Wednesday, September 23, 2009

Hukum mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ orang bukan Islam

“Abah, boleh ke orang Islam mengucapkan selamat Hari Deepavali kepada orang Hindu? ”, tanya anak sulong saya ketika kereta saya melalui pekan Ijok dalam perjalanan ke kg mertua di Sekinchan tahun lepas.
Ijok adalah kawasan DUN yang dimenangi oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Ya, banyak poster-poster dan sepanduk yang memaparkan wajah Tan Sri Khalid Ibrahim mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada penganut agama Hindu di situ. "Mungkin nak pancing undi", kata hati kecil saya.

Umum mengetahui, bukan sahaja Tan Sri Khalid Ibrahim, malah ramai lagi orang-orang politik yang beragama Islam sama ada dari Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional yang berlumba-lumba mengucapkan Selamat Hari Deepavali, Krismas atau Tahun Baru Cina yang disiarkan dalam media kerajaan atau pun pembangkang.

Kembali kepada persoalan anak sulong saya, bolehkan orang Islam mengucapkan Selamat Hari Raya orang bukan Islam ? Setelah meneliti tulisan Prof. Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, saya menemui jawapannya.

Menurut beliau, mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam sempena hari-hari perayaan mereka seperti hari Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Thaipusam termasuklah antara masaalah furu’ (cabang) yang diperselisihkan oleh para ulama zaman sekarang. Ada di kalangan ulama yang mengharamkannya dan ada juga ulama yang mengharuskannya.

Pendapat yang mengharamkan

Antara ulama yang mengharamkannya ialah Sheikh Muhammad Saleh al-Munajjid, salah seorang ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi. Beliau berpendapat perbuatan mengucapkan selamat pada hari-hari kebesaran orang bukan Islam adalah bertentangan dengan asas-asas akidah Islam. Beliau berhujah, hari perayaan agama kaum lain pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam disuruh tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka ia termasuk dalam golongan mereka ” (Sahih riwayat Abu Daud).

Selain itu, dalam satu kaedah, di mana para ulama Islam telah mengambil ketetapan iaitu redha kepada kekufuran adalah kufur. Justeru mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam termasuk rela terhadap kekufuran mereka. Keadaannya sama seperti kita merelai dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya.

Pendapat yang mengharuskan

Manakala seorang ulama terkenal Islam merangkap Mufti kerajaan Qatar , Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi berpendapat hukum mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam seperti Hari Krismas adalah harus, jika mereka memulakan ucapan selamat Hari Raya kepada kita.

Al-Qardhawi berpendapat, Islam tidak melarang kita berbuat baik terhadap ahli kitab yang tidak bermusuh dengan kita. Kita harus berbuat baik kepada mereka sebagaimana mereka berbuat baik kepada kita. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Mumthanah ayat 8,

"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Pendapat beliau ini disokong oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah, dengan fatwa yang dikeluarkan seperti berikut,

Sesungguhnya mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih daripada kewajipan jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam. Hujahnya ialah kerana kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan membalas ucapan selamat dengan ucapan yang sama baiknya. Allah SWT berfirman,

Apabila kamu dihormati dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah menghitungkan segala sesuatu. (Surah An-Nisaa’ : 86)

Oleh yang demikian, tidak ada suatu pun yang menghalang orang Islam daripada mengucapkan ‘selamat’ kepada orang bukan Islam baik secara lisan mahupun tulisan seperti menghantar kad dengan syarat kad yang dihantar tidak mempunyai lambang atau kata-kata agama yang bertentangan dengan prinsip akidah Islam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Prof. Dr. Abdul Hayei bin Abdul Sukor memilih jalan yang lebih sederhana dalam isu ini. Katanya, adalah jelas haram bagi umat Islam menyertai Hari raya kaum bukan Islam seperti memasang lampu warna-warni di sekeliling rumah, menghias rumah dengan pokok krismas, menyertai perarakan Thaipusam dan lain-lain kerana amalan ini ada hubung kait dengan akidah. Begitu juga adalah haram bagi umat Islam jika mengucapkan selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam pada hari-hari kebesaran agama mereka jika ianya bermaksud untuk sama-sama berhari raya dengan mereka, merelai kekufuran mereka dan berkasih sayang dengan mereka atas nama agama (mereka).

Tetapi jika maksud ucapan ‘selamat’ pada hari-hari kebesaran kaum bukan Islam itu tidak lebih hanya ikut bercuti pada hari itu, membalas ucapan selamat Hari Raya yang diucapkan terdahulu, maka saya kira pengucapan seumpama ini tidak termasuk dalam hal-hal akidah yang sekaligus menunjukkan rela hati terhadap agama dan kepercayaan mereka. Sama seperti sekiranya mereka menghulurkan makanan yang halal kepada kita dan kita terimanya dengan baik hati, serta mengucapkan terima kasih dengan makanan atau hadiah yang diberi, saya kira ia tidak ada kena mengena dengan akidah, bahkan kita harus menerimanya selagi mana ia adalah halal dan suci.

Demikian juga jika pada hari-hari kebesaran itu merupakan hari kelepasan am, semua pejabat dan kakitangan kerajaan diberi cuti, termasuk kakitangan yang beragama Islam. Saya tidak fikir jika kita bersuka ria kerana bercuti pada hari itu, maka kita boleh dianggap turut membesarkan syiar agama dan budaya kaum bukan Islam.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.