Di Padang Mahsyar, hutang 5 sen tak bayar ..… Allah ambil 700 solat fardhu !

Apabila manusia dibangkitkan dari kubur untuk menuju ke Padang Mahsyar, mereka bukan sahaja di bangkitkan dalam rupa bentuk dan tabiat yang asal, sebaliknya mereka akan di bangkitkan sama seperti keadaan mereka mati di dunia dahulu. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya,

"Dibangkitkan semula setiap hamba oleh Tuhannya dengan keadaan sebagaimana dia di matikan dahulu".

Peringatan kepada artis-artis penyanyi....

Menurut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rhm di dalam kitabnya Kasyful Ulumil Akhirat menyatakan, di akhirat kelak ada segolongan manusia yang apabila dibangkitkan dari kuburnya akan tergantung di atas bahunya alat-alat muzik yang pelbagai rupa. Peralatan muzik yang terlonggok di atas bahu artis dan pemuzik ini sama ada besar atau kecil adalah satu beban yang sungguh menyeksakan.

Lalu artis atau pemuzik ini melontarkan kesemua peralatan muzik tersebut sambil berkata, “Pergi Jahannamlah kamu semua, sebab engkaulah aku lalai daripada mengingati Allah, sebab engkaulah masa hidupku di dunia dahulu tidak berguna dan tidak ingat akhirat .”

Setiap kali peralatan muzik itu dilontarkan, ia datang semula dan berpaut di atas bahu tuannyanya sambil berkata, “ Bukankah semasa di dunia dahulu aku adalah sahabatmu yang paling setia ? Akulah yang memasyhurkan engkau sehingga engkau menjadi artis terkenal sehingga engkau disanjung dan di puja oleh orang ramai ? ”

Orang berkenaan berusaha menafikan kata-kata peralatan muzik tersebut. Namun semua alat muzik itu bertegas menyatakan, “Tunggulah kita berada di hadapan Allah SWT nanti, biarlah Allah SWT menghakimi masaalah di antara kita berdua, kerana hanya Allahlah yang berhak menghukum dan Dialah Tuhan yang sebaik-baik Hakim”.

Berbagai keadaan ketika ke Padang Mahsyar...

Ketika menuju ke Padang Mahsyar ada yang berjalan terhuyung hayang dalam keadaan perut mereka buncit, besarnya seperti bukit manakala kakinya kecil. Ada yang berjalan dalam keadaan kemaluannya besar dan bernanah dan ada juga yang berjalan berjengkit-jengkit di atas hujung jari kaki. Malah ada juga di antara manusia yang akan tenggelam dengan peluh ketika di Padang Mahsyar. Hal ini diterangkan dalam hadis Rasulullah saw,

عن أبي عمر عن النبي (ص) : (يوم يقوم الناس لرب العلمين) قال : يقومون فى الرشح الى أنصاف أذانهم

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Umar a-Khattab r.anhuma daripada Nabi saw ketika menafsirkan ayat (pada hari orang-orang yang di hadapan Tuhan sekelian alam). Sabda baginda : Orang-orang yang berdiri di hadapan Tuhan itu ada yang tenggelam dalam peluh sehingga ke (cuping) telinga mereka.

Manusia ditanya tentang 5 perkara...

Apabila manusia sudah berhimpun di hadapan Allah SWT, maka setiap orang akan ditanya tentang lima perkara sebagaimana yang diterangkan oleh sebuah hadis

عن ابن مسعود عن النبي (ص) : قال لا تزول قدما ابن أدم يوم القيامة من عند ربه حتى يسئل عن خمس : عن عمره فيما أفناه ؟ و عن ششبابه فيما أبلاه وعن ماله من أين اكتسبه وفيم أنفقه ؟ وماذا عمل فيما علم ؟

Maksudnya : Daripada Ibnu Mas’ud daripada Nabi Saw bersabda : Tidak berganjak kaki anak Adam berdiri di hadapan Allah pada hari Qimat sehinggalah dia ditanya tentang lima perkara iaitu umurnya bagaimana ia dihabiskan, waktu mudanya bagaimana digunakan, hartanya bagaimana diperolehi dan bagaimana pula harta itu dibelanjakan dan ilmunya apakah ia telah amalkan ?

Setiap sesuatu akan menjadi saksi...

Segala saksi-saksi akan di datangkan untuk membuktikan amalan yang merekalakukan semasa di dunia. Umpamanya jika seseorang itu semasa di dunia sentiasa melakukan solat Tahajjud pada waktu malam, maka kain yang dipakai ketika solat Tahajjud atau baju yang dipakainya atau sejadah yang digunakan akan datang menjadi saksinya semasa di akhirat.

Sebaliknya sekiranya dia adalah jenis manusia yang selalu tinggal solat Subuh, maka tilam, bantal dan juga kain selimut yang digunakan ketika tidur akan menjadi saksi di depan Allah SWT menyatakan bahawa orang berkenaan tidak menunaikan solat Subuh.

Manusia akan saling kenal mengenali...

Semasa di Padang Mahsyar manusia akan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah SWT,

“Dan (Ingatlah) akan hari dimana Allah akan mengumpulkan mereka, (mereka merasa di hari itu) seakan-akan mereka tidak pernah berdiam (di dunia) melainkan hanya sesaat di siang hari, (di waktu itu) mereka saling berkenalan. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah dan mereka tidak mendapat petunjuk” . (Surah Yunus ayat 45)

Walaupun mereka kenal antara satu sama lain, suami kenal akan isterinya, isteri kenal akan suaminya, ayah kenal akan anaknya, anak kenal akan ayahnya dan mereka kenal sesiapa sahaja yang mengenali mereka di dunia ini, namun masing-masing semuanya tidak boleh membantu antara satu sama lain.

Dalam sepotong hadis daripada Abu Hurairah r.anhu, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda :

“ Seseorang yang mempunyai kerabat semasa di dunia, tetapi di akhirat apabila mereka bertemu kerabatnya mereka berkata : Sesungguhnya engkau bukan kaum kerabatku, jika engkau kaum kerabatku mengapa semasa aku melakukan maksiat di dunia dahlu engkau hanya berdiam diri, sikit pun engkau tidak mencegah akau darupada melakukan maksiat itu .”

Ada yang minta tolong dengan anak...

Sahabat Nabi saw Ikrimah r.anhu berkata : Semasa di akhirat seorang ayah akan memegang anaknya sambil berkata : Wahai anakku, bukankah aku adalah ayahmu semasa di dunia dahulu. Maka anak itu ya, engkaulah ayahku sambil memuji kebaikkan ayahnya semasa di dunia dahulu. Kata ayahnya, wahai anakku apalah kiranya sudi jika engkau berikan sedikit kebaikan mu walaupun sebesar zarah kepada ayah, moga-moga ayah selamat daripada azab Allah. Jawab anaknya : Wahai ayah, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku beri kebaikanku sebesar zarah kepada mu aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku akan di humban kedalam api neraka. Cubalah ayah minta kepada ibu, manalah tahu kalau ibu boleh membantu mu.

Maka si ayah ini pergi mencari isterinya. Bila mereka berjumpa, maka berkatalah si suami : Wahai isteriku bukankah aku adalah suamimu semasa di dunia dahulu. Jawab isterinya, Ya wahai suamiku, aku mengenali engkau, engkaulah suamiku yang baik semasa di dunia dahulu; Kata suaminya : Justeru wahai isteriku apalah kiranya sudi jika engkau berikan kebaikkanmu walaupun sebesar zarah kepadaku, moga-moga dengan itu aku terlepas daripada azab Allah SWT. Jawab isterinya, wahai suamiku, aku juga takut dengan azab Allah, aku bimbang jika aku berikan kebaikanku walaupun sebesar zarah kepadamu, aku pula akan kekurangan kebaikkan menyebabkan aku di humban oleh Allah SWT kedalam neraka.

Padah orang yang berhutang ...

Malah anak yang berhutang dengan ibubapanya semasa di dunia, hutangnya akan dituntut oleh kedua ibubapanya semasa di akhirat kelak. Justeru seorang anak sama sekali tidak boleh mengengkari membayar hutang kepada kedua ibubapanya dengan alasan harta kepunyaan bapa adalah harta kepunyaan dirinya juga. Sebab dalam sepotong hadis ada menjelaskan hal ibubapa menuntut menuntut hutang daripada anaknya,

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.anhuma berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda ,

"Berlaku satu kes di Padang Mahsyar, seorang anak berhutang duit dengan bapanya, hutang itu tidak dijelaskan semasa di dunia. Ibubapanya telah menuntut keadilan di hari Mahsyar, lalu si anak merayu kepada kedua ibubapanya, Wahai ibubapaku, bukankah aku ini anakmu semasa di dunia dahulu ? Mengapakah kamu tunutut juga hutang itu kepadaku ketika ini ? Ibubapanya tidak mengendahkan rayuan anaknya, malah kalau ada hutang-hutang lain selain daripad itu akan dituntut juga pada hari tersebut ”

Moral daripada kisah ini, jika hutang kepada ibubapa juga wajib dibayar semasa di dunia apatah lagi hutang dengan manusia yang tidak ada hubungan darah. Imam Al-Qurtubi dalam kitabnya At-Tazkirah menyatakan : Sekiranya seseorang lelaki pada hari Qiamat membawa pahala amal ibadah sama seperti pahala amal ibadah 70 orang para Nabi, sekiranya dia ada hutang dengan manusia walau sekadar 5 sen, dia tetap tidak akan masuk syurga selagi hutangnya itu tidak dilangsaikan.

Di akhirat, manusia tidak boleh menebus hutangnya dengan wang ringgit kerana wang ringgit sudah tidak berguna lagi pada masa itu. Justeru manusia akan menebus hutangnya dengan memberi amalan pahalanya semasa di dunia kepada orang yang dia berhutang dahulu.

Menurut Imam Al-Qurtubi : 5 sen hutang yang tidak dibayar semasa di dunia bersamaan dengan 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT hendaklah diberikan kepada mereka yang menuntut hutang. Ketahuilah, 700 kali solat fardhu yang diterima oleh Allah SWT bersamaan solat yang dilakukan selama 140 hari.

Bayangkan kalau seseorang yang berhutang sebanyak seratus, dua ratus, seribu atau satu juta ringgit dalam keadaan sengaja tidak mahu membayarnya sehinggalah dia meninggal dunia, bagaimanalah nasib mereka di akhirat kelak ?

Itu hutang dalam bentuk wang ringgit, bagaimana pula hutang dalam bentuk dosa sesama manusia seperti mengumpat dan memfitnah ? Sudah cukupkah amalan-amalan soleh yang kita lakukan di dunia untuk membayar hutang-hutang ini di akhirat kelak ?

Jangan jadi orang yang muflis di akhirat yang mana semua amalan soleh yang kita lakukan di dunia habis diberi kepada orang yang kita berhutang dosa semasa di dunia dahulu seperti yang disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya,

أتدرون من المفلس؟ قالوا : المفلس فينا من لا درهم له ولا متاع. فقال : ات المفلس من أمتى من يأتى يوم القيامة بصلاة وصيام و زكاة ويأتى وقد شتم هذا وقذف هذا وأكل مال هذا وسفك دم هذا وضرب هذا فيعطى هذا من حسناته وهذا من حسناته فان فنيت حسناته قبل ان يقضى ما عليه أخذ من خطايا هم فطرحت عليه ثم طرح فى النار

Maksudnya : Rasulullah saw bertanya para sahabat : Tahukah kamu siapakah orang yang muflis ? Sahabat menjawab : Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan juga tidak mempunyai harta. Lalu Nabi saw bersabda : Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari Qiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi semasa di dunia dia pernah memaki sifulan, menumpahkan darah sifulan dan pernah memukul sifulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitulah seterusnya terhadap orang lain yang pernah dianiayainya sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebasan dosa penganiyaan belum lagi habis, maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniayaitu lalu dibebankan kepada orang tersebut, sehinggalah ia dicampak ke dalam api neraka.

Wallahualam.


Rujukan,
Persiapan Menghadapi Maut - Tuan Guru Nik Abd Aziz Nikmat
Sakratul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya – Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni.

Comments

  1. Salam Ustaz..

    MasyaAllah Ustaz, takut dan gerunnya saya bila membaca artikal yang Ustaz tulis ni. Saya bertekad hendak membayar segala hutang piutang saya dengan segera. Al-maklumlah, hutang saya memang banyak Ustaz.

    wassalam

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Izinkan saya letak link ustaz dalam blog saya..

    http://rahimcjkk.blogspot.com

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu