Thursday, November 11, 2010

Kisah kami


Rumah mak di Taman Perwira

Tujuan saya menulis ini bukanlah apa, hanya sekadar memberi perangsang kepada anak-anak dan juga anak-anak buah supaya gigih berusaha, belajar dan juga menuntut ilmu.

Janganlah hanyut dengan kesenangan dan keseronokan duniawi.

Bersyukurlah dengan apa yang diberi oleh ibu bapa masing-masing dan belajarlah hidup berjimat cermat.

Ingat, orang yang berjimat cermat pasti hidup mereka di berkati Allah.

30 tahun dahulu

Saya dibesarkan dalam keluarga yang susah. Arwah abah tidak bekerja kerana sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang berpanjangan.

Pernah juga arwah arbah cuba berniaga kedai runcit, tidak jauh dari Balairaya Jalan Jelebu (sekarang Taman Zaiton), tetapi akhirnya ditutup kerana tiada pelanggan.


Saya dan Kak Edah

Ketika itu satu-satunya ahli keluarga yang berkerja ialah kakak saya Noraidah (Kak Edah). Sebagai buruh kasar di kilang Senawang gajinya hanya cukup untuk membayar duit sewa rumah dan belanja dapur. Itu sahaja.

Abang saya yang sulong ‘Bang Mat’ pula bukan orang senang. Gajinya kecil, hanya mampu menampung keperluan isteri dan anak-anaknya sahaja.

Manakala abang Kamal, ketika itu sedang belajar di ITM Shah Alam.

Mak bekerja …

Di sebabkan kami susah, mak bekerja di sebuah kilang berhampiran dengan rumah yang kami sewa di batu 2 ½ , Jalan Jelebu.

Sebagai anak-anak, apabila balik dari sekolah kami akan pergi ke Kilang itu untuk membantu mak bekerja.

Kalau mak beri upah dapatlah kami duit belanja pergi ke sekolah.

Saya masih ingat…, betapa susahnya kami ketika itu, sehingga kalau bermain bola dengan rakan-rakan sebaya, mereka akan menghina kami,

“Engkau orang miskin…, engkau anak orang susah”, demikianlah saya, abang Zul dan Ajib dibuli dengan kata-kata penghinaan.

Jual goreng pisang

Satu hari mak berkata,

“Zul…., Hisham mari sini sekejap. Pergi jual goreng pisang ini di Kg Ismail”, kata mak.

Kami taat kepada perintah mak. Saya dan abang Zul membawa ‘raga telur’ berisi goreng pisang menjaja ke Kg. Ismail.

“Goreng pisang !, goreng pisang !”, jerit kami berdua.


Saya dan abang Zul

Pembeli pertama ialah arwah Pakcik Syarif yang rumahnya berhampiran dengan jambatan gantung di kampung Ismail.

“Berapa satu ? “, tanya arwah arwah Pakcik Syarif.

“Sepuluh sen pakcik”, jawab saya.

“Pakcik nak tiga”, sambil menghulurkan tiga puluh sen kepada saya.

Saya masukkan duit itu ke dalam kocek seluar. Saya dan abang Zul gembira. Mak pun pasti gembira dengan jualan pertama kami.

“Goreng pisang !…, goreng pisang ! ”, kami meneruskan perjalanan.

Ada pembeli mengambil kesempatan

Kami berjalan jauh masuk Kg Jiboi dan keluar semula ke jalan Jelebu.

Tiba-tiba ada seorang wanita Cina mendekati kami.

“Lu jual apa ?”

“Goreng pisang ”, jawab saya dan abang Zul serentak.

“Mari sini mahu tengok”, kata nyonya tua ini. Dia membuka raga telur.

“Satu berapa ?”, tanya nyonya tua.

“Sepuluh sen”, jawab abang Zul.

Nyonya tua mengambil sebiji goreng pisang lalu dipatahnya menjadi dua. Diambilnya yang sebelah manakala yang sebelah lagi dimasukkan semula ke dalam bakul.

“Nah lima sen”, katanya.

Saya dan abang Zul berpandangan.

Mahu tidak mahu kami menerimanya.

“Goreng pisang !, goreng pisang !”, kami meneruskan perjalanan.

Akhirnya kami pulang semula ke rumah menjelang waktu Maghrib membawa hasil yang tidak seberapa.

Di kejar orang gila …,

Makan nasi berlaukkan telur sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga. Kalau tidak lauk telur, kami makan berlaukkan udang jeragau.

Arwah abah kadang-kadang gorengkan kami betik muda, dimasak sambal. Itulah lauk yang kami makan bila pulang dari sekolah.

Biar pun begitu kami tidak pernah mengeluh. Kami tidak pernah minta itu dan ini dari mak dan arwah abah. Kami tahu kesusahan mereka membesarkan kami.

Satu petang arwah abah menyuruh saya membeli telur.

“Hisham pergi ke kedai beli telur sepuluh biji”, sambil menghulurkan seringgit lima puluh sen kepada saya.

Saya mencapai basikal tua menuju ke kedai arwah Cik Mat di kg. Ismail. Basikal itu tidak mempunyai lampu apatah lagi bakul untuk mengisi barang.

Setelah bungkusan telur diserahkan kepada saya, saya terus menunggang basikal dengan laju pulang ke rumah.

Malang seribu malang. Beberapa ratus meter sebelum sampai ke jambatan gantung, bungkusan telur yang saya pegang terlepas dari tangan…, jatuh terhempas di atas tanah.

Hancur berkecai kesemuanya.

Saya cuba berpatah balik untuk memungut bungkusan telur yang jatuh. Namun bila saya toleh ke belakang rupa-rupanya ada seorang gila yang namanya “Shahrom” terhegeh-hegeh berlari mendapatkan bungkusan telur itu.

Saya takut dan terus mengayuh basikal segera pulang ke rumah sambil menangis.

Di rumah, arwah abah memarahi saya.

Malam itu kami terlepas makan nasi berlaukkan telur.

Kerana sayangkan sebiji epal

Satu hari kakak saya Noraidah balik dari rombongan ke Singapura. Dia membawa pulang banyak buah epal bewarna hijau.

“Murah”, katanya.

Buah epal dibahagi-bahagikan sesama adik beradik. Setiap orang mendapat 3 biji.

Bukan senang hendak makan buah epal. Selalunya kami hanya lihat orang makan buah epal dalam TV sahaja.

Saya makan dua biji dan sebiji lagi saya simpan di dalam laci kerana rumah kami tidak mempunyai peti ais.

Saya sangat sayangkan epal itu. Hari-hari saya melihatnya dalam laci.

Satu hari saya membuka laci, malangnya epal saya sudah pun busuk.

Saya menangis.

Tahun 1985 ...

Nasib keluarga kami mula berubah sejak tahun 1985. Ketika itu abang Kamal sudah pun menamatkan pengajiannya di ITM dan berkerja di kilang besi, Kuala Lumpur.

Bila abang Kamal bekerja, kami mula merasai masakan yang 'sedap-sedap', seperti ayam goreng dan sebagainya.

Pada tahun yang sama kakak saya Noraidah mahu berkahwin. Dia mencari sebuah rumah baru untuk disewa, kerana rumah kaami di jalan Jelebu terlalu usang untuk menerima tetamu.

Kami pun berpindah ke Kg. Ismail menyewa sebuah rumah yang tidak jauh dari Surau.

Abang Kamal pula ketika itu sudah pun berhenti kerja di kilang besi. Dia berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di PORIM, Bangi.

Sebagai kakitangan kerajaan, dia membuat pinjaman untuk membina sebuah rumah keluarga di Taman Perwira.

Sayang..., ketika rumah itu telah siap di dirikan, arwah abah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Hari ini

Alhamdulillah, hari ini berkat kesabaran dalam mengharungi kesusahan kami adik beradik akhirnya maju dalam lapangan hidup.

Kakak yang tua, Kak Long sekarang hidup senang lenang di banglownya yang tersergam indah di Kg. Melayu Subang. Anak-anak Kak Long juga sudah berkahwin dan berjaya dalam kerjaya.

Ada yang menjadi pensyarah kanan di Universiti Malaya. Mungkin sedikit masa lagi bakal bergelar Prof. Madya.


Kak Long

Sepuluh tahun yang lepas, Kak Long dan abang Suman sponsor mak pergi Haji bersama mereka melalui pakej yang mahal harganya.

Kak Long kalau balik ke Taman Perwira, tidak lupa untuk menghulurkan mak beberapa keping RM 50.00. Begitu juga dengan anak-anaknya.

Alhamdulillah.

Kak Ngah dan Abang Usop

Kak Ngah dan abang Usop juga sudah hidup selesa sekarang. Mereka menetap di Taman Ampangan. Anak-anak mereka juga sudah berjaya dan berumahtangga. Ada yang berkahwin dengan Hakim Majistret.


Kak Ngah

Insya Allah tahun hadapan Kak Ngah dan abang Usop bercadang untuk menunaikan fardhu Haji. Mereka sudah pun mendaftar sejak tahun 2006 lagi. Namun rezeki giliran belum juga tiba.

“Sabar Kak Ngah. Insya Allah satu hari nanti Kak Ngah pasti akan sampai ke sana…”, pujuk saya.

Adik beradik yang lain

Kak Ni pula sangat bahagia dengan anak cucunya di Taman Perwira. Suaminya abang Isnan gigih mengusahakan ternakan ikan sembilang di belakang rumah.

“Rumah Kak Ni dah habis bayar”, katanya kepada saya satu hari.

Manakala abang yang sulong, Bang Mat pula sangat sibuk dengan bisnesnya menjual ubat-ubatan. Hutang rumahnya di Pantai pun sudah ‘di langsai’kan.

“Sekarang bang Mat lega sikit”, katanya semasa kenduri di rumah mak baru-baru ini.

Kak Edah pula tinggal di belakang rumah mak. Dialah yang mengemaskan rumah mak, memasak dan menemani mak selain ‘melihat-lihatkan’ Kak Ipah dan juga Abang Rahim.

Abang Kamal pula sudah tiga tahun bekerja di Qatar Petroleum dengan gaji yang lumayan mencecah tiga puluh ke empat puluh ribu ringgit sebulan.

Dia tidak pernah lupa membayar zakat pendapatan juga melakukan ibadah korban tanda bersyukur kepada Allah SWT.

Rumah mak di Taman Perwira pun dia yang ‘langsaikan’, sejak beberapa tahun yang lalu.

Kak Padilah pula bekerja sebagai Guru Tadika di Jabatan Perpaduan Masyarakat. Dia dan suaminya sekarang menetap di Taman Desa Kiara Sikamat. Anaknya yang sulong bakal bergelar peguam.

Manakala Kak Izah sudah pun menjadi ‘orang kuat’ di BSN Ampangan.Dia dan keluarganya sungguh bahagia tinggal di Taman Perwira, bersebelahan rumah Kak Ni.

Abang Zul pula bekerja di BSN Seremban di samping berniaga kecil-kecilan menjual kereta bersama mertuanya. Kami adik beradik mendoakan semoga perniagaannya berjaya.


Ajib

Manakala adik saya yang bongsu Ajib, pungguh selesa dengan kerjayanya sebagai Technician di kilang SKF Nilai. Dia juga sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Demikianlah serba sedikit kemajuan keluarga kami.

Kadang kala bila kami berkumpul sesama adik beradik di rumah mak, pasti kisah silam akan dilayari semula.

Selalunya abang Zullah yang paling banyak bercerita.

Tujuannya hanya satu, supaya anak-anak mendengar kisah kami serta mengambil teladan dari pengalaman yang pernah kami lalui.

Ya Allah kami bersyukur kepadaMu.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.