Wednesday, August 22, 2012

2 tips daftar mengerjakan umrah


Ketika di tanah suci baru-baru ini, saya banyak menerima khabar angin yang mengatakan visa umrah 2013 bakal dibekukan. Dikatakan kawasan matof di dataran Kaabah akan dipecah untuk ditukar mamar baru. 


Daripada pemandu teksi, penyapu sampah sehinggalah kepada pencuci hotel semua menyatakan perkara yang sama.

Namun apabila saya ajukan perkara ini kepada syarikat –syarikat agensi umrah di sana, masing-masing diam tidak memberi respon.

Saya faham industri membawa jemaah ke tanah suci berkembang maju bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia Islam. Jika benarlah kerajaan  Arab Saudi membekukan visa umrah untuk tahun 2013, sudah tentu hal ini bakal merencatkan perniagaan syarikat-syarikat agensi umrah baik yang berskala kecil mahu pun besar.

Apatah lagi orang kerdil seperti saya yang masih belajar dan bertatih dalam membawa jemaah umrah, sudah tentu tidak mahu khabar angin ini menjadi realiti.

Tips bagaimana hendak mendaftar mengerjakan umrah

Selama tiga kali berkhidmat sebagai ketua rombongan umrah, di sini saya ingin berkongsi pengalaman kepada anda 2 tips bagaimana mahu mendaftar mengerjakan umrah supaya anda berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.

Ingat ! Modal mahu mengerjakan umrah bukan sedikit, tetapi melibatkan RM 4 ribu ke RM 6 ribu. Sebab itu jangan main ‘bantai-bantai’ sahaja semasa mendaftar, sebaliknya perlu kepada teknik pendaftaran yang bijak supaya anda pulang ke tanah air dengan rasa gembira dan  berbaloi dengan modal yang telah dikeluarkan.

Tips pertama :-  Kepada mana-mana individu perseorangan atau  jemaah berkumpulan yang hendak mengerjakan umrah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari syarikat agensi ‘bermodal besar’  yang mempunyai hotel sendiri yang dipajak di tanah suci.

Perlu diketahui, tidak semua syarikat-syarikat agensi umrah yang diiklankan di surat khabar mampu memajak hotel di tanah suci yang harganya paling murah SR 3 juta setahun. 

Hotel ini biasanya akan dihias logo syarikat agensi dan 90 peratus penghuninya adalah dari syarikat agensi umrah tersebut. Bayangkan anda pergi melalui syarikat agensi yang tidak mempunyai hotel sendiri, kemudian tinggal menyewa di hotel syarikat agensi lain, sudah tentu anda merasa seperti orang asing dalam satu keluarga yang besar.

Saya pernah mendengar rungutan dari seorang jemaah yang menumpang di hotel kami,

“Aku ingatkan syarikat agensi yang aku ikut ni bagus…., iklannya sering keluar dalam surat khabar…, rupa-rupanya hotel pun tak da.., menyewa pula di hotel syarikat agensi lain”. 

Dan paling malang sekiranya di saat-saat akhir, tuan punya hotel (syarikat agensi bermodal besar) membatalkan tempahan sewa dari syarikat agensi-agensi lain kerana ingin menampung keperluan jemaahnya yang terlalu ramai.  

Sebab itu ada syarikat agensi yang menawarkan hotel lain, tetapi apabila sampai di tanah suci lain pula hotel yang disediakan. Ayat-ayat keramat yang sering dilafazkan oleh wakil syarikat agensi  tersebut untuk memujuk hati jemaah mereka ialah,  

“Tuan puan kena banyak bersabar, ini semua dugaan daripada Allah SWT ! ”

Tips kedua :- Apabila sudah tahu hotel penginapan yang menjadi milik syarikat agensi umrah yang hendak disertai, ingat : jangan daftar dahulu !!!

Jangan terlalu gopoh hendak isi borang lalu menyerahkan duit deposit kepada syarikat agensi. 

Sebaliknya perkara kedua terpenting ialah jemaah perlu mengetahui siapakah ketua rombongan yang bakal memimpin mereka sepanjang perjalanan ke sana nanti.

Sila dapatkan daripada agensi berkenaan nombor telefon ketua rombongan tersebut, kemudian hubunginya, disusuli pula dengan pertemuan untuk sesi perkenalan dan silaturrahim. 
   
Jemaah juga boleh bertanya serba sedikit tentang hukum hakam berkaitan umrah sekadar untuk menguji kefahaman ketua rombongan ini. Hal ini penting kerana bukan semua ketua rombongan  berlatarbelakangkan pengajian agama, malah ada di kalangan mereka bekas pegawai-pegawai kerajaan yang sudah pencen, kerani-kerani pejabat dan macam-macam lagi latar belakang pendidikan.

Jika persoalan hukum hakam umrah yang dikemukakan kepada mereka dijawab ‘semborono’, adakah jemaah yakin bahawa ketua rombongan ini boleh memimpin ibadah umrah dengan baik ?

Jika perlu, sila dapatkan testimoni dari mana-mana jemaah yang pernah mengikuti ketua rombongan ini. Senarai nombor telefon jemaah boleh diperolehi daripada syarikat agensi berkenaan.

Saya banyak menerima aduan dari jemaah,

“Ustaz, masa saya pergi dengan Haji Pulan dulu……, masya Allah kelam kabut. Jemaah dibiarkan beribadat sendiri-sendiri, tiada bimbingan…, bila ditanya hukum hakam, dia mengelak tidak mahu menjawab malah disuruhnya kami bertanya ustaz lain pula.…”

Baiklah, jika sudah mengenali bakal ketua rombongan dan berpuas hati dengan keperibadian dan kefahamannya dalam hukum hakam umrah, maka mendaftarlah terus dengan ketua rombongan ini. Isi borang dan bayar deposit kepadanya.

Kenapa ?

Kerana sudah menjadi amalan mana-mana syarikat agensi untuk memberi sedikit komisyen kepada mana-mana ketua rombongan yang berjaya mendaftarkan jemaah di bawahnya. Jumlah komisyen bergantung kepada kedudukan modal sesebuah syarikat agensi. Biasanya dari RM100 – ke RM250.

Sekiranya jemaah mendaftar secara ‘walk in’, (daftar terus kepada syarikat agensi), maka ketua rombongan ini tidak mendapat apa-apa komisyen.

Beberapa hari sebelum berangkat, biasanya syarikat agensi akan menghubungi ketua rombongan,

“Tuan Haji…., ada beberapa jemaah yang mendaftar terus dengan kami akan ikut tumpang rombongan Tuan Haji. Harap Tuan Haji dapat membimbing mereka ya…”

“Insya Allah”, jawab ketua rombongan.

Kadang-kadang jawapan “Insya Allah” yang dikeluarkan oleh ketua rombongan hanya sekadar menyedapkan hati syarikat agensi berkenaan.

Sampai di sana, lain pula ceritanya kerana ketua rombongan bukan maksum. Mereka juga adalah manusia biasa.

Apa yang berlaku, jemaah yang mendaftar secara ‘walk in’ di anaktirikan oleh ketua rombongan. Sebagai contoh : Katakanlah daripada 45 orang jemaah yang dipimpin, 37 orang daripadanya mendaftar terus dengan ketua rombongan, mereka akan dilayan dan dibimbing dengan baik, sakit pening, beg atau air zam-zam tidak sampai akan diselesaikan sedaya upaya, sebaliknya  8 orang yang mendaftar secara ‘walk in’   masalah mereka akan dilayan endah tak endah !

"Mengapa kau tak mendaftar dengan aku?", mungkin itu yang timbul di hati ketua rombongan apabila jemaah yang mendaftar secara 'walk in' mengadu masalah.

Perkara ini sering diajukan kepada saya,

“Ustaz…, masa saya pergi dengan Haji Pulan…., dia langsung tidak ambil berat kebajikan kami yang tiga orang ini. Saya sakit pun tidak dihantarnya ke klinik.  Bebeza dengan jemaah lain…, dilayannya macam anak emas”.

Mengapa hal ini berlaku ?

Sama ada ketua rombongan itu seorang yang tidak bertanggungjawab, atau jemaah yang tiga orang ini tidak mendaftar terus dengan ketua rombongan tersebut.

Na’uzubillah…, saya berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini tidak berlaku kepada diri saya semasa membimbing jemaah di tanah suci.

Saya akan berusaha untuk memuaskan hati semua jemaah sama ada yang mendaftar dengan saya atau secara 'walk in'.

Testimoni jemaah yang pernah mengikut rombongan saya :

1.       Dr Zakaria bin Abdullah 0192554029
2.       En Amirul Akmal bin Misran 0197667469
3.       Illyas Ashrawi bin MK Azmi 0193037316
4.       En Zulqarnain bin Abu Hassan 0176519965
5.       Tuan Haji Mohamad bin Khalil 012 6768116
6.       Tuan Haji Asan 0173999016
7.       Tuan Haji Harun 0162478732
8.       Encik Aris 0134282456
9.       Hajah Rahimah binti Mat Yasin 0192699041
10.   Puan KamarMahtum binti Abdul Wahab 0176203822
11.   Puan Rabayah binti Indra Andi Tibe 0163465691
Puan Hajah Zabedah binti Daud 0123368860

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.