Nabi Isa a.s Nabi akhir zaman ?

Kata missionary Kristian lagi,

Orang Islam percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Nabi akhir zaman dan penutup sekalian para Nabi. Buktinya orang Islam berpegang kepada surah al-Ahzaab ayat 40,

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul dan kesudahan segala Nabi-Nabi. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu"

Namun dalam masa yang sama umat Islam percaya Nabi Isa akan turun menjelang hari Qiamat. Dari sudut logik tentulah Nabi Isa sebagai Nabi akhir zaman bukannya Nabi Muhammad.

Betul tak…?

Jawapan Islam

Apabila meyakini bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang hari Qiamat, bukanlah bermakna Nabi Isa a.s adalah Nabi akhir zaman, sekali gus menafikan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi penutup yang tidak ada lagi Nabi selepas baginda.

Firman Allah SWT,

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. (Al-Ahzab : 40)

Pertama, dari segi logik, kalau seseorang mempunyai tiga orang anak, apabila anaknya yang bongsu meninggal dunia, maka anak yang kedua tidak boleh dikatakan sebagai anak bongsu. Dia tetap dianggap sebagai anak kedua daripada tiga orang adik beradik, cuma yang bongsu sudah meninggal dunia. Begitulah bandingan antara Nabi Isa dengan Nabi Muhammad saw.

Kedua, Nabi Isa a.s akan turun ke dunia sebagai Hakim yang adil yang akan memutuskan kebenaran Islam bukannya sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru. Hal ini diterangkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis,

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda,“Demi diriku yang berada dalam kekuasaanNya, sungguh hampir turun kepada kamu Isa anak Maryam yang akan bertindak sebagai Hakim yang adil”. (At-Tirmizi)

Ketiga, semasa penurunan Nabi Isa a.s ke dunia, baginda akan memerintah berdasarkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Hal ini juga diterangkan oleh Rasulullah saw,

“Isa a.s Ibnu Maryam akan turun memerintah selama 40 tahun dengan Kitabullah dan sunnahku, dan kemudian wafat”. ( Al-Muttaqi al-Hindi, al-Burhan fi ‘Alamat al-Mahdi Akhir az-Zaman).

Dengan penjelasan di atas tidak timbul persoalan kononnya Nabi Isa a.s adalah Nabi akhir zaman bukannya Nabi Muhammad saw.

Wallahualam.

Abu Sofeya.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu