Thursday, December 29, 2011

‘Pluralisme Agama’ dan kisah hari Sabtu


Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah ayat 62-66


Firman Allah SWT,

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(62)Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.(63)Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.(64)Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.(65)Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.(66)

Huraian ayat

Firman Allah SWT pada ayat 62,

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.(62)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan empat golongan :

1.Golongan yang beriman dan beramal soleh.

2.Golongan Yahudi di zaman Nabi Musa a.s, di kalangan mereka ada yang mentaati ajaran baginda yang terkandung di dalam kitab Taurat.

3.Golongan Nasrani. Perkataan Nasrani diambil dari nama Nazareth iaitu tempat di mana Nabi Isa a.s tinggal bersama ibunya Maryam. Di kalangan golongan ini ada yang mentaati ajaran Nabi Isa a.s iaitu mentauhidkan Allah SWT seperti yang terkandung di dalam kitab Injil.

4.Golongan Saabien iaitu satu kaum yang pada awalnya menyembah patung berhala. Apabila sampai seruan Nabi Isa a.s kumpulan ini terbahagi kepada dua. Kumpulan pertama membenarkan ajaran Nabi Isa a.s beriman kepada Allah, dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh sedangkan kumpulan kedua terus kekal dengan agama menyembah patung berhala.

Inilah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT, mereka diberi pahala atas amal soleh yang mereka lakukan di dunia. Di akhirat mereka tidak akan merasa duka cita mahu pun bersedih berbanding dengan golongan yang mengkufuri Allah SWT.

Ada pun setelah diutusnya Nabi Muhammad saw, maka tiada jalan lain bagi kumpulan ini (Yahudi, Kristian dan Shabe’in) untuk selamat melainkan mesti mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT seperti mana yang dilakukan oleh pendita-pendita Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah yang antaranya ialah Warqah bin Naufal, Abdullah bin Salam dan juga Buhaira. Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 43,

“ Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah”.(43)

Malangnya ayat ini telah disalah tafsirkan oleh sekumpulan cendekiawan Islam yang membawa fahaman ‘Pluralisme Agama’.

Menyanggah fahaman Pluralisme Agama

‘Pluralisme Agama’ ialah satu fahaman yang menyakini bahawa semua agama adalah sama taraf dan semuanya mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di Akhirat. Mengikut fahaman ini, tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak kerana semua agama adalah bersifat relatif.

Fahaman ini pada asalnya dikembangkan oleh sekelompok pemikir Kristian seperti Raimundo Panikkar, Wilfred Cantwell Smith dan Fritjhof Schuon dan John L. Esposito. Ia meresapi dan mempengaruhi sarjana Islam seperti Seyyed Hossein Nasr.

Di Indonesia, ‘Pluralisme Agama’ digerakkan oleh beberapa tokoh terpelajar seperti Nurcholish Madjid (Cak Nur), Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman dan Azyumardi Azra.

Nurcholish Madjid yang dianggap sebagai pelopor di telah mengubah makna kalimah Syahadah dengan pengertian “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun (mana-mana agama) adalah benar.

Oleh kerana doktrin ‘Pluralisme Agama’ sangat bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar maka pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) telah mengeluarkan fatwa mengharamkan fahaman ini. Manakala di Malaysia, fahaman ini diharamkan melalui muzakarah ulama se-Malaysia pada tahun 2006.

Menurut ‘Pluralisme Agama’ syurga bukan hak ekslusif orang-orang Islam sahaja. Sebaliknya sesiapa sahaja yang jujur dan ikhlas beragama, tidak kiralah mereka itu beragama Islam, Yahudi, Nasrani atau Shabe’in, tetap berpeluang untuk masuk ke syurga. Dalil yang mereka gunakan ialah al-Baqarah ayat 62,

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.(62)

Selain itu nas lain yang mereka gunakan ialah surah al-Maidah ayat 69,

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani – sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”. (69)

Menurut ‘Pluralisme Agama’, dua ayat ini jelas meletakkan penganut agama Yahudi, Kristian dan Shabe’in sebaris dengan orang-orang yang beriman. Mereka dikatakan beriman kepada Allah, beriman kepada Hari Akhirat serta beramal solih mengikut cara agama mereka. Dalam konteks hari ini penganut agama Hindu dan Buddha juga termasuk sebagai orang yang beriman kerana mereka menyembah patung sama seperti golongan Shabein yang disebut oleh al-Quran.

Di hujung ayat ini mereka mentafsirkan bahawa semua penganut agama-agama tadi janganlah bimbang dan berdukacita kerana mereka tetap di beri peluang untuk memasuki syurga oleh Allah SWT.

Jelas kedua-dua tafsiran ini bertentangan dengan tafsiran sebenar seperti yang telah dihuraikan sebelum ini. Ia juga berlawanan dengan firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 85,

“ Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”.(85)

Hujah seterusnya, jika benarlah agama Yahudi itu betul, tidak perlulah Nabi SAW bersusah payah mengajak mereka memeluk Islam. Begitu juga dengan penganut Kristian, tidak perlulah Nabi SAW mengajak penganut-penganut agama Kristian yang datang dari bumi Najran untuk bermubahalah seperti yang dikisahkan dalam surah ali ‘Imran ayat 61,

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.(61)

Kembali kepada surah al-Baqarah ayat 63,

“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.(63)

Allah SWT menceritakan betapa degilnya kaum Bani Israil untuk membuat persetiaan dengan-Nya supaya mematuhi dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung di dalam kitab Taurat secara bersungguh-sungguh. Sehingga Allah SWT mengancam untuk menghempap mereka dengan bukit Tursina barulah mereka tunduk, taat dan segera untuk bersetia dengan Allah SWT .

Mesej daripada ayat ini jelas bahawa syariat di zaman Nabi Musa a,s hendaklah diterima secara total sama ada suka atau tidak. Jika enggan menerimanya, Allah SWT akan segera menurunkan azab dan kebinasaan pada ketika itu juga.

Berbeza di zaman Nabi Muhammad SAW, tidak ada paksaan ke atas manusia untuk beriman kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)”.(al-Baqarah : 256)

Mengenai adakah bukit Tursina benar-benar diangkat di atas kepala kaum Bani Israil ? Peristiwa ini tidak usah dipertikaikan kerana ia adalah harus bagi Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukannya sebagaimana Dia telah membelah laut Merah bagi menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya dari buruan Firaun.

Firman Allah pada ayat 64,

“Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi”.(64)

Allah SWT menceritakan persetiaan yang dibuat oleh Bani Israil itu rupa-rupanya telah dimungkiri, di mana mereka tidak menyempurnakan segala perintah yang terdapat di dalam kitab Taurat. Jika tidak kerana rahmat dan belas kasihan Allah SWT yang memberi mereka peluang untuk bertaubat, sudah pasti mereka akan dibinasakan dan menjadi kaum yang rugi.

Ayat ini memberi mesej kepada umat Islam supaya mematuhi segala perintah yang terdapat di dalam ktab suci-Nya iaitu al-Quran. Jika ajaran kitab ini tidak dipatuhi umat Islam akan menjadi hina, dijajah dan diperlekehakan oleh bangsa lain.

Firman Allah pada ayat 65,

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.(65)

Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan lagi kisah Bani Israil yang melanggar perintah Allah kerana menangkap ikan pada hari Sabtu. Sebahagian Mufassirin menyatakan kisah ini berlaku di zaman Nabi Daud a.s.

Bani Israil telah diperintahkan untuk memuliakan hari Sabtu sebagai hari untuk beribadah. Ertinya segala pekerjaan mereka seperti mengakap ikan hendaklah dihentikan. Mereka mencari helah, mereka memasang lukah pada hari Jumaat, pada hari Sabtu ikan-ikan masuk ke dalam lukah dan pada hari Ahad mereka mengutip hasil tangkapan ikan. Mereka merasa bangga kerana dapat mempermain-mainkan perintah Allah SWT.

Disebabkan itu Allah SWT kutuk mereka menjadi kera yang hina. HAMKA dalam tafsir Al-Azhar menjelaskan yang dimaksudkan menjadi beruk ialah perangai mereka seperti beruk. Sebab kalau beruk berperangai beruk, tidaklah heran dan bukanlah azab. Yang azab ialah jika manusia berperangai beruk. Orang tidak benci kepada beruk berperangai beruk, yang orang benci ialah manusia yang berperangai beruk.

Firman Allah SWT pada ayat 66,

“ Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa".(66)

Maksudnya apa yang Allah timpakan ke atas kaum Bani Israil adalah pengajaran kepada orang-orang di zaman itu dan juga kepada mereka yang akan datang serta bagi mereka yang hendak bertaqwa.

Bagi umat Islam hari ini khususnya kaum lelaki yang Allah perintahkan supaya menunaikan solat Jumaat, janganlah memberi pelbagai alasan untuk menguzurkannya kerana manusia yang diberi akal tetapi mengingkari perintah Tuhan adalah lebih hina daripada binatang.

Wallahualam.

HAK CIPTA TERPELIHARA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.