Seputar bangkai, babi, darah dan sembelihan



Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah 172-173


Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Al-Baqarah 172-173)

Huraian ayat

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu..”,

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya makan makanan yang baik yakni halal. Antara kelebihan memakan makanan yang baik dan halal ialah ia akan melembutkan hati dalam melakukan amal soleh, mewujudkan perasaan takut dan khusyuk ketika beribadat dan menjadikan setiap amalan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Dalam sebuah riwayat Nabi saw pernah ditanya oleh seorang sahabat yang bernama Saad bin Abi Waqas,

“Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku senantiasa menjadi orang yang dimakbulkan doa.” Maka Nabi saw bersabda : “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) niscaya engkau akan menjadi orang yang selalu dimakbulkan doa. Dan demi jiwaku yang berada di tanganNya, sesungguhnya jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari, dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba maka api neraka adalah lebih layak baginya "(HR. At-Thabrani)

Sabda Rasulullah saw lagi,

وأيما عبد نبت لحمه من سحت فالنر أولى به

Maksudnya : Dan setiap hamba yang dagingnya tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya (Hadis riwayat at-Tabrani)

Justeru mereka yang keluar rumah dalam usaha mencari rezeki yang halal, Allah SWT akan mengampunkan segala dosa-dosanya sebagaimana sabda baginda,

من أمسى كالا من عمل الحلال , أمسى مغفورا له

Maksudnya : Barangsiapa yang penat bekerja sehari suntuk untuk mencari rezeki yang halal nescaya akan terampunlah segala dosa-dosanya.

Firman Allah SWT di hujung ayat 172,

“…dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya”.


Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh kita bersyukur keadanya di atas segala limpah rezeki yang dikurniakan.

Kemudian pada ayat seterusnya Allah SWT berfirman,

“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah..”


Berdasarkan ayat ini Allah SWT mengharamkan 4 jenis makanan iaitu :

1. Bangkai

Maksud bangkai ialah binatang yang mati dengan sendiri tanpa ada usaha manusia untuk menyembelih atau dengan cara berburu.

Termasuk juga dalam kategori ini ialah binatang yang mati dicekik baik dengan cara menghimpit kepala binatang itu pada tempat yang sempit dan sebagainya sehingga ia mati, binatang yang mati kerana dipukul dengan kayu atau tongkat, binatang yang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi, binatang yang mati kerana berkelahi antara satu sama lain dan binatang yang mati kerana di makan oleh binatang yang buas.

Perincian ini disebut dalam surah Al-Maidah,

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala..” (Al-Maidah 003)

Sebab Allah SWT mengharamkan memakan bangkai kerana binatang yang mati dengan sendiri tanpa disembelih mesti ada sebab dan punca berlaku kematiannya.

Mungkin binatang itu mati kerana ada penyakit yang merbahaya atau mati disebabkan ia memakan bahan yang beracun.

Sebab itulah Allah SWT melarang kita memakan bangkai untuk memelihara kesihatan manusia.

Bagi binatang yang mati kerana terjatuh atau bergaduh sesama sendiri, ia adalah rezeki buat bianatang lain untuk memakan dagingnya sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada semua makhluk-Nya. Hikmah seterusnya supaya manusia boleh berikhtiar untuk mencari ubat bagi merawat penyakit binatang yangdimilikinya.

Namun begitu pengharaman bangkai tidak termasuk kulit, tanduk, tulang atau rambutnya melainkan jika bangkai itu anjing dan babi. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa seorang wanita yang bernama Maimunah pernah diberi hadiah seekor kambing. Tidak berapa lama kemudian kambing itu mati dan secara kebetulan Rasulullah saw berjalan melihat bangkai kambing itu lalu baginda bersabda,

هلا أخذتم إها بها فدبغتموه فانتفعتم به ؟ فقالوا : انها ميتة ,
فقال (ص) إنما حرما أكلها


Maksudnya : Mengapa kamu tidak ambil kulitnya kemudian kamu samak dan memanfaatkannya ? Para sahabat menjawab, bukankah itu bangkai ! Jawab Rasulullah saw, yang diharamkan kepada kamu hanyalah memakannya.

Dikecualikan daripada takrif bangkai ialah belalang, ikan dan segala binatang yang hidup dalam air. Inilah yang dipegang oleh Mazhab Syafie berdasarkan dalil dimana Rasulullah saw pernah ditanya tentang air laut . Baginda saw menjawab,

هو الطهور ماءه ألحل ميتته

Maksudnya : Laut itu suci dan bangkainya halal dimakan.

Hal ini berbeza dengan mazhab Hanafi yang hanya menganggap hanya ikan sahaja yang halal, manakala hidupan laut seperti sotong dan ketam hukumnya adalah haram. Yang paling ringan ialah udang yang dihukumkan makruh memakannya.

2. Darah

Makanan kedua yang diharamkan ialah darah yang mengalir. Hikmah diharamkan kerana darah itu kotor. Jiwa manusia yang bersih tidak boleh menerima makanan yang kotor.

3. Daging babi

Babi merupakan binatang yang kotor kerana tabiatnya yang memakan makanan yang bernajis dan kotor.

Kajian saintifik menunjukkan babi membawa kuman yang boleh menyebabkan penyakit yang teruk kepada manusia.

4. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah

Tujuan menyembelih kerana Allah SWT ialah sebagai tanda bersyukur kerana Dia yang telah mencipta binatang ini kepada manusia untuk dinikmati sebagai makanan.

Oleh itu tidak halal menyembelih binatang bukan kerana Allah SWT seperti kerana pemujaan, rawatan atau menyebut nama-nama berhala.

Antara syarat sembelihan penyembelih mestilah Islam atau kafir kitabi sama ada Yahudi dan Nasrani. Binatang yang disembelih hendaklah diputuskan urat halkum dan urat merihnya dengan sekali sembelihan.

Bagi binatang yang sukar hendak disembelih dengan sebab liar bolehlah dilukakan di mana-mana tempat yang boleh mematikannya sekali pun bukan di lehernya.

Ada pun binatang yang luka atau patah kerana digigit binatang yang buas atau dihempap rumah atau dilanggar kereta atau sebagainya halal disembelih jika masih ada hayat mustaqirrah iaitu adanya gerakan yang kuat atau darah memancut keluar apabila disembelih.

Berbeza dengan binatang yang sakit teruk atau lapar walaupun sampai ke tahap mazbuh (nyawa-nyawa ikan) maka halal disembelih sekali pun darahnya tiada memancut bila dipotong lehernya dan tiada gerakan yang kuat.

Jika seseorang itu sedang menyembelih tiba-tiba pisau atau parangnya terangkat, atau terjatuh, atau pisaunya tumpul kemudian ditukar dengan pisau lain untuk menyambung kembali sembelihannya maka hendaklah dilihat kepada keadaan binatang itu.

Jika binatang itu masih dalam hayat mustaqirrah yang mana tandanya ada gerakan yang kuat maka halal daging sembelihan itu.

Tetapi jika binatang itu sudah sampai ketahap mazbuh yang sudah tidak ada gerakan, cuma hanya kedengaran dengusan nafasnya sahaja maka hukumnya haram dimakan daging sembelihan itu.

Bagi mereka yang berburu binatang yang liar tetapi halal seperti rusa atau pelanduk adalah halal binatang itu dimakan jika memenuhi syarat seperti berikut :

1. Pemburu mestilah islam.
2. Menyebut nama Allah ketika melepaskan alatan.
3. Alat yang digunakan itu boleh menembusi dada binatang buruan.

Jika menggunakan binatang seperti anjing, maka hendaklah anjing itu dilatih supaya ia menangkap binatang buruan untuk tuannya bukan untuk dimakan. Dan yang terpenting semasa melepaskan binatang itu hendaklah menyebut nama Allah SWT.

Kemudian di akhir ayat 173 Allah SWT berfirman,

“… maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan sesiapa yang makan binatang-binatang di atas kerana faktor darurat, iaiatu tida makanan yang halal boleh dididapati dan jika tidak memakannya boleh mengakibatkan kematian maka hukumnya adalah harus dan tidak berdosa.

Syaratnya hendaklah memakannya sekadar untuk kesinambungan hidup bukan untuk bersedap-sedap.

Manakala memakan makanan yang haram untuk dijadikan ubat maka hendaklah dipenuhi beberapa syarat iaitu,

1. Terdapat bahaya yang mengancam manusia jika tidak berubat
2. Tidak ada ubat lain yang halal sebagai ganti ubat yang haram itu
3. Adanya satu pengesahan daripada seorang doctor pakar muslim yang amanah.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu