Kisah Zaid dan Zainab

Tafsir Al-Quran
Surah al-Ahzab : 36- 37

            Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (36) Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.(37)

Huraian ayat

            Firman Allah SAWT pada ayat 36,

              Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata “ (36)

            Menurut mufassirin, ayat ini ditujukan kepada Zainab binti Jahsy dan saudaranya Abdullah bin Jahsy yang tidak bersetuju dengan pinangan yang dibuat oleh Nabi SAW untuk dinikahkan dengan Zaid bin Harithah. Pada mulanya sewaktu Nabi SAW datang meminang, Zainab menyangkakan yang Rasulullah SAW sendiri yang akan bernikah dengannya. Tetapi setelah di beritahu bahawa pinangan itu adalah untuk Zaid bin Harithah, Zainab enggan. Alasan yang diberikan oleh Zainab, dia adalah dari keturunan yang mulia iaitu sepupu Nabi SAW sedangkan Zaid bin Harithah adalah bekas hamba sahaya yang dimerdekakan oleh Khadijah binti Khuwailid. Dari segi rupa paras Zainab pula seorang gadis yang putih serta cantik wajahnya sedangkan Zaid bin Harithah berkulit hitam.

            Keengganan Zainab ini telah ditegur oleh Allah SWT menyebabkan dia bersetuju dan akur dengan perintah tersebut.  

            Firman Allah SWT dipangkal ayat 37,
           
            “ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya:…”

            Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan Nabi Muhammad SAW tentang Zaid bin Harithah yang  yang telah diberikan nikmat Islam sejak kecil di bawah penjagaan dan pemeliharaan Nabi SAW.  

Kemuliaan Zaid bin Harithah

            Zaid bin Harithah adalah seorang hamba yang dibeli oleh Khadijah binti Khuwailid sewaktu kecil  lalu dihadiahkan kepada Rasulullah SAW sebagai anak angkat. Di awal risalatul Islam, ada tiga orang dalam rumah Nabi SAW yang memeluk Islam iaitu Khadijah, Ali bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah.  Betapa sayang Nabi SAW kepadanya, ke mana sahaja  Nabi berdakwah pasti akan dibawanya bersama Zaid bin Harithah sehingga orang menggelar Zaid bin Harithah sebagai Zaid bin Muhammad.

            Pernah satu ketika ayah Zaid bin Harithah datang berjumpa Nabi SAW untuk mengambil semula anaknya dengan sejumlah tebusan harta yang banyak. Tetapi apabila Nabi SAW bertanya Zaid, sama ada mahu tinggal dengan ayahnya atau Nabi, Zaid menjawab mahu kekal tinggal dengan Nabi SAW tanpa memutuskan hubungan silaturrahim dengan ayah kandungnya.

            Mulianya kedudukan Zaid di kalangan sahabat sehingga disebut dalam satu riwayat daripada Aisyah r.anha,

            “ Kalau Zaid itu dikirimkan kepada satu pasukan tentera, pastilah Nabi SAW akan angkatnya menjadi panglima. Kalaulah (Zaid) panjang umurnya, nescaya dialah agaknya orang yang akan diangkat oleh Nabi menjadi khalifahnya”. ( Dirawikan oleh Imam Ahmad)

            Zaid bin Harithah dikahwinkan oleh Nabi SAW dengan Zainab binti Jahsyi. namun perkahwinan itu tidak kekal. Zaid kemudian berkahwin dengan Ummu Aiman. Hasil perkahwinan kedua ini, Zaid dikurnikan seorang anak yang bernama Usamah bin Zaid. Betapa kasihnya Nabi SAW kepada Zaid bin Harithah, demikian juga kepada Usamah bin Zaid.

            Menurut sebuah hadis yang dirawikan oleh oleh al-Bazzar dengan sanadnya dari Usamah bin Zaid, Abbas bin Abdul Muttalib bersama Ali bin Abi Talib pernah bertanya : Ya Rasulullah, kami ingin tahu siapakah dikalangan ahli keluargamu yang paling engkau sayang ? Nabi SAW menjawab, Ahli keluargaku yang paling aku sayang ialah Fatimah bin Muhammad. Lalu mereka berdua berkata : Bukan itu maksud kami. Justeru Nabi SAW menjawab, kalau bukan itu, maka orang yang paling aku kasihi  ialah  Usamah bin Zaid bin Harithah , yang telah diberi nikmat oleh Allah dan aku pun memberinya nikmat.

            Ketika Zaid bin Harithah syahid di medan peperangan Mu’tah, bersama Ja’afar bin Abu Talib dan Abdullah bin Rawahah,  Nabi SAW telah mempersiapkan pasukan tentera untuk memerangi bangsa Rum di Palestin. Untuk itu Nabi SAW telah mengangkat Usamah bin Zaid sebagai panglima perang.  Perlantikan Usamah yang baru berusia 18 tahun mengepalai pasukan ini dengan mengenepikan sahabat sahabat yang senior seperti Abu Bakar dan Umar telah menimbulkan desas desus dari orang ramai yang tidak berpuas hati.

            Hal ini sampai ke telinga Nabi SAW lalu baginda mengumpulkan orang ramai dan bersabda,

            “Kalau kalian mengkritik aku mengangkat Usamah bin  Zaid sebagai panglima, dalam erti kata lain kalian telah mengkritik aku kerana mengangkat ayahnya menjadi Panglima. Dengan kesaksian Allah, aku ingin jelaskan kepada kamu bahawa Zaid dahulu seorang pantas dan cekap menjadi panglima dan anaknya sekarang pun cekap dan pantas juga walaupun dia adalah orang aku kasihi”.

            Firman Allah SWT,  

            “Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah”,

            Dalam tempoh perkahwinan itu, rupa rupanya rumahtangga mereka tidak aman. Zainab tidak akur dan memandang rendah darjat  suaminya, manakala Zaid pula sebagai seorang lelaki yang selalu mendapat kepercayaan Nabi SAW  di  medan perang tidak mahu isterinya memandang rendah dirinya sebagai suami. Akhirnya kerana tidak tahan dengan karenah isteri, Zaid mengadu kepada Rasulullah SAW.

            Justeru Nabi SAW menasihati Zaid supaya jangan menceraikan isterinya. Nasihat Nabi ini telah ditegur oleh Allah SWT,  

            “Sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya…”

            Maksudnya Nabi SAW sudah pun mengetahui melalui ilham yang Allah SWT sampaikan kepada baginda bahawa penceraian mereka pasti berlaku dan Allah SWT memerintahkan pula Nabi SAW suoaya bernikah dengan Zainab binti Jahsyi setelah habis edahnya nanti.

            Tujuan pernikahan itu adalah untuk membatalkan fahaman jahiliah yang berpendapat anak angkat kedudukannya sama seperti anak kandung. Dalam erti kata lain seolah olah bekas isteri anak angkat haram dinikahi oleh bapa angkat. Justeru dengan tercetusnya peristiwa ini sekaligus membatalkan fahaman jahiliah tersebut.

            Hukum ini berbeza jika mengahwini janda kepada anak kandung (bekas menantu) adalah dilarang sama sekali walaupun mereka belum pernah bersatu (mengadakan hubungan kelamin). Adapun mengahwini perempuan yang menjadi anak tiri sedang ibunya masih belum disetubuhi, hukumnya  tidaklah haram. Hal ini disebut dalam surah an-Nisak ayat 23,

            “ Jika ibunya itu belum kamu campuri maka tidak berdosa atas kamu mengahwini anak tiri itu”

            Firman Allah SWT seterusnya,

             “dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya)”.

            Ada pun sebab mengapa Rasulullah SAW tidak menasihatkan hal yang sebenarnya kerana baginda merasa malu dengan Zaid bin Harithah apabila mengahwini janda anak angkatnya itu apatah lagi takut dicela oleh masyarakat sekeliling.  

            Firman Allah SWT,

     “Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.(37)

            Setelah Zaid menceraikan isterinya dan setelah tamat edah Zainab, maka bernikahlah Nabi SAW dengan Zainab binti Jahsyi.  Kalimah “Kami kahwinkan engkau dengannya…” menunjukkan perkahwinan itu direstui oleh Allah SWT dan mahu menunjukkan tidak ada halangan bagi seseorang untuk mengahwini janda kepada anak angkat. 

            Kisah ini sekaligus menafikan tafsiran sesetengah mufassirin kononnya Rasulullah SAW sebenarnya ada perasaan cinta terhadap Zainab iaitu isteri kepada anak angkat baginda.  Dalam tafsir al-Khazin ada menyebut : Pada satu hari Rasulullah SAW berkunjung ke rumah Zaid kerana ada sesuatu hajat. dan secara tak sengaja telah terlihat Zainab dalam rupa parasnya yang cantik, kulitnya putih serta baik perangainya. Maka kecantikkannya itu telah membuatkan Rasulullah SAW kagum dan mengucapkan Subhanallah  Muqallabil Qulub (Maha Suci Allah yang membalik balikkan hati).

            Kebetulan rumah tangga Zaid tidak beroleh kebahagiaan dan apabila Zaid menceritakan masalah yang rumahtangga yang dihadapinya, Nabi SAW tetap memerintahkan Zaid supaya tidak menceraikan Zainab dan bertaqwa kepada Allah SWT sedangkan baginda menyembunyikan perasaan cinta baginda terhadap Zainab. Sikap Nabi SAW ditegur dalam surah al-Ahzab ayat 37, 

            “Sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya…”

            Riwayat seperti ini adalah palsu kerana tidak selayak bagi Rasulullah SAW hendak melakukan sesuatu hal yang aib apatah lagi menyintai isteri orang. Riwayat yang paling tepat peristiwa ini Allah SWT cetuskan untuk membatalkan fahaman dan adat jahiliah yang berpendapat anak angkat sama kedudukannya seperti anak kandung yang mana bekas isteri anak tidak boleh dinikahi oleh bapa angkat.

Keutamaan-keutamaan Zainab binti Jahsyi

            Kata Aisyah, 

            “Zainab binti Jahsyi selalu menyaingiku di dalam kedudukannya di sisi Rasulullah SAW, tidak pernah aku melihat wanita seperti Zainab dalam hal kebaikan agamanya, ketaqwaannya kepada Allah, kejujurannya, silaturrahimnya, dan banyaknya sadaqahnya.” 

            Kata Aisyah lagi, 

            “Suatu hari Rasulullah SAW berkata kepada istri-istrinya, ‘yang paling cepat menyusulku dari kalian adalah yang paling panjang tangannya,’ Aisyah berkata, ‘Maka kami setelah itu jika berkumpul saling mengukur tangan-tangan kami di tembok sambil melihat mana tangan yang paling panjang di kalangan kami, tidak henti-hentinya kami melakukan hal itu sampai saat wafatnya Zainab, padahal dia adalah wanita yang pendek dan tidaklah tangannya paling panjang di kalangan kami, maka tahulah kami saat itu bahwasanya Rasulullah SAW  maksudkan panjang tangan adalah yang paling banyak bershadaqah. Adalah Zainab seorang wanita yang biasa bekerja dengan tangannya, dia menjahit kemudian menshadaqahkan hasil kerjanya itu di jalan Allah’,” (Muttafaq Alaih)

            Suatu saat Rasulullah SAW berkata kepada Umar, 

            “Sesungguhnya Zainab adalah wanita yang awwahah.” Seseorang bertanya, “Apa yang dimaksud dengan awwahah wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda, “Yang khusyu’ lagi merendahkan diri di hadapan Allah.” 

Wallahualam.

Rujukan

Tafsir Al-Azhar
Tafsir Ahmad Sonhadji

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu