Pengalaman sebagai PIHTAS musim Haji 1434H (bahagian 2)


Seperti yang tertera dalam email, saya berangkat ke tanah suci pada 5 hb September 2013, bersamaan hari Khamis dan diminta melaporkan diri pukul 5.00 pagi di Kompleks Haji Klana Jaya.

Bertolak seawal 2.00 pagi, saya tiba di kompleks ini pukul 3.30 pagi. Saya diberi kunci bilik untuk berehat dan dalam tempoh itu saya menghabiskan masa bermain dengan anak anak, khusus yang bongsu.

Setelah mendaftar pukul 5.00 pagi dan solat Subuh di surau kompleks, saya dan keluarga diminta masuk ke dewan Melawati untuk mendengar taklimat dari Ketua Rombongan Haji (KRH) Ybhg Dato Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berharap agar semua petugas Haji dapat melaksanakan amanah dengan dedikasi dan komited. Kaum keluarga juga diharap dapat memberi sokongan ke atas suami atau isteri yang terpilih untuk bertugas pada tahun ini.

 Tugas pertama, melaungkan azan

Majlis di akhiri dengan bacaan doa selamat seterusnya laungan azan sebagai tanda bermulanya detik perpisahan  di antara petugas dengan ahli keluarga masing-masing. Untuk laungan azan, saya diberi amanah bagi tujuan tersebut.  Pada ketika yang sama semua petugas Haji beratur bersalam salaman dengan KRH serta pegawai pegawai tertinggi Tabung Haji.

Kami kemudian menaiki bas menuju ke KLIA untuk berlepas menaiki Qatar Airways yang dijadual pukul 10.00 pagi. Namun dalam perjalanan, berlaku kesesakan yang begitu teruk akibat kemalangan yang melibatkan sebuah treler terbalik dan melintang jalan. Kesesakan ini menyebabkan kami hampir terlewat sampai di KLIA.  Pada saya ini merupakan ujian pertama untuk menguji ketabahan kami sebelum sampai ke tanah suci.

Tiba di Jeddah

Sampai di KLIA, kami bergegas masuk ke dalam kabin kapal terbang. Hampir dua jam menunggu akhirnya pukul 12 tengah hari kami berlepas untuk transit sebentar di Doha. Dari Doha kami menaiki sebuah lagi penerbangan menuju ke Jeddah.

Setelah urusan imigresen selesai di Jeddah, kami warga PIHTAS menaiki sebuah coaster yang sedia menunggu untuk menuju ke pejabat Konsul Haji di Jeddah. Sampai di sini kami dijamu dengan makanan malam nasi mandi berlaukkan kambing.

Hampir dua jam di pejabat Konsul, kami meneruskan perjalanan meuju ke Madinah. Dalam tempoh lapan jam, akhirnya kami sampai di Hotel al Haram di mana saya bakal menginap. 

Bersambung







Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu