Sekitar Iddah kematian suami, ihdad dan peminangan
Tafsir Al-Quran
Surah al-Baqarah : 234 – 235
Firman
Allah SWT,
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka
meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka
(beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa
idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan
mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu
lakukan.(234)Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang
kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami
dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan
berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut
atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi
janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari
menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu
menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum
habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya,
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.(235) Tidaklah kamu
bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan
isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum)
kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu
memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu).
Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran
kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas
orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan(236)Dan jika kamu
ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu
sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat
separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka
memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu
memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu
bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya
Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.(237)
Huraian ayat
Firman Allah SWT pada permulaan ayat 234,
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di
antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri
itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
Kalau
dilihat latar belakang masyarakat jahiliah, seseorang isteri yang kematian
suami dikehendaki berkabung selama setahun genap dengan pantang larang iaitu
tidak boleh memamaki perhiasan, wangi-wangian dan tidak muncul secara
terang-terangan dalam masyarakat.
Berbeza
selepas kedatangan Islam, berdasarkan ayat ini Allah SWT menerangkan hukum
berkabung serta tempoh iddah ke atas wanita yang kematian suami, iaitu 4 bulan
10 hari. Dalam sebuah hadis,
لَا
يَحِلُّ لِإمرَأَةٍ تؤمنُ بالله واليوم الأخرِ أن تَحِدَّ على مَيْتٍ فوق ثلاثٍ
إلا على زوجها أربعةَ أشهُرٍ وَعَشْراً
Maksudnya : Tidak halal bagi mana-mana perempuan yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari melainkan berkabung di atas kematian suami selama 4 bulan 10 hari.
Dalam
tempoh tersebut adalah wajib bagi wanita itu meninggalkan segala perkara yang
menghias diri seperti memakai harum-haruman, bercelak, memakai kalung, gelang,
cincin, memakai sutera atau pakaian yang bersulam dengan sutera serta pakaian
yang berwarna warni. Pakaian yang dibenarkan ialah pakaian yang tidak
mendatangkan kecantikan seperti warna hitam, biru dan putih sama ada yang
dibuat daripada kapas atau pun bulu. Dalam
tempoh ini juga mereka dilarang berkahwin, keluar dari rumah melainkan keuzuran
syarei serta berpindah dari rumah yang diduduki bersama dengan arwah suaminya.
Mengapa 4 bulan 10 hari ?
Hikmah
Allah SWT membataskan masa iddah selama 4 bulan 10 hari kerana kandungan
seseorang wanita telah mula bergerak bila sudah mencapai masa tersebut, atau
dengan lebih jelas kandungan perempuan itu telah ditiupkan roh sebagaimana yang
dijelaskan oleh sebuah hadis Nabi SAW yang maksudnya,
إِنْ أَحَدُكُم يَجْمَعُ خَلْقَهُ في بَطْنِ
أُمِّهِ أربعين يوما نطفةً ثم يكون علقةً مثلَ ذلك ثم يكون مضغةً مثلَ ذلك ثم يُرْسَلُ
إليهِ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فيهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كلماتٍ : بِكَتْبِ
رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِىٌّ أَوْسَعِيْدٌ
Maksudnya : Sesungguhnya tiap-tiap seorang daripada kamu dipertemukan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitis air mani, kemudian menjadi segumpal darah yang beku selama itu pula, kemudian menjadi seketul daging selama itu juga, kemudian diutuskan malaikat kepadanya dan ditiupkan roh ke dalam jasadnya. Malaikat itu disuruh menuliskan 4 perkara iaitu : Rezekinya, ajalnya, amalannya dan nasibnya yang bahagia atau celaka.
Difahamkan
daripada hadis ini bahawa perkembangan janin (bayi dalam kandungan) sejak
dijadikan sehingga sempurna bentuknya mengambil masa 120 hari atau 4 bulan. 10
hari selebihnya ialah masa meniupkan ruh ke dalam jasad janin tersebut. Ini
menjadi batasan iddah bagi seseorang wanita yang kematian suami sama ada dia
mengandung atau tidak. Jika mengandung tempoh iddahnya ialah sehingga dia
melahirkan anak tersebut. walaupun dia melahirkan hanya seketika selepas
kematian suaminya.
Firman
Allah SWT,
“…Kemudian
apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai
apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan
oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan
apa jua yang kamu lakukan”.(234)
Maksudnya
apabila sudah tamat tempoh iddah mereka, maka tiada menjadi kesalahan pada wali
bagi wanita-wanita untuk membenarkan mereka berkahwin, menerima lamaran,
menntukan mas kahwin, berhias dan keluar daripada rumah selagi mana dilakukan
secara makruf mengikut garis oanduan syarak.
Firman
Allah SWT pada awal ayat 235,
“Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang
apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang
kematian suami dan masih dalam iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati
(keinginan berkahwin dengan mereka)…”
Dalam
ayat ini Allah SWT menjelaskan jika mana-mana pihak yang ingin meminang wanita
yang kematian suami dalam tempoh iddah, adalah HARUS sekiranya dilakukan secara
sindiran atau kiasan. Demikian juga hukumnya harus seorang lelaki menyimpan
hasrat di dalam hatinya untuk menikahi mereka tetapi tidak dilakukan secara
kiasan, cuma melalui perbuatan seperti menziarahi wanita tersebut atau memberi
hadiah kepadanya. Yang tidak dibenarkan, yakni HARAM jika peminangan ke atas
wanita yang masih dalam iddah kematian suami itu jika dilakukan secara
terang-terangan.
Firman Allah SWT lagi,
“…Allah mengetahui bahawa kamu akan
menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah),
akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain
dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan….”
Berdasarkan ayat ini menyimpan sesuatu
hasrat dalam hati untuk menikahi wanita yang kematian suami untuk dijadikan
isteri tidaklah menjadi satu kesalahan kerana Allah SWT Maha Mengetahui sifat
semulajadi manusia. Tetapi yang dilarang ialah membuat janji sulit untuk
berkahwin kerana tindakan itu boleh mendatangkan fitnah dan buah mulut orang
ramai.
Kecuali
jika dilakukan secara baik dengan menggunakan bahasa yang patut (sindiran)
serta memberitau walinya dan mengemukakan peminangan itu setelah selesai
iddahnya.
Firman Allah SWT,
“…Dan janganlah kamu
menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum
habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya,
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”.(235)
Dalam
ayat ini Allah SWT mengingatkan lagi tentang pengharaman nikah ke atas wanita
yang kematian suami sebelum habis iddah. Menurut jumhur ulama pernikahan
seorang lelaki ke atas wanita yang masih dalam iddah kematian suami adalah
tidak sah dan terbatal. Mereka hanya boleh dinikah setelah iddah wanita itu
tamat. Namun menurut Imam Malik dan al-Sya’bi kedua-duanya tidak dibenarkan
berkahwin untuk selama-lamanya selepas dipisahkan walaupun iddah wanita itu
sudah habis.
Seterusnya
Allah SWT memberi amaran bahawa Dia adalah Tuhan yang Maha Mengetahui siapa
yang melanggar peraturan-Nya. Di akhir ayat Allah SWT menjelaskan bahawa Dia
adalah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyabar, maksudnya siapa di
kalangan hamba-hamba-Nya yang derhaka, Dia tidak menyegerakan siksaan,
sebaliknya memberi peluang untuk mereka semua bertaubat kepada-Nya.
Firman
Allah SWT pada ayat 236,
“ Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah
kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu
sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan
maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian
saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang
(hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang
susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang
patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat
kebaikan”(236)
Dalam
ayat ini Allah SWT tidak melarang seseorang itu menceraikan isterinya yang
belum disentuh (disetubuhi), demikian juga isteri yang belum ditetapkan mas
kahwinnya (mas kahwin tidak ditetapkan dalam akad nikah). Tidak
dilarang menceraikan dilihat dari sudut kebaikan kerana jika ditahan isterinya
itu dibimbangi akan mendatangkan penganiyaan di kemudian hari.
Namun
si suami hendaklah memberikan mut’ah iaitu pemberian sagu hati yang wajib untuk
meyukakan hati perempuan tersebut. Dan mut’ah yang diberi hendaklah diukur mengikut
kedudukan lelaki, iaitu jika dia seorang yang kaya maka berilah cara pemberian
orang kaya dan jika dia seorang miskin maka berilah mengikut kadar
kemampuannya.
Firman
Allah pada ayat 237,
“Dan jika kamu
ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu
sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat
separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka
memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu
memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu
bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya
Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan”.(237)
Dalam ayat ini Allah SWT menetapkan, jika seseorang lelaki
menceraikan isterinya sebelum menyentuhnya dan dia telah pun menetapkan
maskahwinnya maka wajiblah dia memberi satu perdua daripada mahar itu kepada
isterinya. Melainkan jika si isteri memaafkan
iaitu membiarkan maskahwin yang telah menjadi hak miliknya dikembalikan
semua kepada suaminya.
Atau sisuami memaafkan isteri dengan memberikan maskahwin
itu sepenuhnya kepada isteri yang
diceraikan. Dan Allah SWT menyebut hendaklah masing-masing saling maaf
memaafkan, hala-halal menghalalkan dan redha meredhai antara satu sama lain
kera perbuatan itu lebih hampir kepada taqwa. Di akhir ayat Allah SWT Maha
Melihat tentang kemaafan yang di berikan sesama mereka, kerana tiada sesuatu pun yang tersembunyi
daripada pengetahuan Allah SWT.
Manakala wanita yang diceraikan yang telah disetubuhi dan
belum ditetapkan maskahwin, dia berhak mendapat maskahwin setanding dengan
wanita yang sudah berkahwin dalam keluarganya. Adapun wanita yang diceraikan
yang telah disetubuhi dan telah ditetapkan maskahwin, bekas suami tidak boleh
menuntut apa-apa dari maskahwin tersebut dan iddahnya ialah tiga quru’.
Wallahualam.
Rujukan,
Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Munir
Comments
Post a Comment