Ibadah korban
1. Hukum melakukan ibadah korban.
a. Menurut Mazhab Syafie hukum melakukan ibadah korban ialah Sunat Mua’kaddah (sunat yang sangat dituntut). Justeru adalah makruh bagi orang yang berkemampuan tetapi tidak melakukannya.
Manakala menurut Mazhab Hanafi, hukum melakukan ibadah korban itu adalah wajib bagi orang-orang kaya tetapi hanya sunat bagi orang miskin. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
“ Sesiapa yang ada kemudahan (harta) dan tidak melakukan korban, maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami”.
b. Wajib jika seseorang itu bernazar.
c. Korban hanya boleh dibuat untuk orang Islam yang masih hidup. Oleh itu tidak sah dibuat korban untuk orang yang sudah mati melainkan kalau ia berwasiat. Adalah lebih baik berdoa, membaca Al-Quran atau bersedekah atas nama mereka yang sudah tiada dan berharap agar pahala ibadah-ibadah tersebut sampai kepada mereka.
Namun menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali berkorban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia boleh dilaksanakan dan sampai pahalanya
d. Menurut Mazhab Syafie, tidak sah dibuat korban untuk orang yang hidup melainkan setelah mendapat keizinannya. Walaubagaimanapun wali, boleh melakukan ibadah korban daripada hartanya untuk orang yang berada di bawah tanggungannya seperti anak, cucu atau isterinya walaupun tanpa memberitahu orang yang bersangkutan dengannya.
Samalah seperti anak boleh menyembelih korban untuk ibu yang menjadi tanggungannya, meskipun tidak memberitahu ibunya terlebih dahulu.
2. Fadhilat korban.
a. Sebagai penebus dosa sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada anakandanya Fatimah,
يا فاطمة قومى الى أضحيتك فاشهديها , فان لك بأول قطرة تقطر
من دمها أن يغفرلك ما سلف من ذنوبك
Maksudnya : Wahai Fatimah pergilah ke tempat korbanmu dan saksikanlah ia sesungguhnya dengan titisan darah yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosamu yang telah lalu. (Hadis riwayat al-Bazzaar dan Ibnu Hibban)
b. Menambah amal kebajikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
الأضحية لصاحبها بكل شعرة حسنة
Maksudnya : Orang yang berkorban itu akan dikurniakan bagi setiap helai bulu binatang korbannya dengan satu kebajikan. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
c. Zaid bin Arqam berkata: ” Mereka telah bertanya. Ya Rasulullah, apakah udhiyyah(korban) itu? Nabi Muhammad SAW menjawab : Ia adalah sunnah bagi bapa kamu
(Nabi Ibrahim). Mereka bertanya lagi: Apakah ia untuk kita ? Rasulullah SAW menjawab: ” Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya lagi,bagaimana dengan setiap bulu yang halus pula? Sabda Rasulullah SAW bermaksud” Dengan tiap-tiap helai bulu halus itu satu kebaikan.” ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah ).
3. Memotong kuku
Ulama juga mengingatkan pihak-pihak yang ingin mengambil bahagian korban supaya tidak memotong kuku dan rambutnya bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai korban. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Ummu Salamah r.a bahawa Nabi SAW bersabda :
“ Apabila kamu menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan ingin berkorban, maka janganlah ia memotong kuku dan rambutnya".
Berpandukan kepada hadis ini, sebahagian ulama berpendapat adalah haram bagi mereka yang ingin berkorban memotong kuku dan rambut sehingga selesai korbannya.
Imam syafie berpendapat hanya makruh manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat harus berbuat demikian. Golongan yang berpendapat haram, memberi beberapa alasan. Antara alasannya ialah kerana korban diharap akan membebaskan seseorang daripada neraka. Andainya kuku dan rambutnya dipotong, dibimbangi nanti rambut dan kukunya tidak diselamatkan daripada azab itu. Namun alasan ini tidak bersandarkan dalil yang jelas dan terang.
4. Binatang korban.
a. Binatang yang boleh dibuat korban itu mestilah binatang al-An’aam, seperti unta (umur 5 tahun), lembu, kerbau, kambing (dua tahun), kibasy dan biri-biri (satu tahun lebih).
Walaubagaimanapun Ibnu Abbas r.a berpendapat bahawa sah korban dengan menyembelih ayam atau itik. Pendapat ini turut disokong oleh Sheikh Maidani dan gurunya Sheikh Bajuri. Namun yang lebih menepati sunnah ialah unta, lembu, kerbau kibasy dan kambing.
b. Seekor unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi oleh tujuh orang walaupun tidak semuanya berniat untuk melakukan korban, misalnya ada diantaranya berniat untuk akikah dan yang lain mungkin kerana mahukan dagingnya sahaja.
c. Paling afdhal memilih binatang yang bewarna putih, kemudian yang bewarna kuning, kemudian yang bewarna kelabu (putih tetapi tidak bersih putihnya), kemudian yang bewarna merah, kemudian yang sebahagian badannya bewarna putih dan sebahagiannya bewarna hitam dan kemudian bewarna hitam kesemuanya. (mengikut turutan)
d. Disyaratkan binatang itu tidak cacat yang boleh mengurangkan sesuatu yang akan dimakan, umpamanya kudung telinga walaupun sedikit, putus ekornya, gila, yang tidak ada selera untuk makan menyebabkan badannya menjadi kurus, yang berkudis sekalipun sedikit kerana dagingnya telah rosak, yang baru beranak, yang sangat kurus, yang buta sama ada sebelah mata atau kedua-duanya sekali, yang tempang dan yang bunting. Sabda Rasulullah SAW,
أرْبَعٌ لاَ تَجُوزُ فِي الأََضَاحِيِّ فَقَالَ الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا
وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءُ بَيِّنٌ ظَلْعُهَا وَالْكَسِيرُ الَّتِي لاَ تَنْقَى
Maksudnya:“Empat jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban: Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak berdaya berjalan dan yang tidak mempunyai lemak (kurus).” – Hadis riwayat Abu Daud
e. Manakala binatang yang cacat tetapi tidak mengurangkan dagingnya seperti tidak bertanduk kerana patah atau tercabut dan sebagainya, yang ekornya tidak berbulu, yang tidak bergigi, yang terbelah telinganya atau telinganya berlubang maka sah di buat korban.
f. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.
5. Daging korban
a. Haram bagi sesiapa yang bernazar dan juga orang yang berada di bawah tanggungannya memakan daging korban nazarnya. Sebaliknya daging korban itu hendaklah disedekahkan keseluruhannya termasuklah bulu, tulang belulangnya dan tanduknya.
b. Bagi korban sunat, adalah sunat dan afdhal bagi orang yang melakukan korban itu mengambil sedikit sahaja daripada daging korbannya untuk kegunaan diri dan keluarga sempena mengambil berkat. Adalah lebih afdhal jika mengambil hati atau limpanya berdasarkan hadis riwayat Al-Baihaqi,
“Rasulullah SAW memakan hati korbannya.”
Adalah menyalahi sunnah sekiranya lembu A yang dikorban tetapi daging dari lembu B yang diberi kepada orang yang berkorban.Manakala daging yang selebihnya hendaklah disedekahkan kerana itulah yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada sifat taqwa, menjauhkan diri daripada sifat tamak serta mengelakkan sifat mementingkan diri sendiri. Diutamakan fakir miskin daripada keluarga, kemudian fakir miskin yang menjadi jiran tetangga.
c. Harus juga bagi orang yang berkorban itu membahagikan daging korbannya kepada tiga bahagian, satu pertiga untuk disedekahkan kepada fakir miskin, satu pertiga dihadiahkan kepada orang kaya (jiran-jiran) dan satu pertiga lagi untuk dimakan.
d. Bolehkah daging korban disimpan lebih daripada tiga hari ? Pada permulaannya Nabi SAW melarang menyimpan daging korban lebih daripada tiga hari berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, .
لا يأكل أحد من لحم أضحيته فوق ثلاث
Maksudnya :"Janganlah seseorang memakan (menyimpan)daging korbannya lebih
daripada tiga hari".
Walaubagaimanapun setelah berlalu suatu ketika, baginda SAW tidak lagi melarang
untuk memakan atau menyimpan daging korban selepas tiga hari.
Dalam sebuah hadis baginda bersabda,
“Sesungguhnya dahulu aku melarang kalian kerana aku maku kalian menyedekahkannya kepada orang Arab Badwi yang memerlukan itu.Sekarang kamu makanlah,kamu simpanlah dan kamu sedekahkanlah daging korban itu”. (HR Muslim)
e. Haram orang yang melakukan korban menjual daging, limpa, bulu, kuku,kulit dan susu yang diperah selepas proses penyembelihan tanpa mengira sama ada korban itu wajib atau sunat.
f. Tidak harus memberikan kulit atau sesuatu dari binatang sembelihan korban kepada penyembelih / pelapah sebagai niat upah penyembelihan yang dilakukannya. Tetapi adalah harus memberinya kepada mereka sekiranya mereka memang berhak menerimanya kerana termasuk dalam golongan fakir dan miskin malah itulah yang lebih aula. Dalam sepotong hadis, sebagaimana yang diberitakan daripada Saidina Ali,
أمرنى رسول الله (ص) أن أقوم على بدنه : وأن أتصدق بلحومها وجلودها وجلالها , وأن لا أعطى الجارز منها شيئا. وقال : نحن نعطيها من عندها
Maksudnya : "Rasulullah saw telah menyuruhku untuk menguruskan haiwan korbannya, agar aku mensedekahkan daging, kulit dan isi perutnya. Aku dilarang memberi apa pun juga kepada penyembelihnya dari daging korban tersebut. Kata Saidina Ali lagi : Kami memberinya dari daging yang ada pada kami ”. (Muttafaq ‘alaihi)
g. Adalah harus bagi orang miskin yang menerima daging korban untuk menjualnya kepada orang lain, tetapi adalah haram bagi orang kaya melakukan yang sedemikian.
h. Adalah haram hukumnya memberi atau menghadiahkan daging korban (mentah atau setelah dimasak )kepada orang kafir sekali pun dia kaum kerabat, sama ada ia korban wajib atau sunat walau pun sedikit, kerana korban adalah perkara yang berhubung dengan ibadat.
Wallahualam.
Nota kuliah Ibadah Korban
Surau Al-Hadi Rumah Rakyat Sikamat
Pada Selasa, 1.11.2011
Comments
Post a Comment