Friday, November 11, 2011

Isu Ibadat haji PM – Ulasan saya

Ibadat haji PM berjalan baik
Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my


SEPANG 10 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan bahawa rombongan haji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyelesaikan urusan wajib ketika menunaikan ibadat tersebut.

Jamil Khir berkata, ini kerana sepanjang mengerjakan ibadat tersebut rombongan haji Perdana Menteri sentiasa dikawal oleh pihak kerajaan Arab Saudi supaya ia berjalan dengan baik.

“Sebenarnya isu ini tidak timbul langsung, kemungkinan ia disalah tafsir.

“Yang dimaksudkan bukan selesai ibadat haji, tetapi selesai wukuf. Wukuf ni waktunya dari Zohor hingga Maghrib pada 9 Zulhijjah dan lepas itu habis lah.

“Jadi, yang dimaksudkan itu ialah selesai wukuf, (tetapi) saya tengok lenggok bahasa yang digunakan itu selesai haji, jadi lenggok itu salah lah,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari tanah suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal propembangkang Malaysiakini Selasa lalu yang melaporkan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya terkejut bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai menunaikan ibadat haji.

Menurut Juanda, ini kerana waktu paling awal bagi jemaah haji boleh menamatkan ibadat tersebut adalah pada waktu Zohor hari tersebut dan dengan syarat mereka melakukan nafar awal iaitu setelah selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.

Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, rombongan Perdana Menteri telah menyelesaikan nafar awal iaitu berada di Mina pada malam hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.

“Ibadat haji ini disebut al-haj Arafah iaitu mesti kena pergi ke Arafah, kalau tak pergi Arafah tak adalah haji.Kemungkinan pada petang tersebut soalan itu selesai di Arafah sahaja manakala haji belum lagi kerana perlu melontar pula,” katanya.

Ditanya mengenai desakan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) supaya amalan penyembelihan lembu ketika ibadat korban dilakukan secara tertutup, Jamil Khir berkata, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan.

“Kesefahaman tentang amalan di Malaysia penting, di mana hak orang Islam diberikan dalam Perlembagaan, budaya dan untuk amalan agama.Hal ini sudah diketahui lama dah dan sudah berjalan dengan baik sebelum ini dan kita lakukan ibadat korban ni bukan semata-mata nak berseronok tetapi sebagai ibadat dalam Islam,” katanya.

Ulasan saya

Saya tiada sebarang ulasan mengenai ibadah Haji PM dan isterinya Datin Seri Rosmah dan sebagai seorang Islam saya mendoakan mudah-mudahan ibadah Hajinya diterima oleh Allah SWT.

Cuma saya ingin memperbetulkan statement akhbar yang dibuat oleh YB Menteri Agama, Dato Seri Jamil Khir mengenai tempoh waktu wukuf.

Adalah kurang tepat jika Menteri Agama mengatakan tempoh waktu wukuf bermula dari waktu Zuhor sehingga waktu Maghrib 9 Zulhijjah, sedangkan waktu wukuf yang sebenar ialah bermula dari gelincir matahari (waktu Zuhor) 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk Subuh) 10 Zulhijjah.

Mungkin wartawan tersilap melaporkannya.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.