Friday, November 25, 2011

Islam...., Ilmu dan Selamat Menyambut Maal Hijrah !

Orang yang beriman wajib menuntut ilmu

Sebelum Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia, Allah SWT telah menyiapkan diri baginda dengan ilmu pengetahuan. Tanpa bekalan ilmu tentulah sukar Nabi Adam dan keturunannya menjalani kehidupan sebagai khalifah di atas muka bumi. Dengan ilmu itu juga nabi Adam dimuliakan Allah sehingga disuruh menjadi guru kepada para malaikat.

Firman Allah SWT,

"(Dan Dia telah mengajar Nabi Adam akan segala nama benda benda dan kegunaannya , kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Dia berfirman : Terangkanlah kepada Ku nama-nama benda ini, jika kamu golongan yang benar. (31) Maha Suci Engkau ya Allah, Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami ; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".(Al-Baqarah 031)

Apa sahaja yang hendak di lakukan di dunia ini perlu kepada ilmu. Maka Islam menyuruh manusia supaya mencari ilmu pengetahuan. Ia adalah kunci untuk mencapai kejayaan bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat. Tanpa ilmu seseorang mukmin tidak dapat menyempurnakan tugasnya sebagai khalifah dengan sempurna.

Penerimaan wahyu yang pertama oleh Rasulullah saw ialah ayat yang menjurus kepada ilmu. Nabi di suruh “Bacalah” oleh malaikat Jibril sebanyak tiga kali menunjukkan betapa pentingnya mencari ilmu dengan kesungguhan, diusahakan berkali-kali bukan hanya sekali, ibarat seperti melepaskan batuk ditangga.

Kalimah “Bacalah” di awal permulaaan surah Al-A’laq juga menjelaskan asas pencarian ilmu bermula dengan membaca, meneliti dan memahami. Dengan kata lain membaca adalah jambatan ilmu.

Ilmu adalah syarat penerimaan ibadah seseorang mukmin. Jika melakukan sesuatu pekerjaan duniawi tanpa di dasari ilmu akan menghasilkan pekerjaan yang tidak berkualiti, maka sama jugalah melakukan ibadah tanpa di dasari ilmu akan menjadikan ibadah seseorang itu tempang, rosak dan tidak dipandang oleh Allah SWT.

Sebaliknya mukmin yang berilmu bukan sahaja ibadahnya diterima, malah mereka mendapat tempat yang baik di dunia dan akhirat, dipuji, dimulia dan diangkat darjatnya oleh Tuhan yang bersifat Al-‘Alim.

Firman-Nya,

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang yang diberi ilmu pengeahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat)”. (Al-Mujadila :11)

Sabda baginda Rasul,

“Barangsiapa yang berkehendakkan dunia hendaklah ia mempunyai ilmu, barangsiapa yang berkehndakkan akhirat hendaklah ia mempunyai ilmu, barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya sekali hendaklah ia mempunyai ilmu”( Riwayat sebahagian ahli Sunan)

Ilmu dalam Islam terbahagi kepada dua, fardhu ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya saling lengkap melengkapi dan bersumberkan wahyu ilahi. Ilmu fardhu ain yang merupakan ilmu yang wajib di pelajari oleh setiap individu muslim hendaklah dikuasai seawal baligh manakala ilmu fardhu kifayah seperti perniagaan, kejuruteraan, kedoktoran hendaklah di mahiri dan ditingkatkan oleh sebahagian umat Islam dari semasa ke semasa. Jika tiada seorang pun umat Islam yang mahir dalam sesuatu ilmu fardhu kifayah maka keseluruhan masyarakat Islam di tempat itu akan menanggung dosa.

Jika dilihat dalam sejarah ketamadunan Islam, beberapa tokoh muslim begitu harum kerana sumbangan dan jasa mereka dalam ilmu kifayah. Nama-nama besar seperti al-Asma’i, al-Jahiz dan al-Jawaqili merupakan pakar dalam bidang Zoologi dan Biologi. Dalam bidang Botani dipelopori oleh al-Nabati, bidang Mineralogi tokohnya ialah Muhammad Zakaria al-Razi, bidang Kimia pula tokohnya Khalid ibnu Yazid dan Jabir ibnu Haiyan serta dalam bidang kejuruteraan dan teknologi pula tokohnya seperti ibnu Musa, Ibnu al-Razaz al-Jazari, Taqiyuddin dan lain-lain. Demikianlah hebatnya pencapaian umat Islam dahulu dalam bidang ilmu kifayah.

Oleh itu satu tuntutan kepada umat Islam untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dengan mencari dan membudayakan ilmu seperti yang diperintahkan oleh wahyu Ilahi.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1432

Abu Sofeya,
Kolej Tuanku Jaafar
9.30 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.