AMALAN KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI

Di sinilah Rasulullah saw dilahirkan

Erti khurafat ialah kepercayaan karut yang direka-reka dan diada-adakan yang bercanggah dengan al-Quran & al-Sunnah.

Mengamalkan perkara-perkara khurafat adalah ditegah oleh syarak kerana disamping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk sepertimana tersebut di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Setiap bidaah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.

Contoh amalan khurafat sebelum bertolak

1- Tidak boleh memijak bendul rumah, kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

2- Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh pandang kembali melihat rumah, kalau dipandang pekerjaan hajinya tidak sempurna, kerana hatinya teringat-ingat ke rumah.

3- Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

4- Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut sebagai ibadah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati. Kalau melanggar sia-sialah haji.

Contoh amalan khurafat di tanah suci

1. Mesti mencari tiang jin di dalam Masjidil Haram, peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.

2. Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang jin tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

3. Jin yang dibawa balik dari Makkah adalah jin yang baik.

4. Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapatkan jodoh dan memurahkan rezeki.

5. Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik dengan tujuan jika dicampak ke dalam kolam ikan maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman maka buah-buah akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai maka akan laris.

6. Mencuri tali-tali khemah di padang Arafah untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelaris untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

7. Membawa balik tanah Arafah untuk upacara memijak tanah buat pertama kali bagi bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan menjadi gagah berani.

8. Tidak boleh melihat cermin semasa dalam ihram. Jika dilihat muka akan menjaadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

9. Menyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

10. Mengetuk pintu Masjid dan gelang kuncinya di kawasan Sai’e sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuat rezekinya tertutup buat selama-lamanya.

11. Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjidil Haram supaya boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.

12. Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam masjid dua kali dari arah penjuru emas sekali kerana kepercayaan penjuru emas itu melambangkan kemaluan nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.

13. Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikapankan dengan kain itu bagi menghindari diri dari siksaan kubur.

14. Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kapan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Makkah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kapan dengannya. Munkar Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.

15. Kalau berlaku hujan maka mandilah di bawah curahan air dari pancuran emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

16. Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan sekiranya ada orang yang menawarkannya maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjadikan masuk syurga.

17. Wanita mandi bertelanjang di telaga Ji’ranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami, dan lain-lain.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu