Tuesday, November 29, 2011

Peraturan Islam sesuai dengan fitrah manusia

Mahkmah Syariah di Putrajaya - Gambar Hiasan

Islam yang bererti SEJAHTERA merupakan agama yang memenuhi kehendak dan fitrah hamba-hamba-Nya. Manusia yang hidup di dunia ini sangat perlu kepada peraturan dan undang-undang. Tujuannya supaya mereka boleh hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Mereka tidak mahu kebahagiaan dan keamanan yang dikecapi diragut oleh anasir-anasir jahat.

Justeru Allah SWT yang Maha Mengetahui gelodak dan jiwa manusia, telah menurunkan peraturan-Nya seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.

Islam tidak hanya menyuruh umatnya beramal untuk ukhrawi tetapi juga duniawi. Sebagai contoh Islam mengiktiraf pemilikan harta. Ia adalah fitrah manusia yang sukakan kesenangan dan kemewahan. Firman Allah SWT,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”(Surah Al-Jumuah : 10)

Jika diselak lembaran sejarah ramai juga para sahabat Nabi saw memiliki harta dan kekayaan. Antaranya Saiyidina Uthman bin Affan dan Abdur Rahman bin Auf , yang dianggap sebagai usahawan yang berjaya dan ternama.

Dalam Islam, memiliki harta dan kesenangan hidup adalah diharuskan jika memenuhi syarat-syaratnya. Yang penting dan perlu difahami harta itu ialah alat bukannya matlamat kerana matlamat hakiki seseorang hamba di dunia ini ialah beribadat kepada-Nya.

Dengan erti kata lain harta yang dicari dan dimiliki itu hendaklah dijadikan alat untuk menambahkan rasa syukur dan taqwa kepada-Nya bukan menggunakannya pada jalan kefasadan dan kemungkaran.

Dalam mencari harta dan kemewahan, Islam melatakkan peraturan yang wajib dipatuhi. Antaranya tidak boleh mencuri, merompak atau memilikinya dengan cara menipu, menindas dan melakukan kezaliman. Ia merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Allah SWT.

Sabda Baginda saw,

“Barangsiapa yang mengambil hak milik seorang Islam dengan sumpahnya ( mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah SWT mewajibkan ke atas mereka neraka dan diharamkan syurga. Lalu seorang sahabat bertanya : Kalau yang diambil itu sedikit ya Rasulullah ? Nabi saw menjawab : Ya, walaupun hanya sekadar kayu siwak “. (Hadis riwayat Muslim)

Apabila sudah memiliki harta manusia perlu melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu membantu mereka yang memerlukan. Untuk itu Islam mewajibkan zakat bertujuan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Dengan pensyariatan zakat, sifat tamak dapat dikikis, sifat haloba dapat dihapus dan timbul pula sifat prihatin dan kasih sayang kepada golongan susah dan mereka yang memerlukan.

Golongan susah pula apabila menerima zakat, mereka akan merasa syukur di atas apa yang di terima, merasakan diri mereka tidak disisih malah diambil berat dan diberi perhatian, sehingga melenyapkan perasan dengki dan hasad ke atas golongan berharta. Demikianlah indahnya Islam mewujudkan kasih sayang serta saling hormat menghormati di antara golongan yang berharta dan sebaliknya.

Fitrah manusia tidak suka jika harta yang mereka usahakan diambil orang tanpa jalan yang sah. Bayangkan mereka yang bersusah payah mencari harta bagi menyara keluarga tiba-tiba harta yang dimiliki yang berupa gaji di curi orang. Sudah tentu mangsa akan merasa marah, hampa, sedih, sakit hati dan kecewa sehingga mewujudkan perasaan tidak tenteram dalam jiwanya.

Manakala orang yang mencuri pula akan merasa seronok dengan hasil curiannya, melahirkan sifat malas untuk berkerja sedangkan sifat malas mencari rezeki itu sangat ditegah oleh syarak.

Dari perbuatan mencuri pula akan melahirkan jenayah yang lebih besar iaitu merompak. Diikuti pula dengan kewujudan kumpulan gangster atau kongsi gelap yang mengancam keselamatan negara dan peniaga. Para pelabur dari luar tentu akan berfikir beberapa kali untuk melabur di negara-negara yang berleluasanya jenayah seperti ini. Demikianlah antara akibat atau bencana yang bakal menimpa manusia jika dibiarkan jenayah ini berleluasa.

Justeru bagi menyelesaikan masalah ini Islam ada undang-undang bagi membendung perbuatan jenayah mencuri. Dengan undang-undang seperti ini, ia bakal menakutkan manusia untuk melakukannya. Penguatkuasaan undang-undang ini juga sekaligus mewujudkan kemanan dan keadilan dalam masyarakat serta menjaga harta orang ramai dari diambil secara tidak sah.

Hukuman ke atas pencuri dijelaskan oleh Allah SWT,


"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".(Surah Al-Maidah : 38)

Para fuqaha’ Islam membahaskan syarat-syarat dan peraturan yang ketat sebelum perlaksanaan hukum potong tangan dijalankan. Yang penting, hukuman ini sama sekali tidak menzalimi dan menganiayai manusia. Ia memberi kebaikan kepada manusia sejagat.

Selain itu, fitrah manusia juga perlukan pasangan hidup agar kehidupan mereka lebih bermakna. Dengan pasangan yang ada, manusia boleh berkongsi masalah, meluahkan rasa duka dan berkongsi rasa gembira. Dengan pasangan itu juga manusia boleh melepaskan nafsu syahwat sehingga melahirkan keturunan dan zuriat.

Dengan zuriat itulah manusia bermain dan bersenda gurau, yang membawa rasa suka dan bahagia. Dengan zuriat itu juga manusia boleh mewariskan harta daan kekayaan yang mereka miliki. Jelasnya manusia yang normal tidak mahu hidup berseorangan, kesunyian dan kesepian.

Justeru Islam meraikan hasrat manusia dengan mensyariatkan hukum-hukum perkahwinan agar apa yang dihajati oleh manusia itu tercapai. Bermula dari merisik, bertunang, bernikah sehinggalah kepada tanggungjawab suami dan isteri, semunya telah Islam jelaskan satu persatu. Begitu juga dalam hal penceraian, rujuk poligami, penjagaan anak dan lain-lain semuanya tidak di lepas pandang.

Islam mengharamkan zina kerana ia bertentangan dengan naluri fitrah manusia yang mahukan kehidupan yang bersih dan terhindar dari sebarang penyakit berjangkit. Zina bukan sahaja membiakkan penyakit berjangkit seperti AIDS dan Siplis tetapi ia juga adalah jenayah yang tidak bermoral.

Ia merosakkan sistem kekeluargaan, menghancurkan rumahtangga, menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat, melahirkan jenayah rogol yang berleluasa, wujudnya anak luar nikah sehingga membawa kepada pembunuhan bayi yang tidak berdosa.

Bagi membendung jenayah zina, Islam menguatkuasakan undang-undang yang boleh memberi pengajaran supaya manusia takut melakukannya.

Firman Allah SWT,

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan” .(Surah An-Nur : 2)

Mana-mana penzina yang sabit kesalahannya jika belum berkahwin hendaklah disebat seratus kali sebatan. Berlainan pula dengan mereka yang sudah berkahwin mereka akan dihukum rejam sampai mati berdasarkan hadis Nabi saw,

“Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah SWT.”

Fitrah manusia tidak suka diaib yang menjatuhkan maruah dan peribadi mereka. Justeru Allah SWT mensyariatkan undang-undang Qadzaf iaitu hukuman ke atas mereka yang menuduh mana-mana perempuan yang baik (yang menjaga kehormatannya) melakukan zina tanpa di bawa empat orang saksi.

Firman Allah SWT,

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat;..”(Surah An-Nur : 4)

Ayat ini menjelaskan mana-mana penuduh yang membuat tuduhan, sekiranya gagal mengemukakan empat orang saksi yang meilhat dengan mata kepala akan perbuatan tersebut, maka dia akan dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan.

Hukuman ini adalah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana ia telah mencemar maruah dan peribadi mangsa yang dituduh sehingga menimbulkan persepsi negatif masyarakat ke atas dirinya. Disebabkan fitnah yang terpalit, mangsa akan merasa malu yang amat sangat serta trauma yang berpanjangan.

Kesimpulannya, semua undang-undang yang termaktub dalam wahyu ilahi memenuhi fitrah naluri manusia. Segala kelakuan jenayah yang merosakkan kebahagiaan manusia telah disediakan hukumannya di dunia sebagai pengajaran dan juga pedoman agar ia tidak berulang di masa akan datang.

Catatan …,

Abu Sofeya

Kolej Tuanku Jaafar
29.11.2011
11.20 pagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.