Thursday, December 15, 2011

Khabar gembira dari Allah !


Tafsir Surah Al-Baqarah
Ayat 25-29


Firman Allah SWT,

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.(25)Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;(26)(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.(27)Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).(28)Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".(29)

Huraian ayat

Pada pangkal ayat 25 Allah SWT menyatakan,

“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;”

Dalam ayat ini Allah SWT telah memerintahkan Rasulullah SAW supaya mengkhabarkan berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa mereka akan dianugerahkan syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.

Tentang nama-nama sungai di syurga , tidak ada disebut dengan jelas di dalam al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis ada disebutkan mengenai sungai Rejab,

" Bahawanya di syurga terdapat suatu sungai yang disebut sungai Rajab , airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu . Sesiapa yang puasa satu hari dalam bulan Rejab , maka Allah memberikan minuman dari sungai itu . "(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengenai sungai-sungai di syurga itu, airnya tidak berubah rasa dan baunya. Ada yang daripada air susu, arak dan madu. Hal ini dinyatakan dalam surah Muhammad ayat 15,

“Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih..”.(15)

Firman Allah SWT lagi pada ayat 25,

“… tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya”.(25)

Maksudnya setiap kali penghuni syurga itu menikmati buah-buahan di dalam syurga, mereka akan berkata : “ Inilah yang diberikan kepada kami dahulu”.

Menurut Imam as-Sayuti, buah-buahan yang dihidangkan dalam syurga itu serupa dengan buah-buahan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT semasa di dunia dahulu. Cuma yang membezakan ialah rasa dan kelazatannya sahaja yang berlainan, kerana tidak mungkin buah-buahan di dunia adalah sama rasanya dengan buah-buahan di syurga.

Selain itu Allah SWT menjelaskan juga bahawa penghuni syurga itu akan diberikan pasangan yang berupa isteri-isteri yang bersih dan suci. Setengah ahli tafsir menghuraikan maksud bersih dan suci itu ialah mereka tidak di datangi haidh apatah lagi nifas. Selain itu mereka juga bersih dan suci dari sifat kekurangan atau menjemukan. Berbeza pula dengan isteri-isteri di dunia, walau pun cantik namun mereka tidak lari dari sifat kekurangan dan menjemukan.

Bagaimana pula kedudukan isteri-isteri di dunia yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT, adakah mereka akan bersama-sama dengan suami mereka di syurga kelak ? Jawapannnya ya, mereka akan tetap menjadi pendamping suaminya di syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk syurga yang lainnya.

Di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa penghuni syurga itu akan tinggal kekal selama-lamanya. Menurut Ahlusunnah wal jamaah, maksud kekal di sini ialah bukan kekal dengan sendirinya kerana yang layak kekal dengan sendirinya hanyalah Allah SWT.

Firman Allah SWT pada ayat 26,

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;”(26)

Sebab ayat ini diturunkan kerana orang-orang Yahudi mempersoalkan mengapa Allah SWT memberi misal yang remeh temeh yang tidak bernilai buat mereka seperti lalat yang terkandung dalam surah al-Haji ayat 73,

“Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya”.(73)

Demikian juga mengenai misal labah-labah dalam surah al-Ankabut ayat 41,

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”.(41)

Justeru Allah SWT menjawab bahawa Dia tidak malu untuk memberi misalan-misalan seperti nyamuk atau yang lebih hina daripada itu kerana semua misalan itu mempunyai hikmat yang hanya difahami oleh orang-orang yang beriman kepada-Nya sahaja.

Sebaliknya bagi mereka yang menderhakai-Nya, mereka tetap tidak akan menerima misalan-misalan yang Allah berikan disebabkan kekufuran dan kefasikan yang ada pada diri mereka.

Firman Allah SWT,

“(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi”.(27)

Di sini Allah SWT menjelaskan tentang perihal orang-orang fasik. Dalam tafsir Ahmad Sonhadji menyatakan :

1. “(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya..", iaitu mereka yang pernah diturunkan kitab Taurat dan Injil yang mengkhabarkan berita tentang kedatangan Nabi Muhammad SAW serta mereka berjanji akan mengikuti baginda, tetapi apabila Nabi Muhammad SAW telah diutuskan, mereka memungkiri janji dengan menolak kerasulan baginda.

2. "..dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan..", ertinya mereka yang memutuskan silaturrahim sedangkan Allah SWT memerintahkan supaya menjaga hubungan baik sesama ahli keluarga dan juga sesama Islam.

3. "...dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi". Iaitu golongan yang melakukan kerosakkan dimuka bumi baik yang merosakkan kebendaan mahu pun peradaban.

Ketiga-tiga glongan ini akan menerima kerugian yang besar di akhirat kelak kerana menerima azab hukuman yang amat pedih.

Firman Allah SWT pada ayat 28,

“Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)”.(28)


Dalam ayat ini Allah SWT bertanya kepada orang-orang yang mengkufuri-Nya, adakah mereka masih mahu mengengkari-Nya sedangkan Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa menjadikan mereka daripada tidak ada, kemudian di hidupkan ke dunia, kemudian sampai masanya dimatikan semula dan apabila hari Qiamat mereka akan dibangkitkan semula untuk bertemu dengan Allah SWT.

Kemudian mereka akan bertemu dengan Allah SWT untuk diberi balasan segala amalan yang telah mereka lakukan di dunia.

Firman Allah SWT pada ayat 29,

“Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.(29)

Setelah Allah SWT menerangkan kekuasaan-Nya menghidup, memati kemudian menghidupkan semula manusia untuk bertemu dengan-Nya di padang Mahsyar, lalu Allah SWT menjelaskan pula kekuasaan-Nya menjadikan segala sesuatu di bumi untuk faedah manusia.

Dalam erti kata lain segala makhluk ciptaan-Nya di bumi seperti tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, binatang ternakan, udara, bahan-bahan galian, minyak, emas, perak dan sebagainya semuanya adalah untuk kegunaan dan manfaat manusia dalam menjalani urusan kehidupan.

Kemudian Allah SWT terangkan pula akan kekuasaan-Nya mencipta tujuh petala langit dengan sempurna. Yang dikatakan langit itu ialah seluruh falaq yang mencakupi semua benda yang wujud di angkasa yang luas dan jelas kelihatan di sekeliling kita.

Ia seumpama kubah yang besar di mana terdapat di dalamnya matahari, bulan dan bintang. Ia tidak dapat dirasa atau disentuh kerana tiada manusia yang pernah sampai kepadanya secara hakiki.

Firman Allah di hujung ayat 29,

“..dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.(29)

Di penghujung ayat, Allah SWT menjelaskan bahawa Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu, ertinya Dialah Tuhan Yang Maha Mengetahui bagaimana cara membuat dan menguruskan alam yang diciptakan-Nya.

Oleh itu hendaklah manusia bersyukur kepada-Nya dengan cara menyembah Dia sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Perkasa.

Wallahualam.

HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.