Apabila manusia ditimpa musibah....

Tafsir Al-Quran
Surah Az-zumar ayat 49-51


Firman Allah SWT,

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (49)Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah). (50)Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri”. (51)

Huraian ayat

“Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami;”

Maksudnya, Allah SWT mahu mengingatkan tentang perangai manusia iaitu apabila mereka ditimpa sebarang musibah atau bala, barulah mereka akan mengingati Allah SWT dan berdoa kepada-Nya.

Sebagai contoh jika seseorang itu ditimpa penyakit yang tiada harapan sembuh, barulah mereka mahu bertaubat, mengerjakan solat fardhu lima waktu, mengaji al-Quran, solat berjemaah di masjid dan surau, bersedekah dan sebagainya.

Jika sebelum ini tidak kenal Allah, tidak ambil tahu dengan ayat-ayat Allah SWT, tiba-tiba salah seorang dari ahli keluarganya meninggal dunia secara mengejut, maka ketika itulah mereka akan sibuk mencari Al-Quran dan surah Yasin untuk dibacakan di hadapan mayat sedangkan sebelum ini tidak pernah memegang atau pun membaca Al-Quran.

Setiap musibah adalah ujian daripada Allah SWT...

Bagi mereka yang ditimpa kemusnahan harta kekayaan disebabkan perniagaan yang merosot, ketika itulah mereka akan tercari-cari orang Surau atau masjid untuk datang ke rumahnya bagi tujuan membaca Yasin dan doa tolak bala. Ketika ituah wajahnya baru muncul di surau atau masjid untuk menjemput Pak Imam sebagai ‘tekong’ di majlis kenduri anjurannya.

Begitulah juga apabila seseorang itu mahu melangsungkan perkahwinan, mereka akan mengikut syariat Islam sehinggakan ada yang bernikah di Masjidil Haram namun setelah selesai majlis akad nikah mereka akan kembali seperti zaman jahiliyah berpakaian pengantin yang tidak senonoh dan membuka aurat.

Firman Allah SWT seterusnya,

“ kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku".

Maksudnya, setelah Allah SWT melepaskan diri mereka dari malapetaka yang menimpa, seterusnya mendapat pula nikmat yang mencurah-curah, maka mulalah mereka kembali ke sikap asal iaitu sombong kepada Allah, sombong kepada manusia, lupa daratan dan menganggap segala nikmat dan kejayaan yang mereka perolehi itu kononnya datang dari hasil usaha mereka sendiri atau kerana kepintaran mereka mengatur strategi dan sebagainya. Sedikitpun pun mereka tidak kaitkan dengan Allah SWT.

Kepada mereka ini, Allah SWT memberi peringatan,

“(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)…”

Maksudnya, Allah SWT menyatakan bahawa segala nikmat yang mereka perolehi itu sebenarnya adalah ujian daripada-Nya untuk melihat sama ada mereka itu bersyukur kepada Allah SWT atau pun tidak. Kepada mereka yang bersyukur, mereka akan belanjakan segala kekayaan yang mereka miliki itu ke jalan Allah SWT.

Kalau merujuk kepada beberapa hadis Rasulullah saw antara ujian terbesar ke atas umat Nabi Muhammad saw ialah harta kekayaan sebagaimana hadis yang mafhumnya,

“Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” – (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Disebabkan memburu harta ramai yang terlibat dengan gejala rasuah dan pecah amanah, menipu merompak, peras ugut terlibat dengan perniagaan haram dan sebagainya. Kadang-kadang kekayaan itu hanya melingkari sesama mereka sahaja dengan meminggirkan orang miskin yang tidak berharta.

Kekayaan adalah ujian...

Kepada orang miskin yang tidak berharta, janganlah bersedih kerana beban yang mereka perlu hadapi semasa di akhirat kelak agak ringan jika dibandingkan dengan orang kaya. Dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda,

"Org miskin masuk syurga awal 500 tahun sebelum org kaya"

Di hujung ayat ini Allah SWT berfirman,

“ ... akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)”.(49)

Maksudnya, ramai di kalangan manusia tidak mengetahui apakah hikmah di sebalik Allah SWT memberikan ujian yang berupa kesusahan dan kesenangan. Hakikatnya, dunia ini adalah milik Allah SWT. Jika Allah SWT kurniakan kepada kita harta kekayaan, harta kekayaan itu bukanlah kekal untuk kita miliki selama-lamanya. Ia adalah milik Allah SWT, Allah boleh ambil harta kekayaan itu bila-bila masa tanpa sebarang notis.

Justeru sebagai hamba Tuhan, jika Allah SWT mengurniakan kekayaan kepada kita maka ambillah sekadar yang diperlukan, selebihnya hendaklah digunakan untuk manusia lain yang sangat memerlukan dan juga dibelanjakan ke jalan Allah.

Jika kita lihat secara mendalam, Allah SWT menjadikan manusia ada yang miskin dan ada kaya kerana di sana ada beberapa hikmah. Sekiranya dalam dunia ini semua manusia dicipta sama iaitu miskin belaka, maka siapa pula yang akan menjadi penggerak ekonomi, encetus industri, pemacu perniagaan dan sebagainya. Sudah pasti ekonomi masyarakat di dunia ini tidak berkembang.

Tidak akan ada interaksi sesama manusia kerana manusia hanya akan sibuk mencari rezeki untuk diri dan keluarga masing-masing. Pendekata manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Begitu juga kalau semua manusia di dunia ini kaya raya, maka kekayaan itu tidak akan memberi apa-apa makna dalam kehidupan mereka. Bayangkan, siapa yang akan menanam padi, siapa yang akan menangkap ikan di laut, siapa yang akan menternak lembu, siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan, siapa yang akan membuang sampah sarap di depan rumah, siapa yang akan membuang najis di belakang rumah , siapa yang akan menjadi buruh kasar membina bangunan, siapa yang akan menjadi pekerja bekalan air dan sebagainya. Dengan itu orang kaya akan menjadi susah dengan hal-hal seperti ini.

Justeru orang kaya hendaklah bersyukur kepada Allah SWT, kerana tanpa orang-orang seperti ini mereka tidak boleh merasai nikmat keselesaan yang mereka perolehi. Justeru sebagai tanda bersyukur, mereka hendaklah melaksanakan tanggungjawab seperti membayar zakat untuk diberi kepada fakir miskin yang banyak menolong mereka selama ini.

Orang miskin apabila menerima zakat, maka akan lahir perasaan syukur kepada Alah SWT kerana ada orang yang mengingati mereka dan meringankan bebanan yang mereka tanggung. Di sinilah nanti akan lahir sifat mahabbah antara golongan kaya dan golongan miskin.

Firman Allah SWT pada ayat 50,

“Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah)”. [50]

Maksudnya, Allah SWT menyatakan kepada Rasulullah, jangan ambil peduli dengan orang-orang kafir Quraisy yang mengejek-ejek orang-orang Islam yang majoritinya dari golongan hamba dan fakir miskin kerana sudah ada orang-orang yang terdahulu seperti Qarun yang pernah memiliki harta kekayaan, namun mereka menyalahgunakan harta kekayaan itu untuk menderhakai Allah SWT.

Qarun adalah pembesar kerajaaan yang berada dalam kabinet Firaun. Dia menggunakan kedudukannya sebagai pegawai inggi kerajaan untuk memperolehi harta secara zalim. Diriwayatkan bahawa anak kunci harta kekayaan Qarun itu terpaksa ditarik oleh 40 ekor unta, malah ada yang meriwayatkan ia ditarik oleh 60 ekor keldai. Malang nasib Qarun apabila dia mati dengan cara Allah SWT membenamkan diri, rumah dan hartanya ke dalam bumi.

Firaun.., manusia yang tidak tahu bersyukur !

Bila mereka mati, segala harta kekayaan yang mereka miliki tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika boleh menyelamatkan nyawa, sudah pasti ramai jutawan di dunia ini yang akan berumur panjang sehingga beratus-ratus malah mungkin beribu tahun lamanya. Namun sebaliknya ramai tokoh-tokoh jutawan dunia akhirnya rebah menyembam bumi apabila ajal menemui mereka.

Firman Allah SWT pada ayat 51,

“Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; ..”


Maksudnya, disebabkan segala nikmat kekayaan yang mereka miliki sebelum ini digunakan untuk menderhakai Allah maka Allah SWT timpakan keburukkan ke atas mereka. Ambil pengajaran dari kisah Bal’am bin Barro’. Beliau seorang "ulama" besar kaum Bani Isra’il yang hidup di zaman Nabi Musa a.s .

Sebagai ulama besar, beliau memiliki ilmu yang sangat luas di samping mempunyai pengikut dan anak murid yang sangat ramai. Kesolehannya membuatkan seluruh do’anya didengar dan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Disebabkan beliau sangat ‘populer’, beliau telah diminta oleh Nabi Musa a.s untuk mengadap Raja Madyan dan berdakwah kepadanya. Namun apabila bertemu dengan Raja Madyan, Bal’am telah dipujuk supaya bersama pihak raja untuk menentang Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Sebagai imbuhan Raja akan mengurniakan harta yang banyak dan kedudukan yang tinggi kepadanya.

Tawaran daripada raja ini membuatkan hati Bal’am terpesona. Lalu dituruti permintaan Raja supaya mendoakan kehancuran kepada Nabi Musa a.s dan pengikut-pengikutnya. Balasannya Allah SWT merentap lidah Bal’am bin Barro’ dan matilah dia dalam keadaan lidahnya terjelir seperti lidah anjing. Kisah Bal’am ini ada dinyatakan dalam surah al-A’raf ayat 174-176.

Kemudian Allah SWT ulang semula pada ayat yang sama,

" ….dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk dari perbuatan- perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri ”. (51)


Maksudnya, orang-orang yang zalim di kalangan musyrik mereka pasti tidak dapat melepaskan diri dari azab seksaan Allah akibat dari perbuatan buruk dan kejahatan yang mereka lakukan.

Wallahualam

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu