Sunday, November 21, 2010

Orang kaya dan miskin yang Zuhud


Pagi ini saya diminta mengggantikan Ust Ismail Kamus yang tidak dapat hadir kerana menunaikan fardhu Haji di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi.

Sabda Rasulullah saw,

عن أبي العباس سهل بن سعد الساعدي رضي الله عنه قال : جا ء رجل إلى النبي (ص) , فقال يا رسول الله دلني على عمل إذا عملته أحبنى الله وأحبنى الناس . فقال : إزهد فى الدنيا يحبك الله وازهد فيما عند الناس يحبك الناس

Maksudnya : Daripada Abu Abbas, Sahel bin Saad r.a berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw seraya berkata : Ya Rasulullah, tunjukkanlah aku suatu amalan jika aku kerjakan nescaya aku dicintai Allah dan dicintai orang ramai. Bersabda Rasulullah saw, Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya enkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Latar belakang perawi Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Sahel bin Saad as-Sa’idi yang di gelar Abu Abbas . Beliau merupakan salah seorang sahabat dari kalangan Ansar.

Nama asalnya ialah Khuznan ertinya sedih. Bila dia memeluk Islam, Rasulullah saw telah mengubah namanya kepada Sahel yang bererti mudah. Setengah qaul mengatakan dia adalah sahabat yang terakhir meninggal dunia di kalangan mereka yang bergelar sahabat.

Huraian hadis

Sahel telah meriwayatkan hadis ini dengan katanya,

: جا ء رجل إلى النبي (ص) , فقال يا رسول الله دلني على عمل إذا عملته أحبنى الله وأحبنى الناس

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw seraya berkata : Ya Rasulullah, tunjukkanlah aku suatu amalan jika aku kerjakan nescaya aku dicintai Allah dan dicintai orang ramai.

Hadis ini menjelaskan kepada kita petua bagaimana hendak menjadi seorang hamba yang dikasihi Allah dan juga dikasihi oleh manusia. Nabi saw memberi panduan seperti sabda baginda,

إزهد فى الدنيا يحبك الله

Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah

Dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan untuk menjadi hamba yang dikasihi Allah SWT maka hendaklah berzuhud daripada perkara keduniaan. Menurut istilah syarak, zuhud ertinya mengambil barang yang halal di dunia ini dalam kadar yang diperlukan sahaja.

Zuhud bukan bermakna menjauhkan diri dari hal ehwal keduniaan seperti memakai pakaian compang camping atau lusuh, memiliki kenderaan buruk , tinggal di rumah yang usang atau membiarkan diri hidup melarat dalam keadaan miskin tanpa sebarang usaha untuk mengatasinya. Zuhud juga bukan bererti perlu duduk di masjid dan beribadah saja tanpa melakukan kerja-kerja yang bersifat duniawi.

Zuhud bermaksud jika seseorang itu berharta maka hendaklah dia menggunakannya sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakannya itu. Orang yang zuhud, jika mempunyai harta yang lebih , maka dia tidak lupa untuk mengeluarkan zakat dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan.


Kuliah Dhuha (Muslimat)

Seseorang kaya yang zuhud akan sentiasa bekerja kuat untuk dunia dan tidak lupa untuk beramal ibadah sebagai persiapan menghadapi hari akhirat. Dengan kata lain semakin hampir usianya dengan kematian maka semakin hampir dirinya dengan Allah SWT.

Orang kaya yang zuhud sentiasa menyedari bahawa harta kemewahan yang diperolehinya hanyalah permainan dan senda gurauan yang bersifat sementara. Firman Allah SWT,

"Sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan". (Surah Muhammad : 36)

Seorang kaya yang zuhud akan sentiasa tekun mencari ilmu pengetahuan di samping amat berhati-hati dalam mencari harta yang halal. Seorang kaya yang zuhud sama sekali tidak akan melibatkan diri dalam rasuah, pecah amanah, khianat, riba, skim cepat kaya dan sebagainya. Seorang kaya yang zuhud tidak akan mengabaikan kewajiban solat, zakat serta kewajiban menanggung nafkah untuk anak-anak dan isteri di rumah.

Seorang kaya yang zuhud tidak akan boros membelanjakan hartanya, apatah lagi menyintai dunia sehingga timbul perasaan tamak dan haloba. Berkata Imam Ibnu Jauzi seseorang yang berharta hendaklah memakai pakaian yang bersih dan layak dengan kedudukannya supaya boleh dikenali oleh orang-orang miskin jika mereka inginkan pertolongan.

Orang kaya yang zuhud akan mengasihi orang miskin serta bergaul dengan mereka. Mereka sama sekali tidak menjarakkan diri mereka dengan golongan miskin kerana ia adalah tanda sifat orang munafik.

Kalau di lihat kepada sirah Rasulullah saw, sembilan dari sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga ialah orang-orang kaya. Antaranya ialah Saidina Abu Bakar As-Shiddiq, Usman bin Affan dan Abdurrahman Bin Auf .Mereka adalah orang-orang kaya yang berzuhud dan dikenali oleh orang ramai sebagai sahabat yang suka bersedekah.

Inilah golongan kaya yang berzuhud dan dikasihi Allah SWT sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadis di atas.

Sabda Nabi saw lagi,

وازهد فيما عند الناس يحبك الناس

...Berlaku zuhudlah pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai.

Maksudnya Nabi saw berpesan kepada orang-orang miskin yang tidak berharta supaya berzuhud yakni jangan berperasaan irihati atau cemburu dengan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada orang lain sehingga berusaha mencari jalan untuk mendapatkannya walaupun dengan cara yang salah.

Orang miskin yang zuhud hendaklah menjauhkan dirinya daripada perasaan benci terhadap apa yang telah ditakdirkan Allah SWT ke atas dirinya. Sabda Rasulullah saw,

أحب العباد إلى الله تعالى الفقير القائع برزقه الراضى عن الله تعالى

Maksudnya : Orang yang paling dicintai Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah seorang miskin yang merrasa puas hati dengan rezekinya dan merasa redha dengan takdir Allah SWT.

Orang miskin yang zuhud akan bersikap sederhana, tidak menunjuk-nunjukkan kemiskinan atau menceritakan kemiskinannya kepada orang lain, tidak mengeluh kesah serta sentiasa sabar dan bermanis muka dalam menghadapi kesusahan hidup.

Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda,

إن الله يحب الفقير المتعفف أبا العيال

Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT mengasihi seorang yang miskin yang tidak suka meminta-meminta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.

Orang miskin yang zuhud tidaklah merendah-rendahkan dirinya apabila berhadapan dengan orang kaya. Sebaliknya hendaklah menunjukkan ketinggian budi dan akhlaknya kepada orang kaya semata-mata kerana Allah SWT bukan disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh orang kaya tersebut.

Orang miskin yang zuhud akan sentiasa berkata benar, dan tidak berdiam diri jika melihat orang-orang kaya melakukan kemungkaran. Dia akan menasihat dan menegur tanpa perasaan segan apatah lagi mengharapkan sedikit harta daripada orang kaya tersebut.

Orang miskin yang zuhud jika diberi harta , akan bersyukur dan mengenang budi orang yang memberinya. Dia tidak akan meminta-minta sedekah atau memohon simpati dari orang lain kerana Nabi saw bersabda,

“Barangsiapa yang meminta-minta sedangkan apa yang dimintanya itu tidak perlu maka sebenarnya dia telah mengumpulkan bara api jahannam. Barangsiapa yang meminta-minta sedangkan yang ada padanya sudah mencukupi dia akan datang pada Hari Qiamat dengan wajahnya yang tinggal tulang semata-mata, tidak ada daging lagi.”

Dalam syarak hanya ada beberapa sebab yang diharuskan seseorang itu meminta-minta. Antaranya orang yang memiliki beban hidup yang tidak mampu ditanggungnya serta kemiskinan yang dialaminya itu diakui sendiri oleh masyarakat.

Selain itu ialah orang yang ditimpa musibah seperti bencana alam yang memusnahkan segala hartanya. Atau orang yang sedang menghadapi kelaparan, jika dia tidak meminta makanan daripada orang ramai maka dia akan mati kebuluran.

Orang miskin yang zuhud inilah yang akan mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah saw,

يدخل فقراء أمتى الجنة قبل أغنيائها بخمسمائة عام

Maksudnya : Orang-orang miskin di kalangan umatku akan masuk ke syurga terlebih dahulu daripada orang-orang kaya dalam jarak masa lima ratus tahun lamanya.

Kesimpulan

Islam sama sekali tidak melarang umatnya untuk mencari harta kekayaan di dunia dan menggunakannya dalam kehidupan seharian seperti memiliki kenderaan mewah, pakaian mahal dan rumah yang besar bersesuaian dengan gaji dan pendapatan yang diperolehi asalkan ia adalah halal.

Namun bila sudah kaya dan senang lenang, janganlah lalai dengan kekayaan tersebut kerana lambat laun seseorang itu tetap meninggalkan segala kekayaannya di dunia untuk melangkah ke alam akhirat yang kekal abadi selama-lamanya. Firman Allah SWT,

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi”. ( Al-Munafiqun : 9 )

Seorang yang zuhud sama ada kaya atau miskin, sangat cintakan kematian. Di dunia ada tiga golongan manusia,

Pertama : Ada yang takut mati, kerana hatinya sangat sayang dan kasih kepada kehidupan dunia. Jika mati, mereka bimbang segala kenikmatan dunia yang diperolehi akan putus, sebaliknya azab seksaan pula yang menanti mereka di alam barzakh.

Kedua : Ada juga yang takutkan kematian kerana kurang yakin dengan amal soleh yang dilakukan. Orang ini termasuk orang yang rugi, tetapi ruginya tidak berpanjangan. Ia akan dihisab dan dihukum berdasarkan dosa yang dilakukan semasa di dunia. Selepas selesai menjalani hukuman mereka akan dimasukkan semula ke dalam syurga Allah SWT.

Ketiga : Iaitu orang yang tidak takut kepada kematian. Malah dianggapnya mati itu hanyalah sebagai satu perpindahan dari alam fana ke alam baqa'. Mereka yakin dengan amal soleh yang dibawa akan membantunya di akhirat kelak. Segala hutang piutang dengan manusia sudah diselesaikan lagi.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.