Wednesday, November 23, 2011

Ayuh ! mari kembali kepada agama

Manusia sangat berkehendak kepada peraturan atau undang-undang yang boleh menjamin mereka mencapai keamanan dan keharmonian dalam hidup.

Justeru Allah SWT yang Maha Mengetahui gelodak dan jiwa manusia, telah menurunkan peraturannya yang bernama ISLAM yang bererti SEJAHTERA untuk memenuhi kehendak dan fitrah hamba-hamba-Nya.

Tanpa pegangan agama yang kukuh menjadikan manusia kadang-kadang berwatak seperti binatang malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Mereka saling berbunuh-bunuhan, melakukan penipuan, pembohonagn, fitnah, zina, khalwat dan sebagainya.

Di sekolah ada murid-murid yang melawan guru, terjebak dengan gejala buli , ponteng sekolah dan melepak di pusat-pusat hiburan.

Manakala di rumah bukan sedikit anak-anak yang menjadi penderhaka kepada ibu bapa, lari dari rumah, keluar merempit dan pelbagai lagi masalah sosial.

Dalam konteks kejiranan, ada yang bermasam muka, tidak bertegur sapa, mementingkan diri sendiri dan bersifat individualistik.

Semuanya berlaku kerana kelonggaran pegangan agama.

Mereka yang menjadikan Allah sebagai Tuhannya dan Islam sebagai anutannya, akan sentiasa berwaspada pada setiap perbuatan yang dilakukan di dunia.

Mereka yang mengenal Allah dan beriman kepada hari akhirat akan melakukan setiap perkerjaan dengan ikhlas demi mencapai keredhaan-Nya.

Mereka yang mengenal Allah dan memperjuangkan syiar-Nya akan sentiasa bermuhasabah sama ada tindakan yang telah dilakukan, sedang di lakukan atau yang bakal dilakukan adakah menepati kehendak dan peraturan Allah SWT.

Justeru mereka yang mengenal Allah dan menjadikan Islam sebagai the way of life akan berusaha sedaya upaya untuk mengawal dirinya agar tidak terjebak ke lembah kemurkaan Allah SWT.

Jika dia menjadi pelajar, dia akan mempelajari sesuatu yang boleh memberi manfaat bukan sahaja pada diri malah umat Islam dan seluruh manusia sejagat.

Sungguh berdosa jika memperolehi ilmu tapi menyalahgunakannya untuk melakukan kerosakkan dan kemungkaran.

Jika dia menjadi guru, dia akan berlaku jujur dan amanah dengan ilmunya, sentiasa berkata benar walau pun pahit tanpa merasa takut dari kekangan pemerintah mahu pun penguasa.

Sangat hina jika seorang guru apatah lagi guru agama menyembunyikan ilmunya daripada masyarakat sehingga kejahilan bermaharaja lela.

Jika dia menjadi wartawan atau penulis blog dia akan menulis dan melaporkan sesuatu yang memberi kebaikan kepada masyarakat, bukan melaporkan cerita sensasi mengenai rumah tangga artis atau apa-apa sahaja cerita gossip yang sama sekali tidak menguntungkan khalayak pembaca.

Lagi hanyir dan busuk apabila wartawan atau penulis blog menyalahgunakan pena untuk menyebarkan cerita lucah, seks atau porno sehingga membangkitkan rasa syahwat di kalangan masyarakat lalu ada di antara mereka yang begitu berselera untuk melakukan jenayah cabul, zina, rogol dan juga seks sejenis.

Jika dia menjadi pemimpin, dia akan menggunakan kuasa yang diamanah untuk memakmurkan tanah air yang dipimpin men gikut corak dan acuan yang telah ditetapkan Allah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Pemimpin adalah model kepada masyarakat yang sewajarnya memberi teladan yang baik dari sudut gaya kehidupan.

Amat malang jika pemimpin menyuruh rakyat berjimat cermat sedangkan gaya hidup keluarga dan isteri pemimpin sangat mewah pada pandangan rakyat.

Lagi malang jika pemimpin menyuruh rakyat menentang korupsi namun masa yang sama mereka turut melakukan korupsi.

Saya tidak berniat menulis lanjut bentuk-bentuk korupsi yang dilakukan oleh pemimpin masa kini kerana sudah berlambak-lambak blog yang menulis hal demikian.

Wallahualam.

Abu Sofeya
Kolej Tuanku Jaafar
10.30 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.