Monday, August 27, 2012

“Menanti di pintu Baqi’…” : Perihal talbiah


Episod 7 :  Perihal talbiah

“ Sebelum saya terlupa, adalah sunat bagi seseorang yang hendak berniat ihram Haji atau umrah supaya berwuduk, mengadap qiblat dan mengiringi niat selepas itu dengan bertalbiah, Labbaikallahummalabbaik, Labbaikala syarikala kalabbaik, innal hamda, wanni’ mata, lakawal mulk, laa syariikalak…”, terang Ust Haji Abdullah lagi.

“ Sampai bila kita mahu bertalbiah Ustaz ?”, soal Dato’ Hashim.

“Bagi mereka yang sudah berniat ihram umrah, adalah sunat bertalbiah sehingga mahu memulakan  tawaf, manakala bagi mereka yang berniat ihram haji, adalah sunat bertalbiah sehingga apabila mahu bertahallul daripada ihram hajinya itu”, jelas Ust Haji Abdullah dengan tenang.

Dato’ Hashim mengerutkan dahinya, menunjukkan masih kurang faham.

Bagai mengerti apa yang tersirat di kepala Dato’ Hashim, Ust Haji Abdullah melanjutkan lagi penerangannya,

“Begini…, setelah Dato’ berniat ihram Haji dalam kapal terbang,  Dato’ digalakkan bertalbiah. Bila tiba hari 9 Zulhijjah, Dato’ akan wukuf di padang Arafah,  kemudian mabit pada separuh malam 10 Zulhijjah, di susuli dengan melontar jamratul Aqabah dan seterusnya bergunting atau bercukur. Apabila sudah bergunting atau bercukur, maka terhasillah tahallul awal. Dengan itu Dato’ tidak perlu lagi bertalbiah…, sebaliknya diganti dengan takbir raya ”.     
  
“Oohh… begitu”, angguk Dato’ Hashim.

Bersambung…..

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.