Sunday, June 24, 2012

Suasana penutup kursus Asas Haji 1433 H peringkat daerah Seremban








Majlis Penutup Kursus Asas Haji bagi musim 1433 H peringkat daerah Seremban telah berjaya disempurnakan oleh Pengarah Tabung Haji Negeri Sembilan pada 9 hb Jun, bertempat di Masjid Kuaters KLIA  baru-baru ini. 

Ia melibatkan hampir 1600 orang peserta dari lima buah Masjid iaitu :

1. Masjid Putra Nilai
2. Masjid Negeri Seremban
3. Masjid Paroi Jaya 
4. Masjid Bandar Baru Senawang 
5. Masjid Kuaters KLIA

Majlis telah dimulai dengan bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat. Seramai enam orang guru pembimbing ibadah Haji terlibat dalam menjayakan program tahunan ini. 

Rata-rata peserta kursus merasa gembira dengan aktiviti yang dijalankan dan merasa tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. 

"Wah cikgu...,  pergi Haji ke tahun ni...?, tanya saya kepada seorang kenalan, cikgu Husin dari Taman Warisan Puteri Sikamat. 

"Belum tahu lagi Ustaz..., harap-harap macam tulah...", katanya tersenyum bersama isteri. 

Saya mendoakan hajat pasangan suami isteri ini untuk ke tanah suci tercapai. 

Hari ini saya melihat ramai peserta kursus terdiri daripada orang-orang muda. Mungkin sudah ada kesedaran di kalangan mereka untuk mengerjakan ibadah haji ketika badan masih sihat dan kuat.  

Pengalaman mengerjakan Haji pada tahun 2008, saya melihat majoriti jemaah haji Malaysia menetap di Mina Muassim semasa hari Tasyrik. Ada juga yang tinggal di Mina Muhassir berhampiran Muzdalifah. 

Sedikit sangat yang tinggal di Mina Jamarat, (yang paling hampir dengan tempat melontar) mungkin yang tinggal di sini mengikut pakej VIP. 

Jarak perjalanan dari Mina Muassim ke Jamarat (tempat melontar)hampir 6 km pergi dan balik. Bayangkan pakcik makcik yang berusia 70 ke 80 an berjalan untuk pergi melontar.  

Kasihan....baru lima minit berjalan, mereka akan berehat. 

Itu belum lagi balik semula ke Mekah untuk tawaf Ifadhah dan juga sae'i rukun. Sehingga ada yang demam kerana melakukan ibadah ini. 

Oleh itu saya menyeru rakan-rakan yang masih muda, ayuh pergilah tunaikan haji semasa badan masih tegap dan kuat. 

Bagi yang belum daftar, silalah daftar dengan segera. Yang sudah mendaftar buatlah surat rayuan, mudah-mudahan Allah SWT permudahkan urusan untuk ke sana. 

Tentang wang tambang dan perbelanjaan, janganlah dirisaukan. Kalau Allah SWT mahu menjemput kita sebagai tetamu-Nya,  sudah pasti Dia akan murahkan rezeki kita. Kadang-kadang kita akan mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka! 

Yang pentingnya kita berazam dan berusaha untuk ke sana. 

Selebihnya tawakal !

 Abu Sofeya











No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.