Balasan menyembunyikan kebenaran


Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 159


Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan pertunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu di laknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk (159).

Huraian ayat

Walaupun ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang menyembunyikan fakta tentang kerasulan Nabi Muhammad saw yang terdapat dalam kitab mereka, namun ayat ini hendaklah difahami secara umum kerana ia juga meliputi kepada semua pengkhianat dan penyembunyi kebenaran yang ada pada seluruh tempat dan seluruh zaman sehingga hari Qiamat.

Dengan kata lain, ayat ini juga memberi amaran kepada mana-mana ulama Islam yang mempunyai ilmu pengetahuan, apabila di tanya oleh orang ramai sesuatu hukum agama, tetapi dia mendiamkan diri yakni menyembunyikan ilmunya kerana merasa takut akan kehilangan pangkat atau harta dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw,

من سئل عن علم علمه ثم كتمه ألجم يوم القيامة بلجام من نار

Maksudnya : Barangsiapa yang di tanya tentang sesuatu ilmu yang dia ketahui, lalu dia menyembunyikannya, nescaya mulutnya akan dikekang dengan tali kekang api neraka. (HR Abu Dawud dan Tirmizi).

Sebagai contoh hukum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Berapa ramai ulama-ulama yang berjawatan tinggi, bergaji besar malah ada di kalangan mereka yang berjawatan setaraf Exco tetapi bila isu ini di ajukan kepada mereka, mereka hanya berdiam diri.

Sedangkan sahih, Akta Keselamatan Dalam Negeri ini adalah haram kerana perbuatan menangkap serta menghumban seseorang dalam ISA setahun, dua tahun malah ada yang melangkaui sampai tujuh atau lapan tahun tanpa dibicarakan di Mahkamah adalah satu kezaliman yang sangat besar.

Kepada mereka yang menyokong undang-undang zalim ini ingatlah Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 113,

Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka.

Apakah kerana mahu menjaga keamanan Negara, maka ISA ini diperlukan ? Sedangkan dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan Cara”. Sama seperti seseorang yang mahukan duit, tetapi caranya dia merompak dalam bank. Cara seperti ini tidak diiktiraf dalam Islam.

Prinsip Islam dalam menegakkan keadilan, seseorang itu tidak boleh dihukum melainkan setelah dibicarakan. Sebagai contoh kes Hatib bin Abi Baltaah, bekas tentera Badar yang cuba membocorkan rahsia tentera Islam dengan menghantar sepucuk surat kepada Abu Sufian meberitahu tentang perancangan tentera Islam untuk menawan Mekah. Sungguh pun kesalahan Hatib ini sangat besar kerana ia boleh menyebabkan strategi Rasulullah gagal tetapi Rasulullah saw tidak terus menghukum Hatib, malah baginda tetap menjalankan perbicaraan ke atas Hatib.

Balasan ke atas orang yang menyembunyikan fakta kebenaran, mereka dilaknat oleh Allah SWT serta dilaknat oleh sekelian makhluknya di langit dan di bumi. Contoh lain, mana-mana ibu bapa yang tahu tentang dosa orang yang meninggalkan solat, tahu tentang dosa membuka aurat, tiba-tiba bila terkena kepada anak menantu sendiri yang tidak menunaikan solat atau tidak menutup aurat, sedangkan ibu bapa tadi hanya berdiam diri sahaja, maka ibu bapa itu di laknat oleh Allah SWT dan juga turut di laknat oleh makhluk-makhluk Allah yang lain.

Kemudian Allah SWT berfirman,

Maksudnya : Kecuali orang-orang yang bertaubat dan membuat pembetulan dan menerangkan kebenaran maka terhadap mereka itu Aku menerima taubatnya dan Akulah yang Maha Menerima Taubat, lagi Maha Mengasihani. (160)

Di sini Allah SWT menjelaskan kepada mereka-mereka yang menyembunyikan kebenaran, bahawa Dia (Tuhan) sudi memberi pengampunan kepada mereka sekiranya mereka melakukan tiga perkara iaitu :-

1. Bertaubat yakni mengaku kesalahan yang dilakukan, insaf dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi.

2. Membuat pembetulan, maksudnya kalau selama ini mereka bersikap menyembunyikan kebenaran, maka ubahlah pendirian menjadi manusia yang sentiasa menyatakan kebenaran.

3. Menerangkan kebenaran, maksudnya ialah menjelaskan kepada umum hakikat sebenar pada perkara yang disembunyikan dahulu.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu