Di saat menjelangnya Syawal....

Muslimin dan muslimat sekalian,

Insya Allah, sama ada hari Ahad atau hari Isnin ini kita akan menyambut Hari Raya Eidul Fitri.

Bila menyambut Eidul Fitri, antara cabaran terbesar yang akan kita hadapi ialah program-program televisyen yang sentiasa berlumba-lumba untuk menyiarkan rancangan yang bercorak hiburan dan melalaikan. Bermula pada malam raya, sehinggalah berhari-hari telivisyen akan menyiarkan program hiburan kepada umat Islam, seolah-olah Hari Raya adalah hari untuk kita berpesta, berhibur dan menyanyi sakan.

Amaran kepada pasangan kekasih

Bagi pasangan kekasih, dengan lesen kebenaran daripada ibu bapa, mungkin ada di kalangan mereka yang akan menghabiskan 1 Syawal dengan menonton filem-filem di panggung wayang. Atau mungkin mereka diberi kebebasan oleh ibubapa yang kononnya sporting untuk berdua-duaan pergi beraya di rumah rakan dan taulan.

Jelas, ini adalah satu kesilapan besar ibu bapa pada hari ini. Sedangkan dalam Islam, selagi mana anak-anak perempuan tidak mempunyai apa-apa ikatan perkahwinan dengan mana-mana lelaki, adalah haram untuk membenarkan mereka keluar berdua-duaan.

Perbuatan ini mencemarkan kemuliaan Hari Raya. Sabda Rasulullah saw,

من عصى الله فى العيد فكأنما عصى الله فى الميعاد

Maksudnya : Barangsiapa yang melakukan maksiat di hari raya, maka samalah kedudukan mereka dengan orang yang mungkir janji.

Berdasarkan hadis di atas mungkir janji adalah sifat-sifat orang munafik. Justeru orang yang melakukan maksiat di Aidil Fitri kedudukan mereka samalah seperti orang munafik yang mana neraka mereka adalah yang paling bawah !

Tutuplah aurat

Muslimin dan muslimat sekalian,

Pada Hari Raya kita disunatkan memakai pakaian yang elok. Pakaian yang elok tidak semestinya berpakaian baru. Pastikan pakaian yang dipakai oleh isteri dan anak-anak kita menepati kehendak syariat serta menutup aurat. Adalah dayus mana-mana suami atau bapa yang membiarkan anak-anak atau isteri mereka keluar berhari raya dengan memakai pakaian yang menjolok mata seperti memakai kain yang terbelah, baju yang jarang, sendat atau sebagainya.

Ziarah menziarah

Hidupkanlah suasana Hari Raya nanti dengan amalan ziarah menziarahi sesama Islam, bermula dengan menziarahi ibu bapa serta orang-orang yang lebih tua di kalangan keluarga, diikuti dengan kaum kerabat, sanak saudara, jiran-jiran serta sahabat handai. Amalan ziarah adalah amalan mulia yang akan membawa keberkatan dalam hidup serta memanjangkan umur sebagaimana sabda Nabi saw,

“Barangsiapa yang mahu rezekinya bertambah, usianya dipanjangkan maka hendaklah dia menghubungi rahimnya .”

Bagi mereka yang sudah kematian ayah dan ibu, ziarahilah kaum kerabat mereka, baik di sebelah arwah ayah mahupun di sebelah arwah ibu, dan juga ziarahilah sahabat handai mereka kerana Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang sahabat, bagaimanakah mahu membuat kebaikan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ya Rasulullah ? Jawab baginda, Hendaklah kamu memperbanyakkan doa dan istighfar untuk mereka, tunaikan wasiat mereka, hubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang tidak sampai hubungan kamu dengan mereka melainkan dengan perantaraan ibubapa kamu dan muliakanlah sahabat handai mereka yang masih hidup.

Berhati-hatilah di jalan raya

Dalam kita ziarah menziarahi, berhati-hatilah ketika membawa kenderaan. Janganlah tergesa-gesa mahu segera sampai, kerana sifat tergesa-gesa itu adalah daripada syaitan. Ingatlah Allah ketika memandu, ingatlah isteri dan anak-anak, ingatlah orang yang tersayang di kalangan ibu bapa dan saudara mara, sesungguhnya nyawa kita amat berharga di sisi orang yang tersayang. Ketahuilah kematian di jalanraya merupakan kematian yang cukup tertinggi di Negara kita.

