kelangit : Si pulan bin si pulan. Malaikat penjaga pintu langit pun berkata : Tiada tempat bagi jiwa yang kotor yang duduk dalam tubuh yang kotor. Baliklah engkau !”. Maka tiadalah dibukakan pintu langit baginya. Dari langit dia akan dicampak ke keburnya”

Dalam sebuah hadis daripada Salman al-Farsi katanya :

سمعت رسول الله (ص) يقول : أرقبو الميت عند موته ثلاثا, إن رشحت جبينه وذرفت عيناه وانتشر منخراه فهى رحمة من الله تعالى قد نزلت به , وإن غط غطيط البكر المخنوق , وخمد لونه وأزبد شدقاه , فهو عذاب من الله تعالى قد حل به


Maksudnya : Aku dengar Nabi saw bersabda : Perhatikanlah oleh kamu seseorang yang menghadapi kematian mengenai tiga perkara, pertama jika dahinya berpeluh, kedua jika matanya mengeluarkan air mata dan ketiga jika hidungnya membengkak, yang demikian itu menunjukkan rahmat daripada Allah turun kepadanya. Jika dia mati mendengkur seperti dengkuran anak unta yang terjerut lehernya, wajahnya hitam kelam dan mengeluarkan buih di tepi mulutnya, yang demikian itu menujukkan azab daripada Allah (telah turun) menimpanya.

Dalam hadis ini Nabi saw menjelaskan tanda-tanda zahir seseorang yang mati dalam keadaan husnul khotimah iaitu dahinya berpeluh, matanya mengeluarkan air mata dan hidungnya membengkak. Manakala bagi mereka yang mati dalam suk-ul khotimah tandanya ialah akan mendengkur seperti dengkuran anak unta yang terjerut lehernya, wajahnya hitam dan akan keluar buih di tepi mulutnya.

Berkata setengah ulama : Adapun keluar peluh di dahinya itu menunjukkan rasa malunya mayat di atas maksiat yang pernah dilakukannya. Ada juga pendapat mengatakan kerana ia adalah simbolik daripada penat jerih melakukan amal soleh sewaktu hidup dahulu.

Ada sebuah lagi hadis yang menyatakan orang yang beriman akan mati dalam keadaan peluh keluar dari dahinya. Hadis ini datangnya dari seorang sahabat Nabi saw yang bernama Buraidah r.anhu katanya Nabi saw bersabda :

المؤمن يموت بعرق الجبين


Maksudnya : Orang mukmin meninggal dunia dengan keluar peluh di dahinya. (HR Tirmidzi)

Wallahualam.

Wednesday, April 14, 2010

Tiga perkara yang perlu disegerakan...

Sabda Rasulullah saw,

ثلاثة يا على لا تؤخرهن : الصلاة إذا أتت , والجنازة إذا حضرت ,
ولأيم إذا وجدت كفؤا


Maksudnya : "Wahai Ali, ada tiga perkara janganlah di lewat-lewatkan. Yang pertama : Solat apabila telah masuk waktunya, yang kedua : Jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga : anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya”.

Dalam hadis ini Nabi saw menyatakan ada tiga perkara jangan di lengahkan. Yang pertama apabila telah masuk solat, maka bersegeralah menunaikannya.

Dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Mas'ud r.a, seorang sahabat telah bertanya Nabi saw :-

. أي العمل أفضل ؟ قال : الصلاة على ميقاتها قلت : ثم أي ؟ قال : ثم بر الوالدين . قلت : ثم أي ؟ قال : الجهاد في سبيل الله

Maksudnya : "Amalan manakah yang paling utama? Nabi saw menjawab : Bersolatlah pada waktunya. Aku berkata : kemudian apa? Nabi bersabda : berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa. Aku berkata : kemudian apa lagi?. Nabi bersabda : berjihad dijalan Allah" ( HR Bukhari)

Para ulama sepakat menyatakan hukumnya adalah HARAM bagi seseorang yang melewatkan solatnya sehingga habis waktu, tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara' seperti seseorang yang berniat untuk melakukan jama' takhir ketika bermusafir atau terlalu letih atau tertidur dan sebagainya.

Namun begitu bagi mereka yang mahu melewatkan solat atas alasan seperti yang dinyatakan tadi, janganlah sampai melakukannya di dalam waktu yang diharamkan seperti menunaikan solat Asar sewaktu matahari sudah kuning-kuningan.






















Yang kedua, Nabi saw menyuruh kita agar segera mengkebumikan jenazah iaitu apabila jenazah itu telah selesai dimandi, dikafan dan di sembahyangkan. Sabda Rasulullah saw,

أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها إليه وإن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن رقبكم

Maksudnya : "Hendaklah kamu segera mengkebumikan jenazah(mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu". (Muttafaqun Alaihi)

Dan yang ketiga, Nabi saw menyuruh agar ibu bapa yang mempunyai anak gadis supaya menyegerakan pernikahannya jika sudah ada orang yang sekufu meminangnya. Ia bertujuan untuk mememilhar dirinya dari maksiat dan fitnah.


Detik bersejarah dalam hidup... 22.12.1996

Kalau hendak diikat dengan tali pertunangan, janganlah memakan masa yang lama sehingga dua, tiga atau empat tahun kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak elok seperti maksiat dan sebagainya. Paling baik ikatan pertunangan hanya memakan masa enam bulan atau setahun.

Ibu bapa perlu ingat, bertunang bukan lesen untuk membenarkan anak-anak gadis keluar dengan lelaki tunangannya. Pasangan yang sudah bertunang dan ingin mendirikan rumahtangga hendaklah memelihara tingkah laku mereka kerana aman damainya rumahtangga bergantung kepada apa yang telah mereka lakukan sebelum berkahwin.

Friday, April 9, 2010

Hukum memakai tangkal



Menggantungkan tangkal di badan untuk dijadikan sebagai penghadang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan diri daripada sesuatu penyakit boleh dibahagikan kepada dua bahagian ;

Pertama, menggunakan tangkal yang mempunyai bahan seperti tulang binatang atau kayu yang dikatakan berhikmah, atau seumpamanya, para ulama tidak ada khilaf untuk mengharamkannya, kerana ia boleh menjerumuskan seseorang itu kelembah syirik.

Sabda Rasulullah saw,

من علق ودعة فلا ودع الله له ومن علق تميمة فلا تمم الله له

Maksudnya : “ Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal) maka Allah tidak akan menjaganya. Barangsiapa yang menggantungkan tamimah (tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Kedua, adapun menggantungkan tangkal yang bahannya adalah ayat-ayat Al-Quran, maka dalam hal ini para ulama berbeza pendapat. Satu golongan mengatakan hukumnya adalah haram dan satu lagi golongan menyatakan harus.



Antara golongan ulama yang menyatakan haram ialah Ibnu Abbas, Huzaifah, Abdullah bin Mas’ud, sebahagian ulama Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Mereka berpandukan kepada maksud umum hadis di atas tadi, yang menyebut dengan jelas bahawa Nabi saw melarang umatnya menggunakan tangkal. Tidak kiralah sama ada bahan yang digunakannya itu daripada Al-Quran atau bukan daripada Al-Quran.

Hujah mereka, menggantungkan tangkal pada badan, boleh menyebabkan diri seseorang hilang penggantungan (tawakal) kepada Allah SWT. Sedangkan tawakal yang sebenar seseorang hamba hanyalah kepada Allah SWT sahaja, tidak boleh lain daripada itu.

Perbuatan menggantung tangkal yang terdapat ayat-ayat Al-Quran juga boleh membawa kepada penghinaan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran. Apatah lagi jika ia di bawa masuk ke dalam tandas atau sipemakainya terlibat dengan pekerjaan yang bercanggah dengan syariat seperti pekerjaan maksiat dan sebagainya.

Manakala golongan ulama yang berpendapat hukum memakai tangkal yang bahannya adalah daripada ayat-ayat Al-Quran itu adalah harus, didokong oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal (salah satu riwayat daripadanya). Hujah mereka, sahabat Rasulullah saw pernah berbuat demikian untuk anak-anak mereka yang belum menghafaz Al-Quran.

Menurut Prof Dato’ Dr. Haron Din, walaupun terdapat perbezaan pandangan ulama tentang hal ini, akan tetapi perubahan zaman boleh membawa kepada perubahan hukum. Jika dirujuk kepada zaman sekarang, akidah umat Islam sedang terancam, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah, iman mereka begitu rapuh, mereka tidak lagi memperdulikan halal dan haram, apa yang mereka mahu ialah kenikmatan hidup yang sementara di dunia, tanpa memperdulikan untung nasib di akhirat.

Ditambah pula dengan suburnya gejala maksiat, syirik dan kufur kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, jika penggantungan ummah kepada tangkal, tidak dibendung atau dicegah dengan sejelas-jelasnya ia akan mendorong masyarakat terjerumus kepada kerosakkan akidah.



Kesimpulannya, pendapat yang sahih, keharusan memakai tangkal yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sebenarnya adalah di awal permulaan Islam. Apabila keimanan para sahabat sudah kuat tertanam dalam diri, maka Rasulullah saw melarang sama sekali memakai tangkal walaupun menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Hikmahnya ialah untuk mencegah daripada keburukkan yang lebih besar, memelihara kesucian Al-Quran dan seterusnya untuk membulatkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mampu melindungi manusia daripada segala-galanya.

Wednesday, April 7, 2010

Adab menerima dan menjadi tetamu


Rumah mertua di Tali Air 8, Sekinchan Selangor

Tafsir Al-Quran
Surah An-Nur ayat 27-29


Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat”.(27)

Sebab turun ayat

Diriwayatkan daripada Adiy bin Thabit, seorang lelaki kaum Ansar : Bahawasanya seorang wanita telah bertanya kepada Rasulullah saw : “ Ya Rasulullah ! Saya sedang berada dalam rumah dalam keadaan saya tidak ingin dilihat oleh ayah mahu pun anak saya, tiba-tiba ada orang masuk ke rumah melihat saya apa yang patut saya lakukan ?”, maka turunlah ayat ini.

Huraian ayat

Rumah adalah tempat menyimpan rahsia kerumahtanggaan. Pada kebiasaan, manusia itu ada dua wajah, wajah dalam rumah dan wajah di luar rumah. Apa yang berlaku dalam rumah adalah rahsia peribadi seseorang mukmin. Pendedahan aurat antara suami isteri serta anak-anak gadis adalah lumrah di dalam rumah.

Justeru itulah dalam ayat 27, Allah SWT mengajar hamba-hambaNya yang beriman supaya memiliki adab yang mulia apabila berkunjung ke rumah orang. Hikmahnya agar memelihara maruah tuan rumah supaya tidak kelihatan segala pemandangan yang mengaibkan diri dan keluarganya.

Ayat ini menjelaskan, antara adab yang perlu dilakukan ketika mengunjungi rumah orang ialah meminta izin dan memberi salam terlebih dahulu kepada penghuninya, moga-moga dengan cara itu akan menimbulkan perasaan kasih dan kemesraan sesama manusia.

Firman Allah SWT,

“Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: "Kembali (saja) lah", maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”(28)

Pada ayat 28, Allah SWT menyatakan sekiranya orang yang berkunjung itu tidak mendapat izin dari penghuni rumah, maka hendaklah ia pulang saja. Sikap demikian itu adalah lebih baik daripada berdiri di depan pintu rumah dengan niat memaksa penghuni rumah agar mengizinkannya kerana penghuni rumah kadang-kadang sedang sibuk dengan suatu pekerjaan dan dia tidak mahu diganggu oleh tetamu.

Jika rumah itu tidak ada penghuni yang berhak untuk memberi izin masuk meskipun ada kanak-kanak ataupun orang gaji, maka janganlah juga cuba masuk kerumah itu sehingga mendapat keizinan dari penghuni rumah yang sebenar. Ini kerana ada penghuni rumah yang tidak suka orang luar melihat apa yang terdapat di dalam rumahnya.

Dan juga mungkin kemasukan orang luar ke rumahnya mengakibatkan kehilangan sesuatu barang yang berharga akhirnya timbul tuhmah kepada orang yang memasuki rumah tersebut. Walaubagaimanapun jika memasuki rumah tersebut kerana kecemasan seperti memadamkan api kebakaran, menghalang berlakunya jenayah atau sebagainya tidaklah mengapa.

Firman Allah SWT seterusnya,

“ Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak disediakan untuk di diami, yang didalamnya ada keperluanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan” (29)

Pada ayat ke 29 pula Allah SWT menyatakan tiada kesalahan memasuki rumah yang tiada penghuni sekiranya sudah mendapat keizinan dari tuan rumah seperti memasuki kedai, hospital, dan lain lain. Di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui niat baik dan buruk seseorang apabila masuk ke rumah orang.

Adab menerima tetamu

Dalam sebuah hadis,

إن الضيف إذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة

Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabia masuk ke rumah seseorang mukmin maka, ia masuk bersama dengan seribu berkata dan seribu rahmat.


Kunjung mengunjung amalan mulia

Antara adab tuan rumah dalam menyambut tetamu, hendaklah tuan rumah atau ahli keluarganya keluar atau bangun dan senyum menyambut mereka di depan pintu.

Hidangkanlah kepada tetamu jamuan yang istimewa pada hari pertama dan malamnya manakala pada hari berikutnya adalah jamuan biasa. Ini bersandarkan kepada hadis Nabi saw,

من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليكرم ضيفه جائزته, قالوا : يا رسول الله, وما جائزته ؟ قال : يومه وليلته . والضيافة ثلاثة أيام . فما كان وراء ذلك فهو صدقة عليه

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan memberinya jaizahnya (memuliakan tetamu). Para sahabat bertanya : Ya Rasulullah, Jaizahnya bila ? Nabi saw menjawab : (Memberi layanan) sehari semalam. Bertamu itu tiga hari, maka selebihnya adalah sedekah baginya. (HR Bukhari dan Muslim)

Makanan istimewa untuk tetamu

Makanan yang istimewa untuk tetamu pada hari pertama seelok-eloknya ialah daging sekiranya mampu. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 64 ketika menceritakan Nabi Ibrahim a.s sewaktu menyambut tetamunya,

“ Sesungguhnya telah datang utusan-utusan kami kepada nabi ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan.Lalu mereka memberi selam dengan berkata:"Salam sejahtera kepadamu (wahai ibrahim)."Nabi ibrahim menjawab:"Salam sejahtera kepada kamu".Maka tidak berapa lama selepas itu,dia menghidangkan jamuan untuk mereka,seekor anak lembu yang dipanggang".


Makanan kegemaranku.., "Sup Gear-Box"

Namun begitu jika tidak mampu janganlah sampai membebankan, apa yang terbaik maka itulah yang dihidangkan. Sabda Rasulullah saw,

لا يتكلفن أحد لضيفه ما لا يقدر عليه

Maksudnya : Janganlah seseorang itu membebankan dirinya untuk melayani tetamu dengan menyediakan apa yang dia tidak mampu. (HR Al-Baihaqi)

Dan tetamu, janganlah merungut dengan makanan yang dihidangkan, sebaliknya hendaklah redha dengan makanan yang dijamu kepadanya. Itulah rezeki yang telah dikurniakan oleh AllahSWT kepadanya.

Sekiranya tetamu menginap di rumah lebih dari tiga hari, maka menjelang hari keempat dan seterusnya tuan rumah berhak memberitahu tetamu sekiranya tidak mampu melayan. Tetapi sekiranya mahu melayan juga, maka ia adalah sunat dan dikira sebagai sedekah. Sabda Rasulullah saw,

"Sungguh, secepat-cepatnya sedekah yang diterima Allah ialah menghidangkan (oleh seseorang) akan makanan yang baik, kemudian ia suruh saudara-saudaranya untuk menikmatinya." [HR. Ibnu Abu Dunya]

Sekiranya tuan rumah tidak menyediakan apa-apa hidangan untuk tetamu walau pun seteguk air, maka tetamu berhak mengambil sendiri apa yang mereka kehendaki pada batas yang berpatutan. Sabda Rasulullah saw,

أيما ضيف نزل بقوم فأصبح الضيف محروما (أى من الطعام وما يحتاجه) فله أن يأخذ ( أي من مال المضيف) بقدر قراه ولا حرج عليه

“Jika seseorang tetamu singgah di sesebuah rumah namun ia tidak dilayani maka ia berhak mengambil sekadar hak jamuan untuknya dan ia tidak berdosa". (HR Ahmad)


Bersama ipar duai ketika berbuka puasa

Yang dimaksudkan dengan “sekadar hak jamuan” ialah ukuran mengikut kadar kemampuan tuan rumah. Justeru untuk mengelakkan perasaan malu, apabila tetamu masuk ke dapur untuk mengambil haknya, maka adalah lebih baik jika tuan rumah sendiri menyediakan juadah sekadar yang dia mampu. Jika benar-benar tidak ada, maka terangkan secara jujur bahawa tidak ada apa-apa yang hendak dihidangkan.

Adalah sunat hukumnya menghantar tetamu pulang sehingga ke depan pintu rumah atau ke stesen bas atau keretapai jika mereka datang menaiki kenderaan awam. Sabda Rasulullah saw,

إن من السنة أن يخرج الرجل مع ضيفه إلى باب الدار

Maksudnya : Termasuk amalan sunnah bila kamu menghantar pulang tetamu sampai ke muka pintu rumah.

Adab menjadi tetamu

Beradasarkan surah an-Nur ayat 27 tadi, hendaklah para tetamu mengucapkan salam terlebih dahulu sebelum meminta izin untuk masuk.

Setelah salam yang pertama di beri tetapi tidak mendapat respon, maka tunggu dulu sebelum memberi salam yang kedua. Ketika itu tuan rumah mungkin sedang bersiap sedia mengemaskan diri dan rumah untuk menerima tetamu.

Kemudian beri pula ucapan salam yang ketiga. Sekiranya tiada juga respon maka hendaklah pulang. Berdalilkan hadis Rasulullah saw,

إذا استأذن أحدكم ثلاثا فلم يؤذن له فلينصرف

Maksudnya : Apabila seseorang kamu minta izin sampai tiga kali, namun masih belum juga diberi izin maka hendaklah dia beredar.

Sebelum diizinkan masuk, janganlah menghalakan mata ke dalam rumah. Sabda Rasulullah saw,

لو أن امرأ أطلع عليك بغير إذن فحذفته بحصات ففقأت عينه ما كان عليك جناح

Maksudnya : Kalau ada orang yang menengok-nengok rumahmu tanpa izin lalu engkau lempar batu sehingga matanya pecah, tidaklah engkau berdosa. ( HR Bukhari dan Muslim)

Jika sudah diizinkan masuk ke rumah, janganlah tetamu duduk sehingga dipelawa oleh tuan rumah dan ditunjukkan dimana tempat duduk. Jangan sekali-kali duduk di tempat khas milik tuan rumah, berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:

“Janganlah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan izinnya.” (HR Muslim)

Jika terdapat beberapa tetamu lain, hendaklah tuan rumah menyuruh mereka melapang-lapangkan tempat duduk untuk menempatkan tetamu yang baru datang. Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.” (Surah al-Majadilah, ayat 11)

Bagi tetamu yang baru datang, hendaklah dia duduk di tempat yang kosong yang ditemuinya sekalipun ia agak jauh dari tuan rumah. Janganlah menyelit-nyelit ke hadapan di antara tetamu untuk menghampiri tuan rumah atau menyelit duduk di antara dua tetamu yang sudah sedia duduk melainkan dengan meminta izin mereka berdua. Rasulullah s.a.w. menegaskan:

“Tidak halal bagi seseorang memisahkan dua orang (yang sedang duduk) kecuali dengan izin kedua-duanya.” (HR Abu Daud )

Jika tidak mendapat izin atau memang tiada tempat duduk, maka jangan menyuruh orang yang sedang duduk untuk berdiri, sebaliknya duduklah di belakang atau di mana jua yang ditemuinya. Sabda Rasulullah saw,

“Janganlah seseorang menyuruh orang lain berdiri dari tempat duduknya lalu dia duduk di tempat itu.” (HR Bukhari)

Demikian juga, apabila tetamu yang sedia memiliki tempat duduk bangun sebentar untuk sesuatu urusan sementara, janganlah diambil tempat duduknya sebagaimana sabda Rasulullah saw,

إذا قام أحدكم من مجلسه ثم رجع إليه فهو أحق به

“Apabila salah seorang kalian bangkit dari tempat duduknya kemudian kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak ke atas tempat tersebut.”(HR Muslim)



Jagalah adab sopan ketika menikmati jamuan

Di mana jua tetamu itu duduk, amatlah penting untuk menjaga perbualan agar ia sentiasa berorientasi kepada kebaikan. Jauhilah perkataan yang buruk umpama mencerita keburukan orang, membuka rahsia, berburuk sangka, bergosip dan sebagainya kerana ia adalah perkataan yang dihasut oleh syaitan. Sabda Rasulullah saw,

“Tidaklah satu kaum itu duduk dalam satu majlis yang tidak diisi dengan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Nabi mereka kecuali akan menjadi penyesalan ke atas diri mereka. Jika Allah berkehendak, Allah akan menyeksa mereka dan jika tidak Allah akan mengampunkan mereka.” (HR Al-Tirmizi)


Jaga pertuturan semasa berbual

Perkataan yang baik ialah “zikir”, iaitu apa sahaja subjek perbualan yang dapat mengingat serta menghubungkan seseorang kepada Allah. Juga selawat, yakni dengan membacakan hadis-hadis yang sahih. Ini kerana dalam menyampaikan hadis, semua orang akan berselawat setiap kali nama Rasulullah disebut.

Adab ketika pulang.

Apabila berziarah, janganlah meluangkan masa yang agak lama kerana ia akan memberatkan tuan rumah dan ahli keluarganya yang lain. Justeru Islam mengajar kita adab untuk segera pulang setelah dijamu oleh tetamu. Allah s.w.t. berfirman:

“Apabila kamu dijemput maka masuklah, kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual..” [Surah al-Ahzab, ayat 53]

Sebelum pulang, hendaklah meminta izin dari tuan rumah, janganlah terus menghilangkan diri. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila salah seorang kamu mengunjungi saudara seagamanya dan duduk di sisinya, maka janganlah dia pulang melainkan dengan meminta izin terlebih dahulu.” (Silsilah al-Shahihah)

Sebelum kaki melangkah keluar, hendaklah memberi salam terlebih dahulu kepada tuan rumah. Sabda Rasulullah saw,

“Apabila salah seorang kalian mendatangi satu majlis, maka hendaklah dia mengucapkan salam (Assalamu’alaikum) dan apabila dia hendak bangun (pulang dari majlis) hendaklah dia mengucapkan salam. Tidaklah salam yang pertama lebih utama dari salam yang kedua (melainkan ia sama-sama penting).” (Shahih Sunan Abu Daud)

Seterusnya berjabat tangan. Dalilnya,

“Berjabat tangan merupakan penyempurna ucapan salam yang kamu berikan.” (Silsilah al-Dha’ifah).

Sebuah lagi hadis tentang kelebihan berjabat tangan,

Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya Rasulullah s.a.w telah bersabda :

"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut syariat Allah s.w.t yakni dilarang berjabat tangan sekiranya tetamu itu bukan mahram.

Wallahualam,

Ust Hj Mohd Hishamuddin bin Mansor

Monday, April 5, 2010

Santunilah mereka semua....

Tafsir Al-Quran
Surah an-Nisaa’ ayat 36

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki”. ( Surah an-Nisa’ : 36 )


Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT menyeru manusia supaya beribadat kepada-Nya dan jangan sekali-kali syirik kapada Allah, Tuhan semesta alam. Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan Allah dengan sesuatu sama ada pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububyyiah–Nya.

Beriman kepada sifat Sifat Uluhiyyiah ialah percaya bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah, dipatuhi perintah-Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.

Allah SWT melarang kita mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48:

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik dan akan mengampunkan dosa lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguh-Nya ia telah melakukan dosa yang besar. “

Kemudian dalam ayat yang sama Allah SWT memerintahkan agar kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki.

Golongan pertama yang perlu disantuni ialah ibu bapa. Berbakti kepada mereka berdua hukumnya adalah wajib kerana ia hukum Allah. Anak yang enggan berbakti kepada dua ibu bapa dianggap anak derhaka dan perbuatan derhaka adalah dosa besar.Derhaka kepada ibu bapa termasuk salah satu daripada empat dosa besar disebut oleh Rasulullah saw yang bermaksud,

“Sebesar-besar (daripada) dosa besar adalah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.”

Dalam hadis yang lain,

“Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kamu, maka akan. berbakti anak-anak kamu kepada kamu (termasuk memberi kasih sayang).” (Riwayat Al Hakim).


Sayangilah ibu anda...

Di zaman Rasulullah saw ada sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan iaitu kisah Wail bin Khattab. Disebabkan terlalu cintakan isteri, Wail selalu mencaci ibunya, mempercayai segala yang dilaporkan isterinya berkaitan ibunya.

Waktu Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan sakit yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar keringat dingin membasahi seluruh badan. Mati tidak, sembuh pun tidak ada harapan.Selama berpuluh hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka lebar tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, manakala kaki dan tangannya kaku.

Sahabat menunggu kematiannya, namun tidak tiba. Mereka berasa terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka bersilih ganti mengajarkan Wail mengucap kalimah syahadah, namun semuanya buntu.Wail cuba sedaya upaya mengucap dua kalimah syahadah tetapi yang kedengaran daripada mulutnya hanya perkataan “oh, oh, oh, oh”. Keadaan semakin mengerikan.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad meminta ibu Wail dijemput menemui beliau. Nabi mahu mengetahui bagaimana keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencaci lantaran hasutan isterinya. Dia percaya dan me ngikut apa saja yang dilaporkan isterinya tanpa usul periksa. Ini menyebabkan ibunya berasa sakit hati kepadanya.

Rasulullah s.a.w memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya yang derhaka. Tetapi perempuan itu berkeras tidak mahu memenuhinya. Dia berkata, air matanya belum kering lantaran perbuatan Wail yang menyakitkan hatinya.

Melihat keadaan itu, Nabi termenung seketika. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api. Wail akan dibakar hidup-hidup.Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail akan derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar kata-kata nabi itu, ibu Wail segera berkata:

“Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku telah ampuni dia. Kesalahannya aku telah maafkan.

Menurut sahabat, sebaik saja Wail diampuni ibunya, wajahnya mula berubah. Akhirnya dia dapat mengucap sya hadah dan menghembuskan nafas terakhir.


Santuni isteri dan anak-anak anda !

Golongan yang kedua ialah kaum kerabat. Sabda Rasulullah saw,

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَ الْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Alloh dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturrahim.” ( HR. Al-Bukhari )

Para ulama membahagi kaum kerabat kepada dua iaitu kaum kerabat yang mahram dan yang bukan mahram. Kaum kerabat yang mahram ialah saudara yang haram kita bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

Manakala kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.

Di antara akhlaq kepada kaum kerabat adalah menghormati yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda, sebagaimana sabda Nabi saw :

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا

Maksudnya : “Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan orang yang lebih tua dan tidak menyayangi orang yang lebih muda.” ( HSR. Ahmad dan At-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah saw lagi,

الصدقة على المسكين صدقة وهى على ذى الرحم اثنان صدقة وصلة

Maksudnya : "Bersedekah kepada orang miskin mendapat pahala sedekah sahaja, tetapi bersedekah kepada kaum keluarga mendapat dua pahala : pahala sedekah dan pahala perhubungan silaturrahim".

Sebab itu apabila Abu Talhah ingin mensedekahkan semua kebun tamarnya ke jalan Allah dan fakir miskin kerana tertarik dengan ayat Allah SWT yang berbunyi,

“ Kamu tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sesuatu dari apa yang kamu cintakan”.

Maka Nabi saw bersabda kepadanya, "Telah wajib pahalamu daripada Allah. Sekarang bahagi-bahagikan ia di antara kaum kerabatmu (jangan lupakan mereka)".

Antara kelebihan berbuat baik sesama kerabat ialah di murahkan rezeki dan di panjangkan umur. Sabda Nabi saw,

من أحب أن يبسط فى رزقه , ويسأله فى أثره , فليصل رحمه

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).” (HR Muslim)

Kemudian berbuat baik kepada anak-anak yatim dan orang miskin. Firman Allah SWT,

“ Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang, Dan terhadap orang yang minta-minta maka janganlah kamu menghardiknya”. (adh- Dhuha : 9-10)

Sabda Rasulullah saw,

أنا وكافل اليتيم كهاتين

Maksudnya : Aku dan orang yang menanggung anak yatim seperti kedua ini – sambil baginda mengisyarat dengan kedua belah jarinya (yakni begitu hampir sekali)


Kasihi anak-anak yatim...

Sabdanya lagi,

من وضع يده على رأس يتيم ترحما كانت له بكل شعرة تمر عليها يده حسنة

Maksudnya : "Barangsiapa mengusap kepala seorang anak yatim tanda belas kasihan, maka dia mendapat pahala kebajikan atas setiap helai rambut yang diusapnya itu".

Kepada mereka yang membantu orang miskin Rasulullah bersabda,

السَّاعِي عَلَى اْلأَرْمَلَة وَالْمِسْكِين كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيل اللَّه

Maksudnya : "Mereka yang membantu para balu dan orang miskin diibarat seperti orang yang berperang di jalan Allah".

Dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda,

"Org miskin masuk syurga awal 500 tahun sebelum org kaya"

Kategori miskin yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang telah ditaqdirkan hidup menjadi miskin tetapi tetap taat kepada perintah Allah SWT. Kedua, mereka yang miskin karena “semua” harta yang dianugerahkan Allah di sumbangkan dijalan Allah

Kemudian berbuat baik kepada jiran tetangga sama ada yang dekat mahu pun yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang dimiliki. Sabda Rasulullah saw,

إن فلانة تصوم النهار وتقوم الليل وتؤذى جيرانها فقال صلى الله عليه وسلم هى فى النار

Maksudnya : Bahawasanya seorang itu berpuasa di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, tetapi dia suka menyakiti jiran tetangganya. Berkata Nabi saw, Dia akan masuk neraka.

Wallahualam.

Al-Haqir wal-Faqir ilal Lah
Ust Hj Mohd Hishamuddin Mansor.

Saturday, April 3, 2010

Kasihilah makluk di bumi ....

Islam agama yang mendidik umatnya supaya bersifat pengasih dan penyayang sesama makhluk.

Jika Islam mewajibkan umatnya supaya melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam malah termasuk binatang yang tidak berakal, maka lebih-lebih lagilah kita perlu melakukan kebaikan kepada saudara seagama kita yang terdiri dari ahli keluarga, saudara mara, jiran-jiran, sahabat handai serta sesiapa sahaja walaupun mereka hanya memiliki iman setipis kulit bawang !

Moga-moga dengan kasih sayang yang kita curahkan kepada mereka, maka Allah SWT akan mencurahkan pula kasih sayang-Nya kepada kita di dunia dan juga di akhirat.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda,

إرحموا من فى الأرض يرحمكم من في السماء

“Kasihilah kamu akan makhluk-makhluk di dunia nescaya makhluk-makhluk di langit akan mengasihi kamu." (HR Ahmad)

Yang dimaksudkan ''penghuni langit'' dalam hadis di atas ialah para malaikatNya. Adapun ''penghuni bumi'' pula ialah sekalian makhluk yang bernyawa termasuklah binatang.



Berdasarkan hadis ini, fahamlah kita betapa untuk mendapatkan kasih sayang para malaikat di langit maka hendaklah kita terlebih dahulu mengasihi makhluk di bumi. Jika malaikat mengasihi kita sudah semestinya Allah SWT juga turut mengasihi dan menyayangi kita.

Islam melarang umatnya bersengketa, bertengkar, bergaduh dan bermusuh-musuhan kerana ia boleh melahirkan sifat benci-membenci, kata mengata sehingga kepada pembunuhan jiwa.

Kasih Rasulullah saw dengan binatang

Rasulullah saw menunjukkan contoh yang baik dalam menyantuni haiwan. Ketika Saidatina Aishah memukul unta yang sukar dikendalikan Nabi saw menegur dengan sabdanya,

"Wahai Aishah, berlaku baik dan lembutlah, kerana sesuatu yang demikian akan menjadi indah. Begitu juga jika sebaliknya".

Ketika seorang sahabat mengambil telur seekor burung merpati, baginda memintanya memulangkannya kembali setelah melihat keadaan burung itu yang terganggu.

Ketika melihat seekor unta yang seakan bergenang dengan air mata, baginda mengusapnya dengan belas kasihan sehingga unta itu menjadi tenang dan berdiam diri. Nabi kemudiannya menegur pemilik unta agar takut kepada Allah kerana tidak memberinya makanan yang cukup dan mengarahkannya bekerja sahaja.


Binatang pun ada perasaan sayang...

Apabila menyembelih binatang yang halal, baginda berpesan pula agar menggunakan alat pemotong yang tajam agar tidak menyakiti haiwan tersebut.

Kasih Rasulullah saw kepada umatnya

Betapa kasihnya Rasulullah saw kepada umatnya sehingga digambarkan dalam al-Quran,

“Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” (At Taubah: 128).

Dalam sebuah hadis baginda bersabda,

“Barang siapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak dikasihi Allah. “(Riwayat At Termizi).

Dan telah dikeluarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban dari Abu Saidul Khudri :

أن رجلا قال : يا رسول الله طوبى لمن راك وأمن بك قال : طوبى لمن راني وأمن بي ثم طوبى لمن أمن بي ولم يرني

Maksudnya : Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw. Berbahagialah siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Baginda pun menjawab : Berbahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihat aku.

Kasihnya Nabi terhadap umatnya tidak ternilai harganya, tidak terbayang betapa mendalam lautan kasihnya, tidak terkata betapa tinggi menggunung cinta sucinya.Sanggup meninggalkan tanahair untuk memastikan Islam berdaulat, sanggup menolak tawaran menjadi raja demi memastikan Islam memerintah dunia, sanggup mengenepikan harta dunia demi mencari redha Allah dalam mengajak umatnya supaya mengejar kehidupan akhirat yang menguntungkan.

Ahli syurga ialah mereka yang baik akhlaknya
















Orang-orang yang beriman perlu menjaga akhlak dan perilakunya sesama manusia sebagai syarat untuk di terima memasuki syurga Allah SWT. Ini dinyatakan oleh Rasulullah saw,

“Penyebab utama masuknya manusia ke surga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” ( Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah ).

Mereka yang berakhlak mulia, akan hampir dengan Rasulullah saw semasa di akhirat kelak. Sabda baginda,

“Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku di kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai. Orang Mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai, dan tiada kebaikan pada mereka yang tidak boleh bermesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia.” (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi).

Kesimpulan

Ucapkanlah perkataan sayang kepada isteri,

“Abang sayang kepada kamu”.

Ucapkanlah perkataan sayang kepada anak-anak,

“Ayah sayang kepada kamu semua”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada rakan-rakan,

“Saya sayang kepada kamu semua ”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada kaum kerabat,

"Saya sayang kepada kamu semua"

Ucapkanlah perkataan sayang kepada jiran-jiran,

“Saya sayang kepada kamu semua”

Ucapkanlah perkataan sayang kepada saudara segama kita walau di mana mereka berada,

“Saya sayang kepada kamu semua”

Insya Allah kita akan berada dalam kasih sayang Allah….

Al-Haqir wal Faqir ila Llah...

Wallahualam.