Wednesday, August 1, 2012

Doakan saya di tanah suci

Esok jadual saya agak padat.

Selepas sahur saya akan bersolat Subuh di Masjid Qaryah Sikamat. Ada beberapa jemaah yang ingin bertemu, mungkin mahu mengucapkan selamat jalan, atau mungkin ada yang hendak mengirim doa untuk dipanjatkan di depan Kaabah.

Pukul 7.00 pagi, van KRS Travel akan menjemput saya di Taman Perwira seterusnya ke Vila Suria untuk mengambil dua orang jemaah di sana.

Saya perlu berada di KLIA seawal 8.00 pagi, sejam lebih awal daripada masa yang ditetapkan kepada ahli rombongan. Sebagai 'trip leader' biarlah saya yang menunggu ketibaan jemaah daripada jemaah ternanti-nanti ketibaan saya. Daripada 49 orang jemaah yang bakal dipimpin, dua daripadanya ialah Pensyarah dan bekas Pensyarah USIM dan UPM.  

Penerbangan MAS ke Jeddah dijadual pukul 11.55 pagi, syukur setakat ini tiada sebarang 'delay'. Kami dijangka tiba di Terminal Haji Jeddah pada pukul 3.55 petang waktu tempatan. Dengan erti kata lain kami perlu berpuasa agak lama sedikit kerana masa di sana berundur 4 jam.

Oleh kerana urusan imigresen mungkin memakan masa 2 atau 3 jam, justeru saya telah memaklumkan kepada jemaah supaya membawa sedikit kurma atau roti untuk berbuka puasa di Terminal Haji.

Saya juga telah menghubungi Tuan Haji Mustafa Jaakan, wakil KRS Travel di Mekah supaya menyediakan nasi bungkus untuk di makan di dalam bas semasa perjalanan ke Mekah nanti. Saya tidak mahu jemaah saya kelaparan serta merungut-rungut memarahi saya.

Dijangka kami akan tiba  di hotel paling lewat pukul 10.00 malam. Selepas check in dan berehat, mungkin pukul 12 tengah malam kami akan mula mengerjakan Tawaf dan juga Saei. Insya Allah, jika semuanya berjalan lancar ibadah umrah pertama  kami akan tamat pada pukul 3.00 pagi.

Selepas itu kami akan bersahur dan menunggu azan Subuh di Masjidil Haram. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada saya pada hari pertama dan hari-hari berikutnya di tanah suci.

Saya dimaklumkan cuaca di sana agak panas 46 -52 darjah celcius. Ini merupakan dugaan dan cabaran bagi saya. Ya Allah berilah aku kecekalan dalam menghadapi dugaan ini.  Amin...

Dengan pemergian saya ke sana, maka blog ini berehat selama dua minggu dan akan kembali bersiaran insya Allah paling lewat 15 hb Ogos nanti.

Jumpa lagi di lain masa.

Salam hormat,

Abu Sofea 



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.