Kisah Qabil dan Habil



Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;(27) "Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; (28) "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim" (29) Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi (30) Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal. (31) Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi (32)

Huraian ayat

            Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil)…

            Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh Rasul-Nya Nabi Muhammad SAW supaya membacakan ayat-ayat Allah kepada kaumnya berkaitan kisah dua orang anak Adam yang bernama Qabil dan Habil.

            Menurut setengah ulama, setelah 100 tahun Nabi Adam dan isterinya Hawa diturunkan ke dunia, barulah mereka mendapat sepasang anak kembar yang pertama iaitu Qabil dan adiknya Iqlima. Dua tahun kemudian, lahir lagi sepasang anak kembar yang kedua  iaitu Habil dan adiknya Labuda. Diceritakan bahawa kesemua anak-anak Nabi Adam dilahirkan secara kembar melainkan seorang sahaja iaitu Syith yang dilahirkan seorang diri. Jumlah keseluruhan anak-anak Nabi Adam ialah 39 orang, 20 lelaki dan 19 perempuan.

            Setelah anak-anaknya dewasa, mereka dikahwin secara silang iaitu lelaki kembar pertama dikahwinkan dengan perempuan kembar kedua, manakala perempuan kembar pertama dikahwinkan dengan lelaki kembar kedua. Justeru, Qabil diperintah untuk bernikah dengan Labuda, namun dia enggan kerana merasakan dia lebih berhak untuk bernikah dengan  adik kembarnya Iqlima yang wajahnya lebih jelita daripada Labuda.

             Bagi menyelesaikan masalah ini, Allah SWT memerintahkan Qabil dan Habil  mempersembahkan korban. Korban siapa yang diterima, maka dialah yang berhak menikahi Iqlima. Untuk itu, Qabil telah mempersembahkan selonggok gandum yang buruk jenisnya, dengan berpendapat apa pun yang terjadi, dia tetap akan memperisterikan Iqlima. Manakala Habil pula mempersembahkan korban seekor kibasy yang gemuk dengan penuh rasa keikhlasan.

            Kemudian kedua dua korban ini diletakkan di atas sebuah gunung. Lalu turunlah api putih dari langit yang menyambar korban Habil, tanda korbannya diterima Allah. Sedangkan Qabil  pula mendapati gandumnya sedikit pun tidak terusik, menunjukkan korbannya tidak diterima,  menyebabkan dia merasa marah dan berkata kepada Habil,  

            Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!".

             Maksudnya, Qabil berazam untuk membunuh Habil. Mendengar hasrat abangnya, lalu Habil menjawab, 

            (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;(27)

            Maksudnya, Allah hanya menerima korban dari hamba-hamba-Nya yang bertaqwa, iaitu mereka yang memelihara dirinya daripada kejahatan.

            Firman Allah SWT lagi,

            "Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; (28)

            Maksudnya, kalau Qabil hendak menggunakan kekerasan untuk membunuh Habil dengan tangannya,  maka Habil tidak akan membalas kekerasan itu dengan menggunakan tangannya  pula untuk membunuh Qabil. Setengah qaul berpendapat Habil sebenarnya lebih kuat dan gagah dari abangnya Qabil. Tetapi dia tidak mahu menggunakan kekuatannya untuk membunuh abangnya Qabil, kerana  takut kepada kemurkaan Allah SWT di atas kesalahan melakukan dosa pembunuhan..  

            Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda,

            “Jika bertempur dua orang muslim dengan pedang, lalu yang seorang membunuh lawannya, maka sipembunuh dan yang terbunuh kedua-duanya dalam neraka”. Orang pun bertanya : “Ya Rasulullah ! Itu hukuman ke atas si pembunuh, bagaimana pula yang terbunuh ?” Baginda menjawab : “Yang terbunuh adalah berusaha juga hendak membunuh lawannya”. (HR Bukhari dan Muslim)

            Sambung Habil lagi,   

            "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".

            Maksudnya, mengikut firasat Habil, dia pasti akan dibunuh oleh abangnya sendiri, justeru dia memohon kepada Allah agar abangnya diseksa dan dihukum kerana kezaliman yang dilakukan ke atasnya.

            Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda,

لا تُقْتَلُ نَفْسٌ ظُلْمًا إِلا كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْهَا لأَنَّهُ أَوَّلُ مَنْ سَنَّ الْقَتْلَ

            “Tidak ada satu pun jiwa yang terbunuh secara zalim melainkan anak Adam yang pertama (Qabil) ikut menanggung dosa pertumpahan darah itu kerana dialah orang pertama yang mensunnahkan pembunuhan.” (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ibnu Majah, An-Nasaei)

            Kemudian Allah SWT menerangkan peristiwa selanjutnya,

            Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi  (30)

            Maksudnya, Qabil tidak dapat mengawal nafsu jahatnya, lalu dia membunuh Qabil. Maka dengan perbuatannya itu dia mendapat kerugian besar di akhirat  kelak. Ada riwayat mengatakan, apabila Nabi Adam mengetahui perbuatan Qabil membunuh Habil, lalu dihalaunya Qabil sehingga dia membawa diri ke Yaman. Kemudian datang pula Iblis membisikkan ke dalam hatinya, bahawa korban Habil  yang disambar api dahulu adalah disebabkan  perbuatan Habil menyembah api. Qabil terpengaruh dengan bisikkan Iblis, lalu dia membuat rumah Api untuk disembahnya, maka jadilah dia orang pertama di dunia yang menyembah api.  Inilah kerugian besar yang dilakukan oleh Qabil.

            Menurut riwayat, sebaik dibunuh adiknya,  Qabil menjadi bingung, tidak tahu apa yang patut dilakukan ke atas mayat adiknya. Ada pendapat mengatakan Qabil terpaksa memikul mayat itu  selama 40 hari dan dalam tempoh itu, banyaklah burung gagak hendak memakan mayat adiknya itu. Di kalangan burung gagak itu, ada dua ekor yang berkelahi, seekor daripadanya mati.

            Firman Allah SWT seterusnya,

            Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya.

            Maksudnya, kemudian Allah SWT utuskan seekor gagak menggali tanah memperlihatkan kepada Qabil bagaimana menimbus bangkai rakannya. Melihat kejadian ini, barulah Qabil tahu cara mengkebumikan mayat. Tanpa disedari dia sebenarnya telah belajar sesuatu dari burung,  serta menginsafi kebodohannya. Inilah yang dimaksudkan oleh kata-kata Qabil sebagaimana firman Allah SWT,

            (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?".

            Firman Allah SWT dihujung ayat 31,

            Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal. (31).

            Maksudnya, dia menyesal kebodohannya kerana bersusah payah memikul mayat adiknya ke sana ke mari, sedangkan perbuatan membunuh itu langsung tidak dikesalinya.

            Firman Allah SWT pada ayat 32,

            Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya;

            Maksudnya, dengan sebab perbuatan durjana yang dilakukan oleh Qabil itu, maka Allah SWT telah menetapkan hukum qisas ke atas orang yang melakukan jenayah bunuh di kalangan Bani Israil. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan perbuatan membunuh satu nyawa manusia dengan tiada alasan yang disyariatkan, maka samalah seperti membunuh keseluruhan manusia.

            Dalam sebuah hadis,

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنِّي رَسُوْلُ اللهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ : الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

            Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahwa tidak ada ilah selain Allah dan bahawa aku (Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam) adalah utusan Allah kecuali dengan tiga sebab: Duda/janda (orang yang telah pernah menikah) yang berzina, membunuh orang lain (dengan sengaja), dan meninggalkan agamanya berpisah dari jamaahnya. (HR Bukhari dan Muslim)
           
            Sambungan pada ayat yang sama,

            dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.

            Maksudnya, barangsiapa yang menggagal atau menghentikan rancangan pembunuhan seseorang, bererti dia telah menghidupkan suasana aman, makmur dan sejahtera di kalangan seluruh umat manusia. 

            Firman Allah SWT di hujung ayat,

            Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi (32)

             Maksudnya, Allah SWT telah mengutus Rasul-Rasul kepada Bani Israil untuk memandu kehidupan mereka, tetapi mereka tetap degil untuk mematuhi perintah Allah. Sebaliknya mereka terus melakukan kejahatan, pembunuhan dan kerosakkan di muka bumi sehingga sanggup membunuh para Nabi dan Rasul yang Allah utuskan kepada mereka.

            Wallahualam.   

Rujukan 

Tafsir Ahmad Sonhadji

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu