Wednesday, January 5, 2011

Al-Insyiqaq - Terbelah


Qiamat pasti berlaku

Tafsir Al-Quran
Surah Al-Insyiqaq : 1-15


Firman Allah SWT,

"Apabila langit terbelah, [1]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; [2]Dan apabila bumi diratakan, [3]Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,[4]Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya). [5]Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya). [6]Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, [7]-Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, [8]Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. [9]Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, [10]Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, [11]Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. [12]Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! [13]Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) ! [14](Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!"[15] (Al-Inshiqaq 001-015)

Huraian ayat

Pada ayat 1-5 Allah SWT menjelaskan apabila berlakunya hari Qiamat, langit akan terbelah kerana mematuhi perintah Allah SWT. Segala sistem cakerawala yang terdapat di langit seperti planet, bulan, bintang dan galaksi akan musnah dan hancur.

Bumi pun turut akur dengan perintah Tuhannya untuk bertukar menjadi rata. Segala-gala yang ada di atasnya seperti bukit bukau dan juga gunung ganang akan tercabut.

Bumi juga akan memuntahkan segala benda yang terdapat dalam perutnya seperti emas, logam , minyak dan juga mayat-mayat manusia sehingga benar-benar menjadi kosong.

Sebelum ini jika berlaku bencana di tempat masing-masing manusia boleh dipindahkan atau di selamatkan oleh pihak berkuasa ke tempat yang selamat atau di khemah-khemah perlindungan tetapi bencana kali ini menyeluruh sehingga tiada satu tempat untuk manusia boleh menyelamatkan diri.

Ayat ini memberi pengajaran kepada manusia tentang kekuasaan Allah SWT. Kalaulah Allah SWT boleh membelah langit yang luas dengan mudah, apatah lagi amat mudah bagi Allah SWT untuk memusnahkan kehidupan-kehidupan kecil di dunia ini seperti manusia.

Justeru janganlah berlagak sombong dengan Allah SWT. Manusia adalah makhluk yang kerdil di sisi-Nya.

Begitu juga dengan bumi, jika ia boleh memuntahkan segala yang terkandung dalam perutnya, maka lagilah mudah bagi Allah SWT untuk menyingkap segala kelakuan yang dilakukan oleh manusia tanpa boleh disembunyikan.

Pada ayat keenam Allah SWT menjelaskan tabiat manusia yang sentiasa berpenat lelah. Ada yang berpenat lelah melakukan kebaikan dengan bersungguh-sungguh di dunia sampailah ke penghujung hayat kerana yakin mereka pasti akan bertemu dengan Tuhannya dan bertemu pula dengan balasan pahala hasil dari amal kebajikan yang dilakukannya semasa di dunia.

Di samping ada juga manusia yang berpenat lelah mengumpul harta serta mengikut kehendak hawa nafsu melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Padahal mereka pasti akan mati dan bertemu dengan Tuhan serta balasan dosa hasil dari amal kejahatan yang dilakukan semsa di dunia.

Pada ayat ketujuh sehingga ayat kesembilan, Allah SWT menjelaskan tentang nasib golongan yang baik lagi beriman iaitu mereka akan menerima kitab catatan amalan di tangan kanan.

Orang ini akan dihisab dengan perkiraan yang mudah mudah sekali. Mereka akan kembali kepada kaumnya yang beriman sebelum menuju ke syurga dengan rasa gembira. Mereka akan berbangga dengan kitab catatan amalan masing-masing sambil berkata,

“Bacalah oleh kamu sekalian kitabku ini”.

Pada ayat ke sepuluh hingga kelima belas Allah SWT memberitahu pula keadaan orang yang celaka iaiatu mereka yang banyak melakukan kesalahan dosa serta menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka akan diberi kitab catatan amalan mereka dari arah belakang melalui tangan kiri sebagai tanda kebencian Tuhan untuk melihat wajahnya.

Orang-orang seperti ini menyesal tak sudah kerana bakal bakal dihumban ke dalam neraka Sa’eir . Mereka menjerit sambil menyumpah-nyumpah dirinya sendiri,

“Alangkah celakanya aku”.

Ada dua sebab mereka menyesal yang teramat sangat. Pertama kerana di dunia dahulu mereka merasa gembira apabila bersama dengan kaum yang engkar lagi derhaka kepada Allah SWT.

Sebab yang kedua pula kerana mereka menyangka selepas kematian, mereka tidak akan dibangkitkan semula untuk menemui Tuhannya. Lalu Allah SWT menjawab segala sangkaan mereka itu tidak benar.Sebaliknya mereka pasti akan dihidupkan semula untuk dibicarakan di depan Allah SWT

Ayat ini sekaligus menempelak golongan yang mengengkari hari kebangkitan sebagaimana reaksi orang-orang Quraisy seperti Ubai bin Khalaf dan Al-As bin Wail.

Mereka sanggup mengambil cangkul lalu menggali kubur-kubur di sekitar Mekah lalu tulang-tulang mayat yang sudah rapuh mereka kutip dan campakkan di depan Nabi saw.

Tulang-tulang itu kemudiannya dipijak-pijak dan diramas-ramas sehingga hancur menjadi debu. Setelah itu debu itu mereka tiup ke udara sambil berkata dengan sombong,

“Ya Muhammad, adakah engkau akan menyangka Tuhan berkuasa menghidupkan semula mayat-mayat yang sudah hancur ini ”.

Demikianlah jahatnya orang-orang Quraisy menolak dan menafikan tentang peristiwa hari kebangkitan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw.

Di akhirat, golongan yang keras kepala ini akan menyesal, menangis, meraung dan menjerit-jerit sambil menyumpah-nyumpah diri mereka sendiri.

Mereka ingin balik semula kedunia untuk memperbaiki diri, namun semuanya sudah terlambat. Kerana jika sudah dibangkitkan di akhirat, manusia tidak boleh dikembalikan semula ke dunia untuk kali kedua.

Bukan itu sahaja, malah untuk mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat di dalam kubur pun tidak diizinkan oleh Allah SWT lagi sebab di alam barzakh sama juga seperti di alam Mahsyar bukan tempat untuk manusia beribadat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.