Friday, September 4, 2009

Bersabarlah abang Azmi...

Jumaat lepas, semasa balik ke kampong isteri di Sekinchan Selangor untuk berbuka puasa dengan keluarga mertua, saya menghantar sms kepada abang Azmi Husin ‘orang kuat’ Masjid Jame’ Ampangan Seremban.

Saya bertanyakan beliau tentang senarai baru AJK Masjid Ampangan dan adakah beliau masih kekal dengan jawatannya sebagai Setiausaha Masjid.

Abang Azmi membalas sms saya, “ Nama saya sudah terkeluar ustaz…”.

Nada smsnya melambangkan kesedihan beliau, juga kesedihan bagi saya. Saya percaya majoriti jemaah Masjid Jame’ Ampangan juga kecewa di atas penggugurannya. Tapi apa nak kata, keputusan telah pun dibuat oleh YAB Menteri Besar setelah menerima nasihat daripada pemuka-pemuka UMNO yang jarang wajahnya kelihatan di Masjid.

Saya berdoa kepada Allah agar abang Azmi tabah menerima penyingkiran ini. Harap-harap dia akan terus komited sebagai ahli jemaah 5 waktu di Masjid Jame’ Ampangan walaupun tidak lagi memegang apa-apa jawatan.

Saya mula mengenali abang Azmi semenjak saya diberi peluang menyampaikan kuliah Maghrib di masjid ini 6 tahun yang lalu.

Sebagai Setiausaha Masjid, Abang Azmi seorang yang komited dengan tugasnya. Aktiviti-aktiviti Masjid Jame’ Ampangan begitu meriah di bawah kelolaannya. Disokong pula oleh Nazir Masjid Tuan Haji Abu Ubaidah bin Dato’ Haji Redza yang suka membantu apa sahaja aktiviti yang memberi manfaat kepada orang ramai. Manakala Imam Masjid Tuan Haji Norazman juga seorang yang kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan aktiviti Masjid. Bagi saya gandingan tiga orang ini cukup mantap dalam memperkasakan Masjid Jame' Ampangan.

Dua atau tiga tahun lepas pernah sebuah kumpulan nasyid dengan segala peralatan muziknya dibenarkan masuk ke dalam masjid untuk membuat persembahan semasa majlis sambutan Hari Raya. Demikianlah satu pembaharuan yang dibuat oleh AJK-AJK Masjid Jame’ Ampangan. Tahniah !

Itu tidak termasuk penceramah-penceramah yang hebat dan tersohor dari serata negeri dijemput menyampaikan ceramah di Masjid ini. Memang Masjid Jame’ Ampangan cukup meriah dengan akltiviti-aktiviti kegamaannya.

Satu perkara yang saya suka dengan Abang Azmi, setiap hari di mana giliran saya menyampaikan kuliah, dia akan menghantar sms mengingatkan saya “ Ustaz, malam ni ada kuliah ”.

Kalau boleh dia mahu semua kuliah di Masjid Jame' Ampangan berjalan lancar. Kalau ada Ustaz-Ustaz yang tidak dapat hadir, dia akan berusaha mencari pengganti.

Semasa kuliah , abang Azmi akan duduk di tepi saya sebelah kanan bersama dengan Tuan Haji Aripin Kg Jiboi. Manakala Cikgu Ishak dari Taman Perwira pula akan duduk di sebelah kiri saya. Inilah 3 jemaah tetap saya, yang setia mengumpulkan nota-nota saya semenjak 5 atau 6 tahun yang lalu.

Pernah abang Azmi bawa satu fail besar dan tunjukkan kepada saya semua nota dan artikel-artikel kuliah saya. Wah !, failnya tersusun rapi, siap tercatat tarikh bila saya menyampaikan kuliahnya sekali.

Abang Azmi seorang yang berterus terang. Satu ketika dia menegur saya kerana menyentuh isu Tawasul dan Nabi Khidir dalam kuliah saya. Pengamal-pengamal Tarikat Al-Ahmadiyah marah kepada saya dengan isu itu. Saya terima tegurannya dengan terbuka.

Sabtu lepas, semasa mengerjakan solat Terawih di Masjid Jame’ Ampangan. Saya tercari-cari abang Azmi. Mana abang Azmi ? Malangnya dia tidak kelihatan. Adakah abang Azmi sudah merajuk… ?

Tiba-tiba saya terserempak dengan Tuan Haji Aripin Kg Jiboi. Dia mempelawa saya menjadi Imam Terawih, namun saya menolak. Dari cerita Tuan Haji Aripin bukan nama abang Azmi sahaja di gugurkan, malah Timbalan Nazir Tuan Haji Hashim bin Jasa pun turut terpelanting. Aduh ! dahsyatnya kerja ‘puak-puak’ ni.

Malam itu saya pulang dari Masjid Jame' Ampangan tanpa sempat berjuma dengan abang Azmi.

Kepada Abang Azmi,

Kalau abang baca blog saya, bersabarlah….. mungkin apa yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Insya Allah seperti kata Lobai Kampong dalam blognya, kita bukan sahaja mahu mentadbir masjid, tetapi lebih daripada itu kita juga mahu mentadbir seluruh Negeri Sembilan ini. Insya Allah. Takbir !

Kepada mereka yang berpengaruh menyingkirkan AJK-AJK Masjid yang tidak sehaluan pemikiran politik, tiada ucapan tahniah daripada saya. Ingat ! tuan-tuan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT sekiranya Masjid Jame’ Ampangan muram selepas ini.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.