Penciptaan Langit


Alam kosmos

Dalam Al-Quran banyak ayat yang menggesa manusia supaya merenung kejadian alam cakerawala beserta sekalian makhluk ciptaan-Nya, moga-moga dengan cara itu akan mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Firman Allah SWT,

“Dan apakah mereka tidak memerhatikan kerajaan langit dan bumi dan segala sesuatu yang diciptakan Allah” (Al-A'raf 185)

Dialah Allah Tuhan yang mencipta alam maya yang indah supaya manusia mengkaji dan menyingkap rahsianya. Juga untuk manusia mengamati pada peraturan alam, seterusnya mengambil iktibar daripadanya untuk faedah kehidupan di dunia dan juga akhirat.

Kebesaran Allah SWT mencipta langit

Allah SWT memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya agar merenung dan berfikir pada penciptaan langit. Firman-Nya,

“ (Mengapa mereka tidak melihat ke langit bagaimana ia di angkat ?” (Al-Gashiya 018)

Sesungguhnya penciptaan langit mempunyai hikmah dan tujuan tertentu yang perlu difikirkan oleh manusia. Di samping sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, ia juga berperanan memberi manfaat dan faedah kepada kehidupan manusia di dunia ini.

Pengertian langit

Dalam Lisan al-Arab menyatakan langit itu ialah suatu yang tinggi seperti bumbung rumah dan seumpamanya. Kata Al-Zujaj langit ( السماء ( pada bahasa ialah tiap-tiap sesuatu yang tinggi. Justeru atap rumah dan awan misalnya dikatakan langit kerana kedudukannya yang tinggi.

Langit juga bererti seluruh falaq yang mencakupi semua benda yang ada di angkasa yang luas dan jelas kelihatan di sekeliling kita. Ia seperti kubah besar yang mana terdapat di dalamnya matahari, bulan, planet dan juga bintang.Ia tidak dapat dirasa atau disentuh kerana tiada manusia yang pernah sampai kepadanya secara hakiki.

Walau apa pandangan manusia mengenai langit, namun hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Kejadian langit sungguh menakjubkan. Manusia perlu berfikir bagaimana ia boleh terangkat dan tertegak padahal tidak terdapat sebatang tiang sama ada di tengah mahu pun di tepi yang boleh dilihat atau ditemui. Tidak lain kerana kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT ,

“Allahlah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan”. (Ar-Ra'd 002)

Mengenai tempoh penciptaan langit, Allah SWT menjelaskan melalui firman-Nya,

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua hari dan kamu jadikan bagiNya sekutu-sekutu yang lain, Dia itulah Tuhan semesta alam. Dan Dia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka ; (semuanya itu berlaku ) dalam empat hari. Kemudian Dia menujukan kehendakNya kea rah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi : Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa ! Keduanya menjawab : Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela . Lalu Dia menjadikannya tujuh langit , dalam dua hari ; dan Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang –bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa,lagi Maha Mengetahui". (Fussilat 009-012)


Para mufassirin telah mentakwilkan perkataan hari dalam ayat di atas bukanlah mengikut ukuran hari yang terpakai di dunia yang mana kiraannya satu hari bersamaan 24 jam berdasarkan proses pertukaran malam dan siang. Ini kerana pada masa itu bumi dan matahari belum lagi dijadikan Allah SWT. Justeru,yang dimaksudkan dengan hari dalam ayat di atas ialah masa.

Dalam ayat ke 9 surah Fussilat, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah mencipta langit dan bumi dalam dua masa. Kemudian pada ayat ke 10, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah menjadikan gunung-gunung dan segala makanan-makanan yang berupa tumbuh-tumbuhan dan haiwan sebagai keperluan bagi manusia ialah dalam empat masa. Jumlah keseluruhan masa ialah enam masa.

Nota :

Sebahagian makalah yang dihantar ke Jabatan Mufti NS untuk Konvensyen Falak 2011. Moga-moga dipertimbangkan.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu