Thursday, December 1, 2011

Persaudaraan dalam Islam

Islam tidak redha umatnya berpecah belah

Persaudaraan dalam Islam tidak berasaskan kepada kedudukan dan pangkat apatah lagi kepada harta dan material. Persaudaraan seperti ini akan melahirkan rasa kecewa, marah, tidak puas hati dan dendam sesama manusia. Banyak terjadi mereka yang berbaik dengan sahabat kerana kedudukan, harta dan pangkat akhirnya akan meninggalkan sahabatnya jika apa yang mereka miliki itu sudah hilang atau pun musnah.

Oleh itu persaudaraan dalam Islam adalah berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT. Mereka yang mentauhid yakni meng-Esakan Allah SWT serta mengaku Nabi Muhammad SAW itu adalah utusan-Nya, mereka diikat sebagai saudara seagama.

Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara..”(Al-Hujurat : 10)

Persaudaraan Islam mewujudkan manusia yang saling tolong menolong ke arah kebaikan. Ibarat seperti satu jasad, jika ada bahagian lain merasa sakit maka seluruh jasad itu akan turut menerima kesannya. Sabda Nabi SAW,

“Orang beriman dengan orang beriman yang lain itu adalah seperti jasad yang satu. Sekiranya salah satu anggota mengalami kesakitan, maka seluruh jasad akan turut berjaga malam, merasa panas dan gusar.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam bukan agama yang menuntut umatnya bersifat individualistik. Islam menyuruh umatnya supaya sentiasa prihatin terhadap nasib yang menimpa saudara seagamanya. Jika sesuatu mudharat, bencana atau kezaliman berlaku ke atas saudara seaqidah, maka umat Islam yang lain hendaklah bersungguh-sungguh menghulurkan tangan membantu sedaya upaya. Inilah sifat mukmin yang hakiki seperti yang digariskan oleh Islam.

Mereka yang tidak memperdulikan nasib saudara seagamanya bakal tidak diakui sebagai umat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW,

“ Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan kaum muslimin, maka ia bukanlah termasuk dari kalangan mereka”. (Hadis riwayat Abu Daud)

Faedah daripada sifat saling bantu membantu dan berkerjasama ini bukan sahaja diperolehi di dunia, malah juga di akhirat. Sabda Rasulullah SAW,

“Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat”. (Hadis riwayat Muslim)

Dalam Islam adalah sangat buruk lagi keji akhlaknya jika mana-mana individu muslim merasa gembira apatah lagi ketawa dengan kesusahan dan musibah yang dialami oleh saudara seagamanya.

Sifat ini adalah bersumberkan Iblis dan Syaitan yang sentiasa mengapi-apikan permusuhan sesama manusia. Akibat buruk daripada sifat ini ialah Allah SWT akan mengurniakan musibah ke atas dirinya pula seperti mana yang berlaku ke atas saudaranya itu.

Sabda Rasulullah SAW,

”Janganlah menunjukkan kegembiraan di atas penderitaan saudara muslim, kerana nanti Allah akan menyelamatkannya dan menimpakan musibah itu terhadap kamu pula”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Islam melarang melakukan sesuatu perkara yang boleh membawa kepada permusuhan, pergaduhan sehingga kepada berbunuh-bunuhan. Jika wujud sebarang perselisihan dan pertelingkahan maka jalan yang terbaik ialah kembali kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT,

“…Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu (perkara), kembalilah ia kepada (kitab) Allah dan (sunah) Rasul, jika kamu benar-benar beriman terhadap Allah dan hari kemudian. Itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya.” (Surah An-Nisa ayat 59)

Bagi mengekang persaaan marah semasa berselisih atau berbantah, maka Islam menyuruh umatnya supaya mengawal lidah dengan cara diam.

Sabda Rasulullah SAW,

“Apabila seseorang kamu sedang marah, maka hendaaklah dia diam”. (Hadis riwayat Ahmad)


Berbicara dalam kedaan marah akan mudah dikuasai oleh emosi dan nafsu yang membawa kepada penyesalan yang berpanjangan. Seperti kata pepatah Melayu, “Telajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk akibatnya”.

Setiap bibit-bibit perpecahan seperti dengki mendengki dan benci-membenci adalah di larang sama sekali. Sabda Rasulullah SAW,

“Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinainya. Taqwa itu berpunca dari sini - sambil Nabi saw menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya.”(Hadis riwayat Muslim)

Perbuatan memutuskan silaturrahim sehingga tidak bertegur sapa antara satu sama lain juga adalah haram dan berdosa besar. Sikap ini bukan sahaja melahirkan keluarga yang berpecah dan tidak bersatu malah mewujudkan perasaan yang tidak tenteram dalam jiwa sekaligus menjauhkan rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW,

”Terbuka pintu syurga pada tiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan pada hari itu untuk mengampunkan setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dgn sesuatu apapun, kecuali kepada orang yang masih bersengketa antaranya dengan saudaranya, maka dikatakan Allah kepada malaikat, Tangguhkan kedua orangg itu sehingga mereka berdamai”.(Hadis riwayat At- Tirmizi)

Dalam sepotong lagi hadis Nabi SAW bersabda,

“Tidak halal bagi seorang Islam itu tidak menegur sapa saudaranya lebih daripada tiga hari, berjumpa keduanya maka berpaling seorang ke tempat lain dan seorang lagi ketempat lain. Yang lebih baik daripada dua orang ini ialah siapa yang memulakan salam”. (Hadis riwayat Tirmidzi)

Islam juga tidak redha umatnya hidup saling mencaci, memaki dan melaknat, kerana semua perilaku ini boleh mewujudkan perseteruan, perbalahan sehingga ke tahap pertumpahan darah.

Sabda Rasulullah SAW ,

“Jika seorang hamba melaknat sesuatu, maka laknat itu akan naik ke langit, dan tertutuplah pintu-pintu langit. Kemudian laknat itu akan turun lagi ke bumi, namun pintu-pintu bumi telah tertutup. Laknat itu kemudian bergerak ke kanan dan ke kiri, jika tidak mendapatkan tempat berlabuh, dia akan menghampiri orang yang dilaknat, jika layak dilaknat. Namun jika tidak, maka laknat itu akan kembali kepada orang yang melaknat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Selain itu Islam tidak menghalalkan umatnya berbohong sesama mereka kerana sikap mazmumah ini merupakan pengkhianatan besar. Sabda Rasulullah SAW,

“Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar”.(Hadis riwayat Abu Daud)

Berbohong bukan sahaja merenggangkan persahabatan tetapi menghilangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai. Jika sekali sudah terpalit dengan menipu dan berbohong, amat sukar masyarakat hendak mempercayainya di masa akan datang. Setiap tindak tanduk dan percakapannya akan sentiasa diragui. Oleh itu hindari berbohong kerana ia memberi mudharat ke atas pelakunya di dunia dan juga seksaan di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW lagi,

“Mahukah kamu akau tunjukkan perihal dosa-dosa besar ? Kami menjawab : Ya, tentu mahu ya Rasulullah. Rasulullah saw menjelaskan, Menyengutukan Allah, derhaka kepada orang tua. Oh ya (ada lagi) iaitu perkataan dusta”. (Muttafaq ‘alaih)

Membuka aib seseorang juga satu perbuatan keji yang dilarang Islam. Jika mahu aib kita dilndungi Allah daripada di buka dan di paparkan di padang Mahsyar maka jangan sekali-kali membuka aib orang semasa di dunia. Sabda Rasulullah SAW,

“Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Catatan :

Abu Sofeya
Kolej Tuanku Jaafar
9.17 pagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.