Tuesday, September 15, 2009

Di saat berakhirnya Ramadhan..

Muslimin dan muslimat sekalian,
Sedar tidak sedar, bulan Ramadhan hampir melabuhkan tirai. Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Eidul Fitri pada hari Ahad 20hb Sept 2009.

Adalah lumrah bagi para sahabat Rasulullah saw akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang gembira dan melepaskan bulan ini dengan hati yang sedih, penuh rasa bersalah serta bimbang jika tidak sempat menemui bulan Ramadhan pada tahun yang berikutnya.

Mereka juga khuatir jika segala ibadah yang mereka lakukan di bulan Ramadhan ini masih gagal menebus dosa-dosa mereka yang lalu, dengan kata lain gagal mendapat keampunan daripada Allah SWT. Dalam hal ini Rasulullah saw,

ويل لمن أدرك رمضان فلم يغفر له

Maksudnya : Neraka Waillah, bagi mereka yang berkesempatan di bulan Ramadhan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Manakala bagi orang mukmin yang hatinya berpenyakit, mereka akan menyambut bulan Ramadhan dengan hati yang kecewa kerana terpaksa meninggalkan nikmat makan dan minum serta syahwat. Pendekata puasa bagi mereka tidak mempunyai apa-apa erti bahkan dianggap sebagai satu bulan penyeksaan, sebab itu mereka tidak sabar-sabar menanti kedatangan Syawal, apabila Syawal menjelma mereka akan gembira dan seronok, kerana segala bentuk penyeksaan yang mereka lalui selama sebulan telah pun berakhir.

Golongan yang berpuasa kerana terpaksa inilah yang disebut oleh Rasulullah saw,

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطس

Maksudnya : Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ibadah puasanya melainkan hanyalah lapar dan dahaga.

Masih ada yang tidak berpuasa

Di samping itu, kita juga turut merasa sedih, apabila ada segelintir umat Islam hari ini yang masih mengabaikan kewajipan berpuasa, malah tanpa segan silu makan di hadapan orang ramai. Paling mengaibkan ada kedai-kedai makanan Islam yang turut sama bersubahat menjual makanan kepada orang-orang Islam yang tidak berpuasa. Kepada peniaga-peniaga makanan ini sayugia diingatkan, sesungguhnya bersubahat dalam perkara yang haram maka hukumnya adalah haram, segala keuntungan yang diperolehi daripadanya adalah haram, dan darah daging yang tumbuh daripada titik peluh yang haram akan dibakar api neraka selama-lamanya diakhirat nanti. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Dan kepada mereka yang meninggalkan ibadah puasa tanpa sebarang keuzuran pula , Rasulullah saw memberi ancaman keras sebagaimana sabda baginda yang mafhumnya,

“Barangsiapa yang berbuka puasa satu hari di bulan Ramadhan tanpa sebarang rukhsah (kelonggaran ) dan tanpa uzur, maka dia tidak akan mampu mengqadakkan puasa yang ditinggalakan sehari itu sekali pun dia berpuasa seumur hidup ”. (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Tidak ada Hari Raya bagi mereka yang tidak berpuasa

Sebenarnya tidak ada perayaan kepada orang yang tidak berpuasa. Kerana ibadah puasa adalah ibadah yang diperintahkan menerusi Al-Quran. Al-Quran adalah kitab suci, yang diturunkan pada bulan Ramadhan sedangkan orang-orang yang tidak berpuasa, hatinya adalah kotor dan bernajis, mana mungkin ajaran Al-Quran yang suci boleh melekat di dalam hatinya. Justeru, orang yang tidak patuh kepada perintah Al-Quran mereka sebenarnya tidak layak berhari Raya pada 1 Syawal.

Selamat beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan ...!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.