Layanlah tetamu

Di Hari Raya, muliakanlah semua tetamu yang datang kerumah kita sama ada tua atau pun muda, sama ada kanak-kanak mahu pun remaja kerana Rasulullah saw bersabda,

ان الضيف اذا دخل بيت المؤمن دخل معه ألف بركة وألف رحمة

Maksudnya : Sesungguhnya tetamu itu apabila ia masuk ke dalam rumah seseorang mukmin, maka dia akan masuk membawa seribu berkat dan seribu rahmat.

Layanilah mereka dengan baik, janganlah kita membeza-bezakan antara tetamu miskin dan tetamu kaya, kerana kita semuanya adalah sama di sisi Allah SWT, cuma yang membezakan antara kita ialah taqwa kepadaNya. Firman Allah SWT,

ان أكرمكم عند الله اتقاكم

Maksudnya : Sesungguhnya yang mulia di sisi Allah di kalangan kamu ialah mereka yang bertaqwa.

Rumah terbuka

Islam tidak menghalang kita mengadakan rumah terbuka kerana ia adalah satu amalan yang mulia dan juga termasuk sebagai amalan bersedekah yang boleh merapatkan hubungan sesama Islam. Tetapi dalam mengadakan rumah terbuka, janganlah kita berlumba-lumba sesama sendiri, untuk menunjukkan rumah terbuka siapakah yang paling hebat, rumah terbuka siapakah yang paling banyak hidangan juadahnya sehingga kita berbelanja besar dan membazir. Ingatlah orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Jagalah pemakanan

Di dalam kita menjamu selera, janganlah kita makan berlebih-lebihan, sebaliknya hendaklah kita bersederhana. Ingatlah, badan yang sihat amat penting bagi kita untuk beribadat dan untuk kita bekerja mencari rezeki. Kawallah pemakanan kita, kekanglah nafsu kerana penyakit diabetes, darah tinggi, lemah jantung, obesity dan lain-lainnya adalah berpunca kerana terlebih makan.

Saling bermaaf-maafan

Pada Hari Raya kita digalakkan saling maaf-bermaafan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lidah mana yang tidak pernah tergigit begitu juga manusia mana yang tidak pernah melakukan dosa sesama manusia. Yang berlalu, biarlah ia berlalu. Janganlah disimpan di dalam hati. Buanglah yang keruh ambillah yang jernih. Oleh itu hulurkanlah salam perdamaian, oleh itu hulurkanlah salam kemaafan, hulurkanlah salam persaudaraan kerana sesungguhnya umat Islam adalah bersaudara sebagaimana firman Allah SWT,

انما المؤمنون اخوة فأصلحو بين أخويكم

Maksudnya : Orang-orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah kedua-dua mereka, takutlah kamu kepada Allah moga-moga kamu akan beroleh rahmat.

Janganlah kita berpaling dan bermasam muka, janganlah kita keraskan hati tidak mahu bertegur sapa kerana Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya berbunyi, Tidak halal umat Islam tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.

Dekatkan diri dengan Allah

Ingatlah wahai muslimin dan muslimat sekelian, apabila kita menyambut Hari Raya menunjukkan umur kita semakin bertambah. Justeru, semakin bertambah usia kita sepatutnya semakin bertambah erat hubungan kita dengan Allah SWT bukannya semakin jauh pula kita dengan-Nya.

Anggaplah Hari Raya Eidul Fitri pada tahun ini merupakan yang terakhir bagi kita semua, kerana kita tidak tahu bilakah kita akan pulang ke pangkuan Allah SWT.

Lihatlah di sekeliling kita. Berapa ramai di kalangan sahabat-sahabat, jiran-jiran, mahu pun sanak saudara yang turut bersama-sama merayakan Eidul Fitri pada tahun lepas, tetapi pada tahun ini mereka tidak lagi bersama dengan kita, mereka sudah menyahut panggilan Ilahi. Mungkin hari yang berikutnya adalah giliran kita, justeru bersiap sedialah dengan amalan soleh sebagai bekalan menuju ke negeri yang abadi.

Akhir kata saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA YANG MENGENALI ...

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu