“Kami ikut aje ….”

Labbaikallahummalabbaik

Tiga hari lepas,

“Ustaz, saya nak sahkan flight ustaz Ahad ni pukul 12.45 tgh hari. Ustaz dan rombongan kena berada di KLIA paling awal pukul 9.30 pagi. Tunggu di paras 5 kaunter L”, kata En. Alif kakitangan KRS Travel, Senawang.

“Berapa orang semuanya?”, tanya saya minta kepastian.

“31 orang. Ada yang daftar di cawangan KRS Kuala Lumpur. Saya telah maklumkan kepada mereka tentang jadual flight. Cuma adik beradik ustaz sahaja yang saya tak maklumkan. Minta Ustaz tolong sampaikan maklumat ini kepada mereka ”, jawab En. Alif.

No problem”, respon saya.

Pertama kali sebagai trip leader

Berbeza dengan pengalaman sebelumnya, inilah kali pertama saya diberi mandat sebagai ketua rombongan.

Sebagai trip leader, tentulah banyak karenah yang bakal saya hadapi daripada ahli-ahli rombongan. Moga-moga Allah SWT sentiasa memberi kesabaran dan kecekalan kepada saya dalam memimpin mereka.

Hasil perbualan saya dengan beberapa ahli rombongan ketika menyampaikan taklimat umrah baru-baru ini, majoriti mereka belum pernah ke tanah suci.

“Kami tak tahu apa-apa…, kami hanya ikut ustaz aje…”, kata seorang wanita muda.

“Saya pun…”, sampuk seorang rakannya.

“Ha’ ah…, apa yang Ustaz buat kita ikut aje.., tak perlu nak susah-susah”, kata seorang makcik sambil mengusap-usap lututnya. Mungkin dia mengalami sakit lutut.

“Boleh, tapi kalau saya masuk ke tandas, jangan pula puan-puan ikut saya ”, respon saya di sambut gelak ketawa oleh peserta rombongan yang lain.

Peserta yang paling tua berusia 84 tahun.

Untuk warga emas ini, saya sudah pun memaklumkan kepada warisnya supaya menyediakan sejumlah wang yang banyak sebagai persiapan untuk mengupah seseorang menyorongnya dengan kerusi roda apabila tawaf dan saei nanti.

“Tak boleh ke saya aje yang sorongkan atuk saya tu?”, tanya seorang gadis yang berusia 16 tahun, cucu kepada warga emas ini.

Dari riak wajahnya, seolah-olah tidak sabar untuk memberi khidmat terbaik buat datuk kesayangannya.

“Bagi saya, biarlah kerja-kerja menyorong ini di lakukan oleh orang lelaki di sana yang lebih berpengalaman”, kata saya.

Mendaki Gua Hirak

Insya Allah jika berkelapangan dan sihat, saya bercadang untuk mendaki Gua Hirak (Jaban Nur). Kali pertama saya mendakinya pada tahun 2000, namun gagal sampai ke kemuncak.

Alhamdulillah pada tahun 2004, saya berjaya sampai ke puncak setelah mendaki lebih satu jam lamanya.

Puncak Gua Hirak, dari pandangan jauh. (Sumber http://manzlie-makkah.blogspot.com/)

Pada tahun 2008, saya tidak memanjatnya kerana hendak menyimpan tenaga bagi melakukan kerja-kerja Haji.

Bagaimana pula kali ini ?

Wallahualam, hanya takdir yang menentukan. Doakan semoga saya berjaya sampai ke kemuncak sekali lagi.

Doa saya...

Buat rakan-rakan dan kenalan, insya Allah semasa di sana nanti saya akan doakan kalian semua agar sihat wal’afiat, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Begitu juga saya, turut mengharapkan doa dari kalian semua, semoga saya dan semua peserta rombongan sihat wal’afiat dan dapat melaksanakan kerja-kerja umrah dengan sempurna.

Amin….

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu