Sekitar hukum cerai dan wali

Izin anak dara hanyalah sekadar diam

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 231-234


Firman Allah SWT,

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), kemudian mereka (hampir) habis tempoh eddah, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik. Janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka). Barangsiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjaadikan ayat-ayat hokum Allah itu sebagai ejekan dan (permainan). Ingatlah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu dan ingatlah apa yang diturunkan kepada kamu iaitu kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmah untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah Amat Mengetahui tiap-tiap sesuatu.(231) Apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) lalu habis masa eddah mereka, maka janganlah kamu (wahal wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) telah suka sama secara patut. Yang demikian itu di beri ingat kepada siapa di kalangan kamu yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Demikian itulah yang lebih baik dan yang lebih suci bagimu . Ingatlah Allah SWT Maha Mengetahui (apa jua yang baik untuk kamu) sedangkan kamu tidak mengetahuinya”.(232)

Huraian ayat

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), kemudian mereka (hampir) habis tempoh eddah, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik. Janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka)..."

Menurut Ibn Jarir at-Tabari, sebab turun ayat ini kerana seorang sahabat dari kalangan Ansar yang bernama Thabit bin Yasar, dimana beliau telah menceraikan isterinya. Lebih kurang sehari sebelum isterinya tamat eddah, Thabit telah merujuk semula isterinya. Kemudian pada hari yang berikutnya, Thabit telah menjatuhkan talak sekali lagi kepada isterinya menyebabkan si isteri terpaksa menyambung semula eddahnya selama tiga bulan.

Berikutan itu turunlah ayat di atas yang mengandungi perintah : mana-mana perempuan yang sudah dicerai sebelum habis eddahnya, jika hendak rujuk maka rujuklah dengan baik bukan tujuan menganiyainya atau sekiranya tidak suka, cerailah dengan cara yang baik. Firman Allah SWT seterusnya,

"Barangsiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri".

Tegasnya, siapa yang melakukan penganiyaan ke atas isterinya, sebenarnya dia menganiayai dirinya sendiri. Dengan kata lain di akhirat kelak, dia terdedah kepada azab dan kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT seterusnya,

"Janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejekan dan (permainan)..."

Sebab turun ayat ini menurut Ibnu Darda’, pernah berlaku seorang lelaki menceraikan isterinya sehingga si isteri rasa terkejut lalu berkata si suami : Aku tidak berniat menceraikan engkau, apa yang aku katakana tadi hanyalah olo-olok sahaja.

Ada juga di kalangan sahabat membebaskan hamba kemudian mengatakan kepada hambanya yang dia hanya berolok-olok sahaja. Maka dengan sebab itu, turunlah ayat di atas diikuti dengan sabda Rasulullah saw,

ثلاث جدهن جد وهزلهن جد النكاح والطلاق والرجعة


Maksudnya : Tiga perkara jika dilakukan secara-sungguh-sungguh, maka ia di kira bersungguh-sungguh dan jika dilakukan secara olok-olok, juga dikira sebagai bersungguh-sungguh iaitu talak, nikah dan rujuk.

Perbuatan memperolok-olokkan hukum Allah SWT ini tidak khusus kepada talak sahaja bahkan termasuk juga memperolok-olokkan hukum Allah sekiranya seseorang itu beristighfar memohon keampunan daripada Allah SWT tetapi dalam masa yang sama terus melakukan dosa secara berterusan.

"Ingatlah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu dan ingatlah apa yang diturunkan kepada kamu iaitu kitab (Al-Quran) dan hikmah untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya..."

Dalam ayat ini Allah SWT menyeru supaya bersyukur dengan segala nikmat pemberianNya yang terdiri daripada nikmat Islam, nikmat al-Quran yang di dalamnya terdapat hokum hakam sebagai panduan, dan nikmat hadis (hikmah) yang menghuraikan segala hokum hakam tersebut.

"Bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah Amat Mengetahui tiap-tiap sesuatu"

Di akhir ayat 231 Allah SWT mengajak orang-orang yang beriman supaya bertaqwa kepadaNya, dan tidak ada sesuatu pun yang berada di bumi ini mahupun di langit yang tersembunyi darpada pengetahuan Allah SWT.

Firman Allah SWT pada ayat 232,

“ Apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) lalu habis masa eddah mereka, maka janganlah kamu (wahal wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) telah suka sama secara patut. Yang demikian itu di beri ingat kepada siapa di kalangan kamu yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Demikian itulah yang lebih baik dan yang lebih suci bagimu …”

Sebab turun ayat ini kerana Ma’qil bin Yasar telah mengahwinkan adik perempuannya Jamilah bt Yasar dengan Abi Qadah bin ‘Adiy. Setelah mendirikan rumahtangga sekian lama, maka berlaku penceraian antara keduanya. Setelah tamat edah, pasangan ini saling rindu merindui menyebabkan Abi Qadah bin ‘Adiy datang berjumpa Ma’qil dengan tujuan meminang Jamilah.

Kata Ma’qil kepada Abi Qadah, Wahai si keji aku telah memuliakan engkau dengan mengahwinkan adik aku dengan engkau satu ketika dahulu. Kemudian engkau ceraikan adikku. Selepas itu engkau mahu berkahwin semula dengannya. Demi Allah, aku sama sekali tidak akan menikahkan engaku dengan adikku. Tidak lama selepas itu turunlah ayat di atas yang melarang perbuatan Ma’qil. Ma’qil datang berjumpa Rasulullah saw mengakui kesilapannya dan berikrar akan mengahwinkan adiknya dengan bekas suaminya.

Iktibar daripada ayat ini ialah mana-mana perkahwinan tanpa keizinan wali maka hukumnya adalah haram dan tidak sah. Ini termasuklah dalam perkahwinan seorang janda, dia sama sekali tidak boleh mengahwinkan dirinya tanpa persetujuan daripada wali. Inilah pendapat jumhur ulama yang terdiri daripada Imam Malik, Syafie dan Hanbali. Mereka merujuk kepada hadis Rasulullah saw,

لا نكاح إلا بولى


Maksudnya : Tidak sah nikah tanpa kehadiran wali.

Persoalan, bolehkan seseorang wali memaksa anak perempuannya yang masih gadis bernikah tanpa keizinan mereka ? Menurut mazhab Syafie hukum seorang bapa meminta izin daripada anak gadisnya untuk dinikahkan adalah sunat sahaja. Justeru wali mujibir (bapa atau datuk) berhak menikahkan anak gadisnya walaupun tanpa keizinan mereka. Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw,

البكر يستأذن في نفسها وإذنها صمتها


Maksudnya : Anak dara hendaklah diminta keizinan daripadanya untuk dikahwinkan dan tanda keizinannya ialah diam.

لا تنكح البكر حتى تستأذن ولا الثيب حتى تستأمر


Maksudnya : Tidak dikahwinkan si anak gadis sehingga diminta keizinannya terlebih dahulu dan tidak dikahwinkan janda sehingga dia diminta pandangannya.

Daripada dua hadis ini Imam Syafie rhm menjelaskan sekiranya meminta izin daripada anak gadis itu itu wajib tentulah tidak cukup baginya berdiam diri sahaja. Hendaklah dia mengeluarkan pandangannya dengan berkata-kata sama seperti seorang janda yang wajib diminta pandangannya. Justeru itu berdasarkan hadis ini meminta izin daripada anak gadis hukumnya adalah sunat sahaja.

Manakala Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam fatwanya menyatakan,

“Sesungguhnya meminta izin anak gadis yang telah baligh untuk dinikahkan adalah menjadi satu kewajipan seorang ayah atau yang selainnya dan inilah pendapat yang paling tepat ”

Berdasarkan dua buah hadis yang dijadikan hujah oleh Imam Syafie, kata Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah, anak dara sifatnya pemalu sebab itulah Rasulullah saw mensyaratkan keizinannya hanya diam sahaja. Berbeza dengan janda yang sudah melalui alam perkahwinan, tentulah sudah tidak ada perasaan malu pada dirinya untuk berbicara tentang perkahwinan serta menyuruh wali mengahwinkannya.

Walau bagamanapun Mazhab Syafie rhm meletakkan syarat untuk wali menikahkan anak gadisnya tanpa keizinan mereka, antaranya hendaklah sibapa dan anak gadis tersebut tidak ada sebarang permusuhan, bakal suami yang hendak dikahwinkan dengan anak gadisnya itu hendaklah sekufu, bakal suami itu hendaklah mampu membayar mas kahwin anak gadisnya dan anak gadsinya itu tidak dinikahkan dengan orang yang boleh menyusahkan hidupnya seperti orang buta, orang tua yang telah nyanyuk dan sebagainya.

Menurut HAMKA, ada masa-masa tertentu si wali wajib memaksa anak gadisnya berkahwin dengan lelaki yang sekufu dengannya. Sebagai contoh sekiranya anak gadisnya jatuh hati dengan lelaki yang berlainan agama atau jatuh hati dengan lelaki yang rosak akhlak, seorang penipu dan bimbang anak gadis tersebut melarikan diri dan berkahwin dengan lelaki tersebut menggunaka wali hakim.

Banyak terjadi di zaman sekarang disebabkan perasaan cinta yang amat sangat dan terlalu menurutkan kehendak hati ada anak gadis yang sanggup melarikan diri dengan pendatang asing yang akibatnya penyesalan di kemudian hari.

Di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan, bahawa orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat secara hakiki pasti akan mengambil segala hukum hakam Allah SWT ini sebagai iktibar dalam kehidupan mereka.

Di akhir ayat Allah SWT berfirman,

"Ingatlah Allah SWT Maha Mengetahui (apa jua yang baik untuk kamu) sedangkan kamu tidak mengetahuinya".

Maksudnya, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hikmah-hikmah kebaikan sesuatu hukum yang diturunkan sedangkan akal fikiran manusia terbatas untuk memikirnya.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu