Kewajipan solat Jumaat




Tafsir Al-Quran 
Surah al-Jumu’ah : 9-11

  " Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),(9) Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).(10) Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki."(11)

Huraian ayat  
   
      Firman Allah SWT,
           
         “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat,…”

             Berdasarkan ayat ini hukum solat Jumaat adalah fardu (wajib) demikian juga pergi melaksanakanya juga adalah wajib. Kewajipan ini khusus kepada golongan mukallaf berdasarkan ijma’ ulama. Justeru fardhu Jumaat tidak diperintahkan ke atas pesakit, orang yang terlantar sakit berpanjangan, musafir, hamba, wanita serta orang-orang buta dan golongan tua yang tidak boleh berjalan kecuali dengan dipimpin oleh seseorang. 

             Kewajipan solat Jumaat tidak gugur semata-mata kerana hari Jumaat jatuh pada hari Raya. Ini berbeza dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan kewajipan solat Jumaat adalah gugur jika hari Raya jatuh pada hari yang sama dengan alasan Saidina Uthman pernah membenarkan penduduk kawasan yang tinggi di Madinah untuk meninggalkan solat Jumaat pada suatu hari Raya. 

            Solat Jumaat wajib dilakukan secara berjemaah dan didahului dengan dua khutbah berserta syarat-syaratnya. Namun begitu para ulama berselisih pendapat mengenai berapakah bilangan minima jemaah untuk menjadikan sesuatu solat Jumaat itu sah.  Dalam hal ini terdapat lebih tiga belas pendapat. Menurut Abu Hurairah dan Muhammad bilangannya ialah tiga orang lelaki, tidak termasuk imam sekalipun mereka semua adalah orang yang sedang bermusafir atau pesakit. 

            Ulama mazhab Maliki pula berpendapat kehadiran mestilah seramai dua belas orang lelaki yang terdiri daripada penduduk tempatan dan berada bersama-sama imam dari awal khutbah sehingga selesai memberi salam selepas solat.

            Menurut ulama Syafi’e dan Hanbali solat Jumaat hendaklah didirikan dengan kehadiran seramai empat puluh orang atau lebih termasuk imam. Mereka mesti terdiri daripada kalangan penduduk setempat yang mukallaf, merdeka, lelaki dan menetap di situ (bukannya musafir). Akan tetapi sekiranya bilangan mereka melebihi empat puluh orang, maka dibolehkan orang musafir menjadi imam. 

            Di manakah solat Jumaat didirikan ? Para ulama mazhab Maliki mensyaratkan solat Jumaat hendaklah dilaksanakan di masjid yang berbumbung. Namun mazhab Hanbali dan Syafi’e tidak mewajibkan solat Jumaat itu didirikan di masjid. 

            Firman Allah SWT, 

            “…maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat)…"
 
            Ayat ini bukanlah maksud bersegera pergi ke tempat solat dalam keadaan tergesa-gesa kerana yang dimaksudkan di sini ialah mengambil berat tentang kefardhuan dan kepentingan solat Jumaat.  Adapun berjalan-jalan dalam keadaan tergesa-gesa menuju ke tempat solat adalah dilarang berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW, 

            “Apabila kamu mendengar iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh gapah. Mana yang sempat kalian teruskan dan mana yang tertinggal kalian sempurnakanlah”. (HR Bukhari dan Muslim)
 
            Menurut pendapat yang sahih mengingati Allah di dalam ayat ini meliputi solat Jumaat, khutbah dan juga nasihat.
            Firman Allah SWT, 
            “….dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); .."

Dalam ayat ini Allah SWT melarang urusan jual beli sewaktu solat Jumaat. Yang dimaksudkan dengan jual beli ialah segala bentuk transaksi muamalat yang merangkumi sewaan, perkahwinan dan seumpamanya. Menurut jumhur ulama melakukan hal yang demikian adalah haram. Hukum ini bermula apabila imam menaiki mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Manakala menurut ulama Hanafi, hukumnya adalah makruh tahrim (makruh yang boleh membawa kepada haram). 

            Walaubagaimanapun menurut mazhab Hanafi dan Syafi’e, walaupun haram tetapi jual beli itu tetap sah dan tidak terfasakh. Hukumnya sama seperti bersolat di kawasan tanah yang dirampas atau berwuduk dengan air yang dirampas. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Maliki yang menyatakan jual beli itu adalah  terbatal dan tidak sah.

            Firman Allah SWT di hujung ayat 9,

            “…yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.,(9)

            Maksudnya mengingati Allah dalam ayat ini ialah seperti mendengar khutbah serta menunaikan solat Jumaat adalah lebih baik dan besar pahalanya daripada meneruskan jual beli atau urusan-urusan keduaniaan yang lain. Sebabnya ialah dengan mengingati Allah SWT, faedahnya untuk dunia dan akhirat sedangkan melakukan perniagaan itu hanyalah untuk faedah dunia semata-mata. 

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 10,

            “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah..,”

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan sebaik sahaja selesai solat Jumaat didirikan,  umat Islam diharuskan menjelajah di atas bumi-Nya ini bagi menjalankan apa-apa sahaja urusan baik perniagaan sebagai mengurus keperluan hidup serta mengharapkan rezeki Allah SWT dan kelebihan-Nya. 

            Firman-Nya lagi, 

            “….serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)”.(10)

            Yang dimaksudkan mengingati Allah SWT di sini boleh dilakukan dengan cara mentaati-Nya melalui perbuatan dan lisan. Demikian juga mensyukuri nikmat-Nya yang mendorong manusia melaksanakan segala kewajipan walaupun ketika itu mereka sibuk melakukan tugas masing-masing. Kata Sa’id bin al-Musayyib, 

            “Mengingati Allah (berzikir) ialah mentaati Allah. Sesiapa yang taat kepada Allah, maka ia sebenarnya telah mengingati-Nya. Sebaliknya sesiapa yang tidak taat kepada Allah maka ia bukanlah seorang yang mengingati-Nya meskipun ia banyak bertasbih”. 

            Firman Allah SWT pada ayat 11, 

            “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah)….”

            Menurut ahli-ahli tafsir sebab turunnya ayat ini kerana satu ketika Madinah telah dilanda kemelesetan, kesusahan dan kenaikan harga barang.Satu hari seorang lelaki yang bernama Dihyah bin Khalifah telah datang membawa barang perniagaan dari Syam. Beliau memukul gendang bagi menarik orang ramai datang melihat barang dagangannya. Ketika para sahabat sedang mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Apabila mendengar pukulan gendang itu, mereka berpusu-pusu keluar meninggalkan Rasulullah SAW. Yang tinggal hanya dua belas orang sahaja yang setia mendengar khutbah. Lalu turunlah ayat ini menegur perbuatan mereka. 

      Apabila Allah SWT berfirman, meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah)….”menunjukkan khutbah dan berdiri sewaktu menyampaikannya adalah wajib. Inilah pendapat mazhab Syafi’e dan Hanbali kerana mengikut cara Rasulullah SAW serta Khulafa ar-Rasyidin. Adapun orang yang pertama kali berkhutbah dalam keadaan duduk ialah Muawiyan bin Abi Sufiyan apabila dia sudah uzur dan tidak berdaya untuk berdiri. 

            Manakala mazhab Hanafi pula berpendapat berdiri sewaktu menyampaikan khutbah adalah sunat sahaja. Justeru jika khatib duduk sewaktu menyampaikan khutbah, maka khutbahnya adalah sah tetapi makruh. 

            Kata Sa’id bin Jubair, khutbah menyamai dua rakaat solat Zuhor. Seandainya khutbah khutbah ditinggalkan dengan bersolat Jumaat sahaja bererti telah meninggalkan dua rakaat solat Zuhor.

            Menurut qaul jadid Imam Syafi’e, orang yang berkhutbah mestilah suci daripada dua hadas (kecil dan besar). Imam Malik berpendapat sekiranya imam berkhutbah dalam keadaan berhadas kecil, maka khutbahnya adalah sah tetapi dianggap cacat. 

            Menurut pandangan jumhur, sesiapa yang memasuki masjid sewaktu imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mendirikan solat Tahiyyatul Masjid dua rakaat. Hal ini sabit dengan keterangan sebuah hadis Nabi SAW, 

            “Barangsiapa di kalangan kamu datang pada hari Jumaat sewaktu imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat sambil meringkaskannya” ( HR Muslim)  
            Firman Allah SWT dihujung ayat 11,
            “…Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki”.(11) 

            Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW menyampaikan kepada umatnya bahawa pahala solat itu adalah lebih baik dari segala keseronokan berhibur dan berjual beli. Dialah Allah Tuhan yang menentukan kadar rezeki  makhluk-Nya. Justeru tidak sepatutnya seseorang insan mengabaikan ibadat kepada Allah hanya kerana sibuk dengan sesuatu urusan pekerjaan. Sesungguhnya apa yang telah ditentukan oleh Allah untuk menjadi milik seseorang, pasti akan menjadi miliknya walaupun dia dalam keadaan dhoif dan lemah. Demikian juga jika sesuatu itu telah ditentukan bukan milik seseorang, ia tidak akan berjaya memilikinya walaupun dia telah berusaha dengan segala kekuatan. 

            Kesimpulannya, manusia dalam apa jua sekali pun hendaklah memohon rezeki daripada Allah SWT kerana Dia adalah Tuhan sebaik-baik pemberi rezeki. 

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu