Sudah biasa kita dengar melalui akhbar dan majalah tentang anak menantu yang pulang beraya ke kampung, lebih selesa tidur di hotel daripada tidur di rumah ibu bapa. Alasan mereka kerana mahukan privasi, anak-anak tidak biasa dengan suasana panas, banyak nyamuk dan sebagainya.
Ada juga menantu yang menarik muka masam dan berkurung di bilik dari pagi sampai ke petang. Sedikit pun mereka tidak mahu menjenguk ke dapur membantu mertua menyiapkan juadah hari raya, mengemas rumah apatah lagi mahu bertegur sapa dengan ipar duai. Demikianlah ragam manusia.
Muslimin dan muslimat sekalian,
Daripada Amru bin Murrah al-Juhani katanya, Ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw seraya berkata : Ya Rasulullah ! Apa pendapatmu jika aku menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan Haji di Baitullah maka adakah ganjaran bagiku ? Rasulullah saw menjawab,
من فعل ذلك كان مع النبيين والصديقين والشهداء والصلحين إلا أن يعق والديه
Maksdunya : Barangsiapa yang melakukan demikian, dia akan bersama-sama para Nabi (Nabiyyin), para Siddiqin, para Syuhadak dan para Solehein kecuali anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya. (HR Ahmad dan Thabrani)
Daripada Wahab bin Munabbih rhm, Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s : Wahai Musa ! Hormatilah kedua ibu bapamu, sesungguhnya orang yang memuliakan kedua ibu bapanya akan dipanjangkan umur dan kelak dia akan dikurniakan anak yang menghormatinya pula. Dan barangsiapa yang derhaka kepada kedua ibu bapanya maka umurnya akan dipendekka, dan kelak dia akan dikurniakan anak yang menderhakainya pula.
Apabila sudah berkahwin maka Islam menyuruh kita melayan ibu bapa mertua sama seperti melayan ayah dan ibu kandung sendiri. Kedudukan mereka adalah setaraf kerana mereka telah melahirkan anak yang kemudiannya menjadi isteri atau suami yang dinikahi. Dalam hukum fekah, adalah tidak batal wuduk dengan ibu bapa mertua begitu juga haram dinikahi mereka selama-lamanya.
Justeru apabila seseorang itu marah kepada ibu bapa mertuanya samalah seperti dia marah atau benci kepada ibu bapa kandungnya sendiri. Hukumnya adalah haram dan berdosa besar.
Kalau benarlah ada mertua yang bersifat zalim kepada menantu perempuannya, maka sikap seorang suami hendaklah berada di tengah-tengah. Jangan terlalu berpihak kepada isteri dan juga terlalu berpihak kepada ibu. Sebaliknya, suami perlu mencari jalan penyelesaian agar segala permasalahan dapat dirungkai dengan baik.
Manakala isteri yang solehah sama sekali tidak akan merungut dengan layanan buruk yang diterima darimertuanya. Dasar Islam, kejahatan tidak boleh dibalas dengan kejahatan. Sebagai isteri yang mentaati suami, hendaklah dia melayani mertuanya dengan baik sebagaimana dia melayan ibu kandungnya sendiri.
Ada isteri yang bersikap buruk terhadap ibu mertuanya. Mereka sangat cemburu apabila melihat suami yang sangat mengasihi ibunya. Malah ada di kalangan mereka yang menghasut suami supaya membenci ibunya sehingga si suami termakan hasutan tersebut.
Hal ini pernah berlaku di zaman Rasulullah saw di mana seorang sahabat yang bernama Alqamah yang sukar mengucap ketika nazak. Selepas berumah tangga, beliau kurang memberi perhatian kepada ibunya kerana selalu melebihkan isteri. Keadaan itu menyebabkan ibunya berkecil hati.
Suatu hari, Alqamah jatuh sakit dan dalam keadaan nazak, beliau diajar mengucap kalimah La Ilaha Illallah, namun beliau tidak boleh mengucapkannya. Puas rakan-rakan menalkinkan kalimah tauhid itu tetapi Alqamah masih tidak mampu mengucapkannya.
Lalu, seorang sahabat menceritakan perkara itu kepada Nabi SAW. Baginda kemudian pergi ke rumah Alqamah dan menalqinkan kalimah tauhid, tetapi sayangnya, Alqamah masih tidak boleh mengucapkannya.
Nabi saw kemudian menanyakan adakah Alqamah ini masih mempunyai ibu kandung?" Hadirin menjawab "Masih ada". Lalu baginda meminta ibu Alqamah datang.
Kemudian Nabi saw bertanya kepadanya tentang hal Alqamah. Dalam dialog itu ternyata si ibu tadi ada berkecil hati atas sebahagian tindakan anaknya ini pada dirinya, setelah dia berumah tangga dan sampai saat ini, beliau belum memaafkannya, meskipun Nabi saw sendiri telah memintanya.
Maka Nabi saw memerintahkan para sahabat mengumpulkan kayu api untuk membakar Alqamah kerana itu lebih baik sebelum dia dibakar di akhirat.
Mendengar keputusan Nabi itu, ibu Alqamah tidak sanggup apabila anak kandungnya dibakar di matanya sendiri.Beliau lalu memaafkan anaknya.Selepas itu, barulah Alqamah boleh mengucap kalimah tauhid dan meninggal dunia.
Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda bermaksud:
“Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)
Kesimpulannya ziarahilah ibu bapa mertua, layanilah mereka dengan baik, jagalah perasaan mereka. Sekali sekala jika pulang ke kampung, hulurkan sedikit duit kepada mereka. Walau pun mereka tidak memerlukannya namun itulah cara kita berbudi bahasa.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment