Bersediakah anda menghadapi saat kematian ?

Firman Allah SWT,

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, Maka Sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu jua, Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu akan di beritakan kepadamu apa yang Telah kamu kerjakan". (Surah Al-Jumuah : 8)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa manusia sehebat manapun dirinya, mereka tetap akan menghadapi saat kematian. Justeru itulah Nabi saw menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati kematian berdasarkan hadis baginda saw,

أكثروا من ذكر الموت , فإنه يمحص الذنوب ويزهد فى الدنيا

Maksudnya : Perbanyakkanlah kamu mengingati kematian kerana yang demikian itu akan mengurankan seseorang itu melakukan dosa dan menjadikannya zuhud dalam urusan dunia.

أكيس الناس أكثرهم ذكرا للموت, وأشدهم إستعدادا له , أولئك هم الأكياس , ذهبوا بشرف الدنيا وكرامة الأخرة

Maksudnya : Sepintar-pintar manusia ialah orang yang mengingati mati dan sentiasa bersedia menghadapina. Mereka itulah orang yang bijaksana, mereka pergi dengan membawa penghormatan dunia dan kemuliaan akhirat.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda :

“Bahawasanya malaikat maut memerhati wajah manusia di atas muka bumi ini sebanyak 70kali sehari. Ketika malaikat Izrail datang merenung wajah seseorang, di dapati orang itu sedang gelak ketawa , maka berkatalah malaikat Izrail dengan hairan : Alangkah peliknya aku melihat orang ini, dalam keadaan aku diutus untuk mencabut nyawanya dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa .”

Sakaratul maut

Sebelum tiba saat kematian, manusia akan menempuhi saat sakaratul maut iaitu detik apabila rohnya hampir dicabut. Menghadapi kematian (sakaratul maut) adalah satu detik paling dahsyat, sehinggakan para sahabat akan jatuh jatuh pengsan dan sentiasa menangis jika mengenangkannya.

Malah Rasulullah saw juga tidak terkecuali mengalami saat sakaratul maut sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam at-Tirmizi daripada Aisyah r.anha katanya :

رأيت رسول الله (ص) وهو بالموت وعنده قدح فيه ماء وهو يدخل يده فى القدح ثم يمسح وجهه بالماء ثم يقول : اللهم أعنى على غمرات الموت أو سكرات الموت

Maksudnya : Aku melihat Rasulullah saw ketika sakaratul maut , di sisi baginda ada sebuah bekas yang berisi air, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam bekas itu dan menyapu wajahnya sambil berdoa, Ya Allah, tolonglah aku dari kepedihan sakaratul maut ini.

Dalam satu riwayat, pada satu hari Nabi saw menziarahi seorang lelaki daripada kaum Ansar yang sedang sakaratul maut, lalu baginda melihat malaikat maut dan besabda kepadanya : Wahai malikul maut, berlemah lembutlah dengan sahabatku ini kerana sesungguhnya dia seorang yang beriman. Malaikat maut menjawab, Ya Rasulullah !, tenanganlah dirimu dan yakinlah bahawasanya aku sentiasa berlemah lembut ketika mencabut nyawa orang yang beriman.

Daripada Anas bin Malik menceritakan bahawasanya Nabi saw bersabda, Sesungguhnya malaikat akan turun dan mengawal orang yang menghadapi sakaratul maut supaya tidak menggelepar dan lari kerana terlalu takut dan sakit.

Nabi Idris a.s, satu ketika telah meminta malaikat maut agar mencabut nyawanya dan kemudian menghidupkannya kembali agar dia dapat mengetahui bagaimanakah yang dikatakan mati itu. Setelah Nabi Idris a.s wafat dan dihidupkan semula, lalu bertanyalah malaikat maut, “Wahai saudaraku Idris, bagaimanakah rasanya mati itu ?”. Jawab Nabi Idris a.s, Sesungguhnya mati itu kalau hendak diibaratkan seperti kulit yang disiat hidup-hidup, maka aku rasa sakitnya mati itu 1000 kali lebih dahsyat daripada itu.”

Kata malaikat maut, “Wahai saudaraku Idris, ketika aku mencabut nyawa engkau, aku sangat berhati-hati sekali yang belum pernah aku lakukan terhadap seseorang pun sebelum ini ”

Dalam sepotong hadis daripada Jabir r.anhu berkata, Nabi saw bersabda : Ceritakanlah kamu kisah-kisah Bani Israil, tidak berdosa bagimu, sesungguhnya pada mereka itu ada kisah-kisah ganjil.

Kemudian Nabi saw menceritakan satu kisah yang terjadi di zaman Bani Israil. Ada satu rombongan manusia yang melalui kawasan perkuburan, lalu mereka berkata sesama mereka. Marilah kita sembahyang di sini kemudian kita berdoa kepada Tuhan supaya Tuhan mengeluarkan salah seorang daripada mayat yang berada dalam kawasan perkuburan ini untuk menceritakan kepada kita bagaimanakah yang dikatakan mati itu.

Lalu mereka itu sembahyang dan berdoa kepada Tuhan. Kata Rasulullah saw, lalu Allah SWT memakbulkan doa mereka. Keluarlah satu mayat yang menonjolkan kepalanya daripada lubang kubur itu dan bertanya : Wahai kaumku Bani Israil, apakah maksudmu sehingga Allah SWT memerintahkan aku untuk bangkit dari kubur bagi menjawab persoalanmu. Jawab rombongan Bani Israil ini, ceritakan kepada kami bagaimanakah yang dikatakan mati itu ?

Jawab mayat, Demi Allah aku telah mati sejak sembilan puluh tahun yang lalu. Namun kesakitan ketika rohku dicabut masih lagi terasa sehingga sekarang. Sedangkan di dahi mayat ini kata Rasulullah terdapat tanda bekas sujud.

Bagi mereka yang kafir, engkar kepada perintah Allah SWT, kematian mereka sungguh dahsyat seperti yang disebut dalam Al-Quran surah al-Anfaal ayat 50,

Kalaulah sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang kafir sambil muka dan belakang mereka serta berkata. “Rasakanlah olehmu akan siksa yang sangat pedih (nescaya kamu akan merasa ngeri melihatnya) (Al-Anfal 050)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT,

Dan sungguh ngeri sekiranya engkau melihat orang-orang yang zalim ketika sakaratul maut, sedang para malaikat menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan suara yang menengking dan mengejek) “ Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri) ; pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina kamun disebabkan apa yang telah kamu katakana terhadap Allah dengan tidak benar dan kamu pula menolak dengan sombong takbur akan akan ayat-ayat keteranganNya (Al-An'am 093)

Mereka ini merayu kepada Allah SWT dan merayu kepada malaikat maut agar ditangguhkan saat kematian mereka walaupun sejenak moga-moga mereka dapat menebus kesalahan mereka dengan melakukan amal kebaikan. Hal ini disebut dalam Al-Quran surah Munafiqun ayat 10-11.

Lalu mereka berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku walaupun sejenak ? maka, dengan waktu yang singkat itu membolehkan Aku bersedekah dan Aku termasuk orang-orang yang saleh?". Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang, apabila telah datang waktu kematiannya (menjemput) dan Allah Maha mengenal apa yang kamu kerjakan. (Surah Munafiqun ayat 10-11)

Wallahualam.

Nota :

Kuliah Subuh yang disampaikan di surau Bandar Warisan Puteri Sikamat pada Ahad, 13/9/2009

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